Saturday, July 1, 2023

Halaman 170: Al-A'raf, 7:156-159

Perkataan hari ini:   


نَهَى  Menegur, melarang


56  kali disebut dalam al-Quran


SINOPSIS   


  1. Doa Nabi Musa A.S ketika menyaksikan gempa dan kaitan risalah Nabi Musa A.S dengan risalah Nabi Muhammad SAW (156-157)

  2. Universal risalah Islam (158)

  3. Sebahagian kaum Nabi Musa A.S mengikuti yang haq dan tentang nikmat Allah SWT kepada Bani Israel di Padang Pasir Tih (159) 


Mukaddimah


Alhamdulillah, kita bersyukur pada Allah SWT kita dapat teruskan pembelajaran di halaman 170. Semoga kita semua sentiasa istiqomah baca, faham dan amal al-Quran. 



Ayat [7:156]


 وَٱكْتُبْ لَنَا فِى هَـٰذِهِ ٱلدُّنْيَا حَسَنَةًۭ وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ إِنَّا هُدْنَآ إِلَيْكَ ۚ قَالَ عَذَابِىٓ أُصِيبُ بِهِۦ مَنْ أَشَآءُ ۖ وَرَحْمَتِى وَسِعَتْ كُلَّ شَىْءٍۢ ۚ فَسَأَكْتُبُهَا لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ وَيُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱلَّذِينَ هُم بِـَٔايَـٰتِنَا يُؤْمِنُونَ


"Dan tetapkanlah untuk Kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadaMu". Allah berfirman: "AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertaqwa, dan yang memberi zakat, serta orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami.


Mesej dan Tindakan:


  1. Nabi Musa memohon diampunkan walaupun tidak buat silap. Baginda adalah pemimpin yang bertanggungjawab, yang tidak meninggalkan kaumnya tanpa didikan. 

  2. Pelajaran untuk kita: Ibu ayah, jika ada anak buat silap, kita mohon Allah mengampunkan kita bersama, bukan hanya memohon keampunan untuk anak. Mungkin kesilapan anak-anak adalah kerana kita  tidak ajar betul-betul.

  3. Hasanah bermakna tidak meninggalkan ajaran yang baik. Apabila mengikut jalan hidayah, itulah hasanah. Hasanah bukan sekadar rumah besar, kereta besar tetapi ikut ajaran Nabi Muhammad SAW. Dalam kes kita sekarang, hasanah di dunia ialah kita masih menjaga solat berjemaah di rumah  walaupun tidak boleh ke masjid sebab pandemik COVID19. Walaupun berhenti kerja tetapi tidak melakukan penipuan dan rasuah.

  4. Hudna bermakna Yahudi iaitu orang yang kembali kepada hidayah bertaubat kepada Allah SWT. Allah memberitahu bahawa AzabNya boleh menimpa sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Rahmat Allah adalah amat luas. Firaun tetap boleh makan. Orang buat dosa tetap sihat. Kita mohon supaya Allah ampunkan kita agar rahmat itu sampai ke akhirat.

  5. Rahmat Allah akan kekal sampai ke akhirat kepada orang yang mempunyai tiga ciri iaitu: a) orang yang bertaqwa - sentiasa memohon daripada Allah dijauhkan daripada azab, b) menunaikan zakat, dan c) mereka yang amat beriman kepada ayat-ayat Allah. 

  6. Kita doakan semoga COVID19 ini akan reda dan pergi. Kalau kita selamat, makin lagi kuat keimanan kita. Hamka berkata, "makin kuat bertakwa, makin kuat bayar zakat, makin kuat keimanan kepada ayat-ayat Allah".



Ayat [7:157]


ٱلَّذِينَ يَتَّبِعُونَ ٱلرَّسُولَ ٱلنَّبِىَّ ٱلْأُمِّىَّ ٱلَّذِى يَجِدُونَهُۥ مَكْتُوبًا عِندَهُمْ فِى ٱلتَّوْرَىٰةِ وَٱلْإِنجِيلِ يَأْمُرُهُم بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَىٰهُمْ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ ٱلطَّيِّبَـٰتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ ٱلْخَبَـٰٓئِثَ وَيَضَعُ عَنْهُمْ إِصْرَهُمْ وَٱلْأَغْلَـٰلَ ٱلَّتِى كَانَتْ عَلَيْهِمْ ۚ فَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ بِهِۦ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَٱتَّبَعُوا۟ ٱلنُّورَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ مَعَهُۥٓ ۙ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ


"Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.


Mesej dan Tindakan:


  1. Orang yang beriman sebenar-benarnya ialah mereka yang mengikut dekat-dekat Nabi Muhammad SAW iaitu Nabi yang ummi. Nabi SAW telah termaktub di dalam Taurat dan Injil. Kita mesti ikut dekat-dekat sunnah Nabi SAW. Siapa yang beriman kepada ayat-ayat Allah mestilah beriman kepada rasul. Bani Israel hanya mahu mengikut Nabi Musa dekat-dekat tetapi tidak mahu ikut Nabi Muhammad SAW. Isunya ialah kerana ada rasa dengki. 

  2. Pelajarannya: Kita mesti ikut ketua yang membawa kepada Allah tidak kira keturunan apa pun.

  3. Ciri-ciri yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW ialah:

    1. Menyeru kepada makruf - ajak kembali kepada kebaikan 

    2. Mencegah kemungkaran

    3. Menghalalkan yang baik

    4. Mengharamkan perkara yang keji

    5. Membebaskan daripada beban dan belengu

    6. Meringankan   

  4. Kita mestilah sokong kepada program-program yang baik seperti anti rasuah contohnya.

  5. Ciri-ciri orang yang berjaya ialah; beriman kepada Rasullullah SAW, memuliakan, menolong, mengikut dekat-dekat dengan al-Quran.



Ayat [7:158]


قُلْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنِّى رَسُولُ ٱللَّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعًا ٱلَّذِى لَهُۥ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ يُحْىِۦ وَيُمِيتُ ۖ فَـَٔامِنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِ ٱلنَّبِىِّ ٱلْأُمِّىِّ ٱلَّذِى يُؤْمِنُ بِٱللَّهِ وَكَلِمَـٰتِهِۦ وَٱتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ


Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (di utus oleh Allah) yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi yang Ummi yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya); dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk".


Mesej dan Tindakan:


  1. Ini adalah seruan kepada semua manusia dan ia bukan hanya untuk orang Arab sahaja. 

  2. Manusia kenal Allah yang memiliki langit dan bumi, tiada tuhan yang menghidupkan dan mematikan kecuali Dia, maka wajiblah mengikut Rasulullah SAW.

  3. Berimanlah kepada Rasul yang Nabi dan ummi. Tidak mungkin orang beriman kepada Allah tidak membaca al-Quran. 

  4. Hendaklah kita ikut kalimah Allah dekat-dekat agar kita diberi hidayah. Itulah cara kita untuk mendapat hidayah. Tanda orang mendapat hidayah ialah dia merendah diri dan menyerah kepada Allah.



Ayat [7:159]


وَمِن قَوْمِ مُوسَىٰٓ أُمَّةٌۭ يَهْدُونَ بِٱلْحَقِّ وَبِهِۦ يَعْدِلُونَ


Dan di antara kaum Nabi Musa, ada satu golongan yang memberi petunjuk (kepada orang ramai) dengan perkara-perkara yang hak, dan dengannya mereka menjalankan keadilan.


Mesej dan Tindakan:


  1. Kaum Nabi Musa ada yang degil dan ada yang mengikut hidayah. Allah memuji mereka yang memberi petunjuk kepada orang ramai.

  2. Perjuangkan keadilan kerana itu adalah penghargaan Allah.



RESOLUSI


Ingat !!

  1. Bina takwa dengan mengeluarkan zakat dan beriman kepada ayat Allah SWT (Al-Quran) (156)

  2. Bina keimanan dengan menyeru kepada kebaikan, cegah kemungkaran serta menghalalkan apa dihalalkan (157)

  3. Cari hidayah untuk bertemu kebenaran dan memperjuangkan keadilan (159) 


Lega kerana Allah akan berikan kebenaran sekiranya saya mencari hidayah.

 

Saya jelas untuk  bina takwa dengan mengeluarkan zakat dan beriman kepada ayat Allah SWT (Al-Quran).

Saya mesti bina keimanan dengan menyeru kepada kebaikan, cegah kemungkaran serta menghalalkan apa dihalalkan. Saya juga jelas untuk cari hidayah untuk bertemu kebenaran dan memperjuangkan keadilan.


Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.  


Ya Allah jadikan kami orang yang bertakwa, mengeluarkan zakat dan beriman kepada al-Quran. Ya Allah, bantu kami untuk bina keimanan dengan menyeru kepada kebaikan, cegah kemungkaran serta menghalalkan apa dihalalkan. Ya Allah, berilah kami hidayah untuk bertemu kebenaran dan memperjuangkan keadilan.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib



Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...