Saturday, July 1, 2023

Halaman 171: Al-A'raf, 7:160-163

 Perkataan hari ini:  

سَقَى Memberi minum, memberi air

25 kali disebut dalam al-Quran

SINOPSIS   


  1. Air dari tongkat Nabi Musa A.S (160)

  2. Perintah kepada Bani Israel untuk menetap di Baitul Maqdis (161-162)

  3. Kelicikan orang Yahudi untuk menangkap ikan pada hari Sabtu dan siksaan bagi yang menentang larangan tersebut (163)


Mukaddimah


Alhamdulillah, kita dapat teruskan pembelajaran di halaman 171. Kita mohon dari Allah untuk kita terus diberi hidayah hingga ke akhirat.


Pada halaman lepas kita berbincang kisah Nabi Musa sebagai panduan nilai dan peraturan yang penting diberi perhatian.  Walaupun didalam al-Quran Bani Israel banyak dikutuk dan dilaknat, namun ada juga pujian untuk mereka. Pengajarannya, jangan kita menghina orang yang berbuat kesilapan sehingga tidak nampak kebaikannya kerana Allah ada juga memuji Bani Israel walaupun ada sebahagian yang degil.



Ayat [7:160]


وَقَطَّعْنَـٰهُمُ ٱثْنَتَىْ عَشْرَةَ أَسْبَاطًا أُمَمًۭا ۚ وَأَوْحَيْنَآ إِلَىٰ مُوسَىٰٓ إِذِ ٱسْتَسْقَىٰهُ قَوْمُهُۥٓ أَنِ ٱضْرِب بِّعَصَاكَ ٱلْحَجَرَ ۖ فَٱنۢبَجَسَتْ مِنْهُ ٱثْنَتَا عَشْرَةَ عَيْنًۭا قَدْ عَلِمَ كُلُّ أُنَاسٍۢ مَّشْرَبَهُمْ ۚ وَظَلَّلْنَا عَلَيْهِمُ ٱلْغَمَـٰمَ وَأَنزَلْنَا عَلَيْهِمُ ٱلْمَنَّ وَٱلسَّلْوَىٰ ۖ كُلُوا۟ مِن طَيِّبَـٰتِ مَا رَزَقْنَـٰكُمْ ۚ وَمَا ظَلَمُونَا وَلَـٰكِن كَانُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ


Dan kami membahagikan mereka (Bani Israil) menjadi dua belas suku, sebagai golongan-golongan besar, dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa, ketika kaumnya meminta air kepadanya: "Pukulah batu itu dengan tongkatmu." Maka terpancarlah daripadanya dua belas mata air. Tiap-tiap golongan (di antara mereka) mengetahui tempat masing-masing. Dan Kami naungi mereka dengan awan, dan Kami turunkan kepada mereka "Mann" dan "Salwa". (Lalu Kami berfirman): "Makanlah dari baik-baik yang kami telah kurniakan kepada kamu". Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (dengan kekufuran mereka), tetapi mereka adalah menganiaya diri mereka sendiri.


Mesej dan Tindakan:


  1. Bani Israel dibahagikan kepada 12 keturunan dan mereka sangat bangga dengan sejarah keturunan ini. Mereka pernah diuji dengan ketiadaan air dan Allah memerintahkan Nabi Musa A.S untuk memukul batu dengan tongkatnya dan keluarlah 12 mata air. Air itu cukup untuk diguna oleh semua mereka (dianggar 2 juta orang mengikut Old Testament).

  2. Allah beri macam-macam kepada Bani Israel. Nikmat lain yang mereka dapat ialah, mereka diberi lindungan awan putih. Mereka juga mendapat 'manna wa salwa' (makanan manis/bijian gandum dan daging puyuh).

  3. Pengajaran: Seseorang yang menyakini rasul dan mengajak orang lain ke jalan Allah, mereka akan diberi rezeki yang bermacam-macam oleh Allah SWT.

  4. Orang yang berbuat zalim, mereka sebenarnya menzalimi diri mereka sendiri. Rezeki mereka tersekat. Rezeki bukan sekadar duit. Rezeki boleh jadi kebahagiaan, kesihatan dan kefahaman ilmu. 

  5. Hendaklah kita berjaga-jaga jangan buat kezaliman. Zalim ialah dosa-dosa dalam kehidupan kita seharian seperti mengumpat, memfitnah dalam facebook, dengki kepada orang lain dan kondem orang lain habis-habisan sedangkan orang itu pernah buat kebaikan.



Ayat [7:161]


وَإِذْ قِيلَ لَهُمُ ٱسْكُنُوا۟ هَـٰذِهِ ٱلْقَرْيَةَ وَكُلُوا۟ مِنْهَا حَيْثُ شِئْتُمْ وَقُولُوا۟ حِطَّةٌۭ وَٱدْخُلُوا۟ ٱلْبَابَ سُجَّدًۭا نَّغْفِرْ لَكُمْ خَطِيٓـَٔـٰتِكُمْ ۚ سَنَزِيدُ ٱلْمُحْسِنِينَ


Dan (ingatlah) ketika dikatakan kepada mereka: "Tinggallah dalam bandar ini dan makanlah dari makanannya apa sahaja yang kamu sukai, dan berdoalah dengan berkata: `(Wahai Tuhan kami), gugurkanlah (dosa kami) dan masuklah melalui pintu (bandar) itu dengan tunduk merendah diri, supaya Kami mengampunkan dosa-dosa kamu. Kami akan menambah (balasan) bagi orang-orang yang berbuat kebaikan".


Mesej dan Tindakan:


  1. Ayat ini ada kaitan dengan Adam dan Iblis. Allah suruh kita ingat balik perkara ini. 

  2. Nabi tidak boleh membaca, tidak tahu Bahasa Ibrani, tidak pernah berjumpa Yahudi. Ini menunjukkan segala yang diberitahu oleh baginda SAW adalah wahyu daripada Allah.

  3. Allah memerintahkan Bani Israel untuk masuk ke Baitulmaqdis melalui pintu gerbang dengan merendahkan diri dari atas kenderaan mereka sambil memohon ampun.  Ini juga adab yang diajar oleh Nabi SAW ketika masuk ke Mekah selepas kemenangan. Orang Islam, bila dia mendapat kemenangan, mesti masuk dengan rasa rendah diri. 

  4. Dengan merendahkan diri, Allah akan memberi keampunan. Kemenangan bukan milik kita. Semuanya dari Allah. Bila kita berjaya, puji Allah dan minta ampun dariNya dan kita akan baiki diri. Selepas berjaya mengikuti pengajian bacalah tasbih kaffarah.

  5. Bani Israel pernah buat silap tetapi mereka sombong. Bila kita pernah silap, rendahkan diri, mohon ampun kepada Allah SWT. Allah akan buka pintu seluas-luasnya untuk jadi orang-orang yang melakukan kebaikan ( ٱلْمُحْسِنِينَ ).

  6. Ambillah pengajaran dari kisah Bani Israel. Jangan kita menjadi seperti mereka,  kembali sombong setelah Allah mengampunkan mereka. Sekarang kita diuji dengan pandemik ini. Allah boleh memberi kita ujian entah apa lagi selepas pandemik ini jika kita terus degil.  

  7. Ini adalah panduan bagaimana untuk menyambut kejayaan. Allah pasti menambah lagi nikmat bagi orang yang berbuat ihsan. Salah satu ihsan ialah dia selalu merendah diri, buat sesuatu yang terbaik, memberi kredit kepada Allah, istighfar mohon ampun kerana kita tak buat yang terbaik. Nabi SAW istighfar 70-100 kali sehari, bukan kerana baginda SAW buat dosa tapi memikirkan apakah baginda telah buat yang terbaik untuk menyampaikan mesej Allah SWT kepada seluruh umat.



Ayat [7:162]


فَبَدَّلَ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ مِنْهُمْ قَوْلًا غَيْرَ ٱلَّذِى قِيلَ لَهُمْ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِجْزًۭا مِّنَ ٱلسَّمَآءِ بِمَا كَانُوا۟ يَظْلِمُونَ


Maka orang-orang yang zalim di antara mereka menukarkan perintah itu dengan perkataan yang tidak dikatakan kepada mereka. Oleh itu, Kami turunkan azab dari langit menimpa mereka, dengan sebab kezaliman yang mereka lakukan


Mesej dan Tindakan:


  1. Sepatutnya mereka memohon ampun tetapi mereka tukarkan perkataan menjadi 'gandum' untuk mempermainkan. 

  2. Janganlah kita gunakan istighfar untuk membuat lawak atau mempermainkan mesej daripada al-Quran

  3. Allah menghantar azab ( رِجْزًۭا ) kepada Bani Israel kerana mereka sombong dan mempermainkan mesej Allah SWT. Menurut Hamka, mereka adalah orang yang gila kemenangan. Orang yang gila kemenangan, bila menang, mereka jadi gila. 

  4. Orang yang mengharapkan rahmat Allah, bila Allah beri kemenangan, mereka bersyukur. Mereka ingat semuanya milik Allah, merasa tidak ada apa-apa, mohon ampun kerana kekurangan diri khuatir jadi bongkak. Inilah bezanya orang beriman dengan orang yang zalim. Nabi Adam silap lalu terus bertaubat. Iblis silap tapi sombong malah minta pula untuk goda Bani Adam 

  5. Bani Israel dan Firaun mendapat siksaan daripada Allah satu demi satu termasuk pandemik taun. Sekarang kita berhadapan dengan pandemik Covid19. Ini adalah signal besar daripada Allah bahawa banyak kezaliman sedang berlaku. Kita kena mohon ampun betul-betul kerana kita hendak kembali kepada Allah, bukan sendirian tetapi beramai-ramai. Jika tidak selesai juga pandemik ini, maknanya masih ramai yang degil. 

  6. Kalau Bani Israel mencari Nabi Musa untuk membantu, kita pula kena ikut sunnah Nabi SAW dan ikut dekat-dekat. Hendaklah kita ikut sunah Nabi SAW yang amat besar iaitu menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Nabi sudah tiada tetapi hendaklah kita bantu mereka yang mengikut  jalan baginda SAW dan pegang dekat-dekat nur daripada al-Quran.



Ayat [7:163]


وَسْـَٔلْهُمْ عَنِ ٱلْقَرْيَةِ ٱلَّتِى كَانَتْ حَاضِرَةَ ٱلْبَحْرِ إِذْ يَعْدُونَ فِى ٱلسَّبْتِ إِذْ تَأْتِيهِمْ حِيتَانُهُمْ يَوْمَ سَبْتِهِمْ شُرَّعًۭا وَيَوْمَ لَا يَسْبِتُونَ ۙ لَا تَأْتِيهِمْ ۚ كَذَٰلِكَ نَبْلُوهُم بِمَا كَانُوا۟ يَفْسُقُونَ


Dan bertanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik.



Mesej dan Tindakan:


  1. Peristiwa Sabt tidak ada di dalam Taurat sekarang tetapi sejarah menunjukkan ia memang berlaku. Satu golongan kaum yang duduk di pantai dan dilarang Allah mencari ikan pada hari Sabtu. Hari Sabtu pula ikan banyak muncul. Ada dua pendapat tentang ini; a) mereka pasang lukah pada hari Ahad, dan b) ada yang corner sedikit. Kita janganlah suka corner-corner seperti mengambil rasuah. 

  2. Allah beri ujian demi ujian kerana mereka fasiq dan derhaka kepada Allah SWT. 

  3. Orang yang mengambil rasuah, akan terus diuji kerana mereka pernah buat perkara fasik. Jangan mulakan amalan rasuah, walaupun sekali. Contohnya mulanya minta minum teh tarik, lepas itu minta yang lebih besar. 

  4. Salah satu fasik yang ditunjukkan dalam ayat ini ialah suka bermain dengan peraturan. Janganlah kita suka mempermainkan orang lain yang akhirnya kita mempermainkan undang-undang. Contohnya: Jangan mudah-mudah pegawai kata 'Secawan kopi saja, bukan satu billion, 2 billion' untuk ambil fail di pejabat tanah. Perbuatan ini boleh membawa kepada amalan rasuah yang lebih besar.


RESOLUSI


Ingat !!


  1. Jangan buruk sangka kepada Allah dengan sentiasa melakukan keadilan, bukan zalim (160)

  2. Sentiasa buat ihsan atau berbuat kebaikan agar Allah SWT tambah lagi nikmat (161)

  3. Elakkan mempermainkan isu agama selepas tahu kebenaran kerana ia boleh jadi punca ditimpa azab (162)


Lega kerana Allah akan tambah lagi nikmat sekiranya saya sentiasa berbuat kebaikan.


Saya jelas untuk tidak buruk sangka kepada Allah dengan sentiasa melakukan keadilan dan tidak melakukan kezaliman. Saya mestilah sentiasa buat ihsan atau berbuat kebaikan agar Allah SWT tambah lagi nikmat. Saya jelas untuk elakkan mempermainkan isu agama selepas tahu kebenaran kerana ia boleh jadi punca ditimpa azab.


Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.  


Ya Allah, jauhi kami daripada buruk sangka kepada Mu. Ya Allah, bantu kami untuk sentiasa melakukan keadilan dan tidak melakukan kezaliman. Ya Allah, bimbing kami untuk sentiasa buat ihsan atau berbuat kebaikan kerana kami sangat memerlukan nikmat daripada Mu. Ya Allah, elakkan kami daripada mempermainkan isu agama selepas kerana kami tahu bahawa ia boleh jadi punca kami ditimpa azab.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.





Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...