Saturday, October 28, 2023

Halaman 500 Al-Jathiyah (45:14-22)

 

PERKATAAN HARI INI


 جَرَحَ Berbuat, melukai. 

4 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS 

   

  1. Perintah untuk bersabar atas gangguan orang Musyrik (14-15)
  2. Pelbagai nikmat agama dan diturunkan syariat kebenaran (16-20)
  3. Perbezaan antara orang yang berbuat kebaikan dan keburukan pada saat hidup dan mati (21-22)






Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 500 Surah Al-Jathiyah.

 

Kita harapkan kita banyak berlutut, bersujud, merendah diri di dunia ini kerana kita tidak mahu apabila sampai di akhirat nanti kita terpaksa berlutut di hadapan Allah SWT kerana tidak mengikut kepada panduan dalam al-Quran.

 

Ayat 45:14

 

قُل لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ يَغْفِرُوا۟ لِلَّذِينَ لَا يَرْجُونَ أَيَّامَ ٱللَّهِ لِيَجْزِىَ قَوْمًۢا بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ

 

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman: hendaklah mereka memaafkan (kejahatan dan gangguan) orang-orang yang tidak menaruh ingatan kepada hari-hari (pembalasan yang telah ditentukan) Allah; (disuruh berbuat demikian), kerana Allah akan memberi kepada satu-satu puak: balasan yang patut dengan apa yang mereka telah usahakan.

 

Pengajaran

 

  1. Orang yang beriman kena selalu memohon keampunan dan juga tidak mengutuk orang tidak beriman.
  2. Maafkan mereka dan doakan agar mereka beriman kepada Allah SWT.
  3. Cakap elok-elok dengan mereka kerana ia akan menjadi amal soleh.

 

Ayat 45:15

 

مَنْ عَمِلَ صَـٰلِحًا فَلِنَفْسِهِۦ ۖ وَمَنْ أَسَآءَ فَعَلَيْهَا ۖ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ

 

(Tiap-tiap balasan berdasarkan kaedah): Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu.

 

Pengajaran

 

  1. Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri.
  2. Sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri
  3. Kalau kita kutuk, viralkan perbuatan tidak baik, kita pula yang sekali tidak baik. Balasannya akan kena kepada orang buat kejahatan.
  4. Kita akan dikembalikan kepada Allah SWT.
  5. Ketaatan seseorang, manfaatnya bukan untuk orang lain. Semoga kita dapat bersenang-senang di akhirat nanti hasil kebaikan yang dibuat di dunia.

 

Ayat 45:16

 

وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحُكْمَ وَٱلنُّبُوَّةَ وَرَزَقْنَـٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَـٰتِ وَفَضَّلْنَـٰهُمْ عَلَى ٱلْعَـٰلَمِينَ

 

Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Bani Israil Kitab Taurat, dan pangkat kehakiman serta pangkat kenabian; dan Kami telah kurniakan mereka benda-benda yang baik-baik, serta Kami lebihkan (nenek moyang) mereka di atas orang-orang yang ada pada zamannya.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT telah memberi kepada Bani Israil kitab Taurat, dan pangkat kehakiman serta pangkat kenabian.
  2. Allah SWT telah kurniakan mereka rezeki yang baik-baik, serta Allah SWT muliakan nenek moyang mereka yang beriman di atas orang-orang yang ada pada zamannya.
  3. Ujian kepada orang beriman (Bani Israil) yang mengikut kitab Taurat suatu masa dulu.
  4. Nabi-nabi adalah diutus untuk mendidik, ajar adab kepada manusia.

 

Ayat 45:17

 

وَءَاتَيْنَـٰهُم بَيِّنَـٰتٍ مِّنَ ٱلْأَمْرِ ۖ فَمَا ٱخْتَلَفُوٓا۟ إِلَّا مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلْعِلْمُ بَغْيًۢا بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّ رَبَّكَ يَقْضِى بَيْنَهُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ فِيمَا كَانُوا۟ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

 

Dan lagi Kami telah berikan mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata mengenai perkara agama; maka mereka tidak berselisihan (dalam perkara ugama itu) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa yang baik dan yang sebaliknya; berlakunya yang demikian) kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka pada hari kiamat tentang apa yang mereka perselisihkan itu.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT telah berikan mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata mengenai urusan agama.
  2. Mereka tidak berselisihan dalam perkara agama itu kecuali setelah sampai kepada mereka ilmu.
  3. Berlakunya yang demikian kerana hasad dengki (بَغْيًۢا) yang ada dalam kalangan mereka.
  4. Allah SWT akan menghukum di antara mereka pada hari kiamat tentang apa yang mereka perselisihkan itu.
  5. Guru-guru hendaklah ingatkan kepada anak murid, bila sudah pandai jangan gunakan kepandaian untuk dengki antara satu sama lain. Inilah peringatan daripada Allah SWT.
  6. Ini adalah masalah yang berlaku kepada Bani Israel. Bila ada ilmu mereka mula melabel orang lain dan suka ada ramai follower.
  7. Bila merendah-rendahkan kebenaran, itu adalah lambang kepada kesombongan.
  8. Jangan sampai kita jadi orang yang suka memecah-belah. Agama ini adalah untuk menyatukan. Perbezaan itu biasa, tetapi jangan sampai kita membeza-bezakan dan akhirnya mendengki di antara satu sama lain.
  9. Jangan kita suka mengangkat diri sendiri. Itu adalah penyakit dalam kalangan Bani Israel yang Allah SWT ingatkan kembali kepada kita.
  10. Kalau ada tidak puas hati dengan orang lain, kita doakan kebaikan untuk orang  itu.
  11. Penyakit dengki ialah penyakit yang merosakkan Bani Israel.

 

Ayat 45:18

 

ثُمَّ جَعَلْنَـٰكَ عَلَىٰ شَرِيعَةٍ مِّنَ ٱلْأَمْرِ فَٱتَّبِعْهَا وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَآءَ ٱلَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

 

Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama; maka turutlah syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT jadikan Nabi Muhammad menjalankan satu syariat yang cukup lengkap dari hukum-hukum agama.
  2. Hendaklah kita ikut syariat itu, dan janganlah kita menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak berilmu.
  3. Syariat bukan sekadar undang-undang. Hudud, solat, hormati ibu ayah, cakap elok-elok, jangan menipu adalah syariat. Hudud bukan sekadar hukum jenayah, tetapi ia juga merujuk kepada had-had yag ditentukan oleh Allah SWT dalam berbagai aspek kehidupan.

 

Ayat 45:19

 

إِنَّهُمْ لَن يُغْنُوا۟ عَنكَ مِنَ ٱللَّهِ شَيْـًٔا ۚ وَإِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَآءُ بَعْضٍ ۖ وَٱللَّهُ وَلِىُّ ٱلْمُتَّقِينَ

 

Sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkanmu sedikitpun dari (azab) Allah (kalau engkau menurut mereka); dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu setengahnya menjadi penolong dan penyokong bagi setengahnya yang lain (dalam perkara yang salah); dan (sebaliknya) Allah menjadi penolong dan pelindung bagi orang-orang yang bertaqwa (yang engkaulah pemimpinnya).

 

Pengajaran

 

  1. Orang-orang yang zalim tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan kita sedikitpun dari azab Allah kalau kita menurut mereka. Allah lah yang melindungi orang-orang yang bertakwa.
  2. Orang-orang yang zalim itu setengahnya menjadi penolong dan penyokong bagi setengahnya yang lain dalam perkara yang salah.
  3.  Allah menjadi penolong dan pelindung bagi orang-orang yang bertaqwa.
  4. Hendaklah kita terus membina takwa. Jangan kisah kepada orang-orang zalim yang tidak mengikut peraturan.

Ayat 45:20

 

هَـٰذَا بَصَـٰٓئِرُ لِلنَّاسِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ

 

Al-Quran ini menjadi panduan-panduan yang membuka mata hati manusia, dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat bagi kaum yang meyakini (kebenarannya).

 

Pengajaran

 

  1. Al-Quran ini menjadi panduan-panduan yang membuka mata hati manusia.
  2. Al-Quran menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat bagi kaum yang meyakini kebenarannya.
  3. Kita ikut panduan Allah SWT untuk naik pangkat di sisi Allah SWT bukan hendak naik pangkat di sisi manusia. Yang pentingnya kita dapat menyebarkan kebaikan kepada masyarakat.


Ayat 45:21

 

أَمْ حَسِبَ ٱلَّذِينَ ٱجْتَرَحُوا۟ ٱلسَّيِّـَٔاتِ أَن نَّجْعَلَهُمْ كَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ سَوَآءً مَّحْيَاهُمْ وَمَمَاتُهُمْ ۚ سَآءَ مَا يَحْكُمُونَ

 

Patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dengan menyamakan keadaan (mereka semua) semasa mereka hidup dan semasa mereka mati? Buruk sungguh apa yang mereka hukumkan itu.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT memberikan motivasi kepada kita agar terus berbuat kebaikan.
  2. Orang yang melakukan kejahatan tidak akan sama keadaan mereka dengan orang yang beriman dan beramal soleh semasa hidup di dunia dan semasa mereka mati.
  3. Orang yang tidak beriman, yang membuat kesalahan itu sebenarnya mencederakan diri dengan dosa. Orang begini hatinya tidak hidup. Mereka ada penyakit.
  4. Kalau kita sedang membuat kebaikan pun hendaklah sentiasa jaga hati takut ada perasaan dengki antara satu sama lain (بَيْنَهُمْ بَغْيًۢا).
  5.  Jangan buat kebaikan untuk dipuji oleh orang lain. Kita hendakkan balasan bukan daripada manusia tetapi daripada Allah SWT. Kalau dipuji, Alhamdulillah, kalau dikutuk/tegur juga Alhamdulillah.
  6. Semoga kita sentiasa berusaha untuk menghindarkan diri daripada  ٱلسَّيِّـَٔاتِ (kejahatan-kejahatan).

 

Ayat 45:22

 

وَخَلَقَ ٱللَّهُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ بِٱلْحَقِّ وَلِتُجْزَىٰ كُلُّ نَفْسٍۭ بِمَا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

 

Dan (ingatlah), Allah menciptakan langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat (untuk membuktikan keesaanNya dan keadilanNya), dan supaya tiap-tiap diri diberi balasan dengan apa yang mereka telah kerjakan (baik atau jahat), sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.

 

Pengajaran

 

  1. Allah menciptakan langit dan bumi dengan tujuan yang benar untuk membuktikan keesaanNya dan keadilanNya.
  2. Tiap-tiap diri diberi balasan dengan apa yang mereka telah kerjakan baik atau jahat.
  3. Allah SWT tidak kurangkan balasannya sedikitpun.
  4. Semoga kita sentiasa dapat mengerjakan kebaikan dan menghindarkan diri daripada perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Memaafkan orang lain dan fokus beramal soleh untuk diri sendiri (14-15)
  2. Ikuti syariat Islam dan jangan berdebat dengan orang jahil (17-18)
  3. Bijak membezakan perkara baik dan buruk dalam kehidupan (21) 

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya memaafkan orang lain dan fokus beramal soleh untuk diri sendiri.

 

Saya jelas saya mesti memaafkan orang lain dan fokus beramal soleh untuk diri sendiri. Saya jelas saya mesti ikuti syariat Islam dan jangan berdebat dengan orang jahil. Saya jelas saya mesti bijak membezakan perkara baik dan buruk dalam kehidupan.

 

Ya Allah, bimbing kami untuk menjadi orang yang memaafkan orang lain dan fokus beramal soleh untuk diri sendiri. Ya Allah, pimpin kami untuk ikuti syariat Islam dan jangan berdebat dengan orang jahil. Ya Allah, bimbing kami supaya bijak membezakan perkara baik dan buruk dalam kehidupan.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ya Allah, ampunkan dosa kami. Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami daripada azab neraka. Ya Allah, kurniakan kami ganjaran Syurga Firdaus. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.












Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...