Perkataan hari ini:
غَضَبَ Marah, berang
24 kali kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
Kemarahan Nabi Musa A.S terhadap Nabi Harun A.S kerana kes penuhanan anak lembu (150-151)
Balasan orang yang zalim ketika membuat patung anak lembu dan diterimaNya taubat mereka (152-153)
Akhir kisah pembuatan patung anak lembu sebagai tuhan (154)
Nabi Musa A.S memilih 70 orang untuk bercakap-cakap, melihat, dan bermunajat kepada tuhan (155)
Mukaddimah
Alhamdulillah, kita bersyukur pada Allah SWT pada hari Jumaat yang penuh barakah ini kita bertemu untuk mendalami isi kandungan daripada al-Quran, untuk kita sama-sama mengambil hidayah/pedoman daripada kisah Nabi Musa A.S Allah. Pada halaman 169 ini kita akan melihat babak seterusnya apabila Nabi Musa A.S bersama Tuhan dan balik bertemu kaumnya Bani Israel.
Perjuangan Nabi Musa A.S ini adalah amat menarik. Ia adalah perjuangan tauhid. Bila seseorang ada perjuangan tauhid yang diutamakan, perjuangan untuk orang lain, maka perjuangan untuk diri sendiri akan terurus dengan lebih baik. Tetapi jika tidak ada perjuangan tauhid, tidak ada perjuangan untuk orang lain, kesannya ialah kita sendiri asyik nak bergaduh. Tak puas hati setiap hari. Waktu covid ini, kita asyik merungut kena duduk di rumah. Merungut dalam media sosial dan sebagainya. Ia ada kaitan dengan dasar perjuangan ini.
Dengan membaca al-Fatihah kita memuji Allah SWT, rabb al-a’lamin (Tuhan sekalian alam). Di dalam Surah al-Kahfi yang sunah dibaca pada hari Jumaat juga ada menyebut tentang pujian kepada Allah. Kita memuji kepada Allah bagaimana menguruskan iman, harta, ilmu dan kuasa yang Allah pinjamkan kepada kita.
Di dalam kisah Nabi Musa pada hari ini kita akan lihat bagaimana Nabi Musa menguruskan iman. Baginda bukan sahaja berjuang membebaskan Bani Israel daripada cengkaman Firaun, lebih penting dari itu baginda berjuang menyelamatkan Bani Israel untuk keluar dari kehambaan kepada manusia kepada kehambaan kepada Tuhan yang sebenar-benarnya.
Ayat [7:150]
وَلَمَّا رَجَعَ مُوسَىٰٓ إِلَىٰ قَوْمِهِۦ غَضْبَـٰنَ أَسِفًۭا قَالَ بِئْسَمَا خَلَفْتُمُونِى مِنۢ بَعْدِىٓ ۖ أَعَجِلْتُمْ أَمْرَ رَبِّكُمْ ۖ وَأَلْقَى ٱلْأَلْوَاحَ وَأَخَذَ بِرَأْسِ أَخِيهِ يَجُرُّهُۥٓ إِلَيْهِ ۚ قَالَ ٱبْنَ أُمَّ إِنَّ ٱلْقَوْمَ ٱسْتَضْعَفُونِى وَكَادُوا۟ يَقْتُلُونَنِى فَلَا تُشْمِتْ بِىَ ٱلْأَعْدَآءَ وَلَا تَجْعَلْنِى مَعَ ٱلْقَوْمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ
Dan apabila Nabi Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan dukacita, berkatalah ia: "Amatlah buruknya apa yang telah kamu lakukan sepeninggalanku; mengapa kamu terburu-buru (tidak menunggu) perintah Tuhan kamu?" Dan ia meletakkan Lauh-lauh (yang mengandungi tulisan Taurat) itu serta ia memegang (rambut) kepala saudaranya (Nabi Harun) sambil menariknya kepadanya. Nabi Harun berkata: "Wahai anak ibuku! Sesungguhnya kaum (Bani Israil) memandangku lemah dan nyaris-nyaris mereka membunuhku (ketika aku melarang mereka); oleh itu, janganlah engkau menjadikan musuh bergembira melihat (tempelakmu) terhadapku, dan janganlah engkau jadikan daku termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim".
Mesej dan Tindakan (Pengurusan Marah):
Semalam kita melihat kaum Nabi Musa telah membuat kesalahan besar, iaitu syirik kepada Allah semasa ketiadaan Nabi Musa AS. Mereka berjaya dipengaruhi oleh dakyah Samiri. Mereka menyangka mungkin Nabi Musa telah meninggal kerana tidak balik-balik selama 40 hari. Mereka pun membuat tuhan lain yang berupa berhala patung daripada emas berbentuk lembu. Bayangkan bila ayah ada tugasan luar, bos outstation tetapi tidak beritahu kenapa dia belum balik, mulalah berfikir macam-macam.
Bila Nabi Musa balik, baginda memang sudah sedia marah (غَضْبَٰنَ) dan juga sedih (أَسِفًا) kerana Allah SWT telah menyampaikan hal kaumnya kepada baginda. Dalam Surah Thoha tersebut Allah telah memberitahu Nabi Musa yang kaumnya syirik.
Nabi Musa A.S melepaskan kemarahannya dan bertanya mengapa tidak menunggunya kembali dengan perintah daripada Allah. Mereka terlalu tergesa-gesa membuat kesimpulan.
Pelajaran untuk kita, jangan mudah membuat kesimpulan awal yang negatif tanpa mengetahui keadaan sebenar. Ia adalah seperti kerja Samiri dan syaitan yang memang suka kita membuat keputusan yang salah yang membawa kepada lebih banyak perbuatan dosa dan maksiat.
Nabi Musa membaling lembaran-lembaran Taurat (ٱلْأَلْوَاحَ) yang dibawanya. Kemudian, Nabi Musa A.S menarik kepala dan janggut Nabi Harun, abangnya. Cara Nabi Harun respon adalah rahsia bagaimana kita mahu menangani bos yang ‘bengkeng’, isteri atau suami yang pemarah.
Tekniknya ialah: a) Nabi Harun tidak membalas apa yang adiknya buat padanya; b) Nabi Harun balas dengan perkataan yang lembut dan boleh menyentuh hati Nabi Musa dengan hanya berkata, "Wahai anak ibuku". Nabi Harun lembut orangnya, berbeza dengan Nabi Musa AS; c) Nabi Harun mengakui kelemahannya.
Karakter Nabi Musa adalah karakter yang kuat. Ini dapat dilihat melalui peristiwa sewaktu baginda kepenatan lari dari Mesir, Nabi Musa A.S berhenti menolong dua orang perempuan yang sedang beratur untuk mengambil air tetapi dipotong oleh lelaki lain. Sepatutnya penat, beliau tidak payah pun nak sibuk menolong. Tetapi oleh kerana karakternya yang kuat, Nabi Musa terus membantu dua orang perempuan tersebut. Selepas itu Nabi Musa AS bertemu dengan Nabi Syuaib di Madyan.
Nabi Harun memberitahu Nabi Musa hakikat sebenar dengan mengaku bahawa dia lemah dan hampir dibunuh oleh kaumnya. Apa yang berlaku antara Nabi Musa A.S dan Nabi Harun adalah pedoman untuk kita menangani konflik. Jangan kerana Kumpulan A berbalah dengan Kumpulan B, musuh bertepuk tangan. Janganlah kita jadi dalam kalangan orang-orang yang zalim.
Nabi Musa A.S bukan marah tanpa sebab. Beliau marah kerana hak Allah sudah dicabar. Dalam Surah al-Kahfi kita dapat melihat yang Nabi Musa A.S tidak marah bila Yushak b Nun menyebabkan ikan yang sepatutnya dimasak dan dimakan, terlepas.
Nabi Musa A.S banyak berjuang untuk kaumnya. Jika kita tidak berjuang untuk kepentingan orang/rakyat dan hanya mementingkan diri, kita akan banyak berfikir tentang ketidak puasan hati kita sahaja. Kita tidak mahu menjadi orang yang zalim.
Dalam konteks hari ini, kita tidak mahu menjadi orang yang hanya mementingkan diri sendiri. Kita mestilah berusaha memperjuangkan hak Allah. Inilah perjuangan yang paling tinggi. Kita mesti memperjuangkan hak masyarakat seperti kisah Nabi Syuaib, perjuangan sosial seperti Nabi Lut.
Ayat [7:151]
قَالَ رَبِّ ٱغْفِرْ لِى وَلِأَخِى وَأَدْخِلْنَا فِى رَحْمَتِكَ ۖ وَأَنتَ أَرْحَمُ ٱلرَّٰحِمِينَ
Nabi Musa berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ampunkanlah bagiku dan bagi saudaraku, dan masukkanlah kami ke dalam rahmatMu, kerana Engkaulah sahaja Yang Maha Mengasihani dari segala yang lain mengasihani".
Mesej dan Tindakan:
Selepas mendengar penjelasan Nabi Harun, Nabi Musa sedar akan kesilapannya. Nabi Musa lantas memohon ampun kepada Allah untuk dirinya. Kemudian memohon ampun untuk saudaranya.
Pelajaran bagi kita, Nabi Musa yang merupakan seorang rasul yang berjuang untuk tauhid pun tahu meletakkan keutamaan yang betul. Jangan sampai anak kita mentauhidkan ibu bapa di dalam rumah, rasa bersalah kalau ibu bapa tidak berpuas hati, tetapi okay sahaja bila tidak solat atau tidak baca al-Quran.
Nabi Musa A.S memohon keampunan dan memohon rahmat kasih sayang daripada Allah SWT.
Elakkan marah kerana hak diri sendiri kerana itu adalah ruang bagi syaitan memasukkan jarum hasutannya. Daripada Abu Wail, dia berkata:" Aku mendengar Abdullah r.a. berkata, "Apabila selesai Perang Hunain, Nabi SAW mendahulukan sebahagian orang (dalam ghanimah) baginda memberi Al Aqra' 100 ekor unta, memberi Unayyah juga hal yang serupa, lalu memberi sebahagian yang lain. Tiba-tiba seorang lelaki berkata, "Sungguh pembahagian ini tidak dimaksudkan untuk mengharap wajah Allah. Lalu aku (Abdullah) berkata. "Pasti aku beritahukan Musa kerana dia pernah disakiti lebih dari ini dan dia bersabar" (Hadis Riwayat Bukhari)
Segala usaha Nabi Musa untuk bawa kepada keselamatan tauhid tidak dihargai oleh kaumnya, namun baginda tetap bersabar. Bila kita rasa marah, cepat-cepat ingat Allah supaya perasaan kita lebih terurus. Cepat-cepat minta ampun pada Allah. Pasti ada kesilapan juga bila kita marah.
Memang susah hendak menahan marah namun, hendaklah kita ingat bahawa marah akan membuat kita mengambil keputusan yang salah. Semoga al-Quran dapat melegakan hati kita daripada sifat marah.
Ayat [7:152]
إِنَّ ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ ٱلْعِجْلَ سَيَنَالُهُمْ غَضَبٌۭ مِّن رَّبِّهِمْ وَذِلَّةٌۭ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۚ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُفْتَرِينَ
Sesungguhnya orang-orang yang menyembah (patung) anak lembu itu, akan ditimpa kemurkaan dari Tuhan mereka dan kehinaan dalam kehidupan dunia. Dan demikianlah kami membalas orang-orang yang mengada-adakan perkara yang tidak benar.
Mesej dan Tindakan:
Allah SWT murka kepada orang-orang yang syirik.
Jika pembohongan dibuat atas nama Allah SWT dan Nabi SAW, kesannya mereka pasti dihina oleh Allah di dunia sepertimana Bani Isreal yang dihina untuk tempoh yang lama.
Ayat [7:153]
وَٱلَّذِينَ عَمِلُوا۟ ٱلسَّيِّـَٔاتِ ثُمَّ تَابُوا۟ مِنۢ بَعْدِهَا وَءَامَنُوٓا۟ إِنَّ رَبَّكَ مِنۢ بَعْدِهَا لَغَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ
Dan orang-orang yang melakukan kejahatan kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan beriman, (maka) sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Mesej dan Tindakan:
Allah memberikan jaminan kepada kita, kalau seseorang melakukan kesilapan dan bertaubat selepas itu betul-betul beriman, Allah akan mengampunkan kerana Dia Maha Pengampun.
Samiri diusir dan sebahagian dari orang yang syirik diperintahkan membunuh diri jika mahu bertaubat, mengikut syariat di zaman itu.
Ayat [7:154]
وَلَمَّا سَكَتَ عَن مُّوسَى ٱلْغَضَبُ أَخَذَ ٱلْأَلْوَاحَ ۖ وَفِى نُسْخَتِهَا هُدًۭى وَرَحْمَةٌۭ لِّلَّذِينَ هُمْ لِرَبِّهِمْ يَرْهَبُونَ
Dan apabila kemarahan Nabi Musa itu reda, dia pun mengambil Lauh-lauh Taurat itu yang dalam naskhahnya terkandung petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang bersungguh-sungguh takut kepada Tuhan mereka (daripada melanggar perintahNya).
Mesej dan Tindakan:
Bila reda kemarahannya, Nabi Musa mengambil semula kepingan-kepingan yang mengandungi risalah taurat yang dilemparkannya ketika marah tadi.
Pelajaran untuk kita: Sebelum mengambil Quran hendaklah kita redakan emosi dahulu. Bimbangnya, kalau mengambil Quran dalam keadaan marah, kita mungkin menggunakan dalil Quran untuk salahkan orang lain. Orang yang mengajar al-Quran yang suka marah-marah dan ada yang merotan murid, tidak ada rahmah dan hidayah ketika itu dan dikhuatiri hilang keberkatan ilmu. Mana mungkin mengajar al-Quran yang ada rahmah tetapi dibuat dengan penuh kemarahan. Iblis tak suka kita mengajar al-Quran. Kalau bukan kerana rahmah dan hidayah daripada Allah SWT kita akan malas mengajar al-Quran.
Allah mengingatkan tentang peranan Taurat semasa zaman Nabi Musa, dan juga kepada kita bahawa kita ada al-Quran sebagai sumber hidayah dan rahmat. Ia perlu diambil dalam keadaan tenang.
Ayat [7:155]
وَٱخْتَارَ مُوسَىٰ قَوْمَهُۥ سَبْعِينَ رَجُلًۭا لِّمِيقَـٰتِنَا ۖ فَلَمَّآ أَخَذَتْهُمُ ٱلرَّجْفَةُ قَالَ رَبِّ لَوْ شِئْتَ أَهْلَكْتَهُم مِّن قَبْلُ وَإِيَّـٰىَ ۖ أَتُهْلِكُنَا بِمَا فَعَلَ ٱلسُّفَهَآءُ مِنَّآ ۖ إِنْ هِىَ إِلَّا فِتْنَتُكَ تُضِلُّ بِهَا مَن تَشَآءُ وَتَهْدِى مَن تَشَآءُ ۖ أَنتَ وَلِيُّنَا فَٱغْفِرْ لَنَا وَٱرْحَمْنَا ۖ وَأَنتَ خَيْرُ ٱلْغَـٰفِرِينَ
Dan Nabi Musa memilih tujuh puluh orang lelaki dari kaumnya (untuk di bawa bersama ke Gunung Tursina) pada waktu yang telah kami tentukan. Maka ketika mereka digegar oleh gempa, Nabi Musa merayu dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jika Engkau kehendaki, Engkau boleh binasakan mereka bersama-sama denganku sebelum ini. Adakah Engkau hendak membinasakan kami disebabkan apa yang telah dilakukan oleh orang-orang yang bodoh di antara kami? (Apa yang mereka telah lakukan) itu hanyalah cubaanMu. Dengan cubaan itu Engkau sesatkan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau beri petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau jualah Pelindung kami; oleh itu ampunkanlah kami dan berilah rahmat kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi ampun.
Mesej dan Tindakan:
Selepas itu, Nabi Musa memilih 70 orang daripada kaumnya kerana mereka meminta mahu melihat Allah. Mereka digegar oleh gempa bumi.
Nabi Musa merayu kepada Allah mohon bantuan dan keampunan kepada mereka semua. Di dalam Surah Thoha Ayat 85 Allah memberitahu sesungguhnya Dia telah menguji kaum Nabi Musa semasa baginda tiada.
Pelajaran untuk kita:
Nabi Musa minta ampun bila tersilap dan minta ampun lagi untuk kaumnya kerana baginda adalah nabi yang bertanggungjawab. Ayah ibu, pemimpin kena mengambil perhatian dan bertanggungjawab di dalam mendidik.
Allah boleh sesatkan sesiapa yang Dia kehendaki dan Dia beri petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki.
Allah jualah Pelindung kita; oleh itu kita mestilah minta ampun dan rahmat daripada Allah SWT.
RESOLUSI
Ingat !!
Elakkan musuh gembira dengan pergaduhan dan perpecahan di kalangan orang yang berbuat kebaikan (150)
Sentiasa mendoakan orang beriman dalam menghadapi ujian yang melanda (151)
Lega kerana Allah akan memberi keampunan dan rahmatNya apabila kita mengaku kesilapan dan memohon ampun daripadaNya.
Saya jelas untuk elakkan pergaduhan dan perpecahan di kalangan orang yang berbuat kebaikan kerana itu akan membuat musuh gembira. Saya mesti sentiasa mendoakan orang beriman dalam menghadapi ujian yang melanda.
Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.
Ya Allah elakkan kami daripada pergaduhan dan perpecahan dalam usaha kami untuk berbuat kebaikan. Ya Allah kurniakan kami kesabaran, dan jauhi kami daripada sifat marah. Ya Allah bantu kami dalam menghadapi ujian yang melanda. Ya Allah, jauhi kami daripada perbuatan syirik .
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.