PERKATAAN HARI INI
Diulang 5 kali sahaja di dalam Al-Quran
SINOPSIS
- Kepastian azab kepada orang kafir dan kebinasaan kaum A'd, Thamud dan firaun [1-14]
- Kehinaan kepada manusia yang tidak utamakan akhirat dan lebihkan kesenangan duniawi [ 15-20]
- Kegoncangan bumi dan terlambat sudah kesedaran manusia pada hari kiamat [21-23].
- Kesalan manusia yang tidak berguna lagi dan seruan jiwa yang tenang terima keredaanNya [24-30]
Mukadimah
Surah al Fajr, surah ke lapan puluh sembilan dalam susunan al Quran, berada dalam Juzuk Tiga Puluh yang mengandungi tiga puluh enam surah. Hanya Surah An Nasr , Surah Madaniyyah. Tiga puluh lima surah yang lain adalah Surah Makiyyah,
Surah Makiyyah adalah surah yang memasakkan akidah, yang menyentuh memberi faham dan kenal oleh manusia akan Allah SWT Tuhan Yang Esa, Nabi Muhammad s.a.w, rasulullah yang ditugaskan membawa risalah agama ini dan hari kiamat iaitu hari pembalasan atas segala amal perbuatan manusia di dunia. Surah Makiyyah ayatnya pendek dan berirama. Manakala surah Madaniyyah ayatnya panjang dan isinya memberi penekanan kepada yang selain akidah seperti penyelarasan ibadah, muamalat, perundangan dan lainnya.
Surah al Fajr Allah SWT awali bersumpah dengan waktu ciptaannya iaitu waktu fajar, waktu sepuluh malam (ramadhan & zulhijjah), bilangan genap dan ganjil (bilangan rakaat solat wajib dan sunat, sepuluh akhir ramadhan, awal zulhijjah hingga hari tasyrik), dan waktu malam yang berlalu.
Bila ayat dimulai dengan sumpah, Allah SWT mahukan manusia yang membacanya memberi fokus akan isu yang Allah SWT akan ketengahkan. Ayat ini mengandungi pengajaran dan manafaat penting kepada manusia supaya digunakan dalam kehidupan mereka membuat persiapan bekalan hari saksi dan persaksian, iaitu hari pembalasan.
Ayat [ 89 :1-5]
وَٱلْفَجْرِ ١
Demi waktu fajar;
وَلَيَالٍ عَشْرٍۢ ٢
Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah);
وَٱلشَّفْعِ وَٱلْوَتْرِ ٣
Dan bilangan yang genap serta yang ganjil;
وَٱلَّيْلِ إِذَا يَسْرِ ٤
Dan malam, apabila ia berlalu; -
هَلْ فِى ذَٰلِكَ قَسَمٌۭ لِّذِى حِجْرٍ ٥
Bukankah yang demikian itu mengandungi sumpah (yang diakui kebenarannya) oleh orang yang berakal sempurna?
Pengajaran
- Allah SWT bersumpah dengan empat perkara di awal surah ini . Maka kita perlu perhatikan kepada sumpah Allah itu akan topik yang difokus bagi mengambil peringatan dan manafaatnya
- Fokus pada pengajaran dan manafaat sumpah tersebut : waktu fajar, sepuluh malam (sepuluh hari awal Zulhijjah sepuluh malam awal, pertengahan dan akhir Ramadhan) , yang genap dan ganjil, dan waktu malam bila berlalu.
- Allah SWT saat menggesa manusia itu berfikir akan peredaran masa bermula dari hari dengan waktu fajar, hingga perjalanan tahun dan kembali kepada hari siang dan diakhiri dengan berlalunya malam supaya semuanya dimanafaatkan sebaiknya bagi kebaikan dunia dan akhirat.
- Masa itu terus berjalan dan proses itu akan berputar dan berulang. Pastikan kita mendapat memanafaatkan peluang tersebut.
- Masyarakat yang berjaya adalah mereka yang memulakan harinya dengan menghidupkan waktu fajar (subuh) yang penuh keberkatan dengan kebaikan, seperti bangun awal dan menunaikan solat subuh . Penuh pengharapan kepada Allah SWT supaya berkati usahanya dalam kehidupan.
- Masyarakat yang berjaya juga memberi tumpuan dan menghidupkan sepuluh awal hari Zulhijjah dan hari-hari tasyrik baik hari yang ganjil maupun yang genap bagi memperoleh janji-janji Allah sekali setahun.
- Masyarakat yang berjaya juga memberi tumpuan dan menghidupkan sepuluh malam Ramadhan yang awal , sepuluh malam kedua dan sepuluh malam akhir Ramadhan terutama malam yang ganjil bagi menggarap segala keberkatan yang Allah SWT janjikan juga sekali setahun.
- Masyarakat yang berjaya juga memberi tumpuan kepada yang genap dan ganjil . Genap dan ganjil adalah perbezaan penting dalam kehidupan manusia yang saling melengkap. Tunaikan solat wajib dan solat sunat setiap siang dan malam. Solat itu ada bilangan yang genap dan ganjil . Ini adalah saat berdoa dan berdampingan dengan Allah disela kesibukan masa dengan kehidupan seharian.
- Masyarakat yang berjaya juga memberi tumpuan kepada yang malam bila berlalu . Manusia yang menggunakan akal waktu malam untuk membaiki diri dalam semua segmen kehidupan sebelum fajar membelah malam iaitu bila siang menjelma bagi penerusan hari seterusnya. Berusaha kita memanaatkan waktu malam sebaiknya bukan sahaja untuk berehat malah menyusun strategi bagi penerusan kehidupan di dunia sementara , bahkan untuk ke lestarian kehidupan di akhirat yang kekal abadi.
- Mereka ini yang mengambil peringatan Allah SWT ini adalah mereka yang berakal sempurna di sisi Allah SWT. Muga kita tergolong dalam golongan mereka yang berakal sempurna bermula dengan memanafaatkan waktu malam dan setiap fasa masa yang akan berlalu.
(Kami tetap akan membinasakan orang-orang yang menentangmu wahai Muhammad), tidakkah engkau perhatikan, bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum Aad (yang kufur derhaka)
إِرَمَ ذَاتِ ٱلْعِمَادِ ٧
Iaitu penduduk "Iram" yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya, (sesuai dengan penduduknya)
ٱلَّتِى لَمْ يُخْلَقْ مِثْلُهَا فِى ٱلْبِلَـٰدِ ٨
Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di segala negeri (pada zamannya)?
وَثَمُودَ ٱلَّذِينَ جَابُوا۟ ٱلصَّخْرَ بِٱلْوَادِ ٩
Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadil-Qura iaitu tempat tinggalnya)
وَفِرْعَوْنَ ذِى ٱلْأَوْتَادِ ١٠
Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh?
ٱلَّذِينَ طَغَوْا۟ فِى ٱلْبِلَـٰدِ ١١
(Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing).
فَأَكْثَرُوا۟ فِيهَا ٱلْفَسَادَ ١٢
Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu.
فَصَبَّ عَلَيْهِمْ رَبُّكَ سَوْطَ عَذَابٍ ١٣
Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka berbagai paluan azab;
إِنَّ رَبَّكَ لَبِٱلْمِرْصَادِ ١٤
Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas, (terutama balasan akhirat)
Pengajaran
- Allah SWT memberi contoh kaum yang mensia-siakan masa yang berlalu dan akal yang diberi dengan terus engkar kepada Allah SWT. Mereka menggunakan akal yang bijak dengan mencipta teknologi hebat di zaman mereka untuk kehidupan dunia. Namun mereka tidak menggunakan akal untuk taat pada seruan para rasul dikalangan mereka, malah mereka golongan yang engkar dan melampau berbuat berbagai kerosakan. Elak diri kita dari jadi golongan yang engkar seperti mereka.
- Allah SWT catatkan kaum yang engkar ini dalam surah ini dimulai dengan kaum Aad iaitu penduduk Iram yang mempunyai teknologi bangunan bertiang tinggi. Kaum Thamud yang memahat batu untuk tempat tinggal mereka di Wadi Qura. Firaun dengan bangunan kukuh dan hebat seperti piramid. Peringatan buat kita yang hidup di zaman teknologi tanpa sempadan ini supaya tidak mendabik dada dan engkar seperti kaum yang terdahulu .
- Allah SWT musnahkan mereka dengan azabNya di dunia lagi dan di akhirat nanti walau sehebat mana kehebatan kaum tersebut kerana mereka melampau menolak para rasul dikalangan mereka. Mereka juga melampau melakukan berbagai keengkaran kepada Allah SWT dan kerosakan di mukabumi.
- Allah SWT tinggalkan sebahgian dari kesan sejarah kaum tersebut untuk kita ambil iktibar supaya beriman dan taat padaNya. Gunakan akal bagi kemajuan kehidupan di dunia dan untuk keselamatan di akhirat bersama ketaatan kepada seruan Rasulullah s.a.w untuk beriman pada Allah SWT.
- Sejarah para rasul terdahulu dan kaumnya Allah SWT nukilkan untuk memberi motivasi kepada Rasullullah s.a.w dalam usaha dakwah baginda bahawa Allah SWT sentiasa mengawasi dan membalas mereka yang engkar , jika tidak di dunia di akhirat nanti.
- Sehebat dan semelampau mana tentangan dari mereka yang engkar dan setinggi mana teknologi yang mereka ada, Allah SWT itu kehebatanNya mengatasi segalanya dan azabNya amat pedih. Allah SWT tempat kita mengadu dan memohon pertolongan.
- Motivasi ini untuk Rasulullah s.aw dan kepada kita di zaman ini untuk terus melakukan dakwah walau menerima tentangan hebat .
- Sentiasa kita gunakan akal untuk istiqomah merancang dan melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT dengan memberi tumpuan pada fasa-fasa masa dalam hari dan tahun supaya kita tidak terlepas peluang yang Allah SWT beri.
- Manafaatkan setiap fasa masa tersebut untuk mendapat kekuatan dan hidayahNya bagi meneruskan dakwah di era kemodenan teknologi tinggi dan dunia tanpa sempadan sekarang ini.
- Teruskan usaha berdakwah dan membela Islam di mana jua kita berada dengan apa jua yang kita ada. Kita serahkan hasil usaha kita dan musuh-musuh Islam seperti zionis kepada Allah SWT.
- Serahkan tentangan mereka yang engkar kepada Allah SWT yang maha mengawas dan maha membalas. Balasan tersebut jika tidak di dunia , pastinya di akhirat dengan azab yang amat pedih.
Ayat [ 89 :15 -26]
فَأَمَّا ٱلْإِنسَـٰنُ إِذَا مَا ٱبْتَلَىٰهُ رَبُّهُۥ فَأَكْرَمَهُۥ وَنَعَّمَهُۥ فَيَقُولُ رَبِّىٓ أَكْرَمَنِ ١٥
(Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: "Tuhanku telah memuliakan daku!"
وَأَمَّآ إِذَا مَا ٱبْتَلَىٰهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُۥ فَيَقُولُ رَبِّىٓ أَهَـٰنَنِ ١٦
Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!"
كَلَّا ۖ بَل لَّا تُكْرِمُونَ ٱلْيَتِيمَ ١٧
Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang-orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang Ia berhak menerimanya);
وَلَا تَحَـٰٓضُّونَ عَلَىٰ طَعَامِ ٱلْمِسْكِينِ ١٨
Dan kamu tidak menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin;
وَتَأْكُلُونَ ٱلتُّرَاثَ أَكْلًۭا لَّمًّۭا ١٩
Dan kamu sentiasa makan harta pusaka secara rakus (dengan tidak membezakan halal haramnya),
وَتُحِبُّونَ ٱلْمَالَ حُبًّۭا جَمًّۭا ٢٠
Serta kamu pula sayangkan harta secara tamak haloba!
كَلَّآ إِذَا دُكَّتِ ٱلْأَرْضُ دَكًّۭا دَكًّۭا ٢١
Jangan sekali-kali bersikap demikian! (Sebenarnya) apabila bumi (dihancurkan segala yang ada di atasnya dan) diratakan serata-ratanya,
وَجَآءَ رَبُّكَ وَٱلْمَلَكُ صَفًّۭا صَفًّۭا ٢٢
Dan (perintah) Tuhanmu pun datang, sedang malaikat berbaris-baris (siap sedia menjalankan perintah),
وَجِا۟ىٓءَ يَوْمَئِذٍۭ بِجَهَنَّمَ ۚ يَوْمَئِذٍۢ يَتَذَكَّرُ ٱلْإِنسَـٰنُ وَأَنَّىٰ لَهُ ٱلذِّكْرَىٰ ٢٣
Serta diperlihatkan neraka Jahannam pada hari itu, (maka) pada saat itu manusia akan ingat (hendak berlaku baik), dan bagaimana ingatan itu akan berguna lagi kepadanya?
يَقُولُ يَـٰلَيْتَنِى قَدَّمْتُ لِحَيَاتِى ٢٤
Ia akan berkata: "Alangkah baiknya kalau aku dahulu sediakan amal-amal baik untuk hidupku (di sini)!"
فَيَوْمَئِذٍۢ لَّا يُعَذِّبُ عَذَابَهُۥٓ أَحَدٌۭ ٢٥
Maka pada hari itu tiada sesiapapun yang dapat menyeksa seperti azab (yang ditimpakan oleh) Allah.
وَلَا يُوثِقُ وَثَاقَهُۥٓ أَحَدٌۭ ٢٦
Dan tiada sesiapapun yang dapat mengikat serta membelenggu seperti ikatan dan belengguNya.
- Allah SWT, صَبَّ , menuangkan , menimpakan , mencurahkan azabnya kepada manusia yang memilih fahaman salah atas kurniaan rezeki dari Allah. Fahaman salah itu adalah sekiranya kaya dan berkuasa tanda Allah angkat darjat , miskin dan lemah pula tanda Allah hina.
- Luas atau sempit rezeki yang diberikan Allah SWT kepada manusia bukan tanda kemuliaan atau penghinaan. Sebaliknya ia adalah ujian samada yang menerima itu syukuri nikmat dengan taat atau kufuri nikmat dengan kufur. Ia juga ujian kepada yang melihat perkara tersebut bila ia memberi kesan kepada jiwa.
- Kaum terdahulu , A'ad, Thamud dan Fir'aun merasa dimuliakan Allah SWT dengan kekayaan dan kehebatan mereka lalu menzalimi diri mereka sendiri dengan sombong dan menzalimi orang lain serta kufur engkar pada Allah SWT. Bagaimana kita ?
- Allah SWT nyatakan antara sifat orang kufur nikmat : takbur, sombong , tidak memuliakan anak yatim dan menghalang hak anak yatim, tidak menggalakan memberi makan orang miskin yang mereka layak menerimanya, makan harta pusaka dengan cara haram dan tamak haloba pada harta. Muga kita terhindar dari sifat tercela tersebut.
- Orang yang Allah SWT muliakan adalah orang yang bertaqwa.
- Syukuri segala rezeki yang Allah SWT kurniakan kepada kita dengan beriman dan taqwa.
- Jauhi sifat mementingkan diri. Jauhi sifat tamak haloba, takbur dan sombong .
- Elakkan diri dari makan harta secara haram.
- Uruskan harta dengan baik dan infakkan rezeki kepada jalan Allah SWT.
- Santuni mereka yang lemah dan yang memerlukan seperti anak yatim dan orang miskin.
- Ikuti nasihat Allah SWT supaya kita tidak menyesal di akhirat apabila melihat neraka, iaitu tempat bagi mereka yang tidak menghiraukan balasan akhirat. Ya Allah jauhi kami dari sesuatu yang menghampirkan kami kepada neraka mu.
Ayat [ 89 : 27-30]
يَـٰٓأَيَّتُهَا ٱلنَّفْسُ ٱلْمُطْمَئِنَّةُ ٢٧
(Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! -
ٱرْجِعِىٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةًۭ مَّرْضِيَّةًۭ ٢٨
"Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) !
فَٱدْخُلِى فِى عِبَـٰدِى ٢٩
"Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia -
وَٱدْخُلِى جَنَّتِى ٣٠
"Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! "
Pengajaran
- Allah SWT menyambut hambaNya di syurga, iaitu mereka yang beriman dan bertaqwa, yang takut balasan hari akhirat dan istiqomah beramal soleh .
- Allah SWT sediakan di syurga kepada hambaNya yang bertaqwa dengan nikmat syurga yang amat memuaskan hati hambaNya, nikmat yang tidak terhingga dan tidak terduga.
- Berusaha kita istiqomah beriman, bertaqwa dan melakukan sesuatu yang menghampirkan kepada syurga Allah. Muga kita tergolong dalam hambaNya yang beroleh redhaNya dengan berhati tenang di dunia dan di akhirat.
RESOLUSI
Ingat !!
- Bina taqwa dengan manafaatkan waktu malam dan fasa waktu yang akan berlalu. (1-5)
- Bina negara yang bersih dari kemungkaran dan kezaliman. (12)
- Syukur saat diuji dengan kekayaan dan sabar saat diuji dengan kesusahan. (15-16)
- Kongsi rezeki pada fakir miskin dan orang sekeliling.(20)
Lega rasa diri, Allah SWT mengingatkan lagi supaya manusia bersegera dalam mengambil tindakan dari panduan al Quran setelah mendengar, membaca dan memahaminya kerana ia panduan kehidupan dalam suka mahupun duka.
Lega saya bahawa Allah SWT yang maha kuasa sentiasa bersama mereka yang dizalimi.
Saya juga lega Allah SWT itu maha pengampun atas segala kesilapan saya.
Saya jelas untuk istiqomah beriman dan mengerjakan amal soleh berlandaskan Al Quran , menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Hasil seruan saya adalah milik Allah SWT.
Saya juga jelas bersegera membuat persiapan untuk taat sepanjang fasa kehidupan menuju hari kiamat dan hari pembalasan supaya selamat dari azab api neraka.
Saya jelas bahawa matlamat kehidupan saya adalah mendapat cinta dan redha Allah SWT di dunia dan akhirat beroleh kejayaan sebenar dengan beroleh syurga. Tenang di dunia dan akhirat.
Ya Allah, jadikan kami orang beriman yang sentiasa bertaqwa , mensyukuri nikmat yang Engkau kurniakan dan rezekikan kami sentiasa memperelokkan ibadah kami kepada Mu dengan akhlak al Quran.
Rezekikan kami membaca, faham dan amal kalam Mu siang dan malam supaya kami taat dan berakhlak dengan akhlak al Quran dan sentiasa tenang dan istiqomah dengan petunjuk mu.
Ya Allah hisablah kami dengan hisab yang dipermudahkan.
Ya Allah, bantu kami dan ahli keluarga kami dan pemimpin kami untuk istiqomah berpegang teguh kepada agama Mu agar selamat dari tipu daya kehidupan dunia dan beroleh redha dan syurgaMu di akhirat.
Selamatkan kami dan ahli keluarga kami dan pemimpin di dunia dan selamat di akhirat dari api neraka dengan beroleh syurga.
Ya Allah, kurniakan kami redha mu dengan beroleh negara yang diberkati di dunia dan beroleh syurga mu di akhirat nanti.
Pilihlah kami dikalangan hamba mu yang engkau panggil dengan panggilan
يَـٰٓأَيَّتُهَا ٱلنَّفْسُ ٱلْمُطْمَئِنَّةُ
Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.