Friday, November 3, 2023

Halaman 522 : Surah Al-Dhariyat (51:31-51)

PERKATAAN HARI

 فَرَّ  / فَرَر  Segera, lari. 11 kali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS    

  1. Tugas malaikat (tetamu Nabi Ibrahim) dalam membinasakan kaum Nabi Lut AS (31-37)
  2. Kisah beberapa nabi lain beserta kaum mereka (38-46)
  3. Penegasan dan pembuktian tentang keesaan Allah SWT serta keagungan-Nya (47-51)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada Surah Al-Dhariyat halaman 522.

Ayat 51:31

قَالَ فَمَا خَطْبُكُمْ أَيُّهَا ٱلْمُرْسَلُونَ

Nabi Ibrahim bertanya: "(Selain dari itu) apa lagi tugas penting kamu wahai utusan Tuhan?"

Pengajaran

  1. Menyambung kisah tetamu yang hadir ke rumah Nabi Ibrahim AS.
  2. Allah SWT kurniakan rezeki anak kepada Nabi Ibrahim AS kerana baginda bertakwa kepada Allah SWT.
  3. Nabi Ibrahim AS bertanya sebab kedatangan mereka di hujung waktu, bila mereka hendak balik. Adabnya: Jangan bertanya bila tetamu baru tiba. Tanya hanya bila tetamu hendak pulang kalau perlu.

Ayat 51:32

قَالُوٓا۟ إِنَّآ أُرْسِلْنَآ إِلَىٰ قَوْمٍ مُّجْرِمِينَ

Mereka menjawab: "Sesungguhnya Kami diutus kepada suatu kaum yang berdosa (untuk membinasakan mereka);

Pengajaran 

  1. Malaikat menjawab bahawa mereka diutus untuk menghadapi kepada kaum yang berbuat dosa iaitu kaum Nabi Lut AS.

Ayat 51:33

لِنُرْسِلَ عَلَيْهِمْ حِجَارَةً مِّن طِينٍ

"Supaya Kami menimpakan mereka dengan batu-batu dari tanah (yang dibakar),

Pengajaran

Malaikat-malaikat itu diutus untuk menghantar batu-batuan dari tanah yang menjadi keras di kawasan kaum Nabi Lut AS selepas baginda berpindah.

Ayat 51:34

مُّسَوَّمَةً عِندَ رَبِّكَ لِلْمُسْرِفِينَ

"Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu, untuk membinasakan orang-orang yang melampaui batas (dalam keingkarannya)".

Pengajaran

  1. Batu-batu itu ada nama mangsa seperti peluru berpandu. Batu itu tidak akan tersalah alamat.

Ayat 51:35


فَأَخْرَجْنَا مَن كَانَ فِيهَا مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ

(Setelah sampai utusan Kami ke tempat itu), Kami (perintahkan mereka) mengeluarkan orang-orang yang beriman yang tinggal di situ.

Pengajaran

  1. Allah SWT perintahkan malaikat supaya keluarkan orang-orang beriman sebelum dihantar azab.

Ayat 51:36

فَمَا وَجَدْنَا فِيهَا غَيْرَ بَيْتٍ مِّنَ ٱلْمُسْلِمِينَ

(Sesudah diperiksa) maka (utusan) Kami tidak mendapati di situ melainkan sebuah rumah sahaja yang ada penduduknya dari orang-orang Islam (yang beriman kepada Nabi Lut).

Pengajaran

  1. Peristiwa Nabi Lut ditingalkan sebagai tanda kebesaran Allah bahawa satu kaum telah dikenakan azab yang dahsyat.
  2. Rumah ada tanda. Bila ada orang beriman, Allah akan selamatkan. 
  3. Tandanya ialah dengan takwa iaitu kita bangun malam, banyak istighfar, banyak baca al-Quran.

Ayat 51:37

وَتَرَكْنَا فِيهَآ ءَايَةً لِّلَّذِينَ يَخَافُونَ ٱلْعَذَابَ ٱلْأَلِيمَ

Dan Kami tinggalkan di negeri itu (timbunan batu-batu yang telah menghujani dan membinasakan mereka), sebagai tanda (yang mendatangkan keinsafan) bagi orang-orang yang sedia takut kepada azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Pengajaran

  1. Peristiwa kaum Nabi Lut AS ini Allah SWT tinggalkan di negeri itu sebagai tanda yang mendatangkan keinsafan bagi orang-orang yang sedia takut kepada azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
  2. Kalau kita melancong ke sana, jangan sekadar ambil gambar untuk seronok. Ambil pelajaran dan doakan agar Allah SWT lindungi kita daripada buat perkara-perkara fasik.

Ayat 51:38

وَفِى مُوسَىٰٓ إِذْ أَرْسَلْنَـٰهُ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ بِسُلْطَـٰنٍ مُّبِينٍ

Dan juga pada (kisah) Nabi Musa (terdapat dalil-dalil yang memberi keinsafan), - ketika kami mengutusnya kepada Firaun dengan membawa mukjizat yang nyata.

Pengajaran

  1. Allah SWT ingatkan bahawa takwa menjemput rezeki dan keselamatan dari kisah Nabi Musa AS.
  2. Dengan segala mukjizat yang diberikan, Firaun dan bala tenteranya tetap berpaling.

Ayat 51:39

فَتَوَلَّىٰ بِرُكْنِهِۦ وَقَالَ سَـٰحِرٌ أَوْ مَجْنُونٌ

Maka Firaun berpaling ingkar dengan berdasarkan kekuasaannya sambil berkata: "(Musa itu) adalah seorang ahli sihir, atau seorang gila!"

Pengajaran

  1. Allah SWT ingatkan bahawa pemimpin memerlukan tiang-tiang (بِرُكْنِهِ - tentera-tentera) yang menyokongnya, kalau tidak dia akan hancur.
  2. Mereka mengatakan Nabi Musa AS adalah ahli sihir atau orang gila.
  3. Dengan ayat ini, Nabi SAW mendapat motivasi untuk teruskan perjuangkan takwa walaupun dituduh sebagai ahli sihir atau orang gila. Allah SWT berikan bantuan yang berbagai.

Ayat 51:40

فَأَخَذْنَـٰهُ وَجُنُودَهُۥ فَنَبَذْنَـٰهُمْ فِى ٱلْيَمِّ وَهُوَ مُلِيمٌ

Lalu Kami (adakan jalan) mengambil Firaun bersama-sama tenteranya, kemudian Kami humbankan mereka ke dalam laut, sedang ia berkeadaan tercela.

Pengajaran

  1. Firaun dan bala tenteranya diseksa kerana ingkar kepada Allah SWT. Mereka dilemparkan ke dalam lautan dan mereka dicela sampai sekarang.
  2. Kalau kita menjaga takwa, sebenarnya Allah menjaga kepada Nabi Lut AS dan keluarganya kecuali isterinya, dan dengan takwa Allah SWT memberi rezeki kepada Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya sehingga selamat daripada Mesir dan diberi 'manna wa salwa’ dan berbagai jenis rezeki dalam kehidupan. 
  3. Panduan untuk kita agar kita yakin dengan janji daripada Allah SWT.

Ayat 51:41

وَفِى عَادٍ إِذْ أَرْسَلْنَا عَلَيْهِمُ ٱلرِّيحَ ٱلْعَقِيمَ

Dan juga pada (kisah) kaum Aad (terdapat perkara-perkara yang menjadi iktibar), - ketika kami hantarkan kepada mereka angin ribut yang tidak mengandungi sebarang kebaikan; -

Pengajaran

  1. Dihantar kepada kaum Aad, angin kontang yang membinasakan. 

Ayat 51:42

مَا تَذَرُ مِن شَىْءٍ أَتَتْ عَلَيْهِ إِلَّا جَعَلَتْهُ كَٱلرَّمِيمِ

Angin itu tidak meninggalkan sesuatu pun yang dirempuhnya, melainkan menjadikannya (hancur) seperti debu.

Pengajaran

  1. Angin tersebut menjadikan mereka debu kerana mereka tidak bertakwa.
  2. Jangan main-main dengan persediaan takwa agar Allah SWT memberi rezeki yang lebih luas. Angin pun boleh menjadi musuh kepada orang yang tidak bertakwa.
  3. Semoga Allah SWT bimbing kita jadi orang yang bertakwa dan kita mendapat angin yang baik dengan rezeki yang amat indah di dunia sampai ke akhirat.

Ayat 51:43

وَفِى ثَمُودَ إِذْ قِيلَ لَهُمْ تَمَتَّعُوا۟ حَتَّىٰ حِينٍ

Dan juga pada (kisah) kaum Thamud (terdapat perkara-perkara yang menjadi pelajaran) - ketika dikatakan kepada mereka: "Bersenang-senanglah kamu hingga ke suatu waktu (yang termaklum)!"

Pengajaran

  1. Kisah Kaum Thamud terdapat perkara yang menjadi pelajaran. Dengan rezeki yang Allah SWT berikan, mereka sekadar bersenang-senang dan angkuh.
  2. Mereka membuat kerosakan kepada ekonomi dan sosial. Mereka pentingkan diri sendiri untuk berfoya-foya.


Ayat 51:44

فَعَتَوْا۟ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِمْ فَأَخَذَتْهُمُ ٱلصَّـٰعِقَةُ وَهُمْ يَنظُرُونَ

Maka mereka membesarkan diri terhadap perintah Tuhannya, lalu mereka disambar petir (dengan tidak dapat melarikan diri), sedang mereka melihatnya.

Pengajaran

  1. Beberapa faktor kejatuhan sesuatu tamadun. Mereka diberikan rezeki yang pelbagai oleh Allah SWT tetapi kalau suka berfoya-foya dengan rezeki yang Allah berikan,  dan mereka tidak istighfar, tidak ikut peraturan, mereka akan diazab.
  2. Semak diri, kalau banyak rezeki Allah berikan tetapi kita masih baca al-Quran, sedekah dan lain-lain kebaikan, itu bukan istidraj. Tetapi kalau bisnes makin maju, bonus banyak, rezeki mencurah-curah kita jadi kedekut, lambat solat, sibuk sehingga tidak sempat baca al-Quran, itu tandanya istidraj.
  3. Kaum Thamud membesarkan diri terhadap perintah Allah SWT, lalu mereka disambar petir dengan tidak dapat melarikan diri, sedang mereka melihatnya.
  4. Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita rezeki yang dapat digunakan untuk melakukan amal soleh dan kebaikan kepada orang lain.

Ayat 51:45 

فَمَا ٱسْتَطَـٰعُوا۟ مِن قِيَامٍ وَمَا كَانُوا۟ مُنتَصِرِينَ

Dengan yang demikian, mereka tidak dapat bangun lagi, dan mereka juga tidak mendapat pertolongan.

Pengajaran

  1. Dengan yang demikian, mereka tidak dapat bangun lagi, dan mereka juga tidak mendapat pertolongan.
  2. Kita boleh bangun pagi itu juga adalah rezeki. Boleh jalan, boleh duduk semuanya rezeki.
  3. Kerana tidak menyerah kepada Allah, hanya bersenang-senang dengan rezeki yang Allah bagi, maka akhirnya mereka dimusnahkan.

Ayat 51:46

وَقَوْمَ نُوحٍ مِّن قَبْلُ ۖ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ قَوْمًا فَـٰسِقِينَ

Dan kaum Nuh (Kami juga telah binasakan) sebelum itu; sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik - derhaka.

Pengajaran

  1. Kaum Nuh juga telah binasakan oleh Allah SWT sebelum itu.
  2. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik - derhaka.
  3. Mereka hidup aman, tetapi bila Nabi Nuh AS suruh mereka istighfar mereka tidak suka.
  4. Hendaklah kita istighfar pagi dan petang. Bila istighfar, Allah SWT akan berikan macam-macam rezeki daripada langit. 
  5. Orang yang fasik menyebabkan terhalang rezeki yang ada.

Ayat 51:47 

وَٱلسَّمَآءَ بَنَيْنَـٰهَا بِأَيْي۟دٍ وَإِنَّا لَمُوسِعُونَ

Dan langit itu Kami dirikan dengan kekuasaan Kami (dalam bentuk binaan yang kukuh rapi). Dan sesungguhnya Kami adalah mempunyai kekuasaan yang luas tidak terhingga.

Pengajaran

  1. Allah SWT bawakan perhatian kita kepada alam pula. Langit itu Allah SWT dirikan dengan kekuasaanNya dalam bentuk binaan yang kukuh rapi. 
  2. Sesungguhnya Allah SWT mempunyai kekuasaan yang luas tidak terhingga. Allah boleh luaskan syurga untuk seluruh umat manusia.

Ayat 51:48

وَٱلْأَرْضَ فَرَشْنَـٰهَا فَنِعْمَ ٱلْمَـٰهِدُونَ

Dan bumi pula Kami hamparkan (untuk kemudahan kamu mendiaminya); maka Kamilah sebaik-baik yang menghamparkannya.

Pengajaran

  1. Allah SWT hamparkan bumi untuk kemudahan kita mendiaminya.
  2. Allah-lah sebaik-baik yang menghamparkannya. Kita tenang berada di atas bumi walaupun bumi berputar. Allah memberikan buaian ( ٱلْمَـٰهِدُونَ ) kepada kita relax atas muka bumi.

Ayat 51:49

وَمِن كُلِّ شَىْءٍ خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan kami dan mentauhidkan Kami).

Pengajaran

  1. Tiap-tiap jenis Allah SWT ciptakan berpasangan, supaya kita mengingati kekuasaan Allah dan mentauhidkanNya.
  2. Pasangan yang perlu kita fikirkan: Langit dan bumi, siang dan malam, lelaki dan perempuan, dunia ini dan dunia yang akan datang. Itulah cara berfikir kita bila mentadabbur ayat ini supaya membuat persediaan untuk pergi ke dunia akan datang.

Ayat 51:50

فَفِرُّوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ ۖ إِنِّى لَكُم مِّنْهُ نَذِيرٌ مُّبِينٌ

(Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka): "Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata.

Pengajaran

  1. Allah SWT mengingatkan kita supaya segeralah kembali kepada Allah dengan bertaubat dan taat. Seperti angin, apabila bertiup ia membawa nikmat. Contoh: Kalau azan memanggil hendaklah kita bersegera solat. 
  2. Kita sebenarnya bersegera menuju kepada nikmat Allah SWT bila bersegera lakukan kebaikan yang Allah SWT suruh kita buat.
  3. Nabi SAW diutuskan oleh Allah kepada kita sebagai pemberi peringatan yang jelas. Ada orang yang sambil lewa bila diajak solat, tapi bila diajak makan mereka bersegera. Bila diajak kepada Pencipta yang memberi makan, dia tidak bersegera.
  4. Menurut Al-Biqai, فَفِرُّوٓا۟ maksudnya bersegera kepada kebaikan. Contoh: daripada kebodohan menuju pengetahuan, daripada malas bekerja kepada kuat bekerja, daripada kesempitan hidup menuju kelapangan, dan segenap kepercayaan diri dan pengharapan.
  5. Menurut As-Sa'di bila kita ramai-ramai menuju kepada Allah SWT, kita menuju kepada kesenangan, aman, membahagiakan dan menceriakan. 
  6. Dalam hidup kita kalau ada seruan menuju kepada Allah, hendaklah kita bersegera macam angin, seperti Nabi SAW bersedekah pada bulan Ramadhan seperti angin. Itulah semangat yang kita hendak ambil. 

Ayat 51:51

وَلَا تَجْعَلُوا۟ مَعَ ٱللَّهِ إِلَـٰهًا ءَاخَرَ ۖ إِنِّى لَكُم مِّنْهُ نَذِيرٌ مُّبِينٌ

"Dan janganlah kamu adakan tuhan yang lain bersama Allah (dalam kepercayaan kamu), sesungguhnya aku diutus oleh Allah kepada kamu sebagai pemberi amaran yang nyata".

Pengajaran

  1. Jangan ada Tuhan selain daripada Allah SWT. Contoh: Menonton atau shopping sampai lewat solat. 
  2. Semoga Allah SWT bimbing kita untuk bersegera melakukan kebaikan.

RESOLUSI

Ingat!
  1. Melaksanakan tugas yang diberi dengan amanah dan telus (32-34)
  2. Berfikir dan berasa gentar dengan azab Allah SWT apabila membaca kisah umat-umat terdahulu (36-37)
  3. Pasak keimanan dengan ayat kebesaran Allah SWT (47-50)
Saya berasa lega, Allah SWT akan berikan rezeki apabila saya istighfar dan bersegera melakukan kebaikan.

Saya jelas saya mesti melaksanakan tugas yang diberi dengan amanah dan telus. Saya jelas saya mesti berfikir dan berasa gentar dengan azab Allah SWT apabila membaca kisah umat-umat terdahulu. Saya jelas saya mesti pasak keimanan dengan ayat kebesaran Allah SWT.

Ya Allah, pimpin kami melaksanakan tugas yang diberi dengan amanah dan telus. Ya Allah, bimbing kami untuk berfikir dan berasa gentar dengan azab-Mu apabila membaca kisah umat-umat terdahulu. Ya Allah, bimbing kami untuk pasak keimanan dengan ayat kebesaran Mu.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ya Allah, ampunkan dosa kami. Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami daripada azab neraka. Ya Allah, kurniakan kami ganjaran Syurga Firdaus. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...