Sunday, October 29, 2023

Halaman 508 Muhammad (47:12-19)

PERKATAAN HARI  INI


سَقَى Memberi minum. 

25 kali disebut di dalam al-Quran








SINOPSIS

  1. Neraka dipersiapkan untuk orang Kafir dan syurga dipersiapkan untuk orang bertakwa (12-14)
  2. Perumpamaan kesenangan syurga dan azab neraka (15)
  3. Karakter orang Munafik dan orang Mukmin yang mendengarkan ayat-ayat akidah (16-19)




Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 508 Surah Muhammad.

 

Surah ini diturunkan apabila umat Islam sudah berhijrah ke Madinah sebagai motivasi kepada umat Islam untuk memperjuangkan keadilan.

 

Ayat 47:12

 

إِنَّ ٱللَّهَ يُدْخِلُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ ۖوَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ يَتَمَتَّعُونَ وَيَأْكُلُونَ كَمَا تَأْكُلُ ٱلْأَنْعَـٰمُ وَٱلنَّارُ مَثْوًى لَّهُمْ

 

Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal-amal yang soleh - ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.

 

Pengajaran

 

  1. Orang Muhajirin yang berhijrah ke Madinah meninggalkan harta mereka di Mekah. Orang Ansar di Madinah menerima dan menolong orang Muhajirin dengan senang hati atas dasar iman.
  2. Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal-amal yang soleh ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.
  3. Kebun dan sungai sebagai ganjaran kerana semakin berumur, kita makin suka kebun, makin suka sungai. Itu adalah lambang kekayaan dan ketenangan.
  4. Sebaliknya orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.
  5. Perumpamaan orang-orang kufur sebagai binatang ternakan kerana binatang ambil yang rendah-rendah sahaja. Ini menunjukkan keinginan mereka adalah benda yang rendah-rendah.
  6. Orang yang beriman ada keinginan yang tinggi. Tidak dapat di dunia tidak mengapa, yang pentingnya dapat di akhirat. Kalau sudah dapat di dunia, terus berjuang agar ganjaran kekal sampai ke akhirat. Tukarkan harta kita kepada akaun akhirat.

 

Ayat 47:13

 

وَكَأَيِّن مِّن قَرْيَةٍ هِىَ أَشَدُّ قُوَّةً مِّن قَرْيَتِكَ ٱلَّتِىٓ أَخْرَجَتْكَ أَهْلَكْنَـٰهُمْ فَلَا نَاصِرَ لَهُمْ

 

Dan bukan sedikit (penduduk) negeri-negeri yang lebih kuat dari (penduduk) negerimu (wahai Muhammad) yang telah memaksamu keluar (berhijrah) - Kami binasakan mereka, maka tiadalah sesiapa pun yang dapat membela mereka.

 

Pengajaran

 

  1. Tidak ada pertolongan kepada orang-orang yang mengusir Nabi SAW dan para sahabat.
  2. Orang-orang terdahulu yang mengusir orang beriman, akhirnya hancur.

 

Ayat 47:14

 

أَفَمَن كَانَ عَلَىٰ بَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّهِۦ كَمَن زُيِّنَ لَهُۥ سُوٓءُ عَمَلِهِۦ وَٱتَّبَعُوٓا۟ أَهْوَآءَهُم

 

Dengan yang demikian, adakah orang-orang (yang beriman dan taat) yang keadaannya sentiasa berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhannya: sama seperti orang-orang (yang ingkar - derhaka) yang telah diperhiaskan kepadanya (oleh Syaitan) akan kejahatan amalnya (sehingga dipandangnya baik), dan yang telah menurut hawa nafsunya? (Sudah tentu tidak sama)!

 

Pengajaran

 

  1. Orang musyrik rasa mereka sudah buat amal yang baik dengan menjaga Mekah dan mempertahan amalan nenek moyang mereka. Padahal perbuatan buruk mereka itu adalah mengikut hawa nafsu.
  2. Tidak sama orang yang ikut al-Quran dengan ikut perjuangan berdasarkan hawa nafsu. Contoh: Memperjuangkan kaum tertentu adalah perbuatan diskiriminasi yang perlu diketepikan kerana tidak diperintahkan dalam al-Quran.

 

Ayat 47:15

 

مَّثَلُ ٱلْجَنَّةِ ٱلَّتِى وُعِدَ ٱلْمُتَّقُونَ ۖ فِيهَآ أَنْهَـٰرٌ مِّن مَّآءٍ غَيْرِ ءَاسِنٍ وَأَنْهَـٰرٌ مِّن لَّبَنٍ لَّمْ يَتَغَيَّرْ طَعْمُهُۥ وَأَنْهَـٰرٌ مِّنْ خَمْرٍ لَّذَّةٍ لِّلشَّـٰرِبِينَ وَأَنْهَـٰرٌ مِّنْ عَسَلٍ مُّصَفًّى ۖ وَلَهُمْ فِيهَا مِن كُلِّ ٱلثَّمَرَٰتِ وَمَغْفِرَةٌ مِّن رَّبِّهِمْ ۖ كَمَنْ هُوَ خَـٰلِدٌ فِى ٱلنَّارِ وَسُقُوا۟ مَآءً حَمِيمًا فَقَطَّعَ أَمْعَآءَهُمْ

 

Sifat Syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa (ialah seperti berikut): ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keampunan dari Tuhan mereka. (Adakah orang-orang yang tinggal kekal di dalam Syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang-orang yang tinggal kekal di dalam neraka dan diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur? (Sudah tentu tidak sama)!

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT memberi motivasi kepada orang-orang yang bertakwa dengan menjelaskan sifat-sifat syurga:
    • ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah rasa dan baunya,
    • beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya,
    • beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya,
    • beberapa sungai dari madu yang suci bersih,
    • ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan,
    • serta keampunan dari Tuhan mereka.
  2. Orang-orang yang tinggal kekal di dalam neraka diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur.

 

Ayat 47:16

 

وَمِنْهُم مَّن يَسْتَمِعُ إِلَيْكَ حَتَّىٰٓ إِذَا خَرَجُوا۟ مِنْ عِندِكَ قَالُوا۟ لِلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ مَاذَا قَالَ ءَانِفًا ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ طَبَعَ ٱللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَٱتَّبَعُوٓا۟ أَهْوَآءَهُمْ

 

Dan di antara mereka (yang hadir di majlismu wahai Muhammad, ialah orang-orang munafik) yang mendengar ajaranmu (dengan sambil lewa), sehingga apabila mereka keluar dari sisimu berkatalah mereka (secara mengejek-ejek) kepada orang-orang yang diberi ilmu (dari kalangan sahabat-sahabatmu yang setia): "Apa yang dikatakan oleh Muhammad tadi?" Mereka (yang munafik) itu ialah orang-orang yang telah dimeteraikan Allah atas hati mereka, dan ialah orang-orang yang menurut hawa nafsunya.

 

Pengajaran

 

  1. Bila berjuang ada cabaran. Ada orang munafik yang hadir di majlis Nabi Muhammad SAW. Mereka mendengar ajaran Nabi SAW dengan sambil lewa.
  2. Apabila mereka keluar dari sisi Nabi SAW mereka bertanya secara mengejek-ejek kepada orang-orang yang diberi ilmu dari kalangan sahabat-sahabat yang setia.
  3. Mereka mempersoalkan kebaikan yang perlu dibuat. Ini timbul kerana ada masalah hati.
  4. Allah SWT bongkar perkara ini. Allah materaikan hati mereka kerana mereka tidak mahu berjuang kerana mengikut hawa nafsu.

 

Ayat 47:17

 

وَٱلَّذِينَ ٱهْتَدَوْا۟ زَادَهُمْ هُدًى وَءَاتَىٰهُمْ تَقْوَىٰهُمْ

 

Dan (sebaliknya) orang-orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambahi mereka dengan hidayah petunjuk, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertaqwa.

 

Pengajaran

 

  1. Orang-orang yang diberi hidayah tidak mudah terpengaruh dengan ejekan dan propaganda orang-orang munafik.
  2. Allah SWT akan menambahkan takwa kepada orang yang mendapat hidayah. Mereka semakin dekat untuk menjadi orang-orang ‘muttaqun’. Inilah yang kita perjuangkan iaitu untuk menjadi orang muttaqun.

 

Ayat 47:18

 

فَهَلْ يَنظُرُونَ إِلَّا ٱلسَّاعَةَ أَن تَأْتِيَهُم بَغْتَةً ۖ  فَقَدْ جَآءَ أَشْرَاطُهَا ۚ فَأَنَّىٰ لَهُمْ إِذَا جَآءَتْهُمْ ذِكْرَىٰهُمْ

 

(Kiranya golongan yang ingkar masih tidak mahu menerima peringatan yang diberi kepadanya) maka tidak ada lagi yang mereka tunggu melainkan saat kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut, kerana sesungguhnya telah lahirlah tanda-tanda kedatangannya. Kalaulah demikian, maka bagaimanakah mereka dapat menerima peringatan yang diberi kepada mereka - apabila saat kiamat itu datang kepada mereka?

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT mengingatkan kepada orang-orang munafik bahawa akan datang kepada mereka hari kiamat secara mengejut.
  2. Hendaklah kita ingat bahawa mati/kiamat boleh datang bila-bila masa, maka hendaklah kita bersedia.

 

Ayat 47:19

 

فَٱعْلَمْ أَنَّهُۥ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَٱسْتَغْفِرْ لِذَنۢبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتِ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مُتَقَلَّبَكُمْ وَمَثْوَىٰكُمْ

 

Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat).

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT ingatkan supaya kita tetapkanlah pengetahuan dan keyakinan bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Tidak salah belajar ilmu lain, tetapi ilmu ketuhanan perlu diutamakan.
  2. Allah SWT menyuruh Nabi SAW minta ampun kepada Allah SWT bagi salah silap yang dilakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan.
  3. Nabi SAW disuruh supaya minta ampun bagi umatnya, begitu juga dengan pemimpin sekarang mestilah minta ampun untuk pengikutnya.
  4. Ingatlah Allah SWT mengetahui akan keadaan gerak-geri kita di dunia dan keadaan penetapan kita di akhirat.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Bina sistem keislaman yang kuat dalam diri, keluarga dan negara (13)
  2. Sucikan niat dalam menuntut ilmu agar sampai kefahaman ilmu (16)
  3. Mohon agar ditetapkan dalam petunjuk untuk menempuh jalan yang lurus (17)

 

Saya berasa lega, Allah SWT beri motivasi untuk berjuang di jalan Allah.

 

Saya jelas saya mesti bina sistem keislaman yang kuat dalam diri, keluarga dan negara. Saya jelas saya mesti sucikan niat dalam menuntut ilmu agar sampai kefahaman ilmu. Saya jelas saya mesti mohon agar ditetapkan dalam petunjuk untuk menempuh jalan yang lurus.

 

Ya Allah, pimpin kami untuk bina sistem keislaman yang kuat dalam diri, keluarga dan negara. Ya Allah, bimbing kami untuk sucikan niat dalam menuntut ilmu agar sampai kefahaman ilmu. Ya Allah, tetapkan kami dalam petunjuk untuk menempuh jalan yang lurus.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ya Allah, ampunkan dosa kami. Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami daripada azab neraka. Ya Allah, kurniakan kami ganjaran Syurga Firdaus. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...