Monday, December 11, 2023

Halaman 586 : At Taqwir 81 : 1- 29

 


PERKATAAN HARI INI 

عَسْعَسَ =   habis, larut , pergi

Diulang  1 kali sahaja di dalam Al-Quran


SINOPSIS   

1. Keadaan hari kiamat dan huru-haranya [81 :1-14]

2. Sumpah Allah SWT tanda benarnya Al Quran dan kenabian ar Rasul s.a.w  [81 : 15-29]


Mukadimah


Alhamdulillah, hari ini kita  bersyukur kepada Allah SWT kita masih diberi peluang untuk menghargai hidayah Allah. Semoga dengan membaca, memahami dan beramal dengan al-Quran, kita semakin dekat dengan Allah. 

Surah at Taqwir surah ke lapan puluh satu, berada  dalam Juzuk Tiga Puluh. Hanya  Surah An Nasr , Surah Madaniyyah.  Tiga puluh lima surah yang lain adalah Surah Makiyyah, Surah Makiyyah adalah surah yang memasakkan akidah. yang menyentuh memberi faham dan kenal oleh manusia akan Allah SWT Tuhan Yang Esa , Nabi Muhammad s.a.w , rasulullah yang ditugaskan membawa risalah agama ini dan hari kiamat, hari pembalasan atas segala amal perbuatan manusia di dunia.

Allah SWT menggambarkan kecelaruan  apa yang ada di hadapan manusia dan suatu yang hampir dengan mereka tatkala kiamat itu berlaku supaya manusia berfikir dan mengembalikan mereka supaya taat. Manusia juga diingatkan akan petunjuk kehidupan untuk dimanafaatkan bagi keselamatan di dunia dan akhirat. Manusia diberi pilihan kehidupan dunia dan akhirat yang mereka inginkan berpandukan panduan kalam Allah SWT atau sebaliknya. Manusia akan dipertanggungjawabkan atas pilihan mereka.


Ayat [ 81 :1-14]


إِذَا ٱلشَّمْسُ كُوِّرَتْ ١

Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap);

وَإِذَا ٱلنُّجُومُ ٱنكَدَرَتْ ٢

Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak;

وَإِذَا ٱلْجِبَالُ سُيِّرَتْ ٣

Dan apabila gunung-ganang di terbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu);

وَإِذَا ٱلْعِشَارُ عُطِّلَتْ ٤

Dan apabila unta-unta yang bunting terbiar;

وَإِذَا ٱلْوُحُوشُ حُشِرَتْ ٥

Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan;

وَإِذَا ٱلْبِحَارُ سُجِّرَتْ ٦

Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur;

وَإِذَا ٱلنُّفُوسُ زُوِّجَتْ ٧

Dan apabila tiap-tiap diri disatukan dengan pasangannya;

وَإِذَا ٱلْمَوْءُۥدَةُ سُئِلَتْ ٨

Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: ditanya, -

بِأَىِّ ذَنۢبٍۢ قُتِلَتْ ٩

Dengan dosa apakah ia dibunuh?

وَإِذَا ٱلصُّحُفُ نُشِرَتْ ١٠

Dan apabila surat-surat amal dibentangkan;

وَإِذَا ٱلسَّمَآءُ كُشِطَتْ ١١

Dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya;

وَإِذَا ٱلْجَحِيمُ سُعِّرَتْ ١٢

Dan apabila neraka dinyalakan menjulang;

وَإِذَا ٱلْجَنَّةُ أُزْلِفَتْ ١٣

Dan apabila Syurga didekatkan;

عَلِمَتْ نَفْسٌۭ مَّآ أَحْضَرَتْ ١٤

(Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui tentang amal yang telah dibawanya.


Pengajaran

  1. Allah SWT menyusun kumpulan 14 ayat awal dalam surah at Takwir ini dengan nada keras dan gambaran perkara yang akan berlaku, dan pasti berlaku untuk diberi perhatian pembaca dan pendengarnya.
  2. Allah SWT menegaskan kekuasaanNya dengan mengambarkannya kedahsyatan apa yang berlaku pada hari kiamat agar menimbulkan rasa gerun dalam jiwa manusia.
  3. Dahsyatnya hari kiamat sehingga manusia tidak menghiraukan apa mereka yang disayangi.
  4. Manusia akan dikumpul mengikut jenis perbuatan mereka di dunia.
  5. Manusia yang dizalimi akan ditanya Allah SWT di hari akhirat atas sebab apa mereka dizalimi.
  6. Amat penting manusia yang membaca atau mendengar bacaan ayat Al Quran memahaminya  dan mengambil tindakan sewajarnya supaya manusia itu benar-benar merdeka di dunia dari kesesatan dan di akhirat selamat dari azab.
  7. Maka amat penting kita dan ahli keluarga menghadiri pengajian yang memahamkan kita akan apa yang Allah SWT sampaikan dalam al Quran supaya kita tidak tergolong dalam orang yang menjajah dirinya sendiri dengan kebodohan di sisi Allah SWT.
  8. Berusaha kita memperbaiki amal dan ketaatan dengan panduan al Quran , muga kita selamat dari azab neraka dan kita tergolong dalam kumpulan yang syurga didekatkan . Amin.


Ayat [ 81 :15-29]


فَلَآ أُقْسِمُ بِٱلْخُنَّسِ ١٥

Oleh itu, Aku bersumpah dengan bintang-bintang yang tenggelam timbul;

ٱلْجَوَارِ ٱلْكُنَّسِ ١٦

Yang beredar, juga yang tetap pada tempatnya;

وَٱلَّيْلِ إِذَا عَسْعَسَ ١٧

Dan malam, apabila ia hampir habis,

وَٱلصُّبْحِ إِذَا تَنَفَّسَ ١٨

Dan siang, apabila ia mulai terang;

إِنَّهُۥ لَقَوْلُ رَسُولٍۢ كَرِيمٍۢ ١٩

Sebenarnya Al-Quran itu, sungguh-sungguh Kalamullah (yang disampaikan oleh Jibril) Utusan yang mulia,

ذِى قُوَّةٍ عِندَ ذِى ٱلْعَرْشِ مَكِينٍۢ ٢٠

Yang kuat gagah, lagi berkedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai Arasy,

مُّطَاعٍۢ ثَمَّ أَمِينٍۢ ٢١

Yang ditaati di sana (dalam kalangan malaikat), lagi dipercayai.

وَمَا صَاحِبُكُم بِمَجْنُونٍۢ ٢٢

Dan sebenarnya sahabat kamu (Nabi Muhammad) itu (wahai golongan yang menentang Islam), bukanlah ia seorang gila (seperti yang kamu tuduh);

وَلَقَدْ رَءَاهُ بِٱلْأُفُقِ ٱلْمُبِينِ ٢٣

Dan (Nabi Muhammad yakin bahawa yang disampaikan kepadanya ialah wahyu dari Tuhan, kerana) demi sesungguhnya! Nabi Muhammad telah mengenal dan melihat Jibril di kaki langit yang nyata.

وَمَا هُوَ عَلَى ٱلْغَيْبِ بِضَنِينٍۢ ٢٤

Dan bukanlah Nabi Muhammad seorang yang boleh dituduh dan disangka buruk, terhadap penyampaiannya mengenai perkara-perkara yang ghaib.

وَمَا هُوَ بِقَوْلِ شَيْطَـٰنٍۢ رَّجِيمٍۢ ٢٥

Dan sebenarnya Al-Quran itu bukanlah perkataan Syaitan yang kena rejam.

فَأَيْنَ تَذْهَبُونَ ٢٦

(Dengan yang demikian) maka ke manakah kamu hendak pergi (kiranya kamu masih menyeleweng dari jalan Al-Quran)?

إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرٌۭ لِّلْعَـٰلَمِينَ ٢٧

Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam:

لِمَن شَآءَ مِنكُمْ أَن يَسْتَقِيمَ ٢٨

Iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan (Islam) yang betul.

وَمَا تَشَآءُونَ إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ رَبُّ ٱلْعَـٰلَمِينَ ٢٩

Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.


Pengajaran

  1. Allah SWT bersumpah dengan ciptaanya malam , bintang-bintang dan siang bertujuan menempelak mereka yang tetap memilih jalan fasik dengan mengikuti kata-kata syaitan dan kuncunya walau telah diberi akal untuk berfikir dan panduan serta ingatan dalam al Quran. Golongan ini masih terpasung dengan hawa nafsu.
  2. Allah SWT menyebut ciptaanNya yang nampak di mata manusia supaya manusia berfikir akan kekuasaanNya, agar manusia taat.
  3. Al Quran adalah kalam Allah SWT yang disampaikan oleh Jibril kepada Nabi Muhamad s.a.w. petunjuk dari Allah SWT kepada seluruh manusia.
  4. Wajib bagi kita mengikuti ajaran Nabi Muhammad s.a.w yang bersumber wahyu dari Allah SWT
  5. Beruntung bagi mereka yang mengikuti jalan taqwa dengan menjadikan al Quran, kalam Allah SWT sebagai panduan kehidupan. Golongan ini golongan yang merdeka, lega di dunia dan akhirat.



RESOLUSI 

Ingat !!

1. Hapuskan amalan jahiliah yang masih menular walau negara telah kemerdekaan.

2. Imani dan teladani sifat malaikat yang mulia lagi taat kepada segala perintah Allah SWT.

3.     Jadi manusia yang bijak dengan menyebarkan ilmu yang baik kepada manusia lain.


Lega kerana Allah SWT sentiasa memberi peringatan kepada hambaNya dalam al Quran akan kepentingan Al Quran. 

Lega rasa diri, Allah SWT tidak pernah jemu menggambarkan keadaan hari kiamat dan hari pembalasan supaya manusia membaca, memahami dan mengambil tindakan dari ayat-ayat yang manusia baca dan manusia dengar. Allah SWT saat cinta kepada hambaNya yang membuat pilihan terbaik buat kehidupan di dunia dan akhirat berpandukan kalamNya, al Quran.

Saya jelas untuk beriman dengan al Quran dan hari kiamat . Saya juga jelas untuk berasa gerun dengan  hari kiamat kerana ia sepatutnya menjadikan saya lebih taat dan bersedia menghadapinya. 

Saya jelas untuk sentiasa memerdekakan diri dari amalan jahiliah dan dari mengikut hawa nafsu yang menyesat.

Saya jelas bahawa matlamat kehidupan saya adalah mendapat cinta dan redha Allah SWT di dunia dan akhirat dengan cara baca, faham, amal panduan kehidupan dari Allah SWT iaitu al Quran.

Ya Allah, jadikan kami orang beriman yang sentiasa mensyukuri nikmat yang Engkau kurniakan dan rezekikan kami sentiasa memperelokkan ibadah kami kepada Mu.

Rezekikan kami membaca ,faham dan amal kalam Mu siang dan malam.

Hiasi akhlak kami dengan akhlak al Quran.

Kurniakan kami hati yang yakin dengan kebesaran dan kehebatan Mu agar kami sentiasa gerun dengan azab kematian dan hari kiamat sehingga menghasilkan ketaatan. 

Ya Allah, bantu kami untuk berpegang teguh kepada agama Mu supaya kami selamat di dunia dan selamat di akhirat. 

Ya Allah,  kurniakan kami kemerdekaan yang sebenar di dunia dan akhirat dengan beroleh redha Mu dan jauhi kami dari azab neraka Mu

Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...