Saturday, October 21, 2023

Halaman 478 Fussilat (41:12-20)

 

PERKATAAN HARI  INI


صَرْصَرَ Gemuruh/sangat bising berteriak. 

3 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS

    

  1. Penciptaan Allah SWT yang bertahap dan berperingkat serta keindahan bintang-bintang (41:12)
  2. Ancaman kepada kaum Musyrik dengan bencana yang menimpa kaum 'Ad dan Thamud (41:13-18)
  3. Azab bagi kaum kafir yang ingkar peringkat Allah SWT (41:19-20)



Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 478 Surah Fussilat. Syukur kepada Allah SWT yang masih memberi kepada kita hidayah iman. Semoga tambahkan akhlak kita dengan al-Quran.

 

Ayat 41:12

 

فَقَضَىٰهُنَّ سَبْعَ سَمَـٰوَاتٍ فِى يَوْمَيْنِ وَأَوْحَىٰ فِى كُلِّ سَمَآءٍ أَمْرَهَا ۚ وَزَيَّنَّا ٱلسَّمَآءَ ٱلدُّنْيَا بِمَصَـٰبِيحَ وَحِفْظًا ۚ ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ ٱلْعَزِيزِ ٱلْعَلِيمِ

 

Lalu Ia menjadikannya tujuh langit, dalam dua masa; dan Ia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing-masing. Dan Kami hiasi langit yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT menjadikan tujuh petala langit, dalam dua masa. Bumi dijadikan dalam masa yang lebih panjang, penuh ketelitian kerana lebih banyak fungsi bumi untuk kita.
  2. Allah SWT memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing-masing. Ayat ini menunjukkan bahawa rezeki ditetapkan di bumi sahaja, tidak ada di planet lain.
  3. Allah SWT hiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta berfungsi memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Pelajaran: Setiap yang kita hendak sediakan/beli mesti ada fungsi, bukan sekadar untuk cantik sahaja.
  4. Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.

 

Ayat 41:13

 

فَإِنْ أَعْرَضُوا۟ فَقُلْ أَنذَرْتُكُمْ صَـٰعِقَةً مِّثْلَ صَـٰعِقَةِ عَادٍ وَثَمُودَ

 

Oleh itu, kalau mereka (yang musyrik) berpaling (daripada mengesakan Allah dan menurut jalan yang lurus), maka katakanlah (wahai Muhammad): "Aku memberi amaran kepada kamu dengan (azab yang dahsyat, iaitu) petir, seperti petir yang telah menyambar kaum Aad dan kaum Thamud!"

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT menyuruh Nabi SAW beri amaran  kepada mereka yang berpaling daripada mengesakan Allah dan menurut jalan yang lurus dengan azab yang dahsyat iaitu petir, seperti petir yang telah menyambar kaum Aad dan kaum Thamud.
  2. Bila Nabi SAW baca ayat ini kepada Utbah bin Rabeah yang suka mengacau Nabi SAW, Utbah sangat terkesan.

 

Ayat 41:14

 

إِذْ جَآءَتْهُمُ ٱلرُّسُلُ مِنۢ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّا ٱللَّهَ ۖ قَالُوا۟ لَوْ شَآءَ رَبُّنَا لَأَنزَلَ مَلَـٰٓئِكَةً فَإِنَّا بِمَآ أُرْسِلْتُم بِهِۦ كَـٰفِرُونَ

 

(Mereka ditimpa azab itu) kerana semasa mereka didatangi Rasul-rasul (memberikan berbagai penjelasan) mengenai keadaan hidup mereka di dunia dan di akhirat (sambil melarang mereka): "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah", mereka menjawab: "Jika Tuhan kami hendak (mengutus Rasul-rasul) tentulah Ia akan menurunkan malaikat; oleh itu sesungguhnya kami kufur ingkar akan apa yang (kamu katakan): kamu diutus membawanya!"

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT mengingatkan bahawa Nabi SAW dan rasul-rasul terdahulu bersungguh-sungguh menyampaikan mesej tauhid walaupun ada orang degil.
  2. Mereka ditimpa azab kerana mendustakan rasul-rasul yang membawa mesej daripada Allah SWT.
  3. Kita juga mestilah bersungguh-sungguh mendidik anak-anak.
  4. Mereka bagi alasan untuk tidak menerima seruan rasul-rasul.

 

Ayat 41:15

 

فَأَمَّا عَادٌ فَٱسْتَكْبَرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ بِغَيْرِ ٱلْحَقِّ وَقَالُوا۟ مَنْ أَشَدُّ مِنَّا قُوَّةً ۖ أَوَلَمْ يَرَوْا۟ أَنَّ ٱللَّهَ ٱلَّذِى خَلَقَهُمْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُمْ قُوَّةً ۖ وَكَانُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا يَجْحَدُونَ

 

Adapun kaum Aad, maka mereka berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar, serta berkata: "Siapakah yang lebih kuat dari kami?" Dan (mengapa mereka bersikap demikian?) Tidakkah mereka memerhatikan bahawa Allah yang menciptakan mereka (dari tiada kepada ada) adalah lebih besar kekuatanNya dari mereka? Dan sememangnya mereka sengaja mengingkari tanda-tanda kekuatan Kami (sedang mereka sedia mengetahuinya).

 

Pengajaran

 

  1. Kaum Aad berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar.
  2. Mereka rasa diri mereka kuat. Mereka tidak memerhatikan bahawa Allah yang menciptakan mereka dari tiada kepada ada lebih kuat daripada mereka.
  3. Mereka sengaja mengingkari tanda-tanda kekuatan Allah SWT sedang mereka sedia mengetahuinya.
  4. Semoga kita sentiasa tunduk kepada Allah dan menjauhkan diri daripada sifat sombong.

 

Ayat 41:16

 

فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا صَرْصَرًا فِىٓ أَيَّامٍ نَّحِسَاتٍ لِّنُذِيقَهُمْ عَذَابَ ٱلْخِزْىِ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ وَلَعَذَابُ ٱلْـَٔاخِرَةِ أَخْزَىٰ ۖ وَهُمْ لَا يُنصَرُونَ

 

Lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut yang kencang dalam beberapa hari yang nahas malang, kerana Kami hendak merasakan mereka azab seksa yang menghina dalam kehidupan dunia; dan sesungguhnya azab seksa hari akhirat lebih besar kehinaannya; sedang mereka tidak diberikan pertolongan (menghindarkan azab itu).

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT hantarkan kepada kaum Aad angin ribut yang kencang dalam beberapa hari yang penuh kesengsaraan.
  2. Allah SWT hendak merasakan mereka azab seksa yang menghina dalam kehidupan dunia.
  3. Azab seksa hari akhirat lebih besar kehinaannya; sedang mereka tidak diberikan pertolongan menghindarkan azab itu.
  4. Di dunia kita mungkin boleh dibantu oleh orang lain tetapi di akhirat tiada siapa boleh bantu.

 

Ayat 41:17

 

وَأَمَّا ثَمُودُ فَهَدَيْنَـٰهُمْ فَٱسْتَحَبُّوا۟ ٱلْعَمَىٰ عَلَى ٱلْهُدَىٰ فَأَخَذَتْهُمْ صَـٰعِقَةُ ٱلْعَذَابِ ٱلْهُونِ بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ

 

Adapun kaum Thamud, maka Kami beri petunjuk kepadanya, lalu mereka mengutamakan kesesatan dari hidayah petunjuk; mereka pun disambar oleh petir azab yang menghina dengan sebab apa yang mereka telah lakukan.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT berikan petunjuk kepada Kaum Thamud, lalu mereka mengutamakan kesesatan dari hidayah petunjuk. Mereka diberi mukjizat secara fizikal iaitu muncul seekor unta betina daripada batu tetapi mereka memilih buta daripada hidayah Allah SWT.
  2. Mereka disambar oleh petir azab yang menghina dengan sebab apa yang mereka telah lakukan.

 

Ayat 41:18

 

وَنَجَّيْنَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَكَانُوا۟ يَتَّقُونَ

 

Dan Kami selamatkan orang-orang yang beriman serta mereka tetap bertaqwa.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT selamatkan orang-orang yang beriman kerana mereka tetap bertaqwa.
  2. Mereka menjaga diri mereka daripada azab Allah dengan melakukan apa yang diperintahkan dan menjauhi apa yang dilarang serta sentiasa mohon keampunan.

 

Ayat 41:19

 

وَيَوْمَ يُحْشَرُ أَعْدَآءُ ٱللَّهِ إِلَى ٱلنَّارِ فَهُمْ يُوزَعُونَ

 

Dan (ingatlah) hari dihimpun musuh-musuh Allah untuk dibawa ke neraka, lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanannya masing-masing.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT ingatkan hari dihimpun musuh-musuh Allah untuk dibawa ke neraka, lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanannya masing-masing.
  2. Mereka dikumpul dan dimasukkan ke dalam azab. Masa dikumpul pun sudah tersiksa.
  3. Orang-orang beriman, dimudahkan dan terus dihantar untuk pergi mendapat rahmat syurga Allah SWT.

 

Ayat 41:20

 

حَتَّىٰٓ إِذَا مَا جَآءُوهَا شَهِدَ عَلَيْهِمْ سَمْعُهُمْ وَأَبْصَـٰرُهُمْ وَجُلُودُهُم بِمَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

 

Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, (maka) pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah kerjakan.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT menceritakan hakikat apabila sampai di akhirat nanti.
  2. Apabila sampai ke neraka, pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan kita menjadi saksi terhadap terhadap apa yang telah dilakukan semasa di dunia.
  3. Pada masa itu tidak ada pembelaan. Oleh itu amat penting untuk kita merujuk kepada al-Quran agar timbul rasa takut terhadap azab dan harapkan rahmat Allah untuk mendapat balasan syurga.
  4. Kita doa agar al-Quran dididik dalam masyarakat dan kita ada harapan dengan Quran yang menjelaskan ini. Banyak isu-isu dalam dunia dapat diselesaikan dengan al-Quran.

 

Utbah bin Rabeah pucat dan lesi

Selepas bertemu Rasul junjungan

Mata dan telinga, kulit bersaksi

Dosa dan maksiat jangan diringankan

 

Saban hari bersama al-Quran

Wajah ceria mendidik umat

Doa dipanjat untuk guru dan rakan

Ustaz Tarmizi terus diberi berkat

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Bersikap berhati-hati dalam melakukan sesuatu, merancang dan tidak gopoh agar urusan teratur (41:12)
  2. Kikis sifat sombong yang boleh membinasakan diri ke lembah neraka (41:15)
  3. Jaga perlakuan, segala anggota tubuh akan dipertanggungjawabkan (41:20)

 

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya jangan gopoh agar urusan teratur.

 

Saya jelas saya mesti bersikap berhati-hati dalam melakukan sesuatu, merancang dan tidak gopoh agar urusan teratur.

Saya jelas saya mesti kikis sifat sombong yang boleh membinasakan diri ke lembah neraka.

Saya jelas saya mesti jaga perlakuan, segala anggota tubuh akan dipertanggungjawabkan.

 

Ya Allah, pimpin kami bersikap berhati-hati dalam melakukan sesuatu, merancang dan tidak gopoh agar urusan teratur. Ya Allah, bantu kami kikis sifat sombong yang boleh membinasakan diri ke lembah neraka. Ya Allah, bimbing kami jaga perlakuan, agar kami dapat manfaatkan segala anggota tubuh kepada kebaikan.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Ya Allah, kurniakan kami ganjaran Syurga Firdaus. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 

 


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...