Sunday, October 29, 2023

Halaman 509 Muhammad (47:20-29)

 

PERKATAAN HARI 


سَوَّلَ Memujuk, menggoda.

 4 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS 

   

  1. Keadaan orang Munafik dan orang Mukmin ketika turunnya perintah jihad (20-23)
  2. Keadaan orang Munafik setelah murtad dan ketika nyawa mereka dicabut (24-29)












Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 509 Surah Muhammad.

 

Ayat 47:20

 

وَيَقُولُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَوْلَا نُزِّلَتْ سُورَةٌ ۖ  فَإِذَآ أُنزِلَتْ سُورَةٌ مُّحْكَمَةٌ وَذُكِرَ فِيهَا ٱلْقِتَالُ ۙ رَأَيْتَ ٱلَّذِينَ فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ يَنظُرُونَ إِلَيْكَ نَظَرَ ٱلْمَغْشِىِّ عَلَيْهِ مِنَ ٱلْمَوْتِ  ۖ فَأَوْلَىٰ لَهُمْ

 

Dan (kerana gemarkan pahala berjuang menegakkan Islam) orang-orang yang beriman berkata: "Alangkah baiknya sekiranya diturunkan satu surah (dari Al-Quran, yang memerintahkan kami berjuang)?" Maka apabila diturunkan satu surah (dari Al-Quran) yang tegas keterangannya dan tersebut padanya hukum-hukum yang mewajibkan perang Jihad (menentang pencerobohan musuh), sudah tentu engkau akan melihat orang-orang yang ada penyakit (kufur) dalam hatinya memandang kepadamu dengan terbeliak matanya kerana gerun takut menghadapi mati; dengan yang demikian, maka kebinasaanlah lebih hampir kepada mereka.

 

Pengajaran

 

  1. Orang-orang beriman minta diturunkan satu surah yang memerintahkan mereka berjuang.
  2. Apabila diturunkan surah tersebut secara jelas yang mewajibkan perang jihad, ada orang yang memandang kepada Nabi SAW dengan mata terbeliak kerana takut menghadapi mati.
  3. Ini adalah untuk menapis orang munafik. Di Madinah ramai masuk Islam kerana ada kepentingan diri. Mereka dapat projek kalau jadi orang Islam.

 

Ayat 47:21

 

طَاعَةٌ وَقَوْلٌ مَّعْرُوفٌ ۚ فَإِذَا عَزَمَ ٱلْأَمْرُ فَلَوْ صَدَقُوا۟ ٱللَّهَ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُمْ

 

(Mereka selalu berkata: "Pendirian kami) mematuhi perintah dan memperkatakan perkataan yang baik (yang diredhai Allah)". Dalam pada itu, apabila perkara (peperangan Jihad) itu ditetapkan wajibnya, (mereka tidak menyukainya); maka kalaulah mereka bersifat jujur kepada Allah (dengan mematuhi perintahNya), tentulah yang demikian itu amat baik bagi mereka.

 

Pengajaran

 

  1. Mereka selalu berkata bahawa mereka akan mematuhi perintah dan memperkatakan perkataan yang baik pada Nabi SAW.
  2. Dalam pada itu apabila perkara peperangan jihad itu ditetapkan wajibnya, mereka tidak menyukainya.
  3. Kalaulah mereka bersifat jujur kepada Allah dengan mematuhi perintahNya, tentulah yang demikian itu amat baik bagi mereka.
  4. Orang yang mengikut Nabi SAW bukan sekadar ikut Nabi SAW tetapi mereka membenarkan Allah SWT.

 

Ayat 47:22

 

فَهَلْ عَسَيْتُمْ إِن تَوَلَّيْتُمْ أَن تُفْسِدُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ وَتُقَطِّعُوٓا۟ أَرْحَامَكُمْ

 

(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan - jika kamu dapat memegang kuasa - kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat?

 

Pengajaran

 

  1. Ayat ini penting untuk sesiapa yang hendak memohon menjadi seorang pemimpin dalam sesebuah kawasan atau negara.
  2. Kalau seseorang itu munafik, iman tidak bersih, dia cuma hendak menang dalam plihan raya. Allah sudah beritahu bahawa dia akan membuat kerosakan kerana hatinya tidak dibersihkan dengan perjuangan. Bila dapat pangkat dia akan merosakkan rakyat, mengambil harta, menipu dan berbagai kerosakan lain.
  3. Perkara ini berlaku di zaman Nabi SAW dan masih berlaku sampai sekarang. Allah SWT membongkar bahawa orang-orang munafik yang menjadi pemimpin ini akan melakukan kerosakan di bumi dan akan memutuskan silaturrahim dengan kaum kerabat.

 

Ayat 47:23

 

أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ لَعَنَهُمُ ٱللَّهُ فَأَصَمَّهُمْ وَأَعْمَىٰٓ أَبْصَـٰرَهُمْ

 

(Orang-orang yang melakukan perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya

 

Pengajaran

 

  1. Mereka dilaknat oleh Allah SWT serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya daripada mendapat cahaya iman.

 

Ayat 47:24

 

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ ٱلْقُرْءَانَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَآ

 

(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?

 

Pengajaran

 

  1. Ubat pemimpin yang buat kerosakan ini ialah dia kena tadabbur al-Quran. Bila tadabbur, dia akan dapat nasihat, pelajaran dan petunjuk daripada Allah SWT.
  2. Kalau tidak tadabbur, hati mereka akan terkunci daripada menerima panduan al-Quran.
  3. Kalau baca al-Quran tetapi tidak tadabbur, seseorang itu akan mudah digoda oleh musuh.
  4. Tadabbur adalah ubat bagi menyucikan hati agar pemimpin mendapat panduan daripada Allah SWT bagi menjalankan tugas dengan amanah sebagai pemimpin.
  5. Ayat 10 dan ayat 24 ini adalah ubat untuk mencegah penyakit munafik. Ayat 10 Allah suruh berjalan dan ayat 24 Allah SWT suruh tadabbur al-Quran.

 

Ayat 47:25

 

إِنَّ ٱلَّذِينَ ٱرْتَدُّوا۟ عَلَىٰٓ أَدْبَـٰرِهِم مِّنۢ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ ٱلْهُدَى ۙٱلشَّيْطَـٰنُ سَوَّلَ لَهُمْ وَأَمْلَىٰ لَهُمْ

 

Sesungguhnya orang-orang yang telah berbalik kepada keingkaran mereka sesudah terang nyata kepada mereka kebenaran petunjuk (yang dikemukakan kepadanya), Syaitanlah yang memperdayakan mereka (berlaku demikian), serta memanjangkan angan-angan mereka.

 

Pengajaran

 

  1. Kesan tidak mengambil pelajaran bila berjalan dan tidak tadabbur, mereka akan kembali berpaling selepas diberi hidayah.
  2. Sebenarnya syaitanlah yang yang memperdayakan (سَوَّلَ) mereka. Akhirnya hati semakin sakit dan kesannya mereka panjang angan-angan untuk dunia sahaja tanpa mengambil kira persediaan ke akhirat.
  3. 'Dabbara' maksudnya tengok depan belakang.

 

Ayat 47:26

 

ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا۟ لِلَّذِينَ كَرِهُوا۟ مَا نَزَّلَ ٱللَّهُ سَنُطِيعُكُمْ فِى بَعْضِ ٱلْأَمْرِ ۖوَٱللَّهُ يَعْلَمُ إِسْرَارَهُمْ

 

Berlakunya yang demikian ialah: kerana mereka berkata kepada orang-orang yang tidak menyukai perkara yang diturunkan oleh Allah: "Kami akan patuh kepada kamu pada setengah perkara (yang berhubung dengan menentang Muhammad dan pengikutnya) itu"; sedang Allah mengetahui segala (perkataan dan perbuatan) yang mereka sembunyikan.

 

Pengajaran

 

  1. Itu berlaku kerana mereka amat benci kepada al-Quran. Mereka hanya akan taat sebahagian sahaja daripada apa yang diperintah dalam al-Quran.
  2. Mereka membocorkan rahsia tentang Nabi SAW akan pergi berperang dengan musyrik Mekah.

 

Ayat 47:27

 

فَكَيْفَ إِذَا تَوَفَّتْهُمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ يَضْرِبُونَ وُجُوهَهُمْ وَأَدْبَـٰرَهُمْ

 

(Kalaulah mereka terlepas sekarang dari bencana kejahatan mereka) maka bagaimanakah (mereka dapat menolak azab seksa) apabila malaikat mengambil nyawa mereka sambil memukul muka dan punggung mereka?

 

Pengajaran

 

  1. Mereka tidak akan dapat menolak azab apabila malaikat mengambil nyawa mereka sambil memukul muka dan punggung mereka.
  2. Malaikat memukul wajah mereka kerana mereka menunjukkan muka bangga dan berani melawan Allah SWT. Mereka dengan yakin sanggup melawan tuhan dan membelakangkan hidayah daripada Allah SWT, maka mereka akan dipukul di wajah dan di punggung.
  3. Kesombongan mereka ditegur oleh Allah SWT kerana yang membawa mesej kebaikan adalah Nabi SAW.

 

Ayat 47:28

 

ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمُ ٱتَّبَعُوا۟ مَآ أَسْخَطَ ٱللَّهَ وَكَرِهُوا۟ رِضْوَٰنَهُۥ فَأَحْبَطَ أَعْمَـٰلَهُمْ

 

(Kematian mereka dalam keadaan yang buruk) itu, kerana mereka menurut (serta melakukan) perkara-perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah, dan mereka pula membenci perkara-perkara yang diredhaiNya; oleh itu, Allah gugurkan amal-amal mereka (yang baik, yang pernah mereka lakukan).

 

Pengajaran

 

  1. Kematian mereka dalam keadaan yang buruk itu, kerana mereka menurut serta melakukan perkara-perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT.
  2. Mereka pula membenci perkara-perkara yang diredhai Allah SWT. Oleh itu, Allah gugurkan amal-amal mereka yang baik, yang pernah mereka lakukan.
  3. Allah SWT ingatkan kita supaya tidak benci kepada kebaikan, apatah lagi benci kepada orang Islam yang buat kebaikan.

 

Ayat 47:29

 

أَمْ حَسِبَ ٱلَّذِينَ فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ أَن لَّن يُخْرِجَ ٱللَّهُ أَضْغَـٰنَهُمْ

 

Patutkah orang-orang (munafik) yang ada penyakit (syak, ragu-ragu) dalam hatinya: menyangka bahawa Allah tidak sekali-kali akan mendedahkan perasaan dendam dan hasad dengki mereka (terhadap Nabi Muhammad s.a.w dan umatnya)?

 

Pengajaran

 

  1. Kedengkianlah yang menyebabkan mereka tidak mahu ikut Nabi SAW, tidak galakkan orang ikut Nabi SAW, mereka membocorkan rahsia dan yang pastinya mereka tidak mahu tadabbur al-Quran.
  2. Inilah kesan apabila tidak tadabbur al-Quran.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Menjaga pertuturan kata dan sambung tali persaudaraan sesama manusia (21-22)
  2. Berusaha fahami isi kandungan al-Quran semampu mungkin (24)
  3. Membanteras orang zalim yang cuba menjatuhkan umat Islam (28)

 

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya menjaga pertuturan dan sambung tali persaudaraan sesama manusia.

 

Saya jelas saya mesti menjaga pertuturan kata dan sambung tali persaudaraan sesama manusia. Saya jelas saya mesti berusaha fahami isi kandungan al-Quran semampu mungkin. Saya jelas saya mesti membanteras orang zalim yang cuba menjatuhkan umat Islam.

 

Ya Allah, bimbing kami untuk menjaga pertuturan kata dan sambung tali persaudaraan sesama manusia. Ya Allah, berkatilah kami dalam usaha untuk fahami isi kandungan al-Quran agar kami menjadi pemimpin yang baik. Ya Allah, pimpin kami untuk membanteras orang zalim yang cuba menjatuhkan umat Islam.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ya Allah, ampunkan dosa kami. Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami daripada azab neraka. Ya Allah, kurniakan kami ganjaran Syurga Firdaus. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.











Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...