Saturday, October 28, 2023

Halaman 497 Al-Dukhan (44:19-39)

 

PERKATAAN HARI INI



رَهَا/ رَهَوَ Tenang, terbelah. 

1 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS

    

  1. Sambungan: keharusan ambil pelajaran daripada kisah Firaun dan Nabi Musa AS serta selamatnya Bani Israil (19-33)
  2. Pengingkaran orang Musyrik terhadap Ba'ts dan penegasannya kepada mereka (34-39)
















Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 497 Surah Al-Dukhan.

 

Ayat 44:19

 

وَأَن لَّا تَعْلُوا۟ عَلَى ٱللَّهِ ۖ إِنِّىٓ ءَاتِيكُم بِسُلْطَـٰنٍ مُّبِينٍ

 

"Dan janganlah kamu berlaku sombong takbur terhadap Allah; sesungguhnya aku ada membawa kepada kamu mukjizat yang jelas nyata.

 

Pengajaran

 

  1. Nabi Musa AS mengingatkan Firaun supaya jangan sombong terhadap Allah SWT. Bila dia memimpin, dia memeras rakyat ikut kehendaknya.
  2. Nabi Musa AS membawa kepada Firaun mukjizat yang jelas nyata.

 

Ayat 44:20

 

وَإِنِّى عُذْتُ بِرَبِّى وَرَبِّكُمْ أَن تَرْجُمُونِ

 

"Dan sesungguhnya aku telah memohon perlindungan kepada Tuhanku dan Tuhan kamu, daripada kamu merejam (atau menyakiti) daku.

 

Pengajaran

 

  1. Nabi Musa AS menyatakan dia memohon perlindungan kepada Tuhan daripada direjam oleh Firaun.
  2. Inilah cabaran kepada orang-orang yang membawa kebenaran. Pasti ada tentangan, tetapi hendaklah kita sentiasa pohon pertolongan daripada Allah SWT.

 

Ayat 44:21

 

وَإِن لَّمْ تُؤْمِنُوا۟ لِى فَٱعْتَزِلُونِ

 

"Dan sekiranya kamu tidak juga mahu berimankan kerasulanku, maka putuskanlah perhubungan kamu denganku (janganlah mengganggu daku)."

 

Pengajaran

 

  1. Nabi Musa AS meminta supaya Firaun tidak mengganggu baginda untuk membawa rakyat kepada kebenaran sekiranya Firaun tidak mahu beriman.
  2. Orang tidak beriman selalunya menyusahkan orang lain. Mereka ambil hak orang lain, rasuah dan sebagainya.

 

Ayat 44:22

 

فَدَعَا رَبَّهُۥٓ أَنَّ هَـٰٓؤُلَآءِ قَوْمٌ مُّجْرِمُونَ

 

(Setelah Nabi Musa berputus asa daripada iman mereka), maka ia pun merayu kepada Tuhannya lalu berkata: "Sesungguhnya orang-orang ini adalah kaum yang berdosa, (yang telah sebati dengan kekufurannya, dan berhaklah mereka menerima balasan yang seburuk-buruknya)".

 

Pengajaran

 

  1. Setelah Firaun berdegil, Nabi Musa berdoa kepada Tuhannya untuk tidak membinasakan kaum yang berdosa itu.
  2. Pelajaran: Kalau kita sudah betul-betul ajak orang lain kepada kebaikan dan mereka terus degil, hendaklah kita berdoa agar Allah uruskan, bukan doakan kehancuran mereka.

 

Ayat 44:23

 

فَأَسْرِ بِعِبَادِى لَيْلًا إِنَّكُم مُّتَّبَعُونَ

 

Lalu (diperintahkan kepadanya): "Bawalah hamba-hambaku (pengikut-pengikutmu) keluar pada waktu malam, kerana sesungguhnya kamu akan dikejar (oleh Firaun dan orang-orangnya).

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT perintahkan Nabi Musa AS supaya membawa Bani Israel keluar pada waktu malam kerana mereka akan dikejar oleh Firaun.
  2. Pelajaran untuk Nabi Muhammad SAW, adalah untuk baginda hijrah pada waktu malam.
  3. Pelajaran untuk kita, kalau sampai satu masa amat membahayakan fizikal kita ketika mengajak ke arah kebaikan, maka berhijrahlah.
  4. Sabar dan tidak putus asa sebarkan kebaikan walau mendapat tentangan.

 

Ayat 44:24

 

وَٱتْرُكِ ٱلْبَحْرَ رَهْوًا ۖ إِنَّهُمْ جُندٌ مُّغْرَقُونَ

 

"Dan tinggalkanlah laut itu dalam keadaan tenang - terbelah, kerana sesungguhnya mereka (yang mengejarmu itu) ialah tentera yang akan ditenggelamkan (sehingga binasa)".

 

Pengajaran

 

  1. Ketika lari bersama Bani Israel, Allah SWT perintahkan supaya tinggalkan laut yang terbelah dalam keadaan tenang.
  2. Nabi Musa AS terus mendidik Bani Israel kepada kebenaran. Allah ingatkan supaya serahkan kepada Allah untuk uruskan Firaun dan tenteranya.
  3. Pelajaran: Dalam kehidupan ini, kita fokus kepada perkara yang baik. Kalau satu dua yang tidak baik, abaikan. Serahkan kepada Allah SWT untuk uruskan yang tidak baik itu.

 

Ayat 44:25

 

كَمْ تَرَكُوا۟ مِن جَنَّـٰتٍ وَعُيُونٍ

 

Banyak sungguh kebun-kebun dan mata air, mereka tinggalkan,

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT menerangkan tentang hakikat kekayaan.
  2. Firaun dan tenteranya tinggalkan banyak kebun-kebun dan mata air.

 

Ayat 44:26

 

وَزُرُوعٍ وَمَقَامٍ كَرِيمٍ

 

Dan juga berbagai jenis tanaman serta tempat-tempat kediaman yang indah - mulia,

 

Pengajaran

 

  1. Juga berbagai jenis tanaman serta tempat-tempat kediaman yang indah mulia.

 

Ayat 44:27

 

وَنَعْمَةٍ كَانُوا۟ فِيهَا فَـٰكِهِينَ

 

Dan juga kemewahan hidup, yang mereka sekian lama menikmatinya.

 

Pengajaran

 

  1. Dan kemewahan hidup yang mereka sekian lama menikmatinya.

 

Ayat 44:28

 

كَذَٰلِكَ ۖ وَأَوْرَثْنَـٰهَا قَوْمًا ءَاخَرِينَ

 

Demikianlah keadaannya (hukum Kami ke atas orang-orang yang derhaka); dan Kami jadikan semua peninggalan Firaun dan orang-orangnya: milik kaum yang lain (kaum Bani Israil).

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT ingatkan bahawa apa sahaja yang mereka tinggalkan dipindahkan kepada kaum lain.
  2. Pelajaran: Bila melawan kepada wahyu daripada Allah SWT, segala kekayaan dan kesenangan yang ada akan dipindahkan kepada orang lain. Mereka akan hancur. Jangan sombong seperti Firaun. Jangan mengacau/menzalimi orang sekeliling walaupun kita kaya. Kalau kita ada kekayaan, jangan sampai tidak ikut apa yang rasul lakukan iaitu ajak kepada takwa. Jangan sombong dan bergembira hanya untuk diri sendiri.
  3. Semoga Allah jauhkan kita daripada takbur dengan kekayaan dunia dan semoga kekayaan dunia yang Allah berikan dapat menjadi pelaburan ke akhirat.

 

Ayat 44:29

 

فَمَا بَكَتْ عَلَيْهِمُ ٱلسَّمَآءُ وَٱلْأَرْضُ وَمَا كَانُوا۟ مُنظَرِينَ

 

Mereka (ketika dibinasakan) itu tidak ditangisi oleh langit dan bumi (atau penduduk keduanya) dan mereka pula tidak diberi tempoh lagi.

 

Pengajaran

 

  1. Firaun dan pengikutnya ditenggelamkan. Ketika itu mereka tidak ditangisi oleh langit dan bumi.
  2. Ini kerana mereka langsung tidak ada kebaikan yang naik ke langit. Bumi pun tidak menangis kerana mereka tidak pernah bersujud dan berbuat baik kepada orang di bumi. Kalau buat baik pun adalah untuk mendapat kesenangan diri sendiri.
  3. Mereka tidak diberi peluang oleh Allah SWT.
  4. Janganlah sampai kita ini tidak disukai oleh orang lain kerana suka merosakkan semangat-semangat kebaikan berbanding dengan kita selalu memberikan kata motivasi seperti mana Nabi Musa AS hendak membawa Bani Israel bangkit semula dan Allah selamatkan mereka.

 

Ayat 44:30

 

وَلَقَدْ نَجَّيْنَا بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ مِنَ ٱلْعَذَابِ ٱلْمُهِينِ

 

Dan demi sesungguhnya! Kami telah selamatkan kaum Bani Israil, dari azab yang menghina,

 

Ayat 44:31

 

مِن فِرْعَوْنَ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ عَالِيًا مِّنَ ٱلْمُسْرِفِينَ

 

Dari penindasan Firaun, sesungguhnya ia adalah seorang yang sombong takbur lagi terbilang dari orang-orang yang melampaui batas (dalam keganasan dan kekejamannya).

 

Pengajaran Ayat 30-31

 

  1. Allah SWT selamatkan Bani Israel dari azab yang hina, dari penindasan Firaun.
  2. Firaun adalah seorang yang sombong lagi terbilang dari orang-orang yang melampau batas dalam keganasan dan kekejamannya.
  3. Orang yang melampau batas adalah kerana mereka syirik, tidak mengutamakan Allah dalam kehidupan.

 

Ayat 44:32

 

وَلَقَدِ ٱخْتَرْنَـٰهُمْ عَلَىٰ عِلْمٍ عَلَى ٱلْعَـٰلَمِينَ

 

Dan demi sesungguhnya! Kami telah memilih mereka dengan berdasarkan pengetahuan (Kami) - menjadi lebih pangkatnya dari penduduk dunia (pada zaman itu),

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT telah memilih Bani Israel atas ilmu Allah SWT untuk menggantikan Firaun.

 

Ayat 44:33

 

وَءَاتَيْنَـٰهُم مِّنَ ٱلْـَٔايَـٰتِ مَا فِيهِ بَلَـٰٓؤٌا۟ مُّبِينٌ

 

Dan Kami berikan kepada mereka (melalui Nabi Musa) berbagai mukjizat yang mengandungi ujian yang jelas nyata (untuk melahirkan sikap mereka).

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT telah berikan banyak tanda-tanda kepada Bani Israel berbagai mukjizat yang mengandungi ujian yang jelas nyata.
  2. Semua mukjizat itu adalah untuk memberikan kekuatan kepada mereka supaya mereka lebih dekat kepada Allah SWT.

 

Ayat 44:34

 

إِنَّ هَـٰٓؤُلَآءِ لَيَقُولُونَ

 

(Berbalik kepada kisah kaum musyrik penduduk Makkah, Allah berfirman): "Sesungguhnya mereka ini akan berkata (kepadamu - wahai Muhammad dan kepada pengikut-pengikutmu):

 

Ayat 44:35

 

إِنْ هِىَ إِلَّا مَوْتَتُنَا ٱلْأُولَىٰ وَمَا نَحْنُ بِمُنشَرِينَ

 

"Mati, hanyalah mati kita yang pertama (di dunia), dan kita tidak sekali-kali akan dibangkitkan hidup lagi (sesudah itu);

 

Ayat 44:36

 

فَأْتُوا۟ بِـَٔابَآئِنَآ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ

 

"(Jika tidak) maka bawakanlah datuk nenek kami (yang telah mati) kalau betul kamu orang-orang yang benar!"

 

Pengajaran Ayat 34-36

 

  1. Walaupun kisah kemusnahan Firaun dibawa kepada orang-orang musyrik Mekah, mereka akan berkata kepada Nabi Muhammad SAW bahawa mati hanya yang pertama di dunia, dan mereka tidak dibangkitkan kembali.
  2. Mereka tidak percaya kepada hari akhirat.
  3. Mereka mencabar supaya bawakan datuk nenek mereka yang telah mati kalau Nabi SAW dan pengikutnya orang-orang yang benar.
  4. Nabi SAW hanya berdiam sehingga Allah SWT ajarkan bagaimana jawapan kepada orang-orang musyrik.
  5. Janganlah kita menerakakan orang lain.

 

Ayat 44:37

 

أَهُمْ خَيْرٌ أَمْ قَوْمُ تُبَّعٍ وَٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۚ أَهْلَكْنَـٰهُمْ ۖ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ مُجْرِمِينَ

 

(Mengapa mereka masih berdegil dalam kekufurannya?) Adakah mereka yang lebih kekuatan dan kehandalannya atau kaum "Tubba'" dan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu semuanya Kami telah binasakan, kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berdosa.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT mengajar Nabi SAW bertanya adakah mereka (kaum musyrik itu lebih baik daripada kaum Tubba dan orang-orang terdahulu daripada mereka.
  2. Tubba adalah kaum di Yaman. Mereka pernah datang ke Mekah ketika peristiwa tentera bergajah menyerang Mekah. Walaupun mereka kuat tetapi Allah SWT mudah sahaja mengalahkan mereka seperti daun yang dimakan ulat. Kerajaan mereka juga hancur selepas itu.
  3. Pelajaran: Kalau kita berbuat dosa, tidak mahu bertaubat, tidak mahu beriman, itu adalah mengundang bala daripada Allah SWT seperti kehancuran ekonomi, negara. Semoga kita ambil pelajaran daripada kisah ini.

 

Ayat 44:38

 

وَمَا خَلَقْنَا ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا لَـٰعِبِينَ

 

Dan tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, secara main-main;

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT tidak menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara kedua-duanya secara main-main.
  2. Kita juga adalah ciptaan Allah SWT. Jangan happy go lucky, enjoy kehidupan sahaja. Kita ada tugas dan tanggungjawab kepada Allah SWT yang mesti disempurnakan.

 

Ayat 44:39

 

مَا خَلَقْنَـٰهُمَآ إِلَّا بِٱلْحَقِّ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

 

Tidaklah Kami menciptakan keduanya (serta segala yang ada di antaranya) melainkan kerana menzahirkan perkara-perkara yang benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT ciptakan semua makhluk ada tujuannya.
  2. Lakukan tugas sebagai hamba supaya kita dapat bina rumah di akhirat yang akan kekal selama-lamanya.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Sentiasa memohon doa kepada Allah SWT agar diberi perlindungan (22-23)
  2. Jauhi sikap sombong dan melampaui batas, jadilah manusia yang tawaduk (31)
  3. Berbakti dan berbudi kepada bumi dan alam ciptaan Allah SWT (39)

 

Saya berasa lega, kalau berbakti kepada bumi dan alam ciptaan Allah, saya akan dapat bina rumah yang kekal di akhirat.

 

Saya jelas saya mesti sentiasa memohon doa kepada Allah SWT agar diberi perlindungan daripada azab. Saya jelas saya mesti jauhi sikap sombong dan melampaui batas. Saya jelas untuk jadi manusia yang tawaduk. Saya jelas saya mesti berbakti dan berbudi kepada bumi dan alam ciptaan Allah SWT.

 

Ya Allah, jauhkan kami daripada sifat sombong dan melampau batas. Lindungi kami daripada azab di dunia dan azab di akhirat. Ya Allah, pimpin kami untuk jadi manusia yang tawaduk. Ya Allah, bimbing kami untuk berbakti dan berbudi kepada bumi dan alam ciptaan Mu.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang Melimpah-limpah pemberianNya. Ya Allah, ampunkan dosa kami. Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami daripada azab neraka. Ya Allah, kurniakan kami ganjaran Syurga Firdaus. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...