Sunday, October 29, 2023

Halaman 517 Surah Al-Hujurat (49:12-18)

 

PERKATAAN HARI INI


  جَسَّ  Mencari-cari, meraba-raba. 

1 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS

   

  1. Etika sesama Mukmin dan terhadap seluruh manusia secara umum (12-13)
  2. Prinsip-prinsip keimanan yang benar (14-18)







Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 517, bahagian akhir Surah Al-Hujurat. Surah ini memberi panduan untuk kita menjaga etika bersama kawan-kawan, keluarga dan masyarakat agar kita betul-betul mempunyai akhlak yang tinggi.

 

Ayat 49:12

 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ ٱلظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

 

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT menyeru orang-orang yang beriman supaya jauhi daripada prasangka buruk kepada kawan, pasangan dan lain-lain.
  2. Sebahagian daripada prasangka adalah dosa.
  3. Daripada prasangka membawa kepada perbuatan mengintip dan mencari-cari kesalahan dan keaiban orang.
  4. Dosa yang zahir di depan mata perlu ditegur. Kalau tidak ada bukti zahir, jangan dicari-cari kesalahan atau aib. Itu adalah dosa yang perlu kita bertaubat.
  5. Allah SWT melarang mengumpat, iaitu mengatakan berkenaan orang lain di belakangnya Itu adalah dosa besar. Tahap umpatan itu berkadar langsung dengan amalan orang yang diumpat. Ia seperti makan daging saudaranya yang mati. Ia amat menjijikkan.
  6. Allah SWT menyeru supaya bertakwa dan bertaubat daripada mengumpat.  
  7. Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. Allah akan menyayangi kita kembali kalau kita bertaubat daripada tiga dosa ini.

 

Ayat 49:13

 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَـٰكُمْ شُعُوبًا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

 

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT telah menciptakan manusia dari lelaki dan perempuan.
  2. Allah SWT telah menjadikan manusia berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kita berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu dengan yang lain.
  3. Sesungguhnya semulia-mulia manusia di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara manusia, bukan yang lebih keturunan atau bangsanya.
  4. Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya akan keadaan dan amalan manusia.
  5. Salah satu tanda kita menuju kepada takwa ialah kita suka berkenalan dan memahami budaya dan adat kaum yang berbeza. Perbezaan yang ada antara lelaki, wanita, antara kaum adalah kehebatan ciptaan Allah SWT.
  6. Takwa adalah elemen yang diperlukan untuk menentukan status seseorang di sisi Allah SWT. Semakin kita berkenalan kita akan merasakan betapa kerdilnya diri kita, kita perlukan bantuan takwa kepada Allah SWT.

 

Ayat 49:14

 

۞ قَالَتِ ٱلْأَعْرَابُ ءَامَنَّا ۖ قُل لَّمْ تُؤْمِنُوا۟ وَلَـٰكِن قُولُوٓا۟ أَسْلَمْنَا وَلَمَّا يَدْخُلِ ٱلْإِيمَـٰنُ فِى قُلُوبِكُمْ ۖ وَإِن تُطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ لَا يَلِتْكُم مِّنْ أَعْمَـٰلِكُمْ شَيْـًٔا ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

 

Orang-orang " A'raab" berkata: " Kami telah beriman". Katakanlah (wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: ` kami telah Islam '. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

 

Pengajaran

 

  1. Takwa ada kaitan dengan iman.
  2. Allah SWT ingatkan bahawa seseorang itu tidak boleh kata dia beriman, tetapi katakan yang dia telah Islam.
  3. Jangan sucikan diri sendiri walaupun rasa sudah buat kebaikan kerana iman adalah ukuran daripada Allah SWT. Seseorang tidak boleh mengukur iman diri sendiri atau iman orang lain.
  4. Iman adalah urusan Allah SWT. Kalau sudah taat kepada Allah dan Rasul tidak perlu claim saya sudah beriman. Buat sahaja kerja, Allah amat pengampun penyayang kalau kita tersilap.
  5. Semoga iman terus subur dalam hati kita.

 

Ayat 49:15

 

إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا۟ وَجَـٰهَدُوا۟ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلصَّـٰدِقُونَ

 

Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).

 

Pengajaran

 

  1. Orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya. Tanda beriman ialah mereka selalu membuat persediaan untuk bertemu dengan Allah SWT dengan membanyakkan amal.
  2. Kemudian mereka terus percaya dengan tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah.
  3. Mereka itulah orang-orang yang benar pengakuan imannya.
  4. Kita tidak boleh main-main. Mesti belajar apa yang ada dalam al-Quran dan menyampaikannya dengan kapasiti harta dan kemampuan masing-masing.

 

Ayat 49:16

 

قُلْ أَتُعَلِّمُونَ ٱللَّهَ بِدِينِكُمْ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۚ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ

 

Katakanlah (kepada orang-orang "A'raab" itu wahai Muhammad): "Patutkah kamu hendak memberitahu kepada Allah tentang ugama kamu (dengan berkata: ` kami telah beriman ')? Padahal Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu".

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT ingatkan agar jangan cuba memberitahu Allah dengan mengatakan yang kita sudah beriman.
  2. Allah SWT mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
  3. Perkara-perkara khurafat juga adalah contoh ada manusia yang cuba mengajar-ngajar Allah SWT. Kesembuhan atau kekebalan seseorang hanya dengan izin daripada Allah SWT.

 

Ayat 49:17

 

يَمُنُّونَ عَلَيْكَ أَنْ أَسْلَمُوا۟ ۖ قُل لَّا تَمُنُّوا۟ عَلَىَّ إِسْلَـٰمَكُم ۖ بَلِ ٱللَّهُ يَمُنُّ عَلَيْكُمْ أَنْ هَدَىٰكُمْ لِلْإِيمَـٰنِ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ

 

Mereka mengira dirinya berbudi kepadamu (wahai Muhammad) dengan sebab mereka telah Islam (tidak melawan dan tidak menentang). Katakanlah (kepada mereka): "Janganlah kamu mengira keislaman kamu itu sebagai budi kepadaku, bahkan (kalaulah sah dakwaan kamu itu sekalipun maka) Allah jualah yang berhak membangkit-bangkitkan budiNya kepada kamu, kerana Dia lah yang memimpin kamu kepada iman (yang kamu dakwakan itu), kalau betul kamu orang-orang yang benar (pengakuan imannya).

 

Pengajaran

 

  1. Orang-orang Badwi mengira mereka berbudi kepada Nabi Muhammad SAW dengan sebab mereka telah Islam. Allah SWT ingatkan bahawa mereka tidak berjasa apa pun dengan keislaman mereka.
  2. Allah lah yang berjasa kepada kita untuk menunjukkan kita kepada hidayah. Kita yang kerdil ini tidak ada apa-apa. Islam akan terus berjalan, al-Quran terus dibaca.
  3. Allah SWT ingatkan agar kita jangan rasa sudah berjasa kepada Islam. Sebenarnya Allah lah yang memberi hidayah sehingga kita dapat berbuat kebaikan.
  4. Jangan sampai kita tersilap keutamaan menuntut nama yang baik dalam kehidupan. Kalau kita betul-betul jujur, kita akan sedar bahawa segala kebaikan yang kita buat adalah dengan izin dan hidayah Allah SWT.

 

Ayat 49:18

 

إِنَّ ٱللَّهَ يَعْلَمُ غَيْبَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ وَٱللَّهُ بَصِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ

 

"Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan".

 

Pengajaran

 

  1. Allah mengetahui segala rahsia langit dan bumi.
  2. Allah Maha Melihat akan segala yang kita kerjakan.
  3. Teruskan menjaga akhlak kita, terus berjuang di jalan Allah SWT. Itulah cara untuk terus bersama Nabi SAW.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Jauhi sikap prasangka buruk, mencari aib orang lain dan mengadu domba (12)
  2. Tidak berbangga dengan keturunan tetapi terus tingkatkan ketakwaan diri (13)
  3. Tidak mengungkit-ungkit kebaikan yang telah dilakukan (17)

 

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya jauhkan sikap prasangka buruk, mencari aib orang lain dan mengadu domba.

 

Saya jelas saya mesti jauhi sikap prasangka buruk, mencari aib orang lain dan mengadu domba. Saya jelas untuk tidak berbangga dengan keturunan tetapi terus tingkatkan ketakwaan diri. Saya jelas untuk tidak mengungkit-ungkit kebaikan yang telah dilakukan.

 

Ya Allah, bimbing kami untuk jauhi sikap prasangka buruk, mencari aib orang lain dan mengadu domba. Ya Allah, jauhkan kami daripada sikap berbangga dengan keturunan. Ya Allah bimbing kami untuk terus tingkatkan ketakwaan diri. Ya Allah, jauhkan kami daripada mengungkit-ungkit kebaikan yang telah dilakukan.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ya Allah, ampunkan dosa kami. Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami daripada azab neraka. Ya Allah, kurniakan kami ganjaran Syurga Firdaus. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...