Saturday, July 1, 2023

Halaman 164: Al-A'raf, 7:105-120

PERKATAAN HARI INI


 نَزَعَ Membebaskan, menarik sesuatu. 

20 kali disebut dalam al-Quran.


SINOPSIS   

Sambungan kisah Nabi Musa A.S. (105-116)

Berimannya ahli-ahli sihir kepada Allah SWT tuhan semesta alam (117-120)


CATATAN (BACA-FAHAM-AMAL)  

سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

"Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana"

رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا

"Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku"


MUQADDIMAH

Alhamdulillah, kita bertemu di hari Jumaat yang barakah ini untuk terus bersama dengan al-Quran. Kita membaca surah al-Kahf ayat 1

 ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ ٱلْكِتَٰبَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُۥ عِوَجَا

 "Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong)". 

Kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW kita juga mahu meluruskan apa yang bengkok di hati dan perasaan kita. 

Hari ini kita menyambung pada halaman 164. Semoga kita lebih bersemangat menjejak junjungan rasul Nabi Musa a.s dalam kehidupan kita. Kisah Nabi Musa as ada kaitan dengan politik. Pada zaman Firaun berlaku darurat yang amat tinggi sebab politik. Politik/siasah ini jika diurus dengan baik akan membawa ke syurga. Tapi kalau bergaduh, mementingkan diri sendiri atau terlibat dengan rasuah, itu akan membawa kepada kehancuran. 

Ummul Quran dibaca untuk menyemak dari semasa ke semasa bahawa kita memohon hidayah agar berada di jalan yang lurus untuk bersama para nabi, syuhadak, solihin dan sidiqqin seperti yang tersebut di dalam surah an-Nisa'. 

Kita menjejak kisah nabi-nabi dalam surah al-A'raf ini untuk kita lihat bahawa ujian kepada mereka adalah ujian untuk kita juga. Contohnya, kisah Nabi Syuaib as skopnya ekonomi, Nabi Hud as tentang orang yang sombong dengan badan yang besar dan kuat, Nabi Lut as tentang orang yang terlibat dengan hubungan sesama jenis yang tidak diizinkan oleh Allah SWT, dan Nabi Soleh as tentang orang yang ada air sedikit tetapi tidak mahu berkongsi dengan unta yang merupakan perintah daripada Allah.

Nabi Musa as pula berkaitan dengan politik dan kepimpinan. Kita akan ambil pelajaran, siapa ahli sihir di zaman ini, Nabi Musa as itu siapa di zaman ini dan Firaun itu siapa di zaman ini?

Terdapat banyak قَالَ di permulaan ayat-ayat di halaman ini. Allah merakamkan perbualan Nabi Musa as dengan Firaun dan Firaun dengan pembesar-pembesarnya. Ayat-ayat ini adalah untuk memujuk Nabi SAW yang berada dalam keadaan tegang, begitu juga untuk kita sekarang yang sedang menghadapi darurat politik. Rupa-rupanya Nabi Musa as juga telah menghadapi cabaran politik pada zamannya. 

Pada ayat 103-104 kita melihat  Nabi Musa as menyatakan kepada Firaun yang beliau adalah utusan Allah.  Firaun menuduh Nabi Musa pendusta. Nabi Musa menjawab beliau bukan begitu. Bukan jenis yang suka 'kipas-kipas', suka menzalimi, atau bagi nasihat yang tak betul. Nabi Nuh, Nabi Hud, Nabi Lut dan Nabi Syuaib tak ada mukjizat. Nabi Shuaib ada mukjizat. Nabi Musa juga ada mukjizat yang akan diceritakan pada halaman ini. 

Al-Quran adalah mukjizat untuk Nabi Muhammad SAW dan untuk kita. Dalam menguruskan isu-isu di zaman ini, kita hendaklah mencontohi Nabi Muhammad SAW yang menggunakan kombinasi dua kaedah. Ada masa nabi membaca ayat-ayat al-Quran, ada masa nabi mengingatkan terus/memberi amaran kepada penduduk Mekah dan Madinah yang membuat kezaliman.


Ayat [7:105]

حَقِيقٌ عَلَىٰٓ أَن لَّآ أَقُولَ عَلَى ٱللَّهِ إِلَّا ٱلْحَقَّ ۚ قَدْ جِئْتُكُم بِبَيِّنَةٍۢ مِّن رَّبِّكُمْ فَأَرْسِلْ مَعِىَ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ

"Sudah semestinya aku tidak mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar. Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, bebaskanlah Kaum Bani Israil menyertai aku (ke Palestin)

Mesej dan Tindakan:

Nabi Musa diutus untuk menyuruh Firaun melepaskan Bani Israel yang dizalimi oleh Firaun. Nabi Musa mahu melepaskan Bani Israel dari menjadi buruh tidak berbayar atau dibayar hanya sedikit.

Ini adalah isu untuk mendapatkan banyak untung dalam kalangan orang bisnes. Dalam masa yang sama, Firaun disokong oleh pembesar-pembesar yang zalim. 

Keadaan ini ada kaitan dengan zaman kita. Contoh: ambil pekerja tapi tidak bagi gaji minimum dan tidak dijaga kebajikan mereka. Itu adalah sifat Firaun yang mementingkan dia kaya, dia berkuasa, dia tekan kepada Bani Isreal dan hanya menjaga kaum Qibti sahaja. 


Ayat [7:106]

قَالَ إِن كُنتَ جِئْتَ بِـَٔايَةٍۢ فَأْتِ بِهَآ إِن كُنتَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ

Firaun menjawab: "Kalau betul engkau datang dengan membawa sesuatu mukjizat maka bawalah dia (supaya aku melihatnya), jika betul engkau dari orang-orang yang benar".

Mesej dan Tindakan:

Firaun mempersoalkan integriti Nabi Musa. Orang yang buat zalim ini, dia suka tuduh orang penipu, sesat, bodoh. Contoh zaman sekarang: ada orang yang suka guna facebook kutuk orang, itu tandanya dia ikut tokoh yang tak elok seperti firaun.


Ayat [7:107]

فَأَلْقَىٰ عَصَاهُ فَإِذَا هِىَ ثُعْبَانٌۭ مُّبِينٌۭ

Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata.

Ayat [7:108]

وَنَزَعَ يَدَهُۥ فَإِذَا هِىَ بَيْضَآءُ لِلنَّـٰظِرِينَ

Dan Nabi Musa mengeluarkan tangannya, tiba-tiba tangannya (menjadi) putih (bersinar-sinar) bagi orang-orang yang melihatnya.

Mesej ayat 107-108:

Nabi Musa melemparkan tongkatnya yang menjadi ular besar yang nyata. 

Tangan Nabi Musa menjadi putih bersinar. Bukan kerana penyakit, ia adalah mukjizat yang mengkagumkan.


Ayat [7:109]

قَالَ ٱلْمَلَأُ مِن قَوْمِ فِرْعَوْنَ إِنَّ هَـٰذَا لَسَـٰحِرٌ عَلِيمٌۭ

Berkatalah Ketua-ketua dari kaum Firaun: "Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir.

Ayat [7:110]

يُرِيدُ أَن يُخْرِجَكُم مِّنْ أَرْضِكُمْ ۖ فَمَاذَا تَأْمُرُونَ

"Ia bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu". (Firaun bertanya): "Oleh itu, apa yang kamu syorkan?"

Ayat [7:111]

قَالُوٓا۟ أَرْجِهْ وَأَخَاهُ وَأَرْسِلْ فِى ٱلْمَدَآئِنِ حَـٰشِرِينَ

Mereka berkata: "Tangguhkanlah dia dan saudaranya (daripada dijatuhkan sebarang hukuman) serta utuslah ke bandar-bandar (di merata-rata negeri Mesir untuk) mengumpulkan (ahli-ahli sihir);

Ayat [7:112]

قَالُوٓا۟ أَرْجِهْ وَأَخَاهُ وَأَرْسِلْ فِى ٱلْمَدَآئِنِ حَـٰشِرِينَ

"Yang kelak akan membawa kepadamu segala ahli sihir yang mahir".

Ayat [7:113]

وَجَآءَ ٱلسَّحَرَةُ فِرْعَوْنَ قَالُوٓا۟ إِنَّ لَنَا لَأَجْرًا إِن كُنَّا نَحْنُ ٱلْغَـٰلِبِينَ

Dan datanglah ahli-ahli sihir itu kepada Firaun lalu berkata: "Sungguhkah kami akan beroleh upah, kalau kami dapat mengalahkannya?

Mesej ayat 109-113 (Dialog antara Firaun dan penasihat-penasihatnya):

ٱلْمَلَأُ memberitahu Firaun yang Nabi Musa adalah ahli sihir yang mahir.

Mereka berkata yang Nabi Musa mahu menghalau Firaun. Firaun bertanya kepada ketua-ketua tersebut, apa yang mereka mahu syorkan?

Mereka mengesyorkan untuk tidak menghukum Nabi Musa dan saudaranya. 

Mereka kerahkan tukang-tukang sihir yang mahir untuk bertanding dengan Nabi Musa.

Inilah senario politik di mana-mana. Ketua dikelilingi oleh penasihat-penasihat yang pentingkan diri sendiri.

Ahli sihir yang bijak dikerah datang. Inilah pengurusan propaganda Firaun dan penasihat-penasihatnya. Ahli-ahli sihir over confident mereka akan menang dan confirm mendapat upah.


Ayat [7:114]

قَالَ نَعَمْ وَإِنَّكُمْ لَمِنَ ٱلْمُقَرَّبِينَ

Firaun menjawab: "Benar, (kamu akan mendapat upah) dan kamu sesungguhnya (akan menjadi) dari orang-orang yang damping (denganku)".

Mesej dan Tindakan:

Firaun menjawab mereka bukan hanya  diberi ganjaran tetapi juga pangkat (dekat dengannya).

Teknologi masa itu ialah sihir. Ulama mereka ialah ahli sihir. Firaun meletakkan mereka di bawahnya  supaya mereka tidak buat kumpulan sendiri (sekarang ini, parti sendiri). Jika ahli sihir itu menang, tentu mereka akan dipandang tinggi, maka Firaun tidak mahu mereka melebihinya. Beri pangkat supaya mereka tetap sokong. Zaman sekarang ini juga berlaku perkara seperti ini. 


Ayat [7:115]

قَالُوا۟ يَـٰمُوسَىٰٓ إِمَّآ أَن تُلْقِىَ وَإِمَّآ أَن نَّكُونَ نَحْنُ ٱلْمُلْقِينَ

Mereka berkata: "Hai Musa! Engkaukah yang akan mencampakkan (tongkatmu lebih dahulu) atau kamikah yang akan mencampakkan (lebih dahulu)?"

Ayat [7:116]

قَالَ أَلْقُوا۟ ۖ فَلَمَّآ أَلْقَوْا۟ سَحَرُوٓا۟ أَعْيُنَ ٱلنَّاسِ وَٱسْتَرْهَبُوهُمْ وَجَآءُو بِسِحْرٍ عَظِيمٍۢ

Nabi Musa menjawab: "Campakkanlah kamu (dahulu)!" Maka apabila mereka mencampakkan (tongkat-tongkat dan tali masing-masing), mereka menyilap mata orang ramai dan menjadikan orang-orang itu merasa gerun, serta mereka melakukan sihir yang besar (keadaan dan caranya).

Ayat [7:117]

وَأَوْحَيْنَآ إِلَىٰ مُوسَىٰٓ أَنْ أَلْقِ عَصَاكَ ۖ فَإِذَا هِىَ تَلْقَفُ مَا يَأْفِكُونَ

Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: "Campakkanlah tongkatmu!" Maka tiba-tiba tongkat itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka).

Ayat [7:118]

فَوَقَعَ ٱلْحَقُّ وَبَطَلَ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

Maka sabitlah kebenaran (mukjizat Nabi Musa), dan batalah (sihir) yang mereka telah lakukan.

Ayat [7:119]

فَغُلِبُوا۟ هُنَالِكَ وَٱنقَلَبُوا۟ صَـٰغِرِينَ

Oleh itu, kalahlah Firaun dan Ketua-ketua kaumnya di situ dan kembalilah mereka dengan keadaan yang hina.

Mesej ayat 115-119 (Adengan semasa pertandingan sihir)

Ahli-ahli sihir bertanya apakah Nabi Musa yang akan mencampakkan tongkatnya dahulu.

Nabi Musa menyuruh mereka mencampakkan tongkat mereka dahulu. Mereka menunjukkan sihir yang sangat hebat, tahap tinggi. Kesannya, ramai yang takut. Nabi Musa juga terpegun.

Nabi Musa mendapat wahyu daripada Allah yang menyuruh baginda campakkan tongkatnya. Tongkat Nabi Musa yang dicampaknya, menelan segala ular-ular yang ada.

Kebenaran nampak jelas. Habis hancur apa yang mereka buat.

Maka terhinalah Firaun dan ketua-ketuanya.


Ayat [7:120]

وَأُلْقِىَ ٱلسَّحَرَةُ سَـٰجِدِينَ

Dan (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu dengan sendirinya merebahkan diri mereka sujud,

Mesej dan Tindakan:

Sebagai orang yang berilmu, ahli sihir sedar itu bukan sihir. Maka mereka terus bersujud dan beriman kepada Allah. 

Pelajaran untuk kita: Ilmu penting untuk mendapat kebenaran. Al-Quran adalah mukjizat yang lebih hebat. Orang yang mencari ilmu akan terpegun dengan kebenaran yang terdapat dalam al-Quran.


RESOLUSI 

Ingat !!

Berjuanglah kerana Allah SWT, bukan kerana habuan dunia (112)

Ketika berhujah, mulakan dengan bukan sumber mukjizat diikuti mukjizat untuk menampakkan kebatilan (116)

Jadilah orang berilmu kerana ia akan membawa kepada kebenaran (120)

Lega kerana Allah beri peluang saya mendalami ilmu al-Quran yang dapat membawa saya kepada kebenaran.

Saya jelas untuk berjuang kerana Allah SWT, bukan kerana habuan dunia. Saya jelas untuk berhujah, saya mesti mulakan dengan bukan sumber mukjizat diikuti mukjizat untuk menampakkan kebatilan. Saya mesti berusaha jadi orang berilmu kerana ia akan membawa kepada kebenaran.

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.  

Ya Allah,  bimbing kami untuk berjuang hanya kerana Mu, bukan kerana habuan dunia. Ya Allah, ajar kami untuk berhujah dengan cara yang betul agar kami dapat menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan. Ya Allah, jadikan kami orang berilmu agar kami sentiasa di jalan yang benar. 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.




Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...