Saturday, July 1, 2023

Halaman 167: Al-A'raf, 7:138-143

 

Perkataan hari ini:


(جَوَزَ )      Selamat, melalui, boleh


5 kali disebut dalam al-Quran


SINOPSIS   


  1. Keingkaran Bani Israel terhadap nikmat Allah SWT (138-141)

  2. Munajat Nabi Musa A.S dengan Allah SWT dan permintaan baginda untuk melihat Allah SWT serta diturunkan Taurat kepadanya (142-143)


Mukaddimah


Alhamdulillah, kita dapat teruskan pembelajaran pada halaman 167 untuk kita sama-sama menghargai perjuangan Nabi Musa A.S dan Bani Israel dan cabaran-cabaran yang melanda. Pada halaman lepas, Nabi Musa dan Bani Israel sudahpun diselamatkan oleh Alah SWT. Hari ini kita akan lihat babak seterusnya untuk kita fahami dan ambil pelajaran pada hari ini untuk pedoman kita bersama.


Pengalaman Nabi Musa ini bukan sekadar kisah dahulu kala, ia adalah panduan kepada kita. Apabila kita bercakap tentang perjuangan bersama dengan pemimpin dengan rakyat, dengan politik, sebenarnya ia dirakamkan dalam al-Quran dan ada sesuatu yang boleh kita ambil perhatian. 


Kita terus membaca al-Fatihah untuk memohon agar diberi jalan untuk bersama-sama nabi-nabi, syuhadak, siddiqin dan orang-orang soleh. Kisah Nabi Musa dan Bani Israel menentang Firaun perlu kita ambil pedoman.


Ayat [7:138]


وَجَـٰوَزْنَا بِبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ ٱلْبَحْرَ فَأَتَوْا۟ عَلَىٰ قَوْمٍۢ يَعْكُفُونَ عَلَىٰٓ أَصْنَامٍۢ لَّهُمْ ۚ قَالُوا۟ يَـٰمُوسَى ٱجْعَل لَّنَآ إِلَـٰهًۭا كَمَا لَهُمْ ءَالِهَةٌۭ ۚ قَالَ إِنَّكُمْ قَوْمٌۭ تَجْهَلُونَ


Dan Kami bawakan Bani Israel ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: "Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan". Nabi Musa menjawab: "Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil."


Mesej dan Tindakan 


  1. Allah nyatakan yang Dia selamatkan Bani Israel. Kejadian laut terbelah berlaku dengan kuasa Allah. 

  2. Selepas berjaya menyeberang laut, Bani Isreal berjumpa dengan satu kaum yang menyembah berhala. Mereka minta Nabi Musa buatkan untuk mereka satu tuhan/berhala. Nabi Musa menjawab, "Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil."

  3. Nabi Musa terus berdakwah dan memimpin mereka kerana mereka adalah masyarakat awam yang tidak berilmu. 

  4. Kita hendaklah mengikut contoh Nabi Musa. Terus mengajak masyarakat awam walaupun ini melambangkan orang yang kena tekan/dera, biasanya mereka ada kejahilan yang boleh berulang kecuali kalau kita ingatkan berkali-kali.

  5. Inilah yang perlu dibuat oleh pemimpin-pemimpin. Tetapi pemimpin kenalah bijak. Kalau pemimpin pun jahil sekali, akan melahirkan masyarakat yang jahil berganda-ganda kerana diselewengkan oleh pemimpin yang jahil.



Ayat [7:139]


إِنَّ هَـٰٓؤُلَآءِ مُتَبَّرٌۭ مَّا هُمْ فِيهِ وَبَـٰطِلٌۭ مَّا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ


"Sesungguhnya mereka (penyembah-penyembah berhala itu), akan dihancurkan apa yang mereka berada di dalamnya (dari perbuatan syirik), dan tetaplah salahnya apa yang mereka kerjakan itu".


Mesej dan Tindakan:


  1. Nabi Musa marah kepada Bani Israel. Baginda meningatkan bahawa perjuangan mereka bukan hendak selamat daripada Firaun, tetapi perjuangan untuk menuju ketauhidan kepada Allah SWT. 

  2. Orang yang tak berapa bijak,mereka nampak apa yang ada di depan mata sahaja. Tetapi orang yang bijak sedikit, akan sedar bahawa kalau selamat bukan kerana melawan manusia tetapi untuk mengesakan Allah SWT.


Ayat [7:140]


قَالَ أَغَيْرَ ٱللَّهِ أَبْغِيكُمْ إِلَـٰهًۭا وَهُوَ فَضَّلَكُمْ عَلَى ٱلْعَـٰلَمِينَ


Nabi Musa berkata lagi: "Patutkah aku mencari tuhan untuk kamu selain dari Allah, padahal Ia telah melebihkan kamu atas sekalian manusia (yang sezaman dengan kamu, dengan berbagai nikmat yang telah dikurniakanNya kepada kamu)?"


Mesej dan Tindakan:


  1. Nabi Musa ingatkan kepada Bani Israel bahawa mereka telah diberikan kurniaan yang banyak daripada Allah SWT. Mereka tak perlukan tentera untuk selamat daripada Firaun. Mereka tak kenang budi.

  2. Tanda kebodohan ialah apabila kita tidak kenang budi. 


Ayat [7:141]


وَإِذْ أَنجَيْنَـٰكُم مِّنْ ءَالِ فِرْعَوْنَ يَسُومُونَكُمْ سُوٓءَ ٱلْعَذَابِ ۖ يُقَتِّلُونَ أَبْنَآءَكُمْ وَيَسْتَحْيُونَ نِسَآءَكُمْ ۚ وَفِى ذَٰلِكُم بَلَآءٌۭ مِّن رَّبِّكُمْ عَظِيمٌۭ


Dan (Tuhan berfirman): Ingatlah ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan kaumnya, yang menyeksa kamu dengan azab seksa yang seberat-berat dan seburuk-buruknya; mereka membunuh anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; dan (ingatlah bahawa) yang demikian itu mengandungi cubaan yang besar dari Tuhan kamu.


Mesej dan Tindakan:


  1. Allah SWT ingatkan Bani Israel yang mereka telah diselamatkan daripada Firaun. Nabi Musa diutuskan untuk membawa mereka menuju kepada Allah yang boleh menyelamatkan kepada seluruh rakyat pada waktu itu. 

  2. Mesej yang sama juga untuk kita. Kalau kita nak diselamatkan, kita mestilah pastikan bahawa semua di kalangan kita menuju kepada Allah SWT. Ada integriti, tidak terlibat dengan kerosakan kuasa, rasuah. Semua itu adalah perkara-perkara yang berlaku di peringkat Firaun dan kuncu-kuncunya untuk terus berkuasa pada waktu itu.

  3. Kalau kita telah selamat dalam sesuatu perkara dalam hidup ini, kita kena ingat bahawa sebenarnya Allah beri peluang kepada kita. Bila Allah beri peluang kepada kita, janganlah kita kembali membuat kerosakan.

  4. Kita mungkin tak berhadapan dengan pemimpin tahap Firaun. Tetapi kita doakan agar pemimpin dan diri kita sendiri bukanlah mini Firaun yang menekan kepada orang di bawah. Contoh: tak nak bayar gaji pekerja ataupun bayar sedikit asal dapat untung yang besar. 

  5. Kalau kita jadi pemimpin, semak ada tak orang di bawah yang tertindas. Kalau ada yang tertindas dan kita tak kisah pun, sebenarnya itu adalah karakter Firaun.  

  6. Kalau kita diselamatkan daripada bencana, itu maknanya kita dapat satu nikmat yang besar. Jangan didustakan. Terus berjuang. Jangan mensyirikkan Allah SWT.



Ayat [7:142]


 وَوَٰعَدْنَا مُوسَىٰ ثَلَـٰثِينَ لَيْلَةًۭ وَأَتْمَمْنَـٰهَا بِعَشْرٍۢ فَتَمَّ مِيقَـٰتُ رَبِّهِۦٓ أَرْبَعِينَ لَيْلَةًۭ ۚ وَقَالَ مُوسَىٰ لِأَخِيهِ هَـٰرُونَ ٱخْلُفْنِى فِى قَوْمِى وَأَصْلِحْ وَلَا تَتَّبِعْ سَبِيلَ ٱلْمُفْسِدِينَ


Dan kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga puluh malam, serta Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam. Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat): "Gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan".


Mesej dan Tindakan 


  1. Nabi Musa diberikan kelebihan bercakap dengan Allah SWT. 

  2. Sebelum pergi berjumpa Allah untuk menerima Taurat, Nabi Musa berpesan kepada abangnya Nabi Harun supaya gantikan dia sebagai pemimpin dan perbaiki keadaan Bani Israel sepeninggalannya. Terus didik dan terus baiki kaumnya. 

  3. Nabi Musa mempunyai karakter yang kuat. Dia boleh menguruskan Bani Israel yang degil. Nabi Harun pandai bercakap tetapi karakternya agak lembut. Zaman Nabi ada Abu Bakar yang lembut tapi pandai bercakap. Omar pula karakter yang kuat. Kedua-dua karakter ini saling melengkapkan. 

  4. Cabaran kepada Nabi Harun ialah orang yang membuat kerosakan. Dia agak gagal menguruskan hingga timbul kisah Samiri yang membuat patung anak lembu. 

  5. Kita kena ingat bahawa kemenangan di dunia hanya Allah berikan kepada orang yang beriman. 



Ayat [7:143]


وَلَمَّا جَآءَ مُوسَىٰ لِمِيقَـٰتِنَا وَكَلَّمَهُۥ رَبُّهُۥ قَالَ رَبِّ أَرِنِىٓ أَنظُرْ إِلَيْكَ ۚ قَالَ لَن تَرَىٰنِى وَلَـٰكِنِ ٱنظُرْ إِلَى ٱلْجَبَلِ فَإِنِ ٱسْتَقَرَّ مَكَانَهُۥ فَسَوْفَ تَرَىٰنِى ۚ فَلَمَّا تَجَلَّىٰ رَبُّهُۥ لِلْجَبَلِ جَعَلَهُۥ دَكًّۭا وَخَرَّ مُوسَىٰ صَعِقًۭا ۚ فَلَمَّآ أَفَاقَ قَالَ سُبْحَـٰنَكَ تُبْتُ إِلَيْكَ وَأَنَا۠ أَوَّلُ ٱلْمُؤْمِنِينَ


Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu". Allah berfirman: "Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu", Setelah Tuhannya "Tajalla" (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka) "TajalliNya" menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)


Mesej dan Tindakan 


  1. Apabila Nabi Musa bertemu Allah SWT, Nabi Musa merayu untuk melihat Nya. 

  2. Allah SWT menjawab yang Nabi Musa tidak mungkin dapat melihat Nya walaupun sepintas. Allah suruh Nabi Musa pandang kepada gunung. Bila Allah menunjukkan kebesaranNya kepada gunung, lalu gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa jatuh pengsan. 

  3. Bila Nabi Musa sedar, dia berkata: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)". Ini adalah permintaan iman. 

  4. Pelajaran untuk kita: Dalam keadaan susah kita mungkin minta yang pelik-pelik. Benda yang kalau Allah bagi boleh menyebabkan kita bertambah rosak. Doa dan iman adalah penting. Sentiasa bersyukur dengan apa yang Allah berikan. Jangan minta yang lebih-lebih kerana itu mungkin boleh menyusahkan hidup kita. 


RESOLUSI


Ingat !!

  1. Jangan mudah terjerumus melakukan dosa selepas Allah SWT bantu kita (138)

  2. Perbaiki amal agar tidak merosakkan kita kelak (139)

  3. Selalu berpesan kepada pengganti atau pembantu kita dengan mesej yang jelas dan penuh tanggungjawab (142)


Lega kerana Allah ingatkan jangan jadi jahil seperti Bani Israel.

 

Saya jelas untuk tidak mudah terjerumus melakukan dosa selepas Allah SWT bantu saya. Saya mesti perbaiki amal agar tidak merosakkan diri. Saya mesti selalu berpesan kepada pengganti atau pembantu saya dengan mesej yang jelas dan penuh tanggungjawab.


Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.  

Ya Allah bantu kami untuk perbaiki amal kami agar kami tidak merosakakan diri kami sendiri. Ya Allah, kurniakan kami dengan pengganti yang dapat meneruskan legasi kebaikan. Bimbing kami untuk  berpesan kepada pengganti dengan mesej yang jelas dan penuh tanggungjawab.


رَبَّنَآ أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًۭا وَتَوَفَّنَا مُسْلِمِينَ "Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam."


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.



Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...