Saturday, July 1, 2023

Halaman 174: Al-A'raf, 7:179-187

Perkataan hari ini:


 ذَرَأَ  Menjadikan, menggandakan


6 kali disebut dalam al-Quran


SINOPSIS   


  1. Faktor kesesatan yang menyebabkan manusia dicampak ke dalam neraka (179)

  2. Asmaul Husna milik Allah SWT (180)

  3. Golongan yang mendapat hidayah dan golongan yang mendustakan kalam Allah SWT daripada kalangan umat Islam (181-186)

  4. Pengetahuan tentang hari kiamat ada di sisi Allah SWT (187)


Mukaddimah


Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT yang mengizinkan kita bersama-sama untuk baca, faham dan amal di hari Jumaat yang penuh barakah ini. Seperti yang tersebut dalam Surah al-Baqarah, Allah menurunkan barakah kepada orang-orang yang bertakwa. Semoga Allah menurunkan barakah kepada diri kita, keluarga kita dan negara kita.


Kita bertuah dipilih untuk mendalami kalamNya, petunjuk kepada sesiapa yang mahu belajar, memahami ayat-ayat ini untuk memandu kehidupan. Halaman 174 ini mengingatkan kita supaya jangan lalai seperti Nabi Adam as pernah lalai tetapi akhirnya cepat-cepat bertaubat. Semoga dengan panduan al-Quran kita tidak akan lalai semasa berada di atas muka bumi ini.


Pada halaman lepas kita telah belajar bahawa orang yang mendapat hidayah adalah orang yang amat beruntung. Orang yang disesatkan, tidak diberi atau tidak menerima hidayah adalah orang yang amat rugi. Mereka umpama orang yang lemas di lautan. Walaupun bukan lemas secara fizikal, emosinya yang lemas dan sedang bergelut dengan cabaran hidup yang dirasakan tidak bermakna. Apabila ditimpa dengan tekanan perasaan, ia akan semakin jauh daripada Allah.




Ayat [7:179]


وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًۭا مِّنَ ٱلْجِنِّ وَٱلْإِنسِ ۖ لَهُمْ قُلُوبٌۭ لَّا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌۭ لَّا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ ءَاذَانٌۭ لَّا يَسْمَعُونَ بِهَآ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ كَٱلْأَنْعَـٰمِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْغَـٰفِلُونَ


“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”


Mesej dan Tindakan:


  1. Allah mengisi neraka jahanam dengan jin dan manusia, selain batu-batu. Kenapa dengan jin dan manusia? Ini kerana mereka ada potensi dan diberi pilihan. Malangnya, mereka ada hati tetapi tidak merasakan kebesaran Allah dan memahaminya, ada mata tetapi tidak melihat, ada telinga tetapi tidak mendengar. Semuanya tidak membawa kepada kefahaman (يَفْقَهُونَ). Contohnya, dengan mata kita lihat matahari dan bulan. Jika kita tidak ada ilmu, kita akan merasakan yang saiznya adalah hampir sama sahaja. Bila ada kefahaman yang betul (يَفْقَهُونَ), kita tahu bahawa matahari dan bulan tidak sama saiznya. Ini kesan bila hati kita ada ilmu yang memahami.

  2. Setakat mata dan telinga, binatang ternakan pun ada. Binatang ternakan kerjanya makan, dan makan walaupun nampak harimau, tetap terus makan. Bila sudah dekat sangat harimau itu, barulah mereka terasa terancam dan takut. 

  3. Orang yang dimasukkan ke dalam neraka jahanam tidak peka dengan keadaan sekeliling. Tengok orang meninggal, mereka tidak merasa apa-apa dan tidak mengambil iktibar. Selepas diberi ujian, keadaan selesa semula, mereka lupa akan ujian dahulu. Mereka lalai dan kita tidak mahu menjadi seperti itu. Lalai dan tidak peka dengan bahaya atau ancaman Allah walaupun setelah diingatkan. 

  4. Semoga kita tidak jadi orang yang lalai.



Ayat [7:180]


وَلِلَّهِ ٱلْأَسْمَآءُ ٱلْحُسْنَىٰ فَٱدْعُوهُ بِهَا ۖ وَذَرُوا۟ ٱلَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِىٓ أَسْمَـٰٓئِهِۦ ۚ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ


“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.”


Mesej dan Tindakan:


  1. Solat, doa dan membaca al-Quran adalah tiga aktiviti penting yang kita akan berinteraksi dengan asmaulhusna. Itulah ubat kepada lalai. 

  2. Bila kita melihat alam, lihat pandemik COVID19 sekarang ini, kita terus ingat kepada kebesaran Allah dan mendekati Allah SWT. Jika tidak, kita sama seperti binatang ternakan. 

  3. Ada kaum dahulu yang mengelilingi Kaabah tetapi tetap menyembah berhala. Ada orang di hari ini tidak mengutamakan Allah dalam hidupnya. Mereka mempersoalkan Allah kerana mendatangkan COVID19. Tinggalkan sahaja orang yang sebegini kerana mereka adalah orang yang lalai. Mereka mengenali Allah tetapi tetap berpaling.  

  4. Hendaklah kita berdoa dengan mindset yang baik, selalu positif kepada Allah SWT.



Ayat [7:181]


وَمِمَّنْ خَلَقْنَآ أُمَّةٌۭ يَهْدُونَ بِٱلْحَقِّ وَبِهِۦ يَعْدِلُونَ


“Dan di antara orang-orang yang Kami ciptakan itu, ada satu umat yang memberi petunjuk dengan kebenaran, dan dengannya mereka menjalankan keadilan.”


Mesej dan Tindakan:


  1. Ada satu kumpulan manusia pada setiap umat, yang terus memperjuangkan keadilan dan kebenaran.

  2. Perjuangan itu daripada al-Haqq yang bersumberkan al-Quran sebagai sumber hidayah. 

  3. Semoga kita tergolong dalam kumpulan mereka ini. Hendaklah kita tegur apabila ada salah.



Ayat [7:182]


وَٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ


“Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, Kami akan menarik menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya.”


Mesej dan Tindakan:


  1. Ada juga golongan yang tetap mendustakan ayat-ayat Allah dan Allah beri/tambah lagi kepada mereka, banyak nikmat, sebagai istidraj (سَنَسْتَدْرِجُهُم). Mereka semakin jauh daripada Allah sehingga tidak sedar bagaimana semua nikmat itu terjadi. Rupa-rupanya mereka mendustakan ayat Allah. Ini adalah perangkap untuk menguji mereka sama ada mereka sedar atau tidak kesilapan mereka.

  2. Pastikan kita dan anak-anak murid kita di universiti, agar bila lebih berilmu, lebih dekat dengan Allah, bukan lebih lalai dan jauh.

  3. Manusia adalah makhluk yang dijadikan dengan sebaik-baik penciptaan. Jika kita mengutamakan iman, benar kita akan menjadi sebaik-baik manusia. Jika kita tidak menggunakan akal dan potensi untuk melihat ayat-ayat Allah, maka samalah kita dengan binatang ternakan. Bahkan lebih sesat lagi dari binatang. Semoga kita sentiasa berpegang dengan al-Quran dan sunnah Nabi SAW.



Ayat [7:183]


وَأُمْلِى لَهُمْ ۚ إِنَّ كَيْدِى مَتِينٌ


“Dan Aku memberi tempoh kepada mereka; sesungguhnya rancangan balasanKu amatlah teguh.”


Mesej dan Tindakan:


  1. Allah memberi penangguhan masa bagi mereka yang mendustakan ayat-ayatNya. Mereka merasakan dengan dapat bermacam-macam nikmat seperti naik pangkat, dapat harta, mereka dalam keadaan yang baik. 

  2. Peringatan bagi kita, bila dapat lebih dalam hidup ini, kita tidak mahu ia jadi istidraj. Caranya ialah dengan berbalik kepada pengajaran pada ayat 181. Cari hidayah atas kebenaran dan perjuangkan keadilan sebagai tanda kelebihan yang dinikmati bukan istidraj. 

  3. Gunakan hati untuk memahami mesej Allah. 

  4. Bila Allah sudah rancang, ia adalah perancangan yang mantap dan tiada siapa yang boleh mengubah. 



Ayat [7:184]


أَوَلَمْ يَتَفَكَّرُوا۟ ۗ مَا بِصَاحِبِهِم مِّن جِنَّةٍ ۚ إِنْ هُوَ إِلَّا نَذِيرٌۭ مُّبِينٌ


“Patutkah mereka (ingkar dan) tidak mahu memikirkan (dengan fikiran yang siuman bahawa) sahabat mereka (Muhammad) tidak sekali-kali mengidap penyakit gila (sebagaimana yang mereka tuduh itu), bahkan ia hanyalah seorang (Pesuruh Allah) yang memberi amaran yang jelas.”


Mesej dan Tindakan:


  1. Allah suruh kita berfikir tentang mesej yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dalam al-Quran.

  2. Orang musyrik Mekah menuduh Nabi SAW gila. Allah memberitahu mereka bahawa, baginda SAW tidak gila. Baginda SAW hanya memberi peringatan. Mereka yang tidak menggunakan kapasiti akal mereka untuk memahami seumpama orang yang gila. 

  3. Boleh sahaja memberi peringatan kepada lembu tetapi ia tidak kisah pun. Jika kita pun tidak ambil endah peringatan, samalah kita seperti lembu itu. 



Ayat [7:185]


أَوَلَمْ يَنظُرُوا۟ فِى مَلَكُوتِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَمَا خَلَقَ ٱللَّهُ مِن شَىْءٍۢ وَأَنْ عَسَىٰٓ أَن يَكُونَ قَدِ ٱقْتَرَبَ أَجَلُهُمْ ۖ فَبِأَىِّ حَدِيثٍۭ بَعْدَهُۥ يُؤْمِنُونَ


“Patutkah mereka (membutakan mata) tidak mahu memperhatikan alam langit dan bumi dan segala yang diciptakan oleh Allah, dan (memikirkan) bahawa harus telah dekat ajal kebinasaan mereka? Maka kepada perkataan yang mana lagi sesudah (datangnya Kalamullah Al-Quran) itu mereka mahu beriman?”


Mesej dan Tindakan:


  1. Allah menyuruh kita tafakkur dan memikirkanNya dengan melihat alam. Memerhati secara lama(نظر) supaya kita berfikir dan memahami apa fungsi sesuatu perkara seperti matahari. Lembu pun nampak matahari tetapi tidak ada kesan pun pada mereka. Beza kita dengan lembu, manusia boleh memahami fungsi matahari, salah satunya matahari ditundukkan untuk kita supaya kita boleh semakin beribadah dan mencari hidayah, kebenaran untuk memperjuangkan keadilan. Kita tidak mahu menjadi seperti lembu yang tidak kisahkan perkara lain selain makan dan rehat.

  2. Allah juga menyuruh kita melihat semua makhluk yang tidak kekal. Semua yang Allah jadikan tidak kekal. Kalau difikirkan betul-betul, tiada yang kekal. Sebagai contoh, kita telah melihat orang meninggal. Kalau masih tidak percaya kepada Nabi Muhammad SAW dan menuduhnya gila, tidak mahu percaya kepada Allah dan hari kiamat, kepada siapa lagi mereka mahu percaya?



Ayat [7:186]


مَن يُضْلِلِ ٱللَّهُ فَلَا هَادِىَ لَهُۥ ۚ وَيَذَرُهُمْ فِى طُغْيَـٰنِهِمْ يَعْمَهُونَ


“Sesiapa yang disesatkan oleh Allah (kerana keingkarannya), maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat memberi petunjuk kepadanya; dan Allah membiarkan mereka meraba-raba (dengan bingung) dalam kesesatan mereka.”


Mesej dan Tindakan:


  1. Jika kita tidak ada 'waze' (panduan) di dunia ini, kita akan berpusing-pusing, hilang arah. 

  2. Kesan sesat ialah seseorang akan berada dalam keadaan terumbang-ambing dan tidak nampak (يَعْمَهُونَ) secara fizikal dan dalaman yang menyebabkan ia menjadi stres. Ini adalah kerana dia tidak gunakan fikiran dan potensinya untuk memahami tujuan dalam hidup ini.



Ayat [7:187]


يَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلسَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَىٰهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ رَبِّى ۖ لَا يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَآ إِلَّا هُوَ ۚ ثَقُلَتْ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ لَا تَأْتِيكُمْ إِلَّا بَغْتَةًۭ ۗ يَسْـَٔلُونَكَ كَأَنَّكَ حَفِىٌّ عَنْهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ ٱللَّهِ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ


“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut". Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui".”


Mesej dan Tindakan:


  1. Orang kafir bertanya kepada Nabi Muhammad SAW bila hari kiamat akan terjadi. Hanya Allah yang tahu. Nabi SAW pun tidak tahu. Manusia hanya boleh membuat andaian. Apa yang penting, kita membuat persediaan menggunakan akal untuk menghadapi hari kiamat. 

  2. Langit dan bumi sudah sarat ( ثَقُلَتْ ), seperti sarat seorang ibu mengandung yang menunggu hari untuk bersalin. Sampai masa, akan lahir bayi itu. Begitulah juga bila sampai masanya, kiamat akan berlaku.

  3. Ramai manusia tidak membuat persediaan untuk hari tersebut. Semoga kita tidak digolongkan sebagai orang yang lalai dari membuat persediaan.


RESOLUSI


Ingat !!


  1. Gunakan pendengaran, penglihatan dan hati untuk mengenal ayat Allah SWT dan tidak lalai (179)

  2. Doa dengan menghayati Asmaul Husna (180)

  3. Elakkan mendustakan atau menafikan ayat Allah SWT agar tidak semakin hancur dan rosak (182)


Lega kerana Allah tidak akan hancurkan saya sekiranya saya elakkan dari mendustkan ayat-ayat Nya.


Saya jelas untuk gunakan pendengaran, penglihatan dan hati untuk mengenal ayat Allah SWT dan tidak lalai. Saya mesti doa dengan menghayati Asmaul Husna. Saya jelas untuk elakkan mendustakan atau menafikan ayat Allah SWT agar tidak semakin hancur dan rosak.


Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.  


Ya Allah,  bimbing kami untuk gunakan pendengaran, penglihatan dan hati agar kami mengenal ayat-Mu dan tidak lalai. Ya Allah, ajarkan kami untuk berdoa dengan menghayati Asmaul Husna. Ya Allah, jauhi kami dari mendustakan atau menafikan ayat-Mu agar tidak semakin hancur dan rosak.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.




Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...