|
Mukadimah
Alhamdulillah, kita
dapat meneruskan pengajian pada halaman 518 Surah Qaf. Surah
ini ada elemen penting untuk menguatkan keimanan kepada orang yang mendengar.
Nabi SAW selalu membaca surah ini di majlis umum seperti solat hari raya. Surah
Makiyyah yang bermula dengan huruf mukhotoah ini akan menarik perhatian orang
ramai untuk mendengar apa yang dibaca.
Ayat
50:1
قٓ ۚ وَٱلْقُرْءَانِ ٱلْمَجِيدِ
Qaaf. Demi Al-Quran yang
melimpah-limpah kemuliaan dan kebaikannya (bahawa sesungguhnya Muhammad
adalah Rasul yang diutus memberi peringatan dan amaran).
Pengajaran
- Bermula dengan
huruf mukhotoah. Kita tidak tahu maknanya, yang tahu hanya Allah SWT. Dengan
sikap tidak tahu itu kita akan membina rasa bersyukur atas apa sahaja nikmat
yang Allah kurniakan, samada kecil, besar, sikit atau banyak.
- Kita dapat ilmu
sedikit, kita akan jadi orang yang amat kagum dengan al-Quran yang
melimpah-limpah kemuliaan dan kebaikannya.
- Allah bersumpah
dengan al-Quran yang mulia, yang hebat. Ilmu yang disampaikan dari al-Quran
akan membuatkan hati kita rasa hendak meletup. Hati akan rasa tidak keruan
kerana kita akan merasakan betapa kerdilnya kita kerana Allah amat
menyanyangi kepada sesiapa sahaja yang mendapat al-Quran.
- Kalau tidak
timbul rasa kerdil itu, berhenti sekejap! Semak dalam diri adakah kita merasa
rendah diri bila berhadapan dengan kalam Allah ini.
Ayat
50:2
بَلْ عَجِبُوٓا۟ أَن
جَآءَهُم مُّنذِرٌ مِّنْهُمْ فَقَالَ ٱلْكَـٰفِرُونَ هَـٰذَا شَىْءٌ عَجِيبٌ
(Kaum musyrik Makkah bukan sahaja
mengingkari kerasulannya) bahkan mereka merasa hairan kerana datang kepada
mereka, dari kalangan mereka sendiri, seorang Rasul pemberi peringatan dan
amaran (mengenai perkara hidup semula sesudah mati); lalu orang-orang yang
kafir itu berkata: "Ini adalah satu perkara yang menakjubkan!
Pengajaran
- Kaum musyrik Mekah merasa pelik bila
Nabi SAW datang kepada mereka memberi peringatan dan amaran.
- Mereka berkata al-Quran ini
menakjubkan secara perli.
- Apabila seseorang berada dalam
keadaan kafir, walau ada kebenaran, tetapi hati mereka tertutup tidak mahu
menerima keajaiban al-Quran kerana mereka tidak fokus kepada apa yang dibawa
oleh al-Quran tetapi hanya fokus kepada orang yang membawa al-Quran. Mereka
akan melakukan character assassination.
Ayat
50:3
أَءِذَا مِتْنَا
وَكُنَّا تُرَابًا ۖ ذَٰلِكَ رَجْعٌۢ بَعِيدٌ
"Adakah (kita akan kembali
hidup) sesudah kita mati dan menjadi tanah? Itu adalah cara kembali yang jauh
(dari kemungkinan, kerana jasad yang telah hancur tidak dapat diketahui
lagi)".
Pengajaran
- Keimanan kepada
Allah dan rasul tidak lari daripada keimanan kepada hari akhirat.
- Mereka
menyindir dengan mempersoalkan tentang kehidupan semula di hari akhirat.
- Al-Quran ini
bila dibaca, kita akan kagum, merasa diri kecil, tahu bahawa kita dahulu
tidak ada apa-apa, kita akan kebali dalam keadaan tidak ada apa-apa, maka
kita hendaklah siapkan bekalan yang sempurna.
Ayat
50:4
قَدْ عَلِمْنَا مَا
تَنقُصُ ٱلْأَرْضُ مِنْهُمْ ۖ وَعِندَنَا كِتَـٰبٌ حَفِيظٌۢ
(Apa yang mereka katakan itu tidaklah
benar, kerana) Kami sedia mengetahui apa yang dimakan oleh bumi sedikit demi
sedikit dari (tubuh orang mati) mereka, serta ada di sisi Kami sebuah Kitab
yang menyimpan (catitan segala perkara yang berlaku).
Pengajaran
- Allah SWT mengatakan
bahawa Allah mengetahui apa yang dimakan oleh bumi sedikit demi sedikit daripada
tubuh mereka. Badan kita akan dimakan bumi apabila kita telah masuk ke kubur.
- Allah SWT tahu
kerana ada di sisi Allah sebuah Kitab yang menyimpan catitan segala perkara
yang berlaku.
- Orang yang
tidak beriman kepada wahyu, dia merasakan bahawa hidup hanya sekali dan habis
mati begitu sahaja.
Ayat
50:5
بَلْ كَذَّبُوا۟ بِٱلْحَقِّ
لَمَّا جَآءَهُمْ فَهُمْ فِىٓ أَمْرٍ مَّرِيجٍ
(Mereka tidak mahu berfikir betul)
bahkan mereka (terburu-buru) mendustakan kebenaran apabila sahaja sampainya
kepada mereka; oleh sebab itu, mereka berada dalam keadaan yang serba kacau.
Pengajaran
- Mereka terburu-buru mendustakan
kebenaran apabila sahaja sampainya kepada mereka. Oleh sebab itu, mereka
berada dalam keadaan yang serba kacau.
- Menurut Imam Qurtubi, kalau seorang
itu mendustakan kebenaran yang ada dalam al-Quran: tidak baca, tidak cuba
fahami, tidak cuba amalkan, kesannya kita akan berada dalam keadaan bingung.
- Dalam keadaan bingung, kita akan
komen tidak habis-habis. Carilah al-Quran semoga Allah akan mudahkan.
- Semua orang boleh membina keimanan
tetapi syaratnya perlukan ilmu berdasarkan garapan wahyu.
Ayat
50:6
أَفَلَمْ يَنظُرُوٓا۟
إِلَى ٱلسَّمَآءِ فَوْقَهُمْ كَيْفَ بَنَيْنَـٰهَا وَزَيَّنَّـٰهَا وَمَا لَهَا
مِن فُرُوجٍ
(Kalaulah mereka menyangka Kami tidak
berkuasa mengembalikan mereka hidup semula) maka tidakkah mereka memandang ke
langit yang ada di sebelah atas mereka (dengan tidak bertiang) bagaimana Kami
membinanya (dengan rapi) serta Kami menghiasinya (dengan bintang-bintang),
dan dengan keadaan tidak ada padanya retak-renggang? -
Pengajaran
- Allah SWT menarik perhatian mereka
untuk memandang ke langit yang ada di atas mereka.
- Komentar daripada Imam Sa'adi: Allah
SWT suruh tengok sahaja ke atas, tidak payah naik kapal atau menara untuk
lihat apa yang ada di atas. Ianya hebat diciptakan oleh Allah SWT tanpa
tiang.
- Allah SWT membinanya dengan rapi
serta menghiasinya matahari, bulan dan bintang dengan keadaan tidak ada
keretakan sedikit pun.
Ayat
50:7
وَٱلْأَرْضَ
مَدَدْنَـٰهَا وَأَلْقَيْنَا فِيهَا رَوَٰسِىَ وَأَنۢبَتْنَا فِيهَا مِن كُلِّ
زَوْجٍۭ بَهِيجٍ
Dan juga (keadaan) bumi ini,
(bagaimana) Kami bentangkan dia sebagai hamparan, dan Kami letakkan padanya
gunung-ganang yang terdiri kukuh, serta Kami tumbuhkan padanya pelbagai jenis
tanaman yang indah subur?
Pengajaran
- Bumi ini Allah SWT bentangkannya
sebagai hamparan, dan Allah letakkan padanya gunung-ganang yang terdiri
kukuh, serta Allah tumbuhkan padanya pelbagai jenis tanaman yang indah subur.
- Semuanya Allah jadikan supaya kita
fikirkan apa manfaatnya kepada kita.
Ayat
50:8
تَبْصِرَةً وَذِكْرَىٰ
لِكُلِّ عَبْدٍ مُّنِيبٍ
(Kami adakan semuanya itu) untuk
menjadi perhatian dan peringatan, (yang menunjukkan jalan kebenaran), kepada
tiap-tiap seorang hamba Allah yang mahu kembali kepadaNya (dengan taat dan
berbakti).
Pengajaran
- Allah SWT adakan semuanya itu untuk
menjadi perhatian dan peringatan, yang menunjukkan jalan kebenaran, kepada
tiap-tiap seorang hamba Allah yang mahu kembali kepadaNya dengan taat dan
berbakti.
- Waktu kita sibuk, jiwa kita tidak
kembali kepada Allah. Bila berseorangan, jiwa hamba yang مُّنِيبٍ akan memikirkan apa persediaannya untuk
kembali kepada Allah SWT.
- Allah SWT jadikan semuanya itu bukan
sia-sia.
Ayat
50:9
وَنَزَّلْنَا مِنَ ٱلسَّمَآءِ
مَآءً مُّبَـٰرَكًا فَأَنۢبَتْنَا بِهِۦ جَنَّـٰتٍ وَحَبَّ ٱلْحَصِيدِ
Dan juga Kami telah menurunkan dari
langit air (hujan) yang banyak faedahnya, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu
pokok-pokok tanaman (buah-buahan) dan biji-bijian yang dituai;
Pengajaran
- Allah SWT telah menurunkan dari
langit air hujan yang banyak faedahnya.
- Allah SWT tumbuhkan dengan air itu
pokok-pokok tanaman buah-buahan dan biji-bijian yang dituai.
- Bila kita perhatikan langit,
macam-macam ada daripada langit untuk menjadi sumber kehidupan yang ada di
atas muka bumi ini.
Ayat
50:10
وَٱلنَّخْلَ بَاسِقَـٰتٍ
لَّهَا طَلْعٌ نَّضِيدٌ
Serta pohon-pohon kurma yang tinggi
menjulang, yang mengeluarkan mayang, berlapis-lapis, lagi lebat putiknya;
Pengajaran
- Allah SWT juga suruh kita perhatikan
pohon-pohon kurma yang tinggi menjulang, yang mengeluarkan mayang,
berlapis-lapis, lagi lebat putiknya.
- Imam Al-Alusi menyatakan bahawa,
mengambil pelajaran itu lebih penting daripada mengambil semua manfaat
daripada tanam-tanam, kebun-kebun dan pokok-pokok kurma itu.
- Burung-burung dan haiwan juga
mendapat manfaat daripada pokok-pokok itu, tetapi yang dapat mengambil
pelajaran hanyalah orang-orang yang berfikir. Kalau pokok-pokok itu memberi
manfaat, apakah manfaat diri kita depada orang lain?
- Hendaklah kita jelas misi kehidupan,
bukan hidup hanya untuk menghabiskan usia. Bila meninggal tidak ada hala tuju
untuk mempersembahkan amal yang terbaik dengan apa yang Allah telah berikan
kepada kita menuju kepadaNya.
Ayat
50:11
رِّزْقًا لِّلْعِبَادِ ۖ
وَأَحْيَيْنَا بِهِۦ بَلْدَةً مَّيْتًا ۚ كَذَٰلِكَ ٱلْخُرُوجُ
(Semuanya itu) sebagai rezeki bagi
hamba-hamba Kami. Dan lagi Kami telah hidupkan dengan air itu bumi yang mati;
demikianlah pula keadaan keluarnya (orang-orang yang mati dari kubur setelah
dibangkitkan hidup semula).
Pengajaran
- Allah SWT jadikan semuanya itu
sebagai rezeki bagi hamba-hambaNya.
- Allah SWT telah hidupkan dengan air
itu bumi yang mati.
- Kalau Allah boleh hidupkan tanah
yang tandus itu dengan air, maka ketika hendak dikeluarkan orang-orang yang
mati dari kubur adalah mudah bagi Allah SWT.
- Cara berikir, tengok apa yang ada di
muka bumi ini kemudian kita kaitkan dengan kejadian hari kiamat. Serangga dan
burung pun makan, tetapi yang tidak sama kita dengan burung ialah mengambil
manfaat seperti mana dipimpin oleh surah ini.
Ayat
50:12
كَذَّبَتْ قَبْلَهُمْ
قَوْمُ نُوحٍ وَأَصْحَـٰبُ ٱلرَّسِّ وَثَمُودُ
Sebelum mereka (yang menentang Nabi
Muhammad) itu - kaum Nabi Nuh, dan "Ashaabur-Rassi" serta Thamud
(kaum Nabi Soleh), telah juga mendustakan Rasul masing-masing,
Ayat
50:13
وَعَادٌ وَفِرْعَوْنُ
وَإِخْوَٰنُ لُوطٍ
Dan juga Aad (kaum Nabi Hud), dan
Firaun, serta kaum Nabi Lut,
Ayat
50:14
وَأَصْحَـٰبُ ٱلْأَيْكَةِ
وَقَوْمُ تُبَّعٍ ۚ كُلٌّ كَذَّبَ ٱلرُّسُلَ فَحَقَّ وَعِيدِ
Dan juga penduduk "Aikah",
serta kaum " Tubba' "; tiap-tiap satu kaum itu telah mendustakan
Rasul-rasul (yang diutus kepadanya), lalu mereka ditimpa azab yang Aku
janjikan.
Pengajaran
Ayat 12-14
- Kaum yang
terdahulu iaitu kaum Nuh AS, kaum Rass (mereka sembah perigi), dan kaum
Thamud telah mendustakan rasul masing-masing.
- Begitu juga
kaum Aad, Firaun serta kaum Nabi Lut.
- Dan juga
penduduk Aikah, kaum Tubba'. Mereka mendustakan rasul-rasul.
- Semua mereka
ditimpa azab yang Allah telah
janjikan.
- Ini
mengingatkan bahawa apabila kita berada di atas muka bumi ini hendaklah kita:
- ambil pelajaran
- kongsi pelajaran
dengan orang lain
- Allah SWT
memberitahu cerita kaum terdahulu untuk memberitahu Nabi SAW bahawa mereka
yang terdahulu juga mendustakan rasul-rasul. Mereka telah diuruskan oleh
Allah SWT.
- Peranan kita,
teruslah menyampaikan risalah yang disampaikan oleh Nabi SAW. Jangan berhenti
kongsikan pelajaran daripada al-Quran pada setiap masa.
- Misi para rasul
adalah membawa manusia sama-sama menuju Allah SWT, bukan sekadar
bersuka-sukaan semata-mata.
Ayat
50:15
أَفَعَيِينَا بِٱلْخَلْقِ
ٱلْأَوَّلِ ۚ بَلْ هُمْ فِى لَبْسٍ مِّنْ خَلْقٍ جَدِيدٍ
(Setelah mereka melihat dan
memerhatikan makhluk-makhluk yang Kami ciptakan itu) maka adakah Kami telah
lemah dengan ciptaan yang pertama itu (sehingga Kami tidak dapat
mengadakannya semula? Tidak! Dan merekapun tidak mengingkari kekuasaan Kami).
Bahkan mereka berada dalam keadaan keliru dan ragu-ragu tentang ciptaan
makhluk-makhluk (hidup semula) dalam bentuk yang baharu.
Pengajaran
- Apabila kita
perhatikan semua ciptaan Allah SWT, maka kita akan rasa betapa Allah SWT amat
berkuasa menghidupan semula makhluk yang telah mati pada hari akhirat.
RESOLUSI
Ingat!
- Jangan memalsukan kebenaran untuk menyimpang
kepada perkara batil (5)
- Memaknai dan memahami ekosistem alam dengan
cara pandang al-Quran (8)
- Tidak letih dan merungut dalam menjaga
keimanan hati (15)
Saya berasa lega,
Allah SWT ingatkan tentang hari akhirat agar saya membina iman untuk membuat
persediaan yang paling baik.
Saya jelas
untuk tidak memalsukan kebenaran supaya tidak menyimpang kepada perkara batil.
Saya jelas saya mesti memaknai dan memahami ekosistem alam dengan cara
pandang al-Quran. Saya jelas untuk tidak letih dan merungut dalam menjaga
keimanan hati.
Ya Allah, pimpin
kami agar tidak memalsukan kebenaran. Ya Allah, jauhkan kami daripada perkara batil. Ya Allah, bimbing kami untuk
memaknai dan memahami ekosistem alam dengan cara pandang al-Quran. Ya Allah,
pelihara kami agar tidak letih dan merungut dalam menjaga keimanan hati.
Ya Allah,
janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada
kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya
Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ya Allah, ampunkan
dosa kami. Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat
dan jauhkan kami daripada azab neraka. Ya Allah, kurniakan kami ganjaran
Syurga Firdaus. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.
|