PERKATAAN HARI INI
210 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
- Kaum Yahudi dan Nasrani: Pandangan masing-masing tentang lawannya (2:113)
- Kezaliman orang yang menghalang solat di masjid, dan sahnya solat di mana pun (2:114-115)
- Kebohongan ahli kitab dan kaum Musyrikin dengan menisbahkan anak kepada Allah (2:116-118)
- Peringatan agar tidak mengikut kaum Yahudi dan Nasrani (2:119)
Mukadimah
Hari ini sambungan kisah dari halaman 17. Daripada ayat 7 Al-Fatihah, kita nak jadi orang yang dipimpin pada jalan lurus seperti orang yang diberi nikmat, bukan orang yang dimurkai dan bukan orang yang disesatkan.
Surah Al-Baqarah juga dikenali sebagai Sanamul Quran (Kemuncak al-Quran). Surah ini surah yang terpanjang. Ayatnya juga panjang-panjang. Tetapi kalau kita dapat lepas surah ini yang juzuk pertamanya banyak menceritakan pasal hati, juzuk kedua tentang solat dan sistem, dan juzuk ketiga tentang infaq/berjuang. Kalau kita dah ikut sistem, Insya Allah berjuang akan jadi mudah. Kita akan nampak segala-gala yang ada dalam al-Quran, maka kita akan dipimpin oleh Allah di jalan yang lurus.
Semoga kita jadi kuat apabila habis surah al-Baqarah kerana kita berjaya sampai ke puncak dalam memahami al-Quran. Hendak mendaki kemuncak memang tidak mudah, tetapi bila sampai ke puncak, iaitu apabila kita dapat memahami isi al-Quran dan mengambil pengajaran darinya maka kita akan terasa kenikmatannya.
Ayat 113
وَقَالَتِ ٱلْيَهُودُ لَيْسَتِ ٱلنَّصَـٰرَىٰ عَلَىٰ شَىْءٍۢ وَقَالَتِ ٱلنَّصَـٰرَىٰ لَيْسَتِ ٱلْيَهُودُ عَلَىٰ شَىْءٍۢ وَهُمْ يَتْلُونَ ٱلْكِتَـٰبَ ۗ كَذَٰلِكَ قَالَ ٱلَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ مِثْلَ قَوْلِهِمْ ۚ فَٱللَّهُ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ فِيمَا كَانُوا۟ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ ١١٣
Dan orang-orang Yahudi berkata: "Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama yang benar)"; dan orang-orang Nasrani pula berkata: "Orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama yang benar)"; padahal mereka membaca Kitab Suci masing-masing (Taurat dan Injil). Demikian juga orang-orang (musyrik dari kaum Jahiliyah) yang tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan oleh mereka itu. Maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.
Keterangan Ayat
Orang Yahudi dan orang Nasrani saling kata mengata antara mereka seperti orang yang tidak pernah ada kitab. Sibuk mencari salah di antara satu sama lain. Kesan kita menonton program tadabbur dan memahami al-Quran, kita tidak akan mudah melabel orang, mengkafirkan orang dan menerakakan orang lain. Sebenarnya Allah yang memberi hukum apa yang mereka telingkahkan itu.
حكم - mencegah, menegah untuk membaiki atau menghukumi.
Maksudnya - tali kekang untuk menghalang haiwan daripada lari. Ia membawa kepada perkataan hikmah iaitu bila orang ada ilmu, dia susun elok-elok dan ia menjadi kebenaran. Dengan adanya akal dan ilmu yang betul, seseorang itu dapat mencapai hikmah dalam hidup.
Bila Allah menggunakan perkataan hakim, maksud hikmah pada Allah adalah, Dia Yang Maha Mengetahui setiap sesuatu (ada ilmu) dan buat kena pada masa dan tempatnya. Hikmah pada manusia maknanya tahu sesuatu dan dapat berbuat kebaikan.
Pengajaran
- Sibuklah cari kesalahan diri sendiri, jangan cari kesalahan orang lain.
- Jangan ulang sifat Yahudi dan Nasrani.
- Kalau nak ilmu yang tepat, kita kena banyak minta kepada Allah al-Hakim dan sudah tentunya kena banyak baca al-Quran al-Hakim.
Ayat 114
وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن مَّنَعَ مَسَـٰجِدَ ٱللَّهِ أَن يُذْكَرَ فِيهَا ٱسْمُهُۥ وَسَعَىٰ فِى خَرَابِهَآ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ مَا كَانَ لَهُمْ أَن يَدْخُلُوهَآ إِلَّا خَآئِفِينَ ۚ لَهُمْ فِى ٱلدُّنْيَا خِزْىٌۭ وَلَهُمْ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌۭ ١١٤
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatunya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.
Keterangan Ayat
Tentang sifat orang yang jauh daripada Allah, yang hatinya ada masalah, Allah kata mereka itu orang zalim. Sifat mereka ialah menghalang orang dari mengingat Allah dengan menghalang mereka ke masajid. Masajid di sini ada dua maksud: 1) Tempat bersolat (tidak semestinya satu masjid), 2) masa untuk solat.
Yang dimaksudkan dengan masa ialah: Sebagai pemimpin/ketua, janganlah kita menghalang staf kita dari pergi ke masjid, atau menghalang mereka solat di awal waktu. Peranan masjid ialah untuk orang ingat kepada Allah. Jangan jadikan masjid-masjid tempat berpolitik. Jangan merosakkan keadaan dan kesucian tempat itu. AJK jangan saling berbalah. Orang yang menghalang/merosakkan masjid itu sepatutnya takut kepada Allah.
Salah satu zikir paling tinggi ialah al-Quran. Kena ada kelas-kelas baca-faham al-Quran di masjid-masjid. Bukan ceramah-ceramah lain sahaja. Selepas belajar tadabbur, lanjutkan pembelajaran dan perkongsian al-Quran di masjid-masjid. Ini untuk mengelakkan masjid hilang roh mengingati Allah.
Pengajaran
- Jangan halang orang mengingat Allah.
- Sebagai pemimpin, jangan halang orang solat pada awal waktu.
- Jangan jadikan masjid tempat berpolitik, menakutkan atau merosakkan orang lain.
- Sepatutnya yang takut ialah orang yang buat salah.
- Semak aktiviti masjid supaya ada program baca-faham-amal al-Quran, supaya masjid jadi tempat mengembalikan roh mengingati Allah SWT.
- Kesan menghalang orang ke masjid, Allah akan bagi kehinaan dan mereka akan dapat azab yang sengsara.
Ayat 115
وَلِلَّهِ ٱلْمَشْرِقُ وَٱلْمَغْرِبُ ۚ فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا۟ فَثَمَّ وَجْهُ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ وَٰسِعٌ عَلِيمٌۭ ١١٥
Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui.
Keterangan Ayat
Dalam kesedihan dan kerinduan Nabi kepada Mekah, baginda diingatkan dengan menyatakan bahawa walau di mana baginda berada, baginda tetap menghadap kepada Allah. Allah redha, kerana Allah Maha Luas rahmat dan kurniaannya dan Allah Maha Mengetahui isi hati kesedihan Nabi kerana Allah lah yang menentukan segala-galanya.
Pengajaran
- Wajib menghadap kiblat kecuali tidak mampu.
- Mengimani bahawa Allah Maha Mengetahui segala sesuatu yang ada di alam ini.
- Penyerahan sepenuhnya kepada Allah SWT.
- Orang berilmu akan melakukan sesuatu menggunakan akal dengan berhikmah.
- Hikmah kepada Allah ialah Dia Maha Berkuasa dan membuat sesuatu tepat pada tempat dan masanya.
- Hikmah kepada manusia ialah tahu sesuatu dan dapat melakukan kebaikan.
- Mintalah banyak-banyak kepada Al Hakim dengan banyak membaca Al Quran.
- Apa yang berlaku dahulu menjadi pengajaran bagi kita kerana apa yang berlaku tetap akan berulang.
- Jangan menghukum orang lain.
- Buat sebanyak mungkin kebaikan.
Ayat 116
وَقَالُوا۟ ٱتَّخَذَ ٱللَّهُ وَلَدًۭا ۗ سُبْحَـٰنَهُۥ ۖ بَل لَّهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ كُلٌّۭ لَّهُۥ قَـٰنِتُونَ ١١٦
Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata: "Allah mempunyai anak". Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu), bahkan Dia lah Yang memiliki segala yang di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk di bawah kekuasaanNya.
Salah satu dari perkara besar yang dibuat oleh orang-orang yang tidak beriman ialah mereka meletakkan syirik kepada Alah SWT. Orang Yahudi kata "Uzair anak Allah". Nasrani kata "Isa anak Allah". Respond kita ialah سُبْحَٰنَهُۥ (Maha Suci Allah).
Sabaha maknanya berenang (float). Allah melangkaui segala apa yang ada di muka bumi ini. Segala yang ada di muka bumi tunduk kepada Allah. Alam sudah memberi manfaat kepada kita, maka janganlah syirikkan Allah. Allah menjadikan Nabi Isa lahir tanpa ayah, Nabi Adam tanpa ayah dan ibu. Boleh saja kerana Dia Maha Berkuasa.
Ayat 117
بَدِيعُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ وَإِذَا قَضَىٰٓ أَمْرًۭا فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُۥ كُن فَيَكُونُ ١١٧
Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!" Lalu menjadilah ia.
Keterangan Ayat
Ayat ini adalah sebagai bukti bahawasa Allah SWT adalah Pencipta langit dan bumi tanpa ada contoh yang seumpama dengan keduanya. Apabila Allah SWT menghendaki atau meciptakan sesuatu, baik berupa makhluk atau perkara, atau suatu perencanaan, maka Allah SWT hanya akan berkata," Kun: Jadilah!" Maka akan jadilah seperti yang diinginkan pada masa itu juga. Ini merupakan sifat kesempurnaan dan kekuasaan Allah SWT.
Ayat ini juga sebagai dalil dan alasan membantah segala pembohongan yang diperkatakan kepada Allah SWT. Maka menurut akal yang sihat, Allah SWT tidak memerlukan kepada sesuatu bahkan kitalah yang memerlukan-Nya.
Pengajaran
- Jangan derhaka kepada Allah.
- Allah Maha Berkuasa. Dia boleh jadikan apa saja.
- Beramallah dengan ilmu yang betul.
- Bersyukur atas segala nikmat Allah di alam ini.
- Tunduklah kepada Allah sebagai hamba dengan tauhid yang betul.
Ayat 118
وَقَالَ ٱلَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ لَوْلَا يُكَلِّمُنَا ٱللَّهُ أَوْ تَأْتِينَآ ءَايَةٌۭ ۗ كَذَٰلِكَ قَالَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِم مِّثْلَ قَوْلِهِمْ ۘ تَشَـٰبَهَتْ قُلُوبُهُمْ ۗ قَدْ بَيَّنَّا ٱلْـَٔايَـٰتِ لِقَوْمٍۢ يُوقِنُونَ ١١٨
Dan (orang-orang musyrik) yang tidak berilmu pengetahuan, berkata: "Alangkah eloknya kalau Allah berkata-kata dengan kami (mengenai kebenaran Muhammad) atau datang kepada kami sesuatu keterangan (mukjizat)?" Demikian pula orang-orang (kafir) yang terdahulu dari mereka pernah berkata seperti yang dikatakan oleh mereka; hati mereka (sekaliannya) adalah bersamaan (degil dan kufur). Sesungguhnya Kami telah pun menerangkan ayat-ayat keterangan (yang menjadi dalil dan bukti) kepada kaum yang mahu percaya dengan yakin.
Keterangan Ayat
Mereka tidak berpuas hati Allah bercakap dengan Nabi s.a.w. dan bukan terus dengan mereka. Allah telah menunjukkan bukti dan dalil tetapi mereka tetap degil dan kufur.
Antara kita juga ada yang selalu tidak berpuas hati dan ini adalah penyakit orang terdahulu. Allah telah menjelaskan segalanya dengan ayat-ayatNya. Orang yang yakin akan ayat-ayat Allah akan teguh dan mereka mencari bukti-bukti kebesaran Allah dari alam.
Pengajaran
- Jaga hati, jangan dengki.
- Jangan bawa testimoni yang hype.
- Bumi adalah ayat Allah.
- Berusaha untuk dapat ganjaran daripada Allah.
- Yakinlah dengan kuasa Allah.
Ayat 119
إِنَّآ أَرْسَلْنَـٰكَ بِٱلْحَقِّ بَشِيرًۭا وَنَذِيرًۭا ۖ وَلَا تُسْـَٔلُ عَنْ أَصْحَـٰبِ ٱلْجَحِيمِ ١١٩
Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan (setelah engkau sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta (bertanggungjawab) tentang ahli neraka.
Keterangan Ayat
Ayat ini memberi semangat kepada Nabi SAW. Allah menegaskan bahawa tugas baginda s.a.w. cuma menyampaikan kebenaran, beri khabar gembira kepada orang yang berbuat baik dan beri amaran. Sama ada mereka menerima atau tidak, serahkan kepada Allah.
Pengajaran
- Tugas kita adalah untuk menyampaikan kebenaran, tapi jangan bimbang hasilnya. Serah kepada Allah.
- Insya Allah kalau kita bersungguh-sungguh menyampaikan kebenaran, Allah akan beri yang terbaik.
RESOLUSI
Ingat !!
- Bila bercakap, gunalah ilmu (2:113)
- Jangan bersifat rasis dalam menentukan bahagia sengsara (2:113)
- Perjuangkan masjid dengan imarahkan dan tidak mengotorinya (2:114)
- Hargai kebesaran Allah sedia ada dan jangan mencabar Tuhan (2:118)
Lega kerana Allah beri akal kepada saya dan peluang menambah ilmu untuk jadi orang yang berhikmah.
Saya jelas untuk bercakap berasaskan ilmu. Saya jelas untuk tidak bersifat rasis dalam menentukan bahagia sengsara. Saya mesti perjuangkan masjid dengan imarahkan dan tidak mengotorinya. Saya jelas untuk hargai kebesaran Allah dan tidak mencabar Tuhan.
Ya Allah, ajar kami untuk bercakap berasaskan ilmu. Ya Allah, jauhi kami daripada bersifat rasis dalam menentukan bahagia sengsara. Ya Allah, bantu kami untuk perjuangkan masjid dengan imarahkan dan tidak mengotorinya. Ya Allah, bimbing kami untuk hargai kebesaran-Mu dan jauhi kami daripada mencabar-Mu. Ya Allah, kurniakan kami taufik dan hidayah agar kami berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. Jauhi kami dari azab neraka. Aamiin ya Mujib.