Monday, May 1, 2023

Halaman 17 : Al-Baqarah, 2:106-112

PERKATAAN HARI INI


  بصر     Melihat
148 kali disebut dalam al-Quran 


SINOPSIS   

  1. Bukti adanya penghapusan hukum-hukum syariat (2:106-108)
  2. Sikap ahli kitab terhadap kaum mukminin dan cara menghadapinya (2:109-110)
  3. Kaum Yahudi dan Nasrani: Pandangan masing-masing tentang lawannya (2:111-112)


Mukadimah

Al-Fatihah, Ummul Quran dibaca berulang kali sekurang-kurangnya 17 kali dalam solat untuk meminta hadiah daripada Allah. Kita minta Allah tunjukkan jalan yang lurus, bukan jalan orang-orang yang dimurkai dan bukan jalan orang-orang yang sesat. Ada orang bila diberi hadiah, dibuangnya hadiah itu dan mempersoalkan hadiah yang diberi, itulah orang-orang yang dimurkai. 

Dalam ayat sebelum ini, orang kafir tidak mahu diturunkan kelebihan kepada orang-orang beriman. Mereka nak pilih rasul hanya dari keturunan mereka dan semua kelebihan hanya untuk mereka. Tapi Allah beritahu Dia boleh beri kepada sesiapa sahaja rahmat sebab kurniaan Allah adalah hebat dan Allah Maha Berkuasa.


Ayat 106

۞ مَا نَنسَخْ مِنْ ءَايَةٍ أَوْ نُنسِهَا نَأْتِ بِخَيْرٍۢ مِّنْهَآ أَوْ مِثْلِهَآ ۗ أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌ ١٠٦

Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?


Keterangan Ayat

Orang Yahudi mempersoalkan mengapa ada syariat pada zaman Nabi Musa dibatalkan atau tiada lagi, atau dikurangkan. Contohnya dalam hukuman makanan dalam Yahudi dan cara bertaubat amat ketat. Allah nyatakan dalam ayat ini bahawa syariat adalah sama tetapi ada yang lebih baik yang Allah berikan. Allah tegaskan Dia Yang Maha Berkuasa. 

Ayat ini menjelaskan bahawa Allah SWT membantah orang-orang yang mencela aturan syariat-Nya dan kebijaksanaan-Nya, iaitu mereka mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW menyuruh para sahabatnya melakukan sesuatu pada hari ini dan esok melarang mereka melakukannya.

Apa itu Nasakh? Kenapa perlu adanya nasakh, pergantian atau pemansuhan pada sesuatu hukum?

Berdasarkan tafsir Al-Aisar, 'nasakh' ini bertujuan untuk meringankan sesuatu hukum terdahulu. Sesungguhnya Allah SWT menghapus (nasakh) suatu ayat yang mengandungi hukum yang memberatkan kaum Muslimin kepada hukum yang lebih ringan. Contohnya ketetapan seorang muslim yang dahulunya perlu menghadapi sepuluh orang kafir di dalam peperangan. Tetapi Allah SWT telah menukarkannya di mana mereka perlu menghadapi dua orang kafir saja dalam peperangan.

Allah SWT juga menghapuskan hukuman ringan dan mengubahnya kepada hukuman yang lebih berat dengan tambahan ganjaran pahala. Misalnya, menghapuskan kewajipan puasa Asyura menjadi kewajipan puasn Ramadan selama satu bulan penuh.

Begitu juga Allah SWT menghapus hukum ringan dan menggantikan dengan hukum ringan yang semisal dengannya seperti menghapus arah kiblat dari Baitul Maqdis bertukar ke arah Kaabah.

Ada riwayat yang menyatakan bahawa telah turun satu ayat dan telah dibaca oleh Rasulullah SAW dan beberapa sahabatnya. kemudian Allah SWT menasakh lafaz dan maknanya sehingga ia juga turut terhapus dari ingatan sehingga tidak ada seorang pun yang mengingatinya.

Semuanya ini menunjukkan apa? Perhatikan ayat terakhir:

أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرُ

"Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?"

Allah SWT berkuasa melakukan segala kehendak-Nya dan kita hanya menerima sahaja. Kita tidak ada hak untuk mempersoalkan tujuan Allah SWT dan sebagai hamba, akhlak kita kepada Allah SWT ialah tidak menyoal dan mempertikai apa yang diberikan dan apa yang diajarkan oleh Nabi SAW.

Maka tugas kita ialah terus percaya, mengimani dan mendalami lagi ilmu-ilmu luas yang dihamparkan pada kita.


Pengajaran

  1. Ketetapan adanya nasakh dalam al-Quran, sebagaimana terdapat dalam sunnah. Yang mana keduanya adalah sumber bagi syariat dan tidak ada nasakh dalam qiyas mahupun ijmak.
  2. Kasih sayang Allah SWT kepada orang-orang mukmin dengan menghapus (nasakh) hukum dan menggantinya dengan hukum yang lebih bermanfaat bagi mereka baik untuk dunia mahupun akhiratnya.
  3. Apabila Allah SWT memadamkan satu ayat atau hukum, Allah SWT akan menggantikan sesuatu yang baru bahkan lebih baik.


Ayat 107

أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ ٱللَّهَ لَهُۥ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۗ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِن وَلِىٍّۢ وَلَا نَصِيرٍ ١٠٧

Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi dan yang dapat memberi pertolongan.


Keterangan Ayat

Allah SWT memberi petunjuk kepada hamba-Nya bahawa Dialah yang mengatur semua makhluk menurut apa yang dikehendaki-Nya, Dialah yang menciptakan dan yang memerintah menurut apa yang dikehendaki-Nya, Dia membahagiakan dan mencelakakan siapa yang dikehendaki-Nya. Dia menyihatkan dan membuat sakit siapa yang dikehendaki-Nya, Dia memberi taufik siapa yang dikehendaki-Nya dan Dia yang menghina sesiapa sahaja yang dikehendaki.

Allah SWT juga yang mengatur hukum-hakam kepada para hamba-Nya menurut apa yang dikehendaki. Untuk itu, Dia menghalalkan dan mengharamkan dan tiada siapa dapat menolak ketetapan-Nya, dan tiada siapa yang boleh menanyakan apa yang diperbuat-Nya, sedangkan merekalah yang akan diminta untuk dipertanggungjawabkan oleh-Nya. Dengan maksud lain, semua yang berada di langit dan bumi adalah milik Allah SWT. Tidak ada makhluk lain yang boleh mengatakan sesuatu ayat itu telah mansukh atau tidak melainkan hanya Allah SWT sahaja.

Sebenarnya dari segi intelek, orang Yahudi tahu Allah Maha Berkuasa, Allah pemilik semua yang ada di langit dan bumi. Mereka tidak mahu mengaku kerana hati mereka ada penyakit. Disebabkan penyakit itulah mereka membahas masalah nasakh ini semata- mata kerana kekufuran dan keingkaran serta kedengkiannya terhadap adanya nasakh tersebut. 

Sebab itu di akhir ayat, Allah SWT berfirman;


وَمَا لَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ مِن وَلِي وَلَا نَصِيرٍ  

"Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi dan yang dapat memberi pertolongan."

Kalau ada yang mempersoalkan hak Allah SWT untuk memansukhkan apa-apa sahaja, maka balasan buruk menanti di akhirat kelak. Sesiapa yang memerhatikan nasakh yang terjadi dalam al-Quran dan as-sunnah, pasti dia akan mengetahui hikmah-hikmah Allah, kasih sayang-Nya terhadap hamba-hamba-Nya bahkan nasakh juga akan membawa mereka kepada kemaslahatan tanpa mereka sedari akan kemurahan-Nya.


Pengajaran

  1. Kewajipan untuk tunduk kepada Allah SWT dan redha terhadap hukum-hukum-Nya, serta tidak berpaling daripada Allah SWT.
  2. Dalil al-Quran di luar campur tangan Nabi Muhammad SAW.
  3. Belajar menghayati keagungan, kebesaran dan kesempurnaan Allah SWT.
  4. Kalau tahu peraturan Allah, jangan berdolak dalik, buat saja.
  5. Jangan ulang perangai Bani Israel melupakan nikmat Allah yang banyak kepada kita.
  6. Allah sumber perlindungan utama. Tak ada orang lain boleh tolong kita.


Ayat 108

أَمْ تُرِيدُونَ أَن تَسْـَٔلُوا۟ رَسُولَكُمْ كَمَا سُئِلَ مُوسَىٰ مِن قَبْلُ ۗ وَمَن يَتَبَدَّلِ ٱلْكُفْرَ بِٱلْإِيمَـٰنِ فَقَدْ ضَلَّ سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ ١٠٨

Adakah kamu pula hendak meminta dari Rasul kamu sebagaimana diminta dari Nabi Musa (oleh kaumnya) dahulu? Dan sesiapa yang menukar iman dengan mengambil kekufuran, maka sesungguhnya ia telah sesat dari jalan yang lurus.


Penyakit Bani Israel yang mempersoalkan. Allah memberitahu bahawa Nabi Muhammad SAW adalah juga rasul mereka. Allah ungkitkan sikap mereka yang mempersoalkan Nabi Musa untuk menyusah-nyusahkan. Mempersoalkan Nabi dan apa yang diturunkan kepada Nabi adalah akhlak orang-orang yang kufur.  


Pengajaran

  1. Menyoal untuk tahu atau memperbanyakkan kebaikan digalakkan.
  2. Jangan mempersoalkan untuk sakitkan hati, mengejek atau menghina.
  3. Mempersoalkan hukum Allah dan sunnah Nabi adalah perbuatan kufur.
  4. Iman dijelmakan dalam perkataan dan perbuatan.
  5. Hargai kebaikan pasangan/keluarga.
  6. Sokong ke arah keimanan.
  7. Minta ampun kelemahan kita atas dasar iman.


Ayat 109

وَدَّ كَثِيرٌۭ مِّنْ أَهْلِ ٱلْكِتَـٰبِ لَوْ يَرُدُّونَكُم مِّنۢ بَعْدِ إِيمَـٰنِكُمْ كُفَّارًا حَسَدًۭا مِّنْ عِندِ أَنفُسِهِم مِّنۢ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ ٱلْحَقُّ ۖ فَٱعْفُوا۟ وَٱصْفَحُوا۟ حَتَّىٰ يَأْتِىَ ٱللَّهُ بِأَمْرِهِۦٓ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌۭ ١٠٩

Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.


Orang kafir suka kalau orang beriman kembali kepada kekufuran sebab hati mereka ada hasad. Bila datang kebenaran, mereka lebih banyak hasad. Allah ajar teknik menghadapi orang yang hasad ialah dengan cara memaafkan dan berlapang dada. Tindakan bani Israel ini banyak berlaku dalam masyarakat kita sekarang.


Pengajaran

  1. Hati yang ada hasad boleh membawa kepada kekufuran
  2. Bersyukur kalau orang lain dapat nikmat, jangan dengki
  3. Allah bagi nikmat kepada orang lain, Allah boleh juga bagi kepada kita
  4. Bila dapat kebenaran (faham al-Quran), kita kena jaga hati. Jangan mempersoalkan kelebihan orang lain.
  5. Amalkan sifat suka memaafkan dan berlapang dada.
  6. Jangan balas kedengkian dengan kedengkian, keburukan dengan keburukan, tetapi balaslah dengan kebaikan dan sikap yang positif.


Ayat 110 

وَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ ۚ وَمَا تُقَدِّمُوا۟ لِأَنفُسِكُم مِّنْ خَيْرٍۢ تَجِدُوهُ عِندَ ٱللَّهِ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌۭ ١١٠

Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.


Bani Israel dan juga umat Islam zaman sekarang juga masih bersifat seperti yang tersebut dalam ayat 106-109. Bagaimana hendak menghadapi keadaan seperti itu? 

Jawapannya ialah: dirikan solat (buat baik dengan Allah), tunaikan zakat (buat baik dengan manusia). Kalau dua perkara ini kita buat, kita akan membina hubungan yang amat bagus dengan Allah dengan manusia. Solat dan zakat adalah simpanan dalam akaun yang pasti akan dapat kebaikan/keuntungan di dunia dan akhirat. Allah akan bantu kita. Allah sentiasa memerhati kita.


Pengajaran

  1. Bina hubungan dengan Allah melalui solat.
  2. Bina hubungan dengan manusia melalui zakat.
  3. Yakin Allah sentiasa nampak apa kita buat - Allah akan jaga dan lindungi kita.
  4. Kalau nak beragama jangan membabi-buta. 
  5. Bertindak berdasarkan mata hati bila menghadapi sesuatu perkara. 


Ayat 111

وَقَالُوا۟ لَن يَدْخُلَ ٱلْجَنَّةَ إِلَّا مَن كَانَ هُودًا أَوْ نَصَـٰرَىٰ ۗ تِلْكَ أَمَانِيُّهُمْ ۗ قُلْ هَاتُوا۟ بُرْهَـٰنَكُمْ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ ١١١

Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: "Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani". Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar".


Allah menyuruh mereka menunjukkan bukti jika apa yang mereka katakan tentang hanya mereka sahaja yang masuk syurga itu benar. Sedangkan mereka ini hanyalah berangan-angan kosong. Nabi hadir dengan bukti yang nyata iaitu al-Quran.


Pengajaran

  1. Ingat bahawa walaupun kita Islam, tidak pasti dapat masuk syurga. 
  2. Iman dan amal soleh yang menentukan dapat rahmat Allah untuk masuk syurga.
  3. Al-Quran sebagai bukti yang nyata. Tidak boleh ditolak oleh sesiapa. Ia seperti terangnya cahaya matahari.
  4. Orang Islam kena ada bukti yang nyata (burhan) apa yang ada dalam al-Quran.
  5. Baca-faham dan amal isi al-Quran untuk dapat bukti yang nyata.
  6. Nak masuk syurga kenalah ikut kehendak Allah.
  7. Kuatkan burhan (bukti yang nyata) dalam diri kita supaya dapat sampaikan juga kepada keluarga dan masyarakat.


Ayat 112

بَلَىٰ مَنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُۥ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌۭ فَلَهُۥٓ أَجْرُهُۥ عِندَ رَبِّهِۦ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ ١١٢

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.


Kalau betul-betul nak masuk syurga, serahkan diri kepada Allah dan berbuat baik. Mereka ini tidak akan takut/bimbang kerana Allah sentiasa melindungi daripada mara bahaya yang tidak disedari.


Pengajaran

  1. Kalau kita solat, zakat dan berbuat kebaikan kita tak akan takut atau bimbang kerana Allah akan bantu dan lindungi kita daripada mara bahaya yang tidak disedari.
  2. Jangan minta ganjaran daripada manusia. Minta daripada Allah Yang Maha Berkuasa.


RESOLUSI 

Ingat !!

  1. Elakkan hasad dalam hal beragama (2:109)
  2. Ingin ganjaran terbaik? Ganjaran dari Allah (2:110)
  3. Setiap hujah perlu ada sumber ilmu dari Allah (2:111)

Lega kerana Allah bagi penawar hati agar tidak hasad dengki.

Saya jelas untuk elakkan hasad dalam hal beragama. Saya jelas untuk harapkan ganjaran baik dari Allah. Saya jelas saya mesti pastikan setiap hujah perlu ada sumber ilmu dari Allah.

Ya Allah, jauhi kami dari sifat hasad dalam hal beragama. Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Ya Allah ajar kami ilmu al-Quran dan sunnah agar kami dapat berhujah dengan ilmu yang Engkau redhai.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...