Saturday, July 1, 2023

Halaman 168: Al-A'raf, 7:144-149

 Perkataan hari ini:   

صَفَا ( صَفَوَ )   Memilih

8 kali disebut dalam al-Quran

SINOPSIS   


  1. Dialog Allah SWT bersama Nabi Musa A.S (144-145)

  2. Dipalingkan golongan yang sombong daripada memahami dalil-dalil kebesaran Allah SWT akibat kesombongan dan kekafiran mereka (146-147)

  3. Kisah Samiri yang membuat patung anak lembu (148-149)



Mukaddimah


Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT kita diberi peluang untuk meneruskan kisah Nabi Musa di halaman 168 untuk kita menghayati perjuangan Nabi Musa yang juga diperjuangkan oleh Nabi Muhammad SAW. Ia menjadi panduan kepada kita untuk memahami psikologi individu-individu dalam masyarakat termasuk kita dan bagaimanakah kita berinteraksi dengan wahyu daripada Allah SWT. Perjuangan Nabi Musa ini memberi pengajaran kepada kita, janganlah kita menjadi seperti Bani Isreal yang diberikan wahyu tetapi degil dan masih lagi mengikut kepada hawa nafsu dalam kehidupan.


Ummul Quran dibaca untuk kita sama-sama mengingatkan diri kita untuk bersyukur kepada Allah SWT. Ayat 144 yang akan dipelajari pada hari ini juga mengingatkan kita tentang Allah meningatkan Nabi Musa supaya bersyukur. Ia sebagai mesej kepada kita untuk bersyukur. 


Ayat [7:144]


قَالَ يَـٰمُوسَىٰٓ إِنِّى ٱصْطَفَيْتُكَ عَلَى ٱلنَّاسِ بِرِسَـٰلَـٰتِى وَبِكَلَـٰمِى فَخُذْ مَآ ءَاتَيْتُكَ وَكُن مِّنَ ٱلشَّـٰكِرِينَ


Allah berfirman: "Wahai Musa! Sesungguhnya Aku memilihmu melebihi umat manusia (yang ada pada zamanmu), dengan membawa perutusanKu (Kitab Taurat) dan dengan KalamKu; oleh itu, terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu, dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur".


Mesej dan Tindakan:


  1. Di halaman lalu, kita membaca tentang Nabi Musa meminta mahu melihat Allah sekilas(أَرِنِىٓ) dan juga lama-lama(أَنظُرْ). Allah menyuruhnya untuk melihat(ٱنظُرْ) ke arah gunung. Nabi Musa pengsan bila gunung hancur.  Nikmat melihat Allah adalah nikmat yang ditangguhkan di akhirat, bukan di dunia. Nabi Musa lantas bertaubat. 

  2. Allah menyuruhnya menerima risalah-risalah dariNya. Risalah adalah mesej dan perintah yang perlu dibawakan kepada kaum Nabi Musa. Contohnya perintah menyembelih lembu, Nabi Musa mendapat Taurat dan mesej dakwah kepada Firaun yang akhirnya ditenggelamkan. 

  3. Sesudah selamat dari Firaun, kaum Nabi Musa meminta tuhan lain pula. Sepatutnya mereka bersyukur. 

  4. Memohon melihat Allah dan dibenarkan berdialog dengan Allah, bagi Nabi Musa, itu adalah nikmat. Allah menjawab permintaan Nabi Musa mengikut kesesuaian dan kemampuan Nabi Musa di dunia ini.

  5. Pengajarannya, bersyukur dengan apa sahaja nikmat yang Allah beri. Ia adalah syarat bagi membina kekuatan untuk berjuang di masa hadapan. 



Ayat [7:145]


وَكَتَبْنَا لَهُۥ فِى ٱلْأَلْوَاحِ مِن كُلِّ شَىْءٍۢ مَّوْعِظَةًۭ وَتَفْصِيلًۭا لِّكُلِّ شَىْءٍۢ فَخُذْهَا بِقُوَّةٍۢ وَأْمُرْ قَوْمَكَ يَأْخُذُوا۟ بِأَحْسَنِهَا ۚ سَأُو۟رِيكُمْ دَارَ ٱلْفَـٰسِقِينَ


Dan Kami telah menuliskan bagi Nabi Musa pada Lauh-lauh (Taurat) itu, dari pelbagai jenis nasihat pengajaran dan penjelasan bagi tiap-tiap sesuatu (dasar Syariat dan hukum-hukumnya). Oleh itu, terimalah dia (dan amalkanlah wahai Musa) dengan bersungguh-sungguh, dan suruhlah kaummu berpegang (serta mengamalkan) yang sebaik-baiknya (iaitu suruhan-suruhannya). Aku akan perlihatkan kepada kamu akan negeri orang-orang yang fasik - derhaka".


Mesej dan Tindakan:


  1. Allah menyuruh Nabi Musa untuk berpegang dengan risalah  betul-betul dan memberitahu tentang risalah kepada kaumnya. ‘Mau’izah’ (مَّوْعِظَةً) adalah peringatan untuk memperingatkan sesuatu perkara,  dan ‘tafsila’(وَتَفْصِيلًا) adalah penjelasan yang terperinci pada setiap sesuatu untuk menjadi hidayah. Maui’zah dari Allah akan memberi kesan di hati manusia untuk berbuat baik dan beramal soleh. Tidak seperti maui’zah dari manusia. 

  2. Bertanya dengan orang yang pakar dan berilmu itu adalah sebahagian dari hidayah. Ambil dan buat yang terbaik بِأَحْسَنِهَا barulah dapat bertemu Allah di akhirat nanti. Nabi Musa bukan sahaja perlu memegang Taurat bersungguh-sungguh, malah perlu menyeru kaumnya untuk mengambil yang terbaik.

  3. Pengajaran bagi kita, salah satu ciri ulul albab adalah mendengar semua perkara dan kemudian ambil yang terbaik. Contohnya, bila di dalam al-Quran disuruh dirikan solat, maknanya bukan sekadar solat. Kena solat di awal waktu. Jika bersedekah, bukan sekadar memberi 10 sen setahun sedangkan mampu memberi lebih dari itu. 

  4. Orang beriman ada wahyu. Wahyu seharusnya menjadikan kita semakin baik dan mampu menjadi yang terbaik untuk diri kita sebagai persediaan untuk bertemu dengan Allah.

  5. ‘Dar al-fasiqin’(دَارَ ٱلْفَٰسِقِينَ ) ialah negeri orang-orang yang fasik. Bila seseorang ada wahyu, tetapi tidak mahu beramal dengannya, dia adalah fasik ataupun derhaka kepada Allah. Contohnya ada al-Quran di dalam rumah tetapi tidak faham isinya dan tidak mahu belajar, apatah lagi mengamalkannya. Itulah orang fasik. Ini adalah perkara yang mencemaskan.

  6. Ini peringatan Allah kepada Nabi Musa agar jangan sampai kaumnya ada Taurat tetapi dibiarkan sahaja ataupun menjadi orang yang fasik: tidak mengendahkan perintah Allah setelah Allah memberikan wahyu sebagai panduan bagi setiap perkara. 



Ayat [7:146]


سَأَصْرِفُ عَنْ ءَايَـٰتِىَ ٱلَّذِينَ يَتَكَبَّرُونَ فِى ٱلْأَرْضِ بِغَيْرِ ٱلْحَقِّ وَإِن يَرَوْا۟ كُلَّ ءَايَةٍۢ لَّا يُؤْمِنُوا۟ بِهَا وَإِن يَرَوْا۟ سَبِيلَ ٱلرُّشْدِ لَا يَتَّخِذُوهُ سَبِيلًۭا وَإِن يَرَوْا۟ سَبِيلَ ٱلْغَىِّ يَتَّخِذُوهُ سَبِيلًۭا ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا وَكَانُوا۟ عَنْهَا غَـٰفِلِينَ


Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayatKu (yang menunjukkan kekuasaanKu); dan mereka (yang bersifat demikian) jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan yang (membawa kepada) hidayah petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.


Mesej dan Tindakan:


  1. Dalm Surah al-A'raf, isu takabbur (sombong) dan 'ghaflah' (lalai) ditekankan. Takabbur diwakili oleh iblis, manakala ghaflah diwakili oleh Nabi Adam. Bila Nabi Adam lalai, dia terpengaruh untuk mendekati pohon yang dilarang di dalam syurga. Nabi Adam cepat-cepat bertaubat. Akan tetapi, Iblis lalai dari bertaubat dan juga takabbur kerana tidak mahu sujud kepada Nabi Adam bila disuruh. Iblis merasa diri hebat sehingga dilaknat oleh Allah SWT.

  2. Silap dan lalai adalah 'normal' bagi kita manusia biasa. Kalau silap, mengaku silap dan jangan sombong. Kalau seseorang silap dan sombong, Allah akan palingkannya sehingga tidak kisah lagi kepada semua kebesaran dan mesej dari Allah. 

  3. Diberi Covid-19, jangan sampai tidak mengambil pelajaran. Bila nampak jalan petunjuk yang betul, jangan  tidak mengambilnya seperti Bani Israel. Orang takabbur tidak semestinya orang yang tidak  beriman. Ada orang beriman  tetapi tidak mahu mengambil jalan yang benar. Perkara-perkara yang terdapat di dalam wahyu, dia tidak mahu mendengar. Jika ditegur tetap degil. Mendustakan ayat-ayat Allah. Awalnya mereka lalai (ghaflah) sehinggalah sampai satu masa mereka menjadi sombong.

  4. Kita seharusnya merendah diri jika mendapat teguran. 



Ayat [7:147]


وَٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا وَلِقَآءِ ٱلْـَٔاخِرَةِ حَبِطَتْ أَعْمَـٰلُهُمْ ۚ هَلْ يُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ


Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan pertemuan hari akhirat, gugurlah amal-amal mereka (yang baik). Mereka tidak diberikan balasan (pada hari akhirat) melainkan (bagi) apa yang mereka telah kerjakan (dari perbuatan kufur dan maksiat).


Mesej dan Tindakan:


  1. Kelalaian akan membawa kepada sombong. Cara syaitan menjadikan manusia sombong adalah dengan melalaikan mereka. 

  2. Dalam hidup kita, bila lalai jika tidak dididik dengan wahyu, ilmu yang betul, akan boleh menjadikan kita sombong.

  3. Lawan kepada lalai ialah  Zikir, ingat kepada Allah. Az-Zikr adalah salah satu nama al-Quran. Makin banyak kita membaca al-Quran, berzikir dan menunaikan solat, insha-Allah kita tidak akan lalai dalam kehidupan.

  4. Orang yang mendustakan ayat- ayat Allah dan pertemuan dengan Allah di hari akhirat akan dihancurkan. Sia-sia (حَبِطَتْ) sahaja amal yang dibuat. Ia umpama seekor kambing yang gemuk, tetapi telah termakan racun. Nampak sihat tetapi tidak boleh dimanfaatkan. Ada orang yang bukan Islam yang menderma berbilion ringgit dan amat baik kepada semua orang. Apa yang dilakukannya memang tidak dinafikan kebaikannya. Akan tetapi, semua amal yang tidak dibuat kerana Allah tetapi kerana ibu ayah, pemimpin, atau perkara lain akan hancur. 

  5. Orang yang 'ghaflah' (lalai) nampak luarannya baik, tetapi tidak mahu solat. Lama-kelamaan akan menjadi sombong. Walaupun dia tidak menganggu orang, tetapi dia mengingkari Allah. Hidayah Allah tidak akan sampai kepada orang yang takabur (sombong). 



Ayat [7:148]


وَٱتَّخَذَ قَوْمُ مُوسَىٰ مِنۢ بَعْدِهِۦ مِنْ حُلِيِّهِمْ عِجْلًۭا جَسَدًۭا لَّهُۥ خُوَارٌ ۚ أَلَمْ يَرَوْا۟ أَنَّهُۥ لَا يُكَلِّمُهُمْ وَلَا يَهْدِيهِمْ سَبِيلًا ۘ ٱتَّخَذُوهُ وَكَانُوا۟ ظَـٰلِمِينَ


Dan kaum Nabi Musa, sesudah ia (pergi ke Gunung Tursina), mereka membuat dari barang-barang emas perhiasan mereka, (patung) anak lembu yang bertubuh dan bersuara (Allah berfirman): "Tidakkah mereka memikirkan bahawa patung itu tidak dapat berkata-kata dengan mereka dan tidak dapat juga menunjukkan jalan kepada mereka? Mereka menjadikannya (berhala yang disembah) dan sememangnya mereka adalah orang-orang yang melakukan kezaliman".


Mesej dan Tindakan:


  1. Setelah Nabi Musa pergi ke Gunung Tursina untuk bertemu Allah, kaum Nabi Musa membuat patung anak lembu sebagai tuhan. Patung itu boleh mengeluarkan bunyi. Allah membidas mereka bahawa lembu itu hanya mengeluarkan bunyi, tidak bersuara dan tidak dapat memberi hidayah. Sedangkan Allah menjadikan lembu yang boleh berbunyi dan Allah menciptakan pelbagai perkara termasuklah Taurat untuk memberi hidayah.  Allah memberi hujjah itu kerana mereka menzalimi diri mereka. 

  2. Bani Israel tidak komited dengan Taurat dan lebih percaya kepada kata-kata Samiri dan benda-benda yang pelik. Mereka tidak percaya kepada perintah Nabi Musa. 



Ayat [7:149]


وَلَمَّا سُقِطَ فِىٓ أَيْدِيهِمْ وَرَأَوْا۟ أَنَّهُمْ قَدْ ضَلُّوا۟ قَالُوا۟ لَئِن لَّمْ يَرْحَمْنَا رَبُّنَا وَيَغْفِرْ لَنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ


Dan setelah mereka menyesal (akan apa yang mereka lakukan) dan mengetahui bahawa mereka telah sesat, berkatalah mereka: "Sesungguhnya jika Tuhan kami tidak memberi rahmat kepada kami dan mengampunkan kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi".


Mesej dan Tindakan:


  1. Setelah mereka sedar bahawa mereka lalai dan sesat, mereka mengaku silap. 

  2. Doa ini adalah sama dengan doa Nabi Adam dahulu. Mereka lalai dan segera bertaubat, mengaku kesalahan mereka. 

  3. Pelajaran untuk kita, terus mendidik orang yang buat silap seperti Nabi Musa tidak jemu mendidik kaumnya.


RESOLUSI


Ingat !!

  1. Berpegang teguh pada al-Quran untuk menjadi orang yang bersyukur (144)

  2. Berpegang sekuat-kuatnya pada mesej daripada wahyu Allah SWT (145)

  3. Jangan jadi orang yang lalai iaitu orang yang mengabaikan ayat kebesaran Allah SWT (146)


Lega kerana Allah ingatkan bahawa dengan berpegang kepada al-Quran, saya akan menjadi orang yang bersyukur. 

 

Saya jelas untuk berpegang teguh pada al-Quran agar saya menjadi orang yang bersyukur. Saya mesti berpegang sekuat-kuatnya pada mesej daripada wahyu Allah SWT. Saya jelas untuk menjaga diri daripada jadi orang yang lalai iaitu orang yang mengabaikan ayat kebesaran Allah SWT.


Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.  


Ya Allah bimbing kami untuk berpegang teguh pada al-Quran agar kami menjadi orang yang bersyukur. Ya Allah bantu kami untuk berpegang sekuat-kuatnya pada mesej daripada al-Quran. Ya Allah, pelihara kami daripada jadi orang yang lalai. Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...