Saturday, July 1, 2023

Halaman 165: Al-A'raf, 7:121-130


Perkataan hari ini:  


مَكَرَ  Rancangan licik


Menipu. 43 kali disebut dalam al-Quran


SINOPSIS   

  1. Berimannya ahli sihir (121-122)

  2. Ancaman firaun pada ahli sihir (123-126)

  3. Konspirasi firaun pada Nabi Musa A.S (127-129)

  4. Pelbagai azab dunia pada keluarga dan pengikut firaun (130)


Mukaddimah


Alhamdulillah, kita dapat teruskan pembelajaran tentang kisah Nabi Musa a.s. pada halaman 165. Kita telah melihat bahawa perjuangan tauhid itu bukan sekadar pada zaman Nabi Muhammad SAW, tetapi ia bermula seawal Nabi Nuh dan diteruskan oleh Nabi Musa. Pada halaman lalu kita lihat bahawa ahli sihir sudah bersujud/menyerah diri. Hari ini kita akan lihat bagaimana dialog-dialog di antara ahli sihir, Nabi Musa, Firaun dan penasihat-penasihat Firaun. 


Surah al-Fatihah memberikan kesimpulan kepada bagaimana kita terus positif dalam hidup, terus berbuat baik, terus dengan bersangka baik dan terus bersemangat dalam hidup kita. Awalnya kita baca dengan Alhamdulillahi rabbil 'alamin. Orang tanya macam mana pun kita jawab Alhamdulillah. Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana itu akan menyebabkan kalau kita ada stres, sakit, banjir dan sebagainya, beban itu akan kita ringankan dengan kembali kepada Allah untuk menyelesaikan isu-isu ini.


Ayat [7:121]


                                     قَالُوٓا۟ ءَامَنَّا بِرَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ


Sambil berkata: "Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam."


Ayat [7:122]

                                رَبِّ مُوسَىٰ وَهَـٰرُونَ


"(Iaitu) Tuhan bagi Nabi Musa dan Nabi Harun".


Mesej dan Tindakan ayat 121-122:


  1. Ahli sihir terpegun dengan mukjizat Nabi Musa A.S lalu mereka terus sujud dan berkata yang mereka beriman kepada Tuhan Sekelian alam, iaitu Tuhan Nabi Musa dan Nabi Harun.

  2. Kata-kata ahli sihir mendahulukan nama Nabi Musa kerana Nabi Musa yang banyak bercakap dan beraksi dalam babak ini berbanding dengan dengan ayat lain dalam surah Toha ("Rabbi Harun wa Musa") yang mendahulukan nama Nabi Harun kerana dalam surah itu banyak diceritakan tentang tugas Nabi Harun, jadi kredit diberikan dahulu kepada Nabi Harun dalam ayat itu. 

  3. Al-Quran sangat prihatin dalam cara memberi kredit atau pujian kepada individu-individu. Ini menunjukkan 'latif' atau kelembutan, kesenian dalam al-Quran yang boleh kita jadikan sebagai panduan. 

  4. Pelajarannya: Kalau kita nak menghormati seseorang mengikut tugasnya, lagi banyak peranannya maka itulah yang diangkat atau diberi kredit.


Ayat [7:123]


قَالَ فِرْعَوْنُ ءَامَنتُم بِهِۦ قَبْلَ أَنْ ءَاذَنَ لَكُمْ ۖ إِنَّ هَـٰذَا لَمَكْرٌۭ مَّكَرْتُمُوهُ فِى ٱلْمَدِينَةِ لِتُخْرِجُوا۟ مِنْهَآ أَهْلَهَا ۖ فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ


Firaun berkata: "Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya ini adalah perbuatan tipu daya yang kamu lakukan dalam bandar ini kerana kamu hendak mengeluarkan penduduknya dari padanya. Oleh itu, kamu akan mengetahui (akibatya).


Mesej dan Tindakan:


  1. Firaun menuduh ahli sihir buat satu rancangan untuk mengeluarkan Bani Israel dari Mesir. 

  2. Ahli sihir adalah ilmuan pada waktu itu. Teknologi pada waktu itu adalah sihir. Mereka adalah profesional atau golongan 'ulamak' yang menjadi selebriti penting kepada masyarakat. Bila mereka ada ilmu, dan menyerah diri kepada Tuhan Nabi Musa dan Harun, ini mencabar kepada Firaun. 


Ayat [7:124]


لَأُقَطِّعَنَّ أَيْدِيَكُمْ وَأَرْجُلَكُم مِّنْ خِلَـٰفٍۢ ثُمَّ لَأُصَلِّبَنَّكُمْ أَجْمَعِينَ


"Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, kemudian aku akan memalang kamu semuanya".


Mesej dan Tindakan:


  1. Firaun menggertak untuk memotong tangan dan kaki ahli sihir dan menyalib mereka. Bila hujah tak berkesan, Firaun memakai kaedah fizikal. 

  2. Inilah yang berlaku kepada pejuang-pejuang keimanan pada zaman dahulu. Kita bersyukur kepada Allah SWT kita sekarang ini dapat Quran dengan mudah. Kita boleh belajar daripada TV dan facebook. 



Ayat [7:125]


قَالُوٓا۟ إِنَّآ إِلَىٰ رَبِّنَا مُنقَلِبُونَ


Mereka menjawab: "Sesungguhnya kami (tidak gentar) kerana kepada Tuhan kamilah kembalinya kami (dan kepadaNyalah kami mengharapkan keampunan dan rahmatNya).''


Ayat [7:126]


وَمَا تَنقِمُ مِنَّآ إِلَّآ أَنْ ءَامَنَّا بِـَٔايَـٰتِ رَبِّنَا لَمَّا جَآءَتْنَا ۚ رَبَّنَآ أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًۭا وَتَوَفَّنَا مُسْلِمِينَ


"Dan tidaklah engkau (hai Firaun) marah (dan bertindak menyeksa) kami melainkan kerana kami beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami, ketika sampainya kepada kami". (Mereka berdoa): "Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu)".


Mesej dan Tindakan ayat 125-126: (Jawapan ahli sihir kepada Firaun)


  1. Ahli sihir tidak gentar. Mereka beriman kepada Allah SWT kerana mereka sedar bahawa apa yang mereka buat sebelum itu adalah salah. 

  2. Mereka bertaubat, kembali kepada Allah. Mereka mengharapkan keampunan dan rahmat Allah SWT.

  3. Mereka berdoa memohon dilimpahkan kesabaran, dan supaya mereka mati dalam keadaan Islam.

  4. Doa yang dibaca oleh ahli sihir ini sama dengan doa yang diucapkan oleh tentera Jalud dalam surah al-Baqarah; "Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu)". Hendaklah kita juga beramal dengan doa ini.

  5. Orang ramai yang melihat hanya terpegun begitu sahaja tetapi tidak memberi kesan apa-apa kepada hati mereka.

  6. Pelajaran untuk kita: 

    1. Ayat Allah ini, bukan semua orang bila tengok sesuatu itu dia dapat lihat kebesaran Allah atau mesej daripada Allah SWT. Ahli sihir ini sebab mereka ada ilmu jadi mereka dapat mesej daripada mukjizat Nabi Musa. Orang berilmu mereka tahu had ilmu mereka. Contoh: Jurutera Kimia hanya tahu bidang itu. Mereka tak tahu tentang Kejuruteraan Elektrik. Ustaz bidang Quran tak berani nak ulas tentang hukum fekah. Serahkan kepada pakar fekah. 

    2. Pentingnya memahami mesej keimanan kepada Allah SWT. Nahu dan balaghah bahasa al-Quran juga penting namun mesej tentang integriti, tentang amanah adalah lebih penting. Kita perlu perjuangkan keimanan dalam hidup ini.

    3. Semakin kita mempelajari al-Quran, harapnya kita jadi seperti ahli sihir ini yang dapat menghargai kepada setiap mukjizat yang hadir. 

    4. Puncak kepada kita berinteraksi dengan al-Quran ini ialah bila kita dengar mesejnya, kita dengar kehebatan mukjizatnya itu, bukan sekadar kita kata "kita nampak", tetapi lebih daripada itu ialah kita akan bersujud. Kita akan merasa yang kita amat lemah, nampak kehebatan yang ada di dalam al-Quran. Inilah yang disebut dalam surah al-Alaq, "wasjud waqtarib". Banyak bersujud kerana kita kita 'baca dengan nama Allah yang menciptakan" 


Ayat [7:127]


وَقَالَ ٱلْمَلَأُ مِن قَوْمِ فِرْعَوْنَ أَتَذَرُ مُوسَىٰ وَقَوْمَهُۥ لِيُفْسِدُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ وَيَذَرَكَ وَءَالِهَتَكَ ۚ قَالَ سَنُقَتِّلُ أَبْنَآءَهُمْ وَنَسْتَحْىِۦ نِسَآءَهُمْ وَإِنَّا فَوْقَهُمْ قَـٰهِرُونَ


Dan berkatalah pula Ketua-ketua dari kaum Firaun: "Adakah engkau (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa-apa yang dipuja olehmu?" Firaun menjawab: "Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka, dan kita tetap menguasai (menundukkan) mereka".


Mesej dan Tindakan:


  1. Penasihat-penasihat Firaun pula bertanya kepad Firaun: "Adakah engkau (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa-apa yang dipuja olehmu?". Firaun dan pengikutnya percaya kepada tuhan matahari dan berhala.  

  2. Firaun menjawab: "Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka, dan kita tetap menguasai (menundukkan) mereka". Inilah yang pernah berlaku semasa Nabi Musa dilahirkan. 

  3. Pelajaran untuk kita: Kalau kita jadi penasihat kepada seorang pemimpin, janganlah jadi orang yang bawa ideologi yang buruk. Berilah nasihat yang baik. 


Ayat [7:128]



قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ ٱسْتَعِينُوا۟ بِٱللَّهِ وَٱصْبِرُوٓا۟ ۖ إِنَّ ٱلْأَرْضَ لِلَّهِ يُورِثُهَا مَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ ۖ وَٱلْعَـٰقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ


(Pengikut-pengikut Nabi Musa merayu, lalu) Musa berkata kepada kaumnya: "Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa".


Mesej dan Tindakan:


  1. Nabi Musa memberi semangat kepada Bani Isreal dengan berkata: "Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa".

  2. Pelajaran untuk kita (Motivasi daripada Nabi Musa A.S):

    1. Nabi Musa adalah seorang yang bersemangat. Tidak mudah terkesan dengan kecaman. Kalau ketua lemah semangat, pengikut pun akan lemah semangat. Bila kita berjuang, ada kumpulan/organisasi kita, kita mungkin ada masalah di peringkat pengikut, atau pemimpin yang menindas, maka pemimpin kumpulan mestilah memberi semangat. 

    2. Bumi ini akan diwarisi oleh hamba yang disayangi oleh Allah SWT ( مِنْ عِبَادِهِۦ ). 

    3. Kebaikan adalah pasti bagi orang yang bertakwa.


Ayat [7:129]


قَالُوٓا۟ أُوذِينَا مِن قَبْلِ أَن تَأْتِيَنَا وَمِنۢ بَعْدِ مَا جِئْتَنَا ۚ قَالَ عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُهْلِكَ عَدُوَّكُمْ وَيَسْتَخْلِفَكُمْ فِى ٱلْأَرْضِ فَيَنظُرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ


Mereka berkata: "Kami telah dianiaya dan diperhambakan (oleh Firaun) sebelum engkau datang kepada kami dan sesudah engkau datang kepada kami". Nabi Musa menjawab: "Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi, kemudian Ia akan memerhati bagaimana pula perbuatan kamu?"


Mesej dan Tindakan:


  1. Bani Israel pula berkata: "Kami telah dianiaya dan diperhambakan (oleh Firaun) sebelum engkau datang kepada kami dan sesudah engkau datang kepada kami". 

  2. Bani Israel complain yang Nabi Musa menyusahkan mereka. Perkataan ini datang daripada orang yang lemah kerana mereka sudah sekian lama ditindas oleh Firaun.

  3. Nabi Musa menjawab: "Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi, kemudian Ia akan memerhati bagaimana pula perbuatan kamu?"

  4. Nabi Musa tak layan complain Bani Israel. Baginda terus beri semangat:

    1. Musuh akan hancur.

    2. Mereka akan jadi pemimpin. 

    3. Allah akan lihat pula bagaimana perbuatan mereka.

  5. Pelajaran untuk kita:

    1. Ketika tak ada kuasa kita kena tegur dan perjuangkan kebenaran.

    2. Kalau dah ada kuasa, jangan pula kita yang menindas orang lain. 


Ayat [7:130]


وَلَقَدْ أَخَذْنَآ ءَالَ فِرْعَوْنَ بِٱلسِّنِينَ وَنَقْصٍۢ مِّنَ ٱلثَّمَرَٰتِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ


Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan Firaun dan kaumnya dengan musim kemarau dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka insaf mengambil pelajaran.


Mesej dan Tindakan:


  1. Allah SWT menimpakan Firaun dan kaumnya dengan musim kemarau dan kekurangan makanan supaya mereka insaf kerana menindas golongan yang berjuang kepada takwa. 

  2. ٱلسِّنِينَ maksudnya tahun-tahun yang sukar. 

  3. Pelajaran: 

    1. Pemimpin yang menindas orang bawah, rasuah, mengambil hak rakyat, sebenarnya bukan rakyat yang akan memberi kemarau kepada mereka tetapi oleh Allah SWT. 

    2. Allah akan memberi kesan ekonomi kerana perkara penindasan yang berlaku. Kalau penindasan tidak berlaku, akhirnya sesuatu kaum, negeri akan diberikan bantuan oleh Allah SWT. 

    3. Hendaklah kita ingat, kebaikan yang Allah berikan itu adalah untuk menguji adakah kita terus dapat kebaikan atau diazab semula.


RESOLUSI


Ingat !!

  1. Selalu jaga status keislaman/keimanan kita dengan membuktikannya melalui amal (126)

  2. Elakkan menjadi pembesar/pegawai/orang berpengaruh yang memberi idea buruk dan propaganda kepada orang atas (127)

  3. Selalu melihat akan adanya sinar dalam setiap ujian keimanan (128)


Lega kerana Allah akan kurniakan sinar kebahagian sekiranya saya lulus ujian keimanan.

 

Saya jelas untuk selalu jaga status keislaman/keimanan saya dengan membuktikannya melalui amal. Saya mesti elakkan menjadi orang berpengaruh yang memberi idea buruk dan propaganda kepada orang atas. Saya juga jelas bahawa Allah akan berikan sinar kebahagian sekiranya saya lulus setiap ujian keimanan.


Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.  


Ya Allah, bantu kami untuk selalu jaga status keislaman/keimanan kami dengan membuktikannya melalui amal. Ya Allah, elakkan kami daripada menjadi orang berpengaruh yang memberi idea buruk dan propaganda kepada orang atas. Ya Allah, kurniakan kami kesabaran dan rahmat agar kami berjaya dalam semua ujian yang Engkau berikan. Ya Allah, kurniakan kami sinar kebahagian di dunia dan akhirat. 


رَبَّنَآ أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًۭا وَتَوَفَّنَا مُسْلِمِينَ "Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam."


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...