Saturday, October 28, 2023

Halaman 502 Al-Jathiyah (45:33-37) Juz 25 dan Al-Ahqaf (46:1-5) Juz 26

 

PERKATAAN HARI  INI


عَتَبَMengingkari perbuatannya. 

5 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS  

 

  1. Azab bagi orang-orang kafir dan puji-pujian keagungan kepada Tuhan seluruh alam (45:33-37)
  2. Penegasan atas kewujudan Allah SWT, keesaan-Nya, peristiwa Hari Kiamat dan bantahan terhadap para penyembah berhala (46:1-5)


Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 502 penghujung Surah Al-Jathiyah dan permulaan Surah Al-Ahqaf.

 

Penghujung Surah Al-Jathiyah mengingatkan kita bahawa kita perlu serius dalam perjalanan menuju kepada akhirat Allah SWT.

 

Ayat 45:33

 

وَبَدَا لَهُمْ سَيِّـَٔاتُ مَا عَمِلُوا۟ وَحَاقَ بِهِم مَّا كَانُوا۟ بِهِۦ يَسْتَهْزِءُونَ

 

Dan (pada ketika itu) ternyatalah kepada mereka balasan kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan, serta mereka diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek itu!

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT mengingatkan kepada kita, di akhirat nanti bagi orang yang berbuat kejahatan-kejahatan, semuanya akan nampak jelas. Azab akan mengepung mereka yang memperolok-olokkan mesej daripada al-Quran.
  2. يَسْتَهْزِءُونَ maksudnya memperolok-olokkan Nabi SAW. Contoh zaman sekarang: Ada orang yang tidak yakin dengan al-Quran. Mereka tidak yakin Allah yang memberikan rezeki.
  3. Kita harap kita jauh daripada perkara tersebut.

 

Ayat 45:34

 

وَقِيلَ ٱلْيَوْمَ نَنسَىٰكُمْ كَمَا نَسِيتُمْ لِقَآءَ يَوْمِكُمْ هَـٰذَا وَمَأْوَىٰكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن نَّـٰصِرِينَ

 

Dan dikatakan (kepada mereka): "Pada hari ini Kami tidak hiraukan kamu (menderita di dalam azab seksa) sebagaimana kamu tidak hiraukan persediaan untuk menemui hari kamu ini; dan tempat kamu ialah neraka, dan kamu tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan.

 

Pengajaran

 

  1. Pada hari itu, Allah SWT tidak hiraukan mereka sebagaimana mereka tidak hiraukan persediaan untuk pertemuan hari akhirat.
  2. Kita buat persediaan untuk bina rumah di dunia, adakah kita sudah buat persediaan untuk rumah di akhirat?
  3. Sunnah Nabi SAW menunjukkan bahawa segala apa yang ada di dunia perlu dipindahkan kepada akaun akhirat dengan mengajak orang membuat kebaikan. Itu tanda kita tidak lupa persediaan hari akhirat.
  4. Orang yang tidak membuat persediaan hari akhirat, neraka adalah tempatnya. Allah SWT sudah tawarkan kepada semua manusia, tetapi ada manusia yang tidak mahu rumah di syurga dengan melupakan persediaan untuk tempah rahmat daripada Allah SWT.
  5. Tidak ada pertolongan bila sampai di akhirat. Di dunia, dengan kita berdoa, Allah SWT akan tolong.

 

Ayat 45:35

 

ذَٰلِكُم بِأَنَّكُمُ ٱتَّخَذْتُمْ ءَايَـٰتِ ٱللَّهِ هُزُوًا وَغَرَّتْكُمُ ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا ۚ فَٱلْيَوْمَ لَا يُخْرَجُونَ مِنْهَا وَلَا هُمْ يُسْتَعْتَبُونَ

 

"(Balasan buruk) yang demikian ini ialah kerana kamu telah menjadikan ayat-ayat keterangan Allah sebagai ejek-ejekan, dan kerana kamu telah membiarkan diri kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia". Maka pada hari itu mereka tidak akan dikeluarkan dari neraka, dan mereka tidak diberi peluang untuk bertaubat (memperbaiki kesalahannya).

 

Pengajaran

 

  1. Orang yang melupakan hari bertemu dengan Allah SWT ialah kerana mereka mengambil ayat-ayat Allah sebagai olok-olok (هُزُوًا). Mereka tidak mengambil al-Quran sebagai perkara yang penting. Mereka tersilap keutamaan dalam kehidupan.
  2. Kita harapkan dengan kita bersama al-Quran, keutamaan disusun kembali mengikut apa yang di ajar dalam al-Quran dan mengikut sunnah Nabi SAW.
  3. Mereka juga melupakan akhirat kerana tertipu dengan dunia. Hendaklah kita sedar bahawa dunia adalah sesuatu yang rendah. Contoh: Kalau sudah ada rumah besar, pastikan ia diisi dengan memuji Allah SWT. Semoga di akhirat juga dapat rumah besar. Kalau ada pangkat besar, gunakan pengaruh yang ada untuk puji Allah dan jangan sombong.
  4. Orang yang tidak tertipu, dia cari dunia untuk pindahkan cepat-cepat ke akaun akhirat.
  5. Pada hari itu, mereka tidak akan keluar daripada neraka dan mereka tidak diberi peluang untuk bertaubat.  Di akhirat, tidak akan mati.

 

Ayat 45:36

 

فَلِلَّهِ ٱلْحَمْدُ رَبِّ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَرَبِّ ٱلْأَرْضِ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

 

(Demikianlah ajaran dan peringatan Allah Yang Maha Adil) maka bagi Allah jualah tertentu segala pujian, Tuhan yang mentadbirkan langit, dan Tuhan yang mentadbirkan bumi, - Tuhan sekalian alam.

 

Pengajaran

 

  1. Dua ubat untuk jangan sampai kita berlutut dan akhirnya rugi. Isikan hidup ini dengan pujian kepada Allah. Pujian yang tertinggi itu milik Allah SWT.

 

Ayat 45:37

 

وَلَهُ ٱلْكِبْرِيَآءُ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ

 

Dan bagiNyalah keagungan dan kekuasaan di langit dan di bumi; dan dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

Pengajaran

 

  1. Sombong itu hanya milik Allah SWT. Kita tidak ada langit, tidak ada bumi kita hanya pinjam kurniaan daripada Allah SWT.  Jangan cepat koyak bila orang lain komen.
  2. Bagi Allah lah keagungan dan kekuasaan di langit dan di bumi.
  3. Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

 

Juzuk 26

 

Surah 46: Al-Ahqaf

 

Ayat 46:1

 

حمٓ

 

Haa, Miim.

 

Pengajaran

 

  1. Huruf muqato’ah sebagai lambang kita tidak tahu. Yang tahu hanyalah Allah SWT.
  2. Dengan sikap kita merendah diri itu, kita mendapat hikmah daripada penurunan al-Kitab.

 

Ayat 46:2

 

  1. تَنزِيلُ ٱلْكِتَـٰبِ مِنَ ٱللَّهِ ٱلْعَزِيزِ ٱلْحَكِيمِ

 

Diturunkan Al-Quran ini, dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

Pengajaran

 

  1. Al-Quran diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.
  2. Dengan sikap merendah diri bila kita membaca al-Kitab ini, kita akan menjadi orang yang ada kemuliaan, dan mendapat kebijaksanaan yang sumbernya dari Allah Al-Aziz Al-Hakim. Kita tidak jadi orang yang lemah semangat. Ada 'izzah dalam kehidupan kita walaupun banyak cabaran.
  3. Bila mendapat hikmah dari Al-Hakim, ketika orang lain bercakap macam-macam kita pun tahu membezakan yang baik dan yang buruk serta kita dapat bercakap dengan penuh bijaksana bersumberkan al-Kitab. 

Ayat 46:3


 

مَا خَلَقْنَا ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَآ إِلَّا بِٱلْحَقِّ وَأَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ عَمَّآ أُنذِرُوا۟ مُعْرِضُونَ

 

(Ingatlah), tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya melainkan dengan ada gunanya yang benar dan dengan ada masa penghujungnya yang tertentu (yang padanya dijalankan pembalasan); dan orang-orang yang kafir berpaling dari menerima peringatan yang diberikan kepada mereka mengenainya.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT menyatakan tentang penciptaanNya. Allah SWT ingatkan bahawa Allah menciptakan langit bumi serta segala yang ada di antara keduanya termasuk kita, ada kebenaran dan ada tujuannya.
  2. Bila kita tahu kita dijadikan ada tujuannya, maka kita kena berusaha mencapai tujuan itu. Insya Allah, bila jelas tujuan tersebut kita akan dapat rahmat daripada Allah SWT.
  3. Orang yang tidak percaya bahawa tujuan hidup kita adalah untuk hari akhirat, dia tidak ada persediaan. Dia sombong untuk ikut panduan daripada Allah SWT.
  4. Semoga kita dapat membuat persediaan yang terbaik selagi ada peluang kerana kita ada tarikh luput (مُّسَمًّى وَأَجَلٍ). Allah tidak beritahu tarikh luput kita, maka kita kena buat persediaan. Al-Quran tidak ada tarikh luput maka kita bergantunglah kepada al-Quran.
  5. Orang-orang kafir tidak kisah kepada peringatan yang diberikan di dalam al-Quran.

 

Ayat 46:4

 

قُلْ أَرَءَيْتُم مَّا تَدْعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ أَرُونِى مَاذَا خَلَقُوا۟ مِنَ ٱلْأَرْضِ أَمْ لَهُمْ شِرْكٌ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ ۖ ٱئْتُونِى بِكِتَـٰبٍ مِّن قَبْلِ هَـٰذَآ أَوْ أَثَـٰرَةٍ مِّنْ عِلْمٍ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ

 

Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik yang menentangmu): "Sudahkah kamu mengetahui kekuasaan dan kelayakan makhluk - makhluk yang kamu seru dan sembah yang lain dari Allah? Tunjukkanlah kepadaku apakah yang mereka ciptakan dari bahagian bumi ini? Atau adakah mereka mempunyai sebarang perkongsian (dengan Allah) dalam mencipta dan menguruskan langit? Bawalah kamu kepadaku sebuah Kitab (dari Allah) yang lain dari Al-Quran ini, atau sebarang keterangan yang berdasarkan ilmu (peninggalan orang-orang yang telah lalu) kalau betul kamu orang-orang yang benar (tentang dakwaan kamu itu)!"

 

Pengajaran

 

  1. Ayat ini mengajar kita bagaimana untuk membetulkan ketauhidan kepada Allah SWT supaya jauh daripada syirik.
  2. Tanyakan kepada orang-orang yang mensyirikkan Allah SWT persoalan berikut:
    • Sudahkah kamu mengetahui kekuasaan dan kelayakan makhluk-makhluk yang kamu seru dan sembah yang lain dari Allah?
    • Tunjukkanlah kepadaku apakah yang mereka ciptakan dari bahagian bumi ini?
    • Adakah mereka mempunyai sebarang perkongsian dengan Allah dalam mencipta dan menguruskan langit?
    • Bawalah kamu kepadaku sebuah Kitab yang lain dari Al-Quran ini, atau sebarang keterangan yang berdasarkan sejarah kalau betul kamu orang-orang yang benar.
  3. Semoga kita juga dapat semak diri dengan persoalan-persoalan ini.

 

Ayat 46:5

 

وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّن يَدْعُوا۟ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَن لَّا يَسْتَجِيبُ لَهُۥٓ إِلَىٰ يَوْمِ ٱلْقِيَـٰمَةِ وَهُمْ عَن دُعَآئِهِمْ غَـٰفِلُونَ

 

Dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menyembah sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak dapat menyahut atau memberikan sebarang pertolongan kepadanya (dari dunia) hinggalah ke hari kiamat, sedang makhluk-makhluk yang mereka sembah itu tidak dapat menyedari atau memberi layanan baik kepada permohonan mereka.

 

Pengajaran

 

  1. Tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menyembah sesuatu yang lain dari Allah SWT.
  2. Makhluk yang mereka sembah itu tidak dapat menyahut atau memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari dunia hinggalah ke hari kiamat. Pada hari kiamat makhluk-makhluk yang disembah itu akan menemplak mereka atas penyembahan itu.
  3. Makhluk-makhluk yang mereka sembah itu tidak dapat menyedari atau memberi layanan baik kepada permohonan mereka.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Perbanyakkan taubat dan perbaiki amal kebaikan (45:34)
  2. Ucapkan puji-pujian kepada Allah SWT sebagai rutin kehidupan (45:36)
  3. Sentiasa berdoa dan memohon kepada-Nya agar terhindar daripada kesesatan (46:5)

 

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya sentiasa berdoa dan memohon kepada-Nya agar terhindar dari kesesatan.

 

Saya jelas saya mesti perbanyakkan taubat dan perbaiki amal kebaikan. Saya jelas untuk ucapkan puji-pujian kepada Allah SWT sebagai rutin kehidupan. Saya jelas saya mesti sentiasa berdoa dan memohon kepada-Nya agar terhindar daripada kesesatan.

 

Ya Allah, ingatkan kami untuk perbanyakkan taubat dan perbaiki amal kebaikan. Ya Allah, jadikan kami orang-orang yang sentiasa ucapkan puji-pujian kepada Mu sebagai rutin kehidupan. Ya Allah, hindarkan kami daripada kesesatan dan kebuntuan. Tunjukkan kami jalan yang lurus ke syurga Mu.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ya Allah, ampunkan dosa kami. Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami daripada azab neraka. Ya Allah, kurniakan kami ganjaran Syurga Firdaus. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...