Monday, December 11, 2023

Halaman 590 : Al Buruj : 85 : 1-22

 


PERKATAAN HARI INI 

نَقَمُ =   membalas , membenci, menyiksa

Diulang  17 kali sahaja di dalam Al-Quran


SINOPSIS   

1.    Bersumpah dengan banyak hal besar untuk melaknat Ashaabul Ukhdud [85 :1-9].

2.    Azab bagi orang berbuat zalim dan kemenangan bagi orang berbuat kebaikan [85 :10-11]

3.    Kebesaran dan kekuasaan Allah SWT untuk menguatkan janji dan ancaman [85 :12-16]

4.    Ambil pelajaran dari kehancuran umat terdahulu [85 :17-22]



Mukadimah


Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah SWT kita masih diberi peluang untuk menghargai hidayah Allah. Semoga dengan membaca, memahami dan beramal dengan al-Quran, kita semakin dekat dengan Allah SWT. 

Surah al Buruj, surah ke lapan puluh lima dalam susunan al Quran, berada  dalam Juzuk Tiga Puluh yang menagndungi tiga puluh enam surah. Hanya  Surah An Nasr , Surah Madaniyyah.  Tiga puluh lima surah yang lain adalah Surah Makiyyah, 

Surah Makiyyah adalah surah yang memasakkan akidah. yang menyentuh memberi faham dan kenal oleh manusia akan Allah SWT Tuhan Yang Esa , Nabi Muhammad s.a.w , rasulullah yang ditugaskan membawa risalah agama ini dan hari kiamat, hari pembalasan atas segala amal perbuatan manusia di dunia.  Surah Makiyyah ayatnya pendek dan berirama. Manakala surah Madaniyyah ayatnya panjang dan isinya memberi penekanan kepada yang selain akidah seperti penyelarasan ibadah, muamalat ,perundangan dan lainnya.

Allah SWT bersumpah dengan ciptaannya iaitu langit dan gugusan bintang yang menjadi panduan mereka yang mengembara di lautan dan padang pasir . Allah SWT juga bersumpah dengan hari yang dijanjikan. Allah SWT mahukan manusia untuk manusia menggunakan kehidupan mereka untuk persiapan bekalan hari saksi dan persaksian , iaitu hari pembalasan.


Ayat [ 85 :1-9]

وَٱلسَّمَآءِ ذَاتِ ٱلْبُرُوجِ ١

Demi langit yang mempunyai tempat-tempat peredaran bintang-bintang;

وَٱلْيَوْمِ ٱلْمَوْعُودِ ٢

Dan hari (pembalasan) yang dijanjikan;

وَشَاهِدٍۢ وَمَشْهُودٍۢ ٣

Dan makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu, serta segala keadaan yang disaksikan; -

قُتِلَ أَصْحَـٰبُ ٱلْأُخْدُودِ ٤ 

Celakalah kaum yang menggali parit,

ٱلنَّارِ ذَاتِ ٱلْوَقُودِ ٥ 

(Parit) api yang penuh dengan bahan bakaran,

إِذْ هُمْ عَلَيْهَا قُعُودٌۭ ٦ 

(Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya,

وَهُمْ عَلَىٰ مَا يَفْعَلُونَ بِٱلْمُؤْمِنِينَ شُهُودٌۭ ٧

Sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang-orang yang beriman.

وَمَا نَقَمُوا۟ مِنْهُمْ إِلَّآ أَن يُؤْمِنُوا۟ بِٱللَّهِ ٱلْعَزِيزِ ٱلْحَمِيدِ ٨ 

Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!

ٱلَّذِى لَهُۥ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ شَهِيدٌ ٩ 

Tuhan yang menguasai segala alam langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu.


Pengajaran

  1. Allah SWT bersumpah dengan langit dan gugusan bintang yang yang menjadi panduan manusia dalam pengembaraan di padang pasir dan lautan. Allah SWT Maha Bijaksana dan Berkuasa mencipta segala sesuatu dengan segala fungsi untuk manafaat kehidupan manusia.
  2. Allah SWT mahu supaya manusia mengambil perhatian dan mengambil pengajaran akan kekuasaanNya Allah SWT supaya manusia taat dalam setiap manafaat yang mereka gunakan dari ciptaan Allah SWT.
  3. Allah SWT bersumpah juga dengan hari saksi dan persaksian , iaitu hari pembalasan, hari yang pasti berlaku agar manusia sentiasa beringat dalam setiap tindakan mereka yang menghasilkan persediaan menghadapi hari hisab dan hari pembalasan itu.
  4. Perkhabaran kisah assahabul ukhdud , kelompok yang suka menyiksa dan melihat orang mukmin disiksa itu , kisahnya akan berulang sehingga hari kiamat, contoh kezaliman zionist kepada orang Palestin. Muga kita dilindungi Allah SWT dari kaum yang zalim dan sekutunya.
  5. Allah SWT mahu supaya mukmin yang sedang diuji di zaman ar RAsul s.a.w dan mukmin zaman sekarang mengambil ikhtibar dari keteguhan iman mukmin assabul ukhdud yang diuji ketika itu supaya tetap dijalan keimanan walau apa pun yang berlaku hatta masih kanak-kanak.
  6. Allah SWT mahu manusia menerimaNya sebagai tuhan yang maha kuasa dan sumber rujukan dan kepatuhan. 
  7. Mukmin sebenar akan menyeru kepada kebenaran dan mencegah kemungkaran kerana keimanan yang gitu kepada  Allah SWT yang maha perkasa lagi maha terpuji. . Golongan ini akan dimusuhi oleh mereka yang mengikuti hawa nafsu baik dari dari golongan muslim atau golongan kafir. 
  8. Keyakinan kepada kekuasaan Allah SWT dan Allah SWT maha memerhatikan segala sesuatu itu menguatkan keimanan mukmin dalam menghadapi segala ujian. Mukmin hanya perlu laksanakan tanggungjawab sebagai mukmin, tidak perlu mempersoalkan kehendak Allah SWT .
  9. Allah SWT pasti akan membalas kezaliman dan kekejaman zionist dan cuncunya serta mereka yang seangkatan dengan mereka di mana jua pada masa dan waktu yang terbaik  samada di dunia mahu pun di akhirat.



Ayat [ 85 :10-11]


إِنَّ ٱلَّذِينَ فَتَنُوا۟ ٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتِ ثُمَّ لَمْ يَتُوبُوا۟ فَلَهُمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمْ عَذَابُ ٱلْحَرِيقِ ١٠ 

Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka Jahannam (kerana perbuatan buruk itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat).

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَهُمْ جَنَّـٰتٌۭ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ ۚ ذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْكَبِيرُ ١١

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar.

Pengajaran

  1. Allah SWT akan mengazab dengan azab neraka Jahanam mereka yang menyiksa mukmin sekiranya mereka tidak bertaubat. Jauhi sifat keji memusuhi mukmin yang beramal soleh.
  2. Allah SWT mengurniakan kejayaan sebenar iaitu anugerah syurga bagi mukmin yang beramal soleh dan istiqomah dengannya walau menerima tentangan. Maka berusahalah kita menjadi mukmin yang istiqomah beriman dan yang beramal soleh ( menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran)


Ayat [ 85 :12-16]

إِنَّ بَطْشَ رَبِّكَ لَشَدِيدٌ ١٢ 

Sesungguhnya azab Tuhanmu (terhadap orang-orang yang kufur ingkar) amatlah berat.

إِنَّهُۥ هُوَ يُبْدِئُ وَيُعِيدُ ١٣ 

Sesungguhnya Dia lah yang menciptakan (sekalian makhluk) pada mulanya, dan yang mengembalikannya (hidup semula sesudah mati).

وَهُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلْوَدُودُ ١٤ 

Dan Dia lah yang Maha Pengampun, lagi Maha Pengasih.

ذُو ٱلْعَرْشِ ٱلْمَجِيدُ ١٥ 

Tuhan yang mempunyai Arasy yang tinggi kemuliaannya,

فَعَّالٌۭ لِّمَا يُرِيدُ ١٦

Yang berkuasa melakukan segala yang dikehendakinya.


Pengajaran

  1. Allah SWT memaklumkan kepada Nabi Muhammad s.a.w dan umatnya bahwa Allah SWT itu yang menghidupkan dan mematikan dan menghidupkan semula manusia untuk dibalas amal perbuatannya. Maka siapkan bekalan kita untuk hari kematian dan hari pembalasan.
  2. Allah SWT memaklumkan kepada Nabi Muhammad s.a.w dan umatnya bahwa Allah SWT itu bersifat maha pengampun dan maha pengasih . Maka sekiranya kita tersilap atau sesiapa sahaja yang tersilap , segeralah bertaubat dan memohon keampunan dan kasih sayang  Allah SWT.
  3. Allah SWT memaklumkan kepada Nabi Muhammad s.a.w dan umatnya bahwa Allah SWT itu bersifat maha berkuasa melakukan sesuatu kehendaknya. Azab bagi mereka yang tetap engkar dan yang menzalimi mukmin itu amat keras. Maka bersenang hatilah mukmin yang dizalimi bahawa mereka yang menzalimi akan menerima azab pedih dari Allah SWT.


Ayat [ 85 :17-22]

هَلْ أَتَىٰكَ حَدِيثُ ٱلْجُنُودِ ١٧ 

Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal (kebinasaan yang telah menimpa) kaum-kaum yang menentang (Rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka)?

فِرْعَوْنَ وَثَمُودَ ١٨

(Mereka itu ialah kaum) Firaun, dan Thamud (kaum Nabi Soleh).

بَلِ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ فِى تَكْذِيبٍۢ ١٩ 

(Kaummu wahai Muhammad, bukan sahaja menolak ajaranmu), bahkan orang-orang yang kafir itu terus tenggelam dalam keadaan mendustakan kebenaran;

وَٱللَّهُ مِن وَرَآئِهِم مُّحِيطٌۢ ٢٠ 

Sedang Allah, dari belakang mereka, melingkungi mereka (dengan kekuasaanNya)!

بَلْ هُوَ قُرْءَانٌۭ مَّجِيدٌۭ ٢١

(Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya;

فِى لَوْحٍۢ مَّحْفُوظٍۭ ٢٢

(Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Lauh Mahfuz.


Pengajaran

  1. Allah SWT memberi semangat kepada ar Rasul s.a.w dan umatnya bahawa penolakan mereka yang diseru adalah kerana mereka mendustakan kebenaran Islam dari Allah SWT. Teruskan berdakwah dengan hikmah dan kesabaran. Hasilnya adalah hak Allah SWT.
  2. Al Quran itu kalam Allah SWT yang memiliki arash yang mulia. Maka berusaha kita menjadi sahabat al Quran petunjuk kehidupan mukmin. Muga dengan mengamalkan ajaran AL Quran kita mendapat kemuliaan dari Allah SWT yang maha mulia.


    RESOLUSI 

    Ingat !!

    1. Tetap teguh dan sabar menghadapi ujian samada suka apatah lagi duka dan penyiksaan.

    2. Jauhi perbuat dosa dan bersegera menyesalinya dan bersegara bertaubat.

    3.    Sentiasa menasihati diri dan orang lain untuk meninggalkan perkara yang membawa murka Allah.


    Lega rasa diri, Allah SWT mengingatkan lagi supaya manusia bersegera dalam mengambil tindakan dari panduan al Quran setelah mendengar, membaca dan memahaminya kerana ia panduan kehidupan dalam suka mahupun duka.

    Lega saya bahawa Allah SWT yang maha kuasa sentiasa bersama mereka yang dizalimi.

    Saya juga lega Allah SWT itu maha pengampun atas segala kesilapan saya.


    Saya jelas untuk istiqomah beriman dan mengerjakan amal soleh berlandaskan Al Quran , menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Hasil seruan saya adalah milik Allah SWT.

    Saya juga jelas bersegera membuat persiapan untuk taat sepanjang fasa kehidupan  menuju hari kiamat dan hari pembalasan supaya selamat dari azab api neraka.

    Saya jelas bahawa matlamat kehidupan saya adalah mendapat cinta dan redha Allah SWT di dunia dan akhirat beroleh kejayaan sebenar dengan beroleh syurga.

    Ya Allah, jadikan kami orang beriman yang sentiasa mensyukuri nikmat yang Engkau kurniakan dan rezekikan kami sentiasa memperelokkan ibadah kami kepada Mu dengan akhlak al Quran.

    Rezekikan kami membaca ,faham dan amal kalam Mu siang dan malam supaya kami taat dan berakhlak dengan akhlak al Quran

    Ya Allah hisablah kami dengan hisab yang dipermudahkan.

    Ya Allah, bantu kami dan ahli keluarga kami dan pemimpin kami untuk istiqomah berpegang teguh kepada agama Mu agar selamat dari tipu daya kehidupan dunia dan beroleh redha dan syurgaMu di akhirat.

    Selamatkan kami dan ahli keluarga kami dan pemimpin di dunia dan selamat di akhirat  dari api neraka dengan beroleh syurga.

    Ya Allah,  kurniakan kami kemerdekaan yang sebenar di dunia dan akhirat dengan beroleh redha Mu dan jauhi kami dari azab neraka Mu

    Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


    Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

      Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...