Saturday, October 28, 2023

Halaman 499 Al-Jathiyah (45:1-13)

 

PERKATAAN HARI  INI


أَفَكَ Berdusta. 

30 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS

  1. Sumber al-Quran dan penegasan kewujudan al-Khaliq serta keesaan-Nya (1-6)
  2. Ancaman bagi orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah SWT dan balasan mereka (7-10)
  3. Pelbagai kurniaan nikmat agung Allah SWT; al-Quran, kebaikan lautan dan          ditundukkan segala kebaikan alam untuk kepentingan manusia (11-13)




Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 499 Surah Al-Jathiyah yang bermakna "Berlutut". Kita harap kita tidak berlutut lama dihadapan Allah SWT. Semoga Allah SWT izinkan kita ke syurga.

 

Ayat 45:1

 

حمٓ

 

Haa, Miim.

 

Pengajaran

 

  1.  Ada kesamaan dengan surah sebelum ini. Bermula dengan 'haa' 'mim'. Huruf muqato’ah yang kita tidak tahu maksudnya.
  2. Dengan sikap kita merendah diri kepada Allah SWT, maka kita akan dapat ilmu dan hikmah yang berbagai daripada al-Quran.
  3. Jathiyah makna berlutut di hadapan Allah SWT di akhirat nanti. Ini adalah satu azab pengumuman kepada mereka yang mendustakan ayat-ayat Allah.
  4. Dukhan ialah ancaman azab di dunia.

 

Ayat 45:2

 

تَنزِيلُ ٱلْكِتَـٰبِ مِنَ ٱللَّهِ ٱلْعَزِيزِ ٱلْحَكِيمِ

 

Turunnya Al-Quran ini, dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

Pengajaran

 

  1. Al-Quran diturunkan sebagai sumber perlembagaan.
  2. Al-Kitab maknanya sesuatu yang termaktub sebagai perlembagaan daripada Allah yang Maha Perkasa Maha Bijaksana.
  3. Sesiapa yang bersama al-Quran mesti dimenangkan kerana ia akan mendapat bantuan daripada Al-Aziz Allah Yang Maha Perkasa.
  4. Sesiapa yang bersama al-Quran juga akan menjadi bijaksana kerana sumber pemikirannya berasaskan ilmu daripada Allah Yang Maha Bijaksana.

 

Ayat 45:3

 

إِنَّ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ لَـَٔايَـٰتٍ لِّلْمُؤْمِنِينَ

 

Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.

 

Pengajaran

 

  1. Ayat 3, 4, 5 ialah tahap-tahap kita berinteraksi dengan ayat-ayat Allah SWT.
  2. Tahap pertama: Kita beriman - Tidak nampak tapi kita tahu ada. Kita tahu ianya wujud dengan ilmu. Langit yang berlapis-lapis itu kita percaya kerana adanya ilmu.
  3. Syarat beriman ialah dengan ilmu. Tidak nampak Allah tetapi percaya tanda-tanda pada langit dan bumi bukan boleh dibina oleh orang biasa.

 

Ayat 45:4

 

وَفِى خَلْقِكُمْ وَمَا يَبُثُّ مِن دَآبَّةٍ ءَايَـٰتٌ لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ

 

Dan pada kejadian diri kamu sendiri, serta (pada kejadian) segala binatang yang dibiakkanNya, terdapat juga tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang meyakininya.

 

Pengajaran

 

  1. Tahap kedua: Kita yakin - ia ada kaitan dengan hari akhirat.
  2. Hari akhirat ini kita yakin, maka kita akan mengelak daripada melakukan perkara yang membawa kepada azab Allah SWT, dan berusaha melakukan amal soleh yang akan membawa ke syurga.
  3. Tahap ini dapat dicapai dengan merenung kejadian diri kita sendiri serta segala binatang yang dibiakkan oleh Allah SWT.
  4. Kita yakin bahawa kita akan dihidupkan di akhirat dan ini akan mengubah cara bertindak dan beramal dalam kehidupan.

 

Ayat 45:5

 

وَٱخْتِلَـٰفِ ٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ وَمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مِن رِّزْقٍ فَأَحْيَا بِهِ ٱلْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا وَتَصْرِيفِ ٱلرِّيَـٰحِ ءَايَـٰتٌ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ

 

Dan (pada) pertukaran malam dan siang silih berganti, dan juga (pada) rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit, lalu Ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta (pada) peredaran angin, (semuanya itu mengandungi) tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, serta keluasan rahmatNya) bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran.

 

Pengajaran

 

  1. Tahap tiga: Orang yang yakin, ada ilmu yang berakal, mengguna ilmu yang betul. Ini akan menjadikan lebih kuat hujjahnya untuk mengambil keimanan dan keyakinan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
  2. Allah SWT jadikan kebesaranNya supaya difikirkan oleh orang yang beriman dan yakin:
    • pertukaran malam dan siang silih berganti,
    • rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit,
    • dihidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya,
    • peredaran angin.
  3. يَعْقِلُونَ daripada perkataan  عَقَلَ seperti 'igal' digunakan untuk mengelakkan serban daripada jatuh.
  4. Peranan akal adalah untuk mengelakkan kita daripada jatuh ke neraka Allah SWT dan di dunia ini daripada jatuh ke dalam gaung masalah pelbagai kerana tidak menggunakan akal.
  5. Dengan memikirkan kebesaran Allah SWT ini, kita bersedia untuk menyerah diri agar diatur kehidupan kita dengan panduan daripada al-Quran seperti mana Allah mengatur malam, siang, rezeki, tumbuh-tumbuhan dan peredaran angin agar tidak terjatuh ke gaung keburukan.    

 

Ayat 45:6

 

تِلْكَ ءَايَـٰتُ ٱللَّهِ نَتْلُوهَا عَلَيْكَ بِٱلْحَقِّ ۖ فَبِأَىِّ حَدِيثٍۭ بَعْدَ ٱللَّهِ وَءَايَـٰتِهِۦ يُؤْمِنُونَ

 

Itulah ayat-ayat penerangan Allah yang kami bacakan kepadamu (wahai Muhammad) kerana menegakkan kebenaran; maka dengan perkataan yang manakah lagi mereka hendak beriman, sesudah penerangan Allah dan tanda-tanda kekuasaanNya (mereka tidak mahu memahami dan menelitinya)?

 

Pengajaran

 

  1. Semua kebesaran itu adalah supaya kita beriman dan yakin tentang kekuasaan Allah SWT.

 

Ayat 45:7

 

وَيْلٌ لِّكُلِّ أَفَّاكٍ أَثِيمٍ

 

Kecelakaanlah bagi tiap-tiap pendusta yang berdosa,

 

Pengajaran

 

  1. Orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah akan mendapat celaka.

 

Ayat 45:8

 

يَسْمَعُ ءَايَـٰتِ ٱللَّهِ تُتْلَىٰ عَلَيْهِ ثُمَّ يُصِرُّ مُسْتَكْبِرًا كَأَن لَّمْ يَسْمَعْهَا ۖ فَبَشِّرْهُ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ

 

Yang mendengar ayat-ayat penerangan Allah sentiasa dibacakan kepadanya, kemudian dia terus berlagak sombong (enggan menerimanya), seolah-olah ia tidak mendengarnya; oleh itu gembirakanlah dia dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

Pengajaran

 

  1. Mereka dengar ayat-ayat al-Quran tetapi tetap dengan pendiriannya dan sombong seperti tidak pernah mendengar ayat-ayat ini untuk mereka beriman.
  2. Mereka akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

Ayat 45:9

 

وَإِذَا عَلِمَ مِنْ ءَايَـٰتِنَا شَيْـًٔا ٱتَّخَذَهَا هُزُوًا ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ

 

Dan apabila sampai ke pengetahuannya sesuatu dari ayat-ayat penerangan Kami, ia menjadikannya ejek-ejekan; mereka yang demikian keadaannya, akan beroleh azab yang menghina.

 

Pengajaran

 

  1. Apabila ayat al-Quran sampai kepada mereka, mereka menjadikannya ejek-ejekan.
  2. Mereka akan beroleh azab yang menghina.
  3. Kalau kita dengar al-Quran dibaca, jangan buat kerja lain. Berikan tumpuan agar tidak termasuk dalam kalangan orang yang memandang rendah kepada al-Quran.
  4. Dengan mereka mengejek-ejek dan memandang rendah kepada al-Quran, itu akan membawa hati mereka kepada tertutup.
  5. Semoga kita tidak menjadi orang-orang yang mengejek al-Quran, kerana nanti akan dihina di akhirat, terpaksa berlutut lama di hadapan Allah SWT.

 

Ayat 45:10

 

مِّن وَرَآئِهِمْ جَهَنَّمُ ۖ وَلَا يُغْنِى عَنْهُم مَّا كَسَبُوا۟ شَيْـًٔا وَلَا مَا ٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِ ٱللَّهِ أَوْلِيَآءَ ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

 

Di hadapan mereka (di akhirat kelak) ada neraka Jahannam (yang disediakan untuk mereka), dan apa jua yang mereka usahakan, tidak dapat menyelematkan mereka sedikit pun; demikian juga yang mereka sembah atau puja selain Allah, tidak dapat memberikan sebarang perlindungan; dan (kesudahannya) mereka akan beroleh azab seksa yang besar.

 

Pengajaran

 

  1. Di hadapan mereka di akhirat kelak ada neraka Jahannam yang disediakan untuk mereka.
  2. Apa jua yang mereka usahakan, tidak dapat menyelamatkan mereka sedikit pun.
  3. Apa juga yang mereka sembah atau puja selain Allah, tidak dapat memberikan sebarang perlindungan.
  4. Kesudahannya mereka akan beroleh azab seksa yang besar.
  5. Allah SWT ulang peringatan banyak kali supaya kita mendapat hidayah. Taufik daripada Allah lah yang menentukan segala-galanya.

 

Ayat 45:11

 

هَـٰذَا هُدًى ۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِـَٔايَـٰتِ رَبِّهِمْ لَهُمْ عَذَابٌ مِّن رِّجْزٍ أَلِيمٌ

 

Al-Quran ini ialah hidayah petunjuk yang cukup lengkap; dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat penerangan Tuhannya, mereka akan beroleh azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

Pengajaran

 

  1. Al-Quran ini ialah hidayah petunjuk yang cukup lengkap.
  2. Orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat penerangan Tuhannya, mereka akan beroleh azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya (أَلِيمٌ رِّجْزٍ).
  3. Hendaklah kita betul-betul hargai hidayah yang Allah SWT berikan kepada kita.

 

Ayat 45:12

 

ٱللَّهُ ٱلَّذِى سَخَّرَ لَكُمُ ٱلْبَحْرَ لِتَجْرِىَ ٱلْفُلْكُ فِيهِ بِأَمْرِهِۦ وَلِتَبْتَغُوا۟ مِن فَضْلِهِۦ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

 

Allah yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu, supaya kapal-kapal belayar padanya dengan perintahNya, dan supaya kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya, dan juga supaya kamu bersyukur.

 

Pengajaran

 

  1. Allah yang memudahkan laut bagi kegunaan kita supaya kapal-kapal belayar padanya dengan perintahNya, dan supaya kita mencari rezeki dari limpah kurniaNya, dan juga supaya kita bersyukur.
  2. Setiap kenderaan yang kita naik, hendaklah kita ingat untuk memuji Allah SWT.
  3. Allah SWT menundukkan laut iaitu kita dapat ikan, mutiara, petrolium dan macam-macam lagi.
  4. Allah SWT juga menundukkan laut supaya kapal dapat belayar. Kapal yang ada adalah untuk kita makin bersyukur.

 

Ayat 45:13

 

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

 

Dan Ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT memudahkan untuk faedah dan kegunaan kita segala yang ada di langit dan yang ada di bumi sebagai rahmat pemberian daripadaNya.
  2. Semuanya itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.
  3. Syukur dan fikir adalah dua perkara yang penting bagi orang yang tidak mahu berlutut di hadapan Allah SWT.
  4. Jangan kita buat apa sahaja ikut hati tanpa gunakan akal fikiran.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Gunakan akal fikiran yang diberikan Allah SWT kepada sesuatu yang baik dan bermanfaat (1-5)
  2. Jadikan al-Quran sebagai solusi dalam kehidupan kerana ia petunjuk kepada kebenaran (11)
  3. Sentiasa mensyukuri nikmat yang dianugerahkan Allah SWT dan merenunginya (12-13)

 

Saya berasa lega, al-Quran mengandungi solusi petunjuk kepada kebenaran.

 

Saya jelas saya mesti gunakan akal fikiran yang diberikan Allah SWT kepada sesuatu yang baik dan bermanfaat. Saya jelas saya mesti jadikan al-Quran sebagai solusi dalam kehidupan kerana ia petunjuk kepada kebenaran. Saya jelas saya mesti sentiasa mensyukuri nikmat yang dianugerahkan Allah SWT dan merenunginya.

 

Ya Allah, bimbing kami untuk gunakan akal fikiran yang diberikan Allah SWT kepada sesuatu yang baik dan bermanfaat. Ya Allah, pimpin kami untuk jadikan al-Quran sebagai solusi dalam kehidupan kerana ia petunjuk kepada kebenaran. Ya Allah, jadikan kami orang yang sentiasa mensyukuri nikmat yang dianugerahkan oleh-Mu dan merenunginya.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ya Allah, ampunkan dosa kami. Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami daripada azab neraka. Ya Allah, kurniakan kami ganjaran Syurga Firdaus. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...