Perkataan hari ini:
نَطَقَ Bercakap
12 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
Bukit terangkat (171)
Perjanjian umum yang diambil daripada anak cucu Adam A.S (172-174)
Kisah Bal'am bin Ba'ura' dan orang sesat yang mendustakan (175-177)
Faktor-faktor hidayah (178)
Mukaddimah
Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT, kita tetap ceria bersama al-Quran. Ini adalah satu rahmat daripada Allah SWT. Mudah-mudahan dengan membaca al-Quran ini, ia akan menjaga lisan kita, niat kita, amal ibadah kita. Semoga kita mendapat syafaat dengan al-Quran.
Pada halaman lepas kita telah belajar bahawa orang yang berpegang teguh kepada kitab dan mendirikan solat, Allah tidak akan mensia-siakan mereka. Bila kita tidak solat atau solat lambat, ia akan memberi kesan kepada hari kita. Ada orang yang tidak merasa terancam walaupun telah diberi peringatan.
Ayat [7:171]
وَإِذْ نَتَقْنَا ٱلْجَبَلَ فَوْقَهُمْ كَأَنَّهُۥ ظُلَّةٌۭ وَظَنُّوٓا۟ أَنَّهُۥ وَاقِعٌۢ بِهِمْ خُذُوا۟ مَآ ءَاتَيْنَـٰكُم بِقُوَّةٍۢ وَٱذْكُرُوا۟ مَا فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Kami mengangkat gunung (Tursina) ke atas mereka (Bani Israil) seolah-olah gunung itu awan (yang menaungi mereka) dan mereka yakin bahawa gunung itu akan jatuh menimpa mereka, (sambil Kami berfirman kepada mereka): "Terimalah dengan bersungguh-sungguh (Kitab Taurat) yang telah Kami berikan kepada kamu dan ingatlah (amalkanlah) apa yang terkandung di dalamnya, supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa"
Mesej dan Tindakan:
Allah ingatkan kita, jangan jadi degil seperti Bani Israel sehingga Allah hendak hempapkan gunung ke atas mereka. Allah sayangkan mereka dan tetap memberi peringatan. Ia adalah untuk kebaikan mereka juga.
Mesej untuk kita di hari ini, jika kita tidak pegang al-Quran kuat-kuat setiap hari, takut pandemik COVID19 ini akan berterusan. Jika kita bertakwa, Allah boleh mengangkatnya bila-bila masa.
Ayat [7:172]
وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِىٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ ۖ قَالُوا۟ بَلَىٰ ۛ شَهِدْنَآ ۛ أَن تَقُولُوا۟ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَـٰذَا غَـٰفِلِينَ
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".
Mesej dan Tindakan:
Allah ingatkan kita lagi, setiap roh Bani Adam telah bersaksi bahawa Allah tuhan kita. Roh sudah ada sebelum anak Adam dilahirkan lagi. Ini adalah supaya di kemudian hari, anak Adam tidak mengaku tidak tahu di akhirat nanti.
Kita ini mudah lupa. Al-Quran mengingatkan kita agar kita tidak lalai.
Ayat [7:173]
أَوْ تَقُولُوٓا۟ إِنَّمَآ أَشْرَكَ ءَابَآؤُنَا مِن قَبْلُ وَكُنَّا ذُرِّيَّةًۭ مِّنۢ بَعْدِهِمْ ۖ أَفَتُهْلِكُنَا بِمَا فَعَلَ ٱلْمُبْطِلُونَ
Atau supaya kamu tidak mengatakan:" Sesungguhnya ibu bapa kamilah yang melakukan syirik dahulu sedang kami ialah keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada mereka. Oleh itu, patutkah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat itu?"
Mesej dan Tindakan:
Allah turunkan al-Quran agar kita tidak menyalahkan nenek moyang yang menyebabkan kita sesat. Contoh: Baca Yaasin hanya pada malam Jumaat untuk dapat berkat. Berkat itu bukan pada baca Yaasin sahaja tetapi kita akan dapat berkat apabila ia ditadabbur dan diamalkan.
Kita kena cari ilmu dan amalkan, bukan hanya ikut nenek moyang.
Hendaklah kita kembali kepada sumber asal ilmu iaitu al-Quran dan sunnah.
Ayat [7:174]
وَكَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ ٱلْـَٔايَـٰتِ وَلَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Dan demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu (supaya nyata segala kebenaran), dan supaya mereka kembali (kepada kebenaran).
Mesej dan Tindakan:
Allah perincikan yang kita sebenarnya telah bersyahadah di alam sebelum ini. Maka inilah masanya untuk kita kembali kepadaNya (taubat). Bila kita baca Quran, kita ambil peringatan. Rasa di dalam hati kita itulah diharapkan Allah akan menerima taubat kita.
Bila Allah mengangkat gunung tersebut, mesejnya sila berpegang kepada Taurat kuat-kuat. Bila Allah bagi kita pandemik COVID19 ini, Allah mahu kita kembali dan pegang al-Quran kuat-kuat.
Ayat [7:175]
وَٱتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ٱلَّذِىٓ ءَاتَيْنَـٰهُ ءَايَـٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنْهَا فَأَتْبَعَهُ ٱلشَّيْطَـٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلْغَاوِينَ
Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami. kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat.
Mesej dan Tindakan:
Allah perintahkan Nabi supaya tilawahkan kisah seorang lelaki yang telah diberi ilmu tentang kitab Taurat. Sebagai penceramah, bila kita bawakan apa yang Al Quran cakap, ia memberi kekuatan tersendiri.
Kisah ini adalah berita besar. Perkataan ءَايَٰتِنَا amat penting. Ia adalah kurniaan yang besar daripada Allah SWT. Cerita ini mengenai Bal'am b Ba'ura' seorang pendita yang tidak mengikuti kitab malah menyiat apa yang dia sudah tahu.
Siapa yang sudah faham al-Quran, kemudiannya menyiat kebenaran, orang ini lebih bahaya kerana dia lebih dekat dengan iblis. Al Quran tidak lagi memberi kesan kepadanya.
Semoga kita tetap berpegang teguh dengan al-Quran dan dijauhkan daripada kesesatan.
Ayat [7:176]
وَلَوْ شِئْنَا لَرَفَعْنَـٰهُ بِهَا وَلَـٰكِنَّهُۥٓ أَخْلَدَ إِلَى ٱلْأَرْضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ ۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلْكَلْبِ إِن تَحْمِلْ عَلَيْهِ يَلْهَثْ أَوْ تَتْرُكْهُ يَلْهَث ۚ ذَّٰلِكَ مَثَلُ ٱلْقَوْمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا ۚ فَٱقْصُصِ ٱلْقَصَصَ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ
Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.
Mesej dan Tindakan:
Allah mengangkat darjat orang-orang yang mengamalkan al-Quran.
Jika kita telah dapat al-Quran tetapi disiat semula, ini adalah sangat bahaya. Orang yang belajar dan faham al-Quran, mesti mengambil perhatian tentang ayat ini. Kita mesti utamakan al-Quran, bukan mengikut kitab yang ditulis oleh manusia. Kita tidak mahu mengikut kata orang lebih daripada al-Quran.
Allah sifatkan Bal'am umpama anjing yang menjelir lidah bila dihalau atau tidak dihalau. Bal'am bukan tidak tahu Taurat tetapi mendustakannya kerana cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsu.
Janganlah kita cenderung kepada dunia dan mengikut hawa nafsu sehingga meninggalkan al-Quran.
Allah ceritakan perkara ini supaya kita berfikir. Bila ada masalah, rujuklah kepada al-Quran yang memberi solusi kepada segala masalah kita.
Ayat [7:177]
سَآءَ مَثَلًا ٱلْقَوْمُ ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا وَأَنفُسَهُمْ كَانُوا۟ يَظْلِمُونَ
Amatlah buruknya bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan mereka pula berlaku zalim kepada diri merela sendiri.
Mesej dan Tindakan:
Mereka yang mendustakan ayat-ayat Allah, yang sebenarnya mereka menzalimi diri mereka sendiri. Contoh: Orang yang mengambil rasuah itu umpama menganjingkan diri mereka sendiri.
Ayat [7:178]
مَن يَهْدِ ٱللَّهُ فَهُوَ ٱلْمُهْتَدِى ۖ وَمَن يُضْلِلْ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْخَـٰسِرُونَ
Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah (dengan sebab persediaannya) maka dia lah yang beroleh petunjuk; dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan sebab keingkarannya) maka merekalah orang-orang yang rugi.
Mesej dan Tindakan:
Yang paling berharga bagi kita ialah hidayah Allah.
Mereka yang disesatkan, adalah sangat rugi.
RESOLUSI
Ingat !!
Berpegang teguh sepenuh tenaga kepada al-Quran (171)
Ingat janji setia kepada Allah SWT agar kita tidak lalai (172)
Jangan mudah ikut kebiasaan yang membinasakan (173)
Lega kerana Allah akan beri petunjuk sekiranya saya berpegang teguh pada al-Quran.
Saya jelas untuk berpegang teguh sepenuh tenaga kepada al-Quran. Saya mesti Ingat janji setia kepada Allah SWT agar saya tidak lalai. Saya jelas untuk tidak mudah ikut kebiasaan yang membinasakan.
Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.
Ya Allah, bantu kami untuk berpegang teguh sepenuh tenaga kepada al-Quran. Ya Allah, ingatkan kami apa yang kami lupa tentang al-Quran. Ya Allah, jauhi kami daripada menjadi orang yang lalai. Ya Allah, bimbing kami ke jalan yang benar dan jauhi kami daripada ikut kebiasaan yang membinasakan.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.