Saturday, October 21, 2023

Halaman 477 Fussilat (41:1-11)

 PERKATAAN HARI  INI

حَيَقَ / حَاقَ Meliputi, mengepung.

10 kali disebut di dalam al-Quran

 

SINOPSIS  

  

  1. Penurunan kitab al-Quran dalam bahasa Arab dan kandungannya berita gembira serta peringatan (41:1-4)
  2. Berpalingnya kaum Musyrik daripada al-Quran dan sifat kemanusiaan Nabi Muhammad SAW (41:5-8)
  3. Bukti kewujudan Allah SWT, kesempurnaan kuasa dan kebijaksanaan-Nya (41:9-11)







Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 477 Surah Fussilat.

 

Fussilat bermaksud 'Yang Dijelaskan'. Nama lain surah ini ialah Haa Mim As-Sajdah. Ini adalah kumpulan surah Ha wa Mim.

 

Ayat 41:1

 

حمٓ

 

Haa, Miim

 

Pengajaran

 

1.     Yang tahu hanyalah Allah SWT.

2.     Dengan sikap tidak tahu, Allah SWT akan bukakan pintu hikmah daripada kitab yang diturunkan.

 

Ayat 41:2

 

تَنزِيلٌ مِّنَ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

 

Turunnya Kitab ini dari Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

 

Pengajaran

 

  1. Kitab al-Quran ini turunnya daripada Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
  2. Tanda kasih sayang Allah ialah Dia menurunkan al-Quran ini.
  3. تَنزِيلٌ (dengan tanwin) menunjukan kehebatan kitab yang diturunkan. Proses turunnya, isinya dan sesiapa yang bersama dengan kitab ini ia akan menjadi orang yang hebat di sisi Allah SWT.
  4. Sesiapa yang membaca al-Quran menempah kemuliaan daripada Allah ar-Rahman ar-Rahim.

 

Ayat 41:3

 

كِتَـٰبٌ فُصِّلَتْ ءَايَـٰتُهُۥ قُرْءَانًا عَرَبِيًّا لِّقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

 

Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya.

 

Pengajaran

 

  1. Salah satu daripada sifat kitab ini ialah ia dijelaskan secara terperinci. Ia memecahkan apa yang ingin diterangkan secara sedikit demi sedikit dan mudah difahami.
  2. Kitab ini diturunkan dalam Bahasa Arab untuk mereka yang ingin mendapatkan ilmu.

 

Ayat 41:4

 

بَشِيرًا وَنَذِيرًا فَأَعْرَضَ أَكْثَرُهُمْ فَهُمْ لَا يَسْمَعُونَ

 

Ia membawa berita yang mengembirakan (bagi orang-orang yang beriman) dan membawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dalam pada itu kebanyakan mereka berpaling ingkar (tidak mahu mengetahui dan memahaminya), maka dengan sebab itu mereka tidak menerima dan tidak mematuhinya.

 

Pengajaran

 

  1. Kitab ini membawa berita yang menggembirakan dan membawa amaran, namun ramai yang tidak mendengar.
  2. Rasul berakhlak dengan al-Quran, juga membawa berita gembira dan amaran.
  3. Kita juga mestilah membawa berita gembira dan amaran.
  4. Mendengar mesej kebaikan adalah perkara penting. Dengan mendengar kita dapat akses kepada pelbagai ilmu.

 

Ayat 41:5

 

وَقَالُوا۟ قُلُوبُنَا فِىٓ أَكِنَّةٍ مِّمَّا تَدْعُونَآ إِلَيْهِ وَفِىٓ ءَاذَانِنَا وَقْرٌ وَمِنۢ بَيْنِنَا وَبَيْنِكَ حِجَابٌ فَٱعْمَلْ إِنَّنَا عَـٰمِلُونَ

 

Dan mereka berkata: "Hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis (menghalang kami) daripada memahami apa yang engkau serukan kami kepadanya, dan pada telinga kami penyumbat (menjadikan kami tidak dapat mendengarnya), serta di antara kami denganmu ada sekatan (yang memisahkan fahaman kita); oleh itu, bekerjalah engkau (untuk ugamamu), sesungguhnya kami juga tetap bekerja (untuk mempertahankan kepercayaan kami)! "

 

Pengajaran

 

  1. Orang yang tidak mahu mendengar memberi alasan:
    • Hati mereka tertutup
    • Pendengaran mereka tersumbat
  2. Orang yang hendak beriman dengan al-Quran mestilah mulakan dengan doa supaya dimudahkan belajar. Jangan bagi alasan untuk belajar al-Quran.
  3. Semoga kita tidak terhijab daripada kebenaran yang dibawa dalam al-Quran.

 

Ayat 41:6

 

قُلْ إِنَّمَآ أَنَا۠ بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوحَىٰٓ إِلَىَّ أَنَّمَآ إِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌ وَٰحِدٌ فَٱسْتَقِيمُوٓا۟ إِلَيْهِ وَٱسْتَغْفِرُوهُ ۗ وَوَيْلٌ لِّلْمُشْرِكِينَ

 

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu; diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Satu; maka hendaklah kamu tetap teguh di atas jalan yang betul lurus (yang membawa kepada mencapai keredaanNya), serta pohonlah kepadaNya mengampuni (dosa-dosa kamu yang telah lalu). Dan (ingatlah), kecelakaan besar bagi orang-orang yang mempersekutukanNya (dengan sesuatu yang lain),

 

Pengajaran

 

  1. Menurut Imam Qurtubi, Nabi SAW diajar tentang merendah diri: "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu".
  2. Nabi SAW diwahyukan bahawa Tuhan hanyalah Tuhan yang Satu; maka hendaklah istiqamah di atas jalan yang betul lurus yang membawa kepada mencapai keredaanNya.
  3. Nabi SAW juga diajar supaya menyeru manusia memohon ampun kepada Allah SWT.
  4. 4.     Kecelakaan besar bagi orang-orang yang mempersekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain.

 

Ayat 41:7

 

ٱلَّذِينَ لَا يُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُم بِٱلْـَٔاخِرَةِ هُمْ كَـٰفِرُونَ

 

"Iaitu orang-orang yang tidak memberi zakat (untuk membersihkan jiwa dan hartabendanya) dan mereka pula kufur ingkar akan adanya hari akhirat".

 

Pengajaran

 

  1. Kecelakaan besar bagi orang-orang yang mempersekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain:
    • orang-orang yang tidak memberi zakat untuk membersihkan jiwa dan hartabendanya
    • orang-orang yang kufur ingkar akan adanya hari akhirat.
  2. Orang-orang yang syirikkan Allah SWT tidak kisah tentang zakat.

 

Ayat 41:8

 

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍ

 

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, mereka beroleh balasan pahala yang tidak putus-putus.

 

Pengajaran

 

1.     Orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, mereka beroleh balasan pahala yang tidak putus-putus.

 

Ayat 41:9

 

قُلْ أَئِنَّكُمْ لَتَكْفُرُونَ بِٱلَّذِى خَلَقَ ٱلْأَرْضَ فِى يَوْمَيْنِ وَتَجْعَلُونَ لَهُۥٓ أَندَادًا ۚ ذَٰلِكَ رَبُّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

 

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya tidak patut kamu kufur kepada Tuhan yang menciptakan bumi dalam dua masa, dan kamu adakan sekutu-sekutu bagiNya! Yang demikian (sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan sekalian alam,

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT ingatkan supaya kita tidak patut kufur kepada Tuhan yang menciptakan bumi dalam dua masa.
  2. Jangan adakan sekutu-sekutu bagi Allah Tuhan sekalian alam. Contoh: Kalau azan, terus solat. Jangan sekutukan Allah dengan kerja yang sedang dibuat.

 

Ayat 41:10

 

وَجَعَلَ فِيهَا رَوَٰسِىَ مِن فَوْقِهَا وَبَـٰرَكَ فِيهَا وَقَدَّرَ فِيهَآ أَقْوَٰتَهَا فِىٓ أَرْبَعَةِ أَيَّامٍ سَوَآءً لِّلسَّآئِلِينَ

 

Dan Ia menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya (tersergam tinggi) di atasnya, serta Ia melimpahkan berkat padanya, dan Ia menentukan ada padaNya bahan-bahan keperluan hidup penduduknya, sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka; (semuanya itu berlaku) dalam empat masa.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT menjadikan di bumi gunung-ganang tersergam tinggi di atasnya, serta Ia melimpahkan berkat padanya.
  2. Allah SWT menentukan bahan-bahan keperluan hidup makhluk di bumi, sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka (ekologi makanan). Semuanya itu berlaku dalam empat masa.
  3. Pelajaran: Allah SWT buat dengan teliti dan tidak tergesa-gesa. Dalam hidup kita kalau hendak bina iman, hendak selamat jangan tergesa-gesa. Kita kena buat dengan teliti.

 

Ayat 41:11

 

ثُمَّ ٱسْتَوَىٰٓ إِلَى ٱلسَّمَآءِ وَهِىَ دُخَانٌ فَقَالَ لَهَا وَلِلْأَرْضِ ٱئْتِيَا طَوْعًا أَوْ كَرْهًا قَالَتَآ أَتَيْنَا طَآئِعِينَ

 

Kemudian Ia menunjukkan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Ia berfirman kepadanya dan kepada bumi: "Turutlah kamu berdua akan perintahKu, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!" Keduanya menjawab: "Kami berdua sedia menurut - patuh dengan sukarela"

 

Pengajaran

 

  1. Kemudian Allah SWT menunjukkan kehendakNya ke arah langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Ia berfirman kepadanya dan kepada bumi: "Turutlah kamu berdua akan perintahKu, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!"
  2. Langit dan bumi menjawab: "Kami berdua sedia menurut - patuh dengan sukarela".

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Usaha belajar dan memahami bahasa Arab kerana ia bahasa al-Quran (41:3)
  2. Amalkan doa memohon ditetapkan iman dan Islam dalam kehidupan (41:5)
  3. Tetap dalam beribadah, sentiasa memohon ampun dan tunaikan zakat (41:6-7)

Saya berasa lega, Allah SWT akan berikan balasan pahala yang tidak putus-putus sekiranya saya beriman dan mengerjakan amal yang soleh.

 

Saya jelas saya mesti usaha belajar dan memahami bahasa Arab kerana ia bahasa al-Quran. Saya jelas saya mesti amalkan doa memohon ditetapkan iman dan Islam dalam kehidupan. Saya jelas saya mesti tetap dalam beribadah, sentiasa memohon ampun dan tunaikan zakat.

 

Ya Allah, bimbing kami belajar dan memahami bahasa Arab supaya kami dapat faham al-Quran. Ya Allah, tetapkan iman dan Islam kami. Ya Allah kurniakan kami istiqamah dalam beribadah, bimbing kami untuk memohon ampun dan tunaikan zakat.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Ya Allah, kurniakan kami ganjaran Syurga Firdaus. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 

 



Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...