Saturday, July 1, 2023

Halaman 166: Al-A'raf, 7:131-137

 Perkataan hari ini:   

طَارَ (طَيَرَ)  Terbang, masyur, bersegera


29 kali disebut dalam al-Quran


SINOPSIS   


  1. Pelbagai azab dunia pada keluarga dan pengikut firaun (131-133)

  2. Firaun mengadu kepada Nabi Musa A.S untuk dihilangkan azab, melanggar janji dan ditenggelamkan bersama kaumnya di dalam laut (134-136)

  3. Penempatan Bani Israel di daerah Mesir dan Syam selepas zaman firaun dan para penguasa lainnya (137)


Mukaddimah


Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT kita diberi peluang untuk meneruskan pelajaran pada halaman 166. Apa yang akan dipelajari pada hari ini amat penting untuk kita ambil perhatian kerana pergelutan politik yang berlaku sekarang pernah berlaku beribu tahun lalu di zaman Nabi Musa A.S. 


Ayat [7:131]


فَإِذَا جَآءَتْهُمُ ٱلْحَسَنَةُ قَالُوا۟ لَنَا هَـٰذِهِۦ ۖ وَإِن تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌۭ يَطَّيَّرُوا۟ بِمُوسَىٰ وَمَن مَّعَهُۥٓ ۗ أَلَآ إِنَّمَا طَـٰٓئِرُهُمْ عِندَ ٱللَّهِ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ


Kemudian apabila datang kepada mereka kesenangan mereka berkata: "Ini ialah hasil usaha kami", dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka mengatakan nahas dan malang itu disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya. (Tuhan berfirman): Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya di tetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.


Mesej dan Tindakan 


Pada ayat 130 diceritakan tentang mereka diuji dengan kemarau. 
Di dalam ayat ini, mereka diberi kebaikan semula tetapi apabila mendapat semua itu, mereka berkata semuanya adalah kerana usaha mereka. 
Bila berlaku apa-apa yang tidak baik, Firaun dan penasihat-penasihatnya menyalahkan Nabi Musa dan Bani Israel. Mereka tidak tahu yang Nabi Musa tidak boleh membawa tuah atau bencana kepada sesuatu kawasan. Mereka mempunyai mindset yang suka menyalahkan orang lain.
Mindset ini ada juga zaman sekarang. Sesetengah orang suka menyalahkan orang bila berlaku sesuatu, sedangkan semuanya ketentuan daripada Allah


Ayat [7:132]


وَقَالُوا۟ مَهْمَا تَأْتِنَا بِهِۦ مِنْ ءَايَةٍۢ لِّتَسْحَرَنَا بِهَا فَمَا نَحْنُ لَكَ بِمُؤْمِنِينَ


Dan mereka berkata: "Walau apa sahaja (jenis-jenis) keterangan (mukjizat) yang engkau bawa kepada kami; (wahai Musa), untuk menjalankan sihirmu kepada kami, maka kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu".


Mesej dan Tindakan 


  1. Mereka mengatakan Nabi Musa cuba menyihir mereka. Dia dihina dan dituduh merendahkan kebenaran.

  2. Mereka tetap tidak mahu beriman.


Ayat [7:133]


فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمُ ٱلطُّوفَانَ وَٱلْجَرَادَ وَٱلْقُمَّلَ وَٱلضَّفَادِعَ وَٱلدَّمَ ءَايَـٰتٍۢ مُّفَصَّلَـٰتٍۢ فَٱسْتَكْبَرُوا۟ وَكَانُوا۟ قَوْمًۭا مُّجْرِمِينَ


(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.


Mesej dan Tindakan:


  1. Allah menghantar taufan, belalang, kutu, katak dan darah kepada mereka. Lima perkara ini tidak datang sekali gus. Datang taufan yang menyebabkan banjir sehingga berlakunya wabak taun, menghancurkan semua. 

  2. Ini adalah peringatan daripada Allah agar kita ini sedar. Epidemik Covid19 yang sedang berlaku adalah satu perkara yang penting kita ambil peringatan.

  3. Bila belalang dan kutu datang, rosak tanaman. Seterusnya, timbul pula katak. Kemudian, sungai-sungai dan perigi dipenuhi dengan darah. 

  4. Kerana selama ini mereka derhaka dan sombong, mereka menganggap semuanya itu adalah fenomena alam semata-mata.

  5. Mereka mendapat bala-bala ini kerana Firaun dan kuncu-kuncunya membuat jenayah yang besar iaitu menekan kepada rakyat. 

  6. Zaman sekarang juga begitu. Pemimpin ambil cukai daripada rakyat tetapi terus menekan rakyat untuk mengekalkan kedudukan, kekayaan dan pangkat mereka.


Ayat [7:134]


وَلَمَّا وَقَعَ عَلَيْهِمُ ٱلرِّجْزُ قَالُوا۟ يَـٰمُوسَى ٱدْعُ لَنَا رَبَّكَ بِمَا عَهِدَ عِندَكَ ۖ لَئِن كَشَفْتَ عَنَّا ٱلرِّجْزَ لَنُؤْمِنَنَّ لَكَ وَلَنُرْسِلَنَّ مَعَكَ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ


Dan apabila azab yang tersebut itu menimpa mereka, mereka (merayu dengan) berkata: "Wahai Musa! Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami dengan (kehormatan) pangkat Nabi yang diberikanNya kepadamu (yang menjadikan permohonanmu sentiasa makbul). Sesungguhnya jika engkau hapuskan azab itu daripada kami, tentulah kami akan beriman kepadamu, dan sudah tentu kami akan membebaskan kaum Bani Israil (pergi) bersamamu".


Mesej dan Tindakan:


  1. Azab ( رِّجْزُ ) yang berlaku membuat mereka tertekan. Mereka menyuruh Nabi Musa berdoa untuk menghilangkan azab itu. 

  2. Nabi Musa menghadapi cabaran daripada Firaun dan daripada kaumnya Bani Israel. Namun baginda seorang yang kuat semangat. 

  3. Dalam hidup kita memang ada cabaran daripada manusia yang suka mengutuk bila kita nak buat sesuatu kebaikan. Bila dapat manfaat mereka pula sibuk nak ambil bahagian mereka. 

  4. Mereka berkata, jika azab diangkat mereka akan beriman pada Nabi Musa (bukan kepada Allah) iaitu membebaskan Bani Israel pergi bersama Nabi Musa.

  5. Dalam keadaan tertekan dengan azab yang diturunkan oleh Allah SWT, mereka minta Nabi Musa berdoa kerana mereka tidak mampu menghapuskan kesusahan. 

  6. Kita kena mengambil pelajaran dari ayat ini. Orang kafir pun memohon Nabi Musa untuk berdoa. Jika orang beriman tidak mahu berdoa dan menghambakan diri betul-betul kepada Allah SWT, malulah kita kepada kaum lain. Mereka mengakui kehebatan Allah memang betul-betul hakikat yang sebenarnya. 


Ayat [7:135]


فَلَمَّا كَشَفْنَا عَنْهُمُ ٱلرِّجْزَ إِلَىٰٓ أَجَلٍ هُم بَـٰلِغُوهُ إِذَا هُمْ يَنكُثُونَ


(Tuhan berfirman): Setelah Kami hapuskan azab itu daripada mereka, hingga ke suatu masa yang tertentu yang mereka sampai kepadanya, tiba-tiba mereka mencabuli janjinya


Mesej dan Tindakan 


  1. Apabila Allah hapuskan azab, mereka mungkir janji. Mereka tidak mahu beriman dan tidak membebaskan Bani Israel. 

  2. Dengan isu Covid 19 kita masih tak dapat selesaikan. Kita kena duduk sebentar, baca Quran dan ambil peringatan di atas apa yang berlaku. Kita sedar ada pencipta yang menjadikan Covid19. Maka kita kenalah kembali kepada Allah.


Ayat [7:136]


فَٱنتَقَمْنَا مِنْهُمْ فَأَغْرَقْنَـٰهُمْ فِى ٱلْيَمِّ بِأَنَّهُمْ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا وَكَانُوا۟ عَنْهَا غَـٰفِلِينَ


Maka Kami pun membalas mereka, lalu Kami menenggelamkan mereka di laut dengan sebab mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.


Mesej dan Tindakan 


  1. Allah beri balasan kepada Firaun dan pengikutnya dengan menenggelamkan mereka di laut.

  2. Allah memberi balasan itu kerana mereka sombong. Kesombongan mereka menghasilkan jenayah.

  3. Mereka lalai melaksanakan fungsi khalifah atas muka bumi ini yang perlu diuruskan dengan cara yang terbaik. 


Ayat [7:137]


وَأَوْرَثْنَا ٱلْقَوْمَ ٱلَّذِينَ كَانُوا۟ يُسْتَضْعَفُونَ مَشَـٰرِقَ ٱلْأَرْضِ وَمَغَـٰرِبَهَا ٱلَّتِى بَـٰرَكْنَا فِيهَا ۖ وَتَمَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ ٱلْحُسْنَىٰ عَلَىٰ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ بِمَا صَبَرُوا۟ ۖوَدَمَّرْنَا مَا كَانَ يَصْنَعُ فِرْعَوْنُ وَقَوْمُهُۥ وَمَا كَانُوا۟ يَعْرِشُونَ


Dan Kami wariskan kepada kaum (Bani Israil) yang telah tertindas itu akan daerah-daerah timur bumi (Palestin) dan daerah-daerah baratnya, yang Kami telah melimpahkan berkat padanya. Dan telah sempurnalah Kalimah Allah (janjiNya) yang baik kepada kaum Bani Israil kerana kesabaran mereka (semasa mereka ditindas oleh Firaun), dan Kami telah hancurkan apa yang telah dibuat oleh Firaun dan kaumnya dan apa yang mereka telah dirikan (dari bangunan-bangunan yang tinggi)


Mesej dan Tindakan:


  1. Kemudian Allah memberi kemenangan kepada Bani Israel. Namun, kemenangan berlaku selepas Nabi Musa wafat. Allah beri kemenangan semasa zaman Nabi Daud dan Nabi Sulaiman yang meneruskan legasi Nabi Musa. 

  2. Walaupun Bani Israel lemah, namun Allah boleh berikan kekuasaan. Nabi Musa bukan bercakap kosong, malah perkataannya adalah wahyu. 

  3. Allah hancurkan binaan-binaan yang dibangunkan oleh Firaun. Allah kekalkan mumia Firaun untuk mengingatkan kita yang semua itu pernah berlaku.

  4. Pelajaran untuk kita: 

    1. Hebat macam mana pun tamadun, jika tidak taat kepada Allah, bersedialah menerima kehancuran daripada Allah SWT. 

    2. Kesabaran penting, kena terus berjuang. Kita mungkin tidak menang sekarang, jangan putus asa. Kemenangan pasti akan datang setelah kita betul-betul beramal dengan al-Quran. 

    3. Kalau kita mahukan perubahan, kita mesti terus berusaha. Jangan hanya goyang kaki biarkan orang lain sahaja berusaha.

    4. Kemenangan akan musnah apabila pemimpin salah guna kuasa disebabkan kesombongan.

    5. Dalam keadaan sekarang, Allah masih tidak membenarkan kita mendapat Palestin kerana umat Islam belum betul-betul beramal kepada al-Quran. Palestin bukan hanya milik orang Palestin tetapi ia adalah milik orang-orang yang beriman.


RESOLUSI


Ingat !!

  1. Bertanggungjawab pada diri, bukan menyalahkan orang lain ketika perkara buruk berlaku (131)

  2. Peka pada ujian daripada Allah SWT untuk kembali pada-Nya, bukan semakin sombong (133)

  3. Siapkan bekalan sabar untuk menuju kejayaan (137)


Lega kerana Allah akan berikan kejayaan sekiranya saya bersabar dan terus berusaha.

 

Saya jelas untuk bertanggungjawab pada diri, bukan menyalahkan orang lain ketika perkara buruk berlaku. Saya mesti peka pada ujian daripada Allah SWT untuk kembali pada-Nya, bukan semakin sombong. Saya juga jelas untuk siapkan bekalan sabar untuk menuju kejayaan.


Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.  


Ya Allah, jadikan kami orang yang bertanggungjawab pada diri, bukan menyalahkan orang lain ketika perkara buruk berlaku. Ya Allah, bantu kami untuk peka pada ujian daripada Mu agar kami dapat kembali pada-Mu, bukan semakin sombong. Ya Allah, bimbing kami siapkan bekalan sabar untuk menuju kejayaan.


رَبَّنَآ أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًۭا وَتَوَفَّنَا مُسْلِمِينَ "Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam."


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...