|
Mukadimah
Alhamdulillah, kita
dapat meneruskan pengajian pada halaman 464 Surah Al-Zumar, surah yang ke-39. Surah ini memberi
pengharapan kepada kita semua agar lebih rapat dengan al-Quran. Kita ambil
peluang tarbiyah Ramadan untuk menuju takwa kepada Allah SWT. Semoga tadabbur
yang telah kita lalui memberi kesan kepada tadarus dan solat kita. Moga-moga
Allah SWT menerima amal kita.
Ayat 39:48
وَبَدَا لَهُمْ سَيِّـَٔاتُ مَا كَسَبُوا۟ وَحَاقَ
بِهِم مَّا
كَانُوا۟ بِهِۦ
يَسْتَهْزِءُونَ
Dan sudah tentu
akan nyata kepada mereka keburukan perkara-perkara yang mereka telah
usahakan, dan mereka akan diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.
Pengajaran
- Allah SWT
menjelaskan satu hakikat iaitu apa sahaja keburukan yang dibuat dan apa yang
mereka ejek-ejak kepada Nabi SAW akan menghantui mereka dalam bentuk fizikal.
- Apa sahaja
kesilapan yang kita buat, hendaklah kita minta ampun betul-betul dari Allah
SWT agar ia tidak menghantui kehidupan kita di dunia sampai ke akhirat.
Ayat 39:49
فَإِذَا مَسَّ ٱلْإِنسَٰنَ ضُرٌّ دَعَانَا ثُمَّ إِذَا خَوَّلْنَٰهُ
نِعْمَةً مِّنَّا قَالَ إِنَّمَآ أُوتِيتُهُۥ
عَلَىٰ عِلْمٍۭ بَلْ هِىَ فِتْنَةٌ
وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Maka apabila
manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Kami; kemudian
apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari Kami,
berkatalah ia (dengan sombongnya): "Aku diberikan nikmat ini hanyalah
disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (Tidaklah benar
apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian
(adakah ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak
mengetahui (hakikat itu).
Pengajaran
- Allah SWT
menceritakan hakikat psikologi manusia. Apabila mereka mendapat bahaya,
mereka berdoa kepada Allah SWT. Kemudian bila dihilangkan bahaya itu, diberi nikmat,
mereka tidak bersyukur dan kembali lupa kepada Allah SWT.
- Nikmat boleh
jadi satu fitnah. Contoh nikmat: Bila kita ada duit, keluarga, pangkat kita
rasa suka. Bila tidak ada duit, keluarga, pangkat kita rasa susah, kita
mengadu kepada Allah SWT. Tetapi bila berjaya dalam bisnes, kerjaya,
keluarga, kita merasakan semua itu diberikan kepada kita kerana ilmu kita.
- Ini adalah satu
fitnah kepada orang yang berjaya kerana sebenarnya dia sedang difitnah.
Cabarannya ialah ramai orang akan tertarik kepada formula kejayaannya.
- Ramai yang
tidak mengetahui hakikat bahawa kejayaan adalah ujian untuk melihat adakah ia
bersyukur atau sebaliknya. Contoh: Kisah Qarun dalam surah al-Qasas yang
mengatakan bahawa kekayaannya adalah kerana ilmu yang dia ada.
Ayat 39:50
قَدْ قَالَهَا
ٱلَّذِينَ مِن
قَبْلِهِمْ فَمَآ أَغْنَىٰ
عَنْهُم مَّا
كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ
Sebenarnya
orang-orang yang terdahulu daripada mereka telah juga mengatakan yang
demikian maka segala yang mereka usahakan itu tidak dapat menyelamatkan mereka
(dari azab Allah).
Pengajaran
- Allah SWT
menerangkan kepada kita bahawa kaedah mereka yang merasa kejayaan itu kerana
teknik, strategi dan ilmu mereka adalah fitnah.
- Rupa-rupanya
apa yang mereka usahakan itu tidak dapat menyelamatkan mereka daripada azab
Allah SWT.
Ayat 39:51
فَأَصَابَهُمْ سَيِّـَٔاتُ
مَا كَسَبُوا۟ وَٱلَّذِينَ
ظَلَمُوا۟ مِنْ
هَٰٓؤُلَآءِ سَيُصِيبُهُمْ سَيِّـَٔاتُ
مَا كَسَبُوا۟ وَمَا هُم بِمُعْجِزِينَ
Lalu mereka
ditimpa keburukan padah perbuatan-perbuatan jahat yang mereka lakukan; dan
orang-orang yang zalim di antara golongan (yang musyrik) ini akan ditimpa
juga akibat buruk perbuatan-perbuatan buruk perbuatan jahat yang mereka
lakukan, dan mereka tidak akan dapat melepaskan diri.
Pengajaran
- Orang-orang
yang zalim akan ditimpa juga akibat buruk perbuatan-perbuatan jahat yang
mereka lakukan, dan mereka tidak akan dapat melepaskan dari azab Allah SWT.
- Bila dapat
nikmat kita perlu ingat macam mana hendak mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Kalau sudah senang, kita kena cakna kepada orang susah.
- Kalau tidak
buat apa-apa padahal kita ada kemewahan, kemudahan dan keluarga yang berjaya,
itu adalah satu kerosakan yang dibuat oleh orang-orang yang ada sesuatu
tetapi tidak mahu membantu kepada mereka yang memerlukan. Mereka ini digelar
sebagai orang yang zalim.
- Pada zaman Nabi
SAW, orang musyrik Mekah ada kemewahan tetapi mereka tidak membantu
perjuangan Nabi SAW dan orang-orang yang memerlukan bantuan. Mereka juga rasa
mereka tidak dapat dikalahkan.
- Pada zaman
sekarang ada pemimpin yang rasuah, bila dibicara, mereka rasuah hakim dan
cari pengikut untuk angkat mereka walaupun sudah buat silap kerana mereka
rasa boleh kalahkan sistem yang ada. Tetapi mereka lupa bahawa mereka tidak
mampu kalahkan Allah SWT bila Allah SWT sampaikan azab apabila sampai
masanya.
- Ini adalah
pelajaran penting untuk kita. Kita rasa kita ada pengalaman, ada ilmu, dan boleh
selesaikan pelbagai masalah yang ada, tetapi jangan sampai kita tidak
melaksanakan kebaikan dan tidak kembali kepada Allah SWT.
Ayat 39:52
أَوَلَمْ يَعْلَمُوٓا۟
أَنَّ ٱللَّهَ يَبْسُطُ
ٱلرِّزْقَ لِمَن
يَشَآءُ وَيَقْدِرُ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ
لَءَايَٰتٍ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
(Mengapa mereka
mendakwa demikian), tidakkah mereka mengetahui bahawa sesungguhnya Allah
memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga yang
menyempitkannya? Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan
yang jelas bagi orang-orang yang percayakan (ilmu dan kebijaksanaan Allah).
Pengajaran
- Ini adalah
hakikat tentang rezeki. Orang beriman bila mendapat harta, semakin bertambah
imannya. Jika Allah SAW sempitkan rezekinya dia tetap semakin beriman kepada
Allah SWT.
- Orang yang
Allah SWT hadkan rezekinya, itu adalah kerana Allah SWT hendak menjaga orang
itu. Contoh: Kalau Allah SWT berikan harta yang banyak, dia tidak mampu
menguruskan hartanya. Dia mungkin sibuk dengan duit itu sehingga tinggal
solat berjemaah, tidak baca Quran. Waktu susah dia ada masa baca Quran dan
solat berjemaah.
- Jika Allah SWT melapangkan kita, kita kena
berjaga-jaga, jangan sampai kita mengatakan bahawa ini adalah kerana
kehebatan kita sampai kita dapat rezeki dan boleh menguruskan pelbagai bisnes
yang hebat-hebat, dapat menguruskan keluarga jadi orang hebat-hebat sebab
ilmu kita. Bukan begitu! Ia adalah hakikat rezeki yang dilapangkan oleh Allah
SWT.
- Kalau kita
boleh puasa, boleh infak, boleh baca Quran, itu semua adalah anugerah
daripada Allah SWT. Yang pentingnya, kita semakin beriman kepada Allah SWT.
- Kita pandai
macam mana pun, ada ramai pengikut, boleh tutup segala kesalahan/dosa yang
lakukan, bila Allah SWT mula memberikan satu siksaan, ia akan kena tepat dan
tiada siapa yang dapat melindungi atau mengelakkan kita daripada azab itu.
Ayat 39:53
قُلْ يَٰعِبَادِىَ
ٱلَّذِينَ أَسْرَفُوا۟ عَلَىٰٓ
أَنفُسِهِمْ لَا
تَقْنَطُوا۟ مِن
رَّحْمَةِ ٱللَّهِ إِنَّ ٱللَّهَ يَغْفِرُ
ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُۥ
هُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas
terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah
kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan
segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.
Pengajaran
- Allah SWT
mengingatkan kita supaya katakan kepada diri, kepada kawan-kawan dan keluarga
kita: Kalau kita tersilap, berbuat dosa, sakiti hati orang lain, jangan putus
asa daripada rahmat Allah SWT.
- Jangan fikir
negatif, jangan rasa bahawa Allah tidak akan menerima kita lagi. Selagi kita
diberi nafas di atas muka bumi ini kita masih berpeluang mendapat keampunan
daripada Allah SWT. Allah SWT boleh mengampunkan segala dosa kerana Allah
Amat Pengampun dan Sentiasa Penyayang.
- Jangan pula
kita 'take for granted' bila tahu bahawa Allah Amat Pengampun. Bila kita ada kesedaran
dari kesilapan, mohonlah ampun daripada Allah Al-Ghafur.
Ayat 39:54
وَأَنِيبُوٓا۟ إِلَىٰ رَبِّكُمْ وَأَسْلِمُوا۟
لَهُۥ مِن
قَبْلِ أَن
يَأْتِيَكُمُ ٱلْعَذَابُ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ
"Dan kembalilah
kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat
kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan
diberikan pertolongan
Pengajaran
- Hendaklah kita
kembali kepada Tuhan dengan bertaubat. Serahkan diri bulat-bulat kepada Allah
SWT sebelum didatangi azab kerana selepas itu kita tidak akan dibantu lagi.
- Diberi peluang
masuk Ramadan sebenarnya Allah SWT hendak bantu kita. Tetapi jangan sampai
kita tangguh. Kalau tersilap lagi, cepat-cepat minta ampun daripada Allah SWT
dengan rasa hendak kembali. Mengadu dengan rasa rendah diri dan ikut apa yang
Allah SWT suruh.
Ayat 39:55
وَٱتَّبِعُوٓا۟ أَحْسَنَ
مَآ أُنزِلَ إِلَيْكُم
مِّن رَّبِّكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَكُمُ ٱلْعَذَابُ
بَغْتَةً وَأَنتُمْ لَا تَشْعُرُونَ
"Dan
turutlah - Al-Quran - sebaik-baik. (panduan hidup) yang diturunkan kepada
kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang
kamu tidak menyedarinya.
Pengajaran
- Ayat ini ada
seruan untuk kita. Jangan bertangguh untuk kembali kepada Allah SWT.
Cepat-cepat mohon ampun dan buat yang terbaik sebelum azab datang tiba-tiba.
- Tanda kita
betul-betul hendak kembali kepada Allah SWT, hendaklah kita turut al-Quran
yang merupakan sebaik-baik panduan hidup yang diturunkan kepada kita.
- Ikut
rapat-rapat kisah para nabi. Belajar satu, terus amalkan. Itu adalah tanda
kita sedang kembali kepada Allah SWT. Buat yang terbaik berdasarkan apa yang
kita belajar daripada al-Quran.
Ayat 39:56
أَن تَقُولَ
نَفْسٌ يَٰحَسْرَتَىٰ عَلَىٰ مَا فَرَّطتُ
فِى جَنۢبِ ٱللَّهِ
وَإِن كُنتُ
لَمِنَ ٱلسَّٰخِرِينَ
"(Diperintahkan
demikian) supaya jangan seseorang (menyesal dengan) berkata: ` sungguh besar
sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipan-kewajipanku terhadap
Allah serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh
memperolok-olokkan (ugama Allah dan penganut-penganutnya)! -
Pengajaran
- Perkataan جَنۢبِ ٱللَّهِ ini menarik.
Bila kita berbuat dosa, sebenarnya kita tidak endahkan Allah SWT. Allah SWT
sentiasa ada bersama kita setiap masa. Allah SWT boleh meninggalkan kita
namun Allah SWT tidak buat begitu. Allah tetap bersama kita walaupun kita
pernah tersilap atau buat dosa.
- Selalulah
bercakap dengan Allah SWT terutama di bulan Ramadan. Jika kita selalu
memandang remeh pada Allah SWT, inilah masa untuk kita menguatkan azam untuk
sedar bahawa Allah SWT sentiasa dekat dengan kita, istiqamah tinggalkan dosa,
istiqamah lakukan amal soleh.
Jalan di sawah
berselipar Jepun
Buat roti
dengan ragi
Sentiasa sedar
Allah Amat pengampun
Setiap saat, tetap
menyayangi
RESOLUSI
Ingat!
- Ingat Allah SWT
ketika susah dan senang, terkandung hikmah di sebalik nikmat dan ujian
(39:49)
- Jangan berputus
asa dengan rahmat Allah SWT dan istiqamah membersihkan diri daripada dosa
(39:53)
- Bersedia dengan taubat dan amal soleh
sebelum datangnya azab tiba-tiba (39:55-56)
Saya berasa lega,
Allah SWT Amat Pengampun dan sentiasa Penyayang walaupun saya pernah berbuat.
Saya jelas
saya mesti ingat Allah SWT ketika susah dan senang, terkandung hikmah di
sebalik nikmat dan ujian. Saya jelas saya mesti jangan berputus asa dengan
rahmat Allah SWT dan istiqamah membersihkan diri daripada dosa. Saya jelas
saya mesti bersedia dengan taubat dan amal soleh sebelum datangnya azab
tiba-tiba.
Ya Allah,
bimbing kami untuk sentiasa ingat kepada Mu ketika susah dan senang. Ya
Allah, kami bersyukur atas segala nikmat dan ujian yang Engkau berikan kerana
semuanya terkandung hikmah di sebalik nikmat dan ujian itu. Ya Allah, pimpin
kami supaya tidak berputus asa dengan rahmat Mu, bantu kami untuk istiqamah
membersihkan diri daripada dosa. Ya Allah, pimpin kami untuk bersedia dengan
taubat dan amal soleh sebelum datangnya azab tiba-tiba.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Ya Allah, kurniakan kami ganjaran Syurga Firdaus. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.
|