Perkataan hari ini:
نَفَعَ Memberi manfaat
50 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
Segala sesuatu berada pada kekuasaan Allah SWT, ilmu ghaib hanya Dia yang mengetahuinya, serta hakikat risalah (188)
Mengingatkan tentang penciptaan pertama, perintah bertauhid, mengikuti al-Quran, dan larangan untuk musyrik (189-193)
Realiti patung-patung dan berhala-berhala yang disembah (194-195)
Mukaddimah
Alhamdulillah, Kita bersyukur kepada Allah SWT kita bertemu minggu ini bersama My#QuranTime-Baca Faham Amal. Semuga semua terus bersama Al Quran, menaikkan hati dan fikiran kita dengan panduan wahyu dari Allah. Ya Allah tambahkanlah ilmu untuk kami.
Sila share di facebook masing-masing. Tekan je butang share itu, semuga kita menjadi asbab kawan-kawan kita dapat menghayati ayat-ayat Allah SWT. Mudah-mudahan Allah permudahkan urusan kita hari ini.
Ayat [7:188]
قُل لَّآ أَمْلِكُ لِنَفْسِى نَفْعًۭا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَآءَ ٱللَّهُ ۚ وَلَوْ كُنتُ أَعْلَمُ ٱلْغَيْبَ لَٱسْتَكْثَرْتُ مِنَ ٱلْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِىَ ٱلسُّوٓءُ ۚ إِنْ أَنَا۠ إِلَّا نَذِيرٌۭ وَبَشِيرٌۭ لِّقَوْمٍۢ يُؤْمِنُونَ
Katakanlah: "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman".
Mesej dan Tindakan:
Nabi diajar yang baginda SAW untuk memberitahu musyrikin Mekah bahawa baginda SAW tidak boleh berbuat apa-apa pun. Tidak boleh memberi manfaat atau pun mudharat. Nabi SAW kena berlindung di Gua Tsur kerana Nabi SAW tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya. Nabi SAW pernah termakan daging/tulang yang beracun. Hanya apabila diberitahu, baru Nabi SAW memuntahkan semula apa yang dimakan.
إِلَّا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌIblis telah berjanji untuk menyesatkan anak Adam. Jadi, Nabi SAW mengingatkan umat tentang ini. Amaran bagi yang ingkar, berita gembira bagi yang beriman.
Ayat [7:189]
هُوَ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍۢ وَٰحِدَةٍۢ وَجَعَلَ مِنْهَا زَوْجَهَا لِيَسْكُنَ إِلَيْهَا ۖ فَلَمَّا تَغَشَّىٰهَا حَمَلَتْ حَمْلًا خَفِيفًۭا فَمَرَّتْ بِهِۦ ۖ فَلَمَّآ أَثْقَلَت دَّعَوَا ٱللَّهَ رَبَّهُمَا لَئِنْ ءَاتَيْتَنَا صَـٰلِحًۭا لَّنَكُونَنَّ مِنَ ٱلشَّـٰكِرِينَ
Dia lah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu, dan Ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain. Ketika suami mencampuri isterinya, mengandunglah ia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah ia dengan keadaan itu (ke suatu waktu). Kemudian ketika ia merasa berat (dan menaruh bimbang) berdoalah suami isteri itu kepada Tuhan mereka (dengan berkata):" Sesungguhnya jika Engkau (wahai Tuhan kami) mengurniakan kami nikmat yang baik, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur".
Mesej dan Tindakan:
Allah menceritakan yang Dialah yang menciptakan manusia dari satu. Manusia lemah dan perlu berpasangan. Wanita akan mula mengandung yang rasanya ringan. Ini adalah tetang tahap 'spiritual' seseorang. Bila sudah berat, kandungan besar, ia berdoa untuk mendapat anak yang soleh dan ia akan menjadi orang yang bersyukur. Orang musyrik Mekah juga menghadapi proses ini.
Langit dan bumi sudah 'berat'. Kiamat umpama wanita yang mengandung. Langit dan bumi sudah umpama wanita yang mengandung 9 bulan, beratnya.
Ini adalah berfikir cara Al Quran yang diajarkan kepada kita.
Ayat [7:190]
فَلَمَّآ ءَاتَىٰهُمَا صَـٰلِحًۭا جَعَلَا لَهُۥ شُرَكَآءَ فِيمَآ ءَاتَىٰهُمَا ۚ فَتَعَـٰلَى ٱللَّهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ
Kemudian ketika Allah mengurniakan kepada keduanya nikmat yang baik (sebagaimana yang mereka pohonkan), mereka berdua menjadikan sekutu bagi Allah dalam urusan wujudnya nikmat yang dikurniakan Allah kepada mereka. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan itu.
Mesej dan Tindakan:
Orang-orang terdahulu membuat perkara-perkara syirik apabila anak lahir. Mandi pakai/guna itu ini supaya tidak terkena keteguran, contohnya. Janganlah mudah-mudah percaya kepada bomoh-bomoh yang menggunakan ayam dan sebagainya, di dalam perubatan. Bila anak nak dilahirkan, tahap 'spiritual' seseorang memang tinggi kerana sedang berada dalam kesukaran dan mengharapkan bantuan Allah.
Jauhkan perkara-perkara khurafat seperti mandi bunga untuk menjauhkan dari syaitan, bila bersalin. Nak jauhkan syiatan, baca Quran. Jangan tunggu kena rasuk, baru nak baca. Baca selalu, Surah Al Baqarah, antaranya.
Ayat [7:191]
أَيُشْرِكُونَ مَا لَا يَخْلُقُ شَيْـًۭٔا وَهُمْ يُخْلَقُونَ
Patutkah mereka sekutukan Allah dengan benda-benda yang tidak dapat menciptakan sesuatupun, sedang benda-benda itu sendiri diciptakan?
Ayat [7:192]
وَلَا يَسْتَطِيعُونَ لَهُمْ نَصْرًۭا وَلَآ أَنفُسَهُمْ يَنصُرُونَ
Dan benda-benda itu tidak dapat menolong mereka, dan tidak juga dapat menolong dirinya sendiri.
Mesej dan Tindakan:
Amalan seperti meletakkan pensil dengan uri bila tanam uri, untuk anak pandai adalah amalan khurafat. Ada juga amalan letak coklat dan pensil, tenguk mana yang anak itu pilih bila dia sudah pandai mengambil. Salah ke masak pulut kuning? Tidak salah jika niatnya hanya untuk menjamu orang makan, bukan untuk tujuan lain.
Orang yang pertama kali dapat anak dan tidak tahu nak buat apa, akan mengiikut sahaja apa yang emak ayah suruh buat yang tidak semestinya benar. Anak yang bersalin itu, jiwa/'spiritual'nya masih lemah, terawang-awang, maka mudah mengikut apa sahaja.
Ayat [7:193]
وَإِن تَدْعُوهُمْ إِلَى ٱلْهُدَىٰ لَا يَتَّبِعُوكُمْ ۚ سَوَآءٌ عَلَيْكُمْ أَدَعَوْتُمُوهُمْ أَمْ أَنتُمْ صَـٰمِتُونَ
Dan jika kamu (hai kaum musyrik) menyeru benda-benda itu untuk memperoleh petunjuk (daripadanya), mereka tidak dapat menurut (menyampaikan hajat) kamu; sama sahaja bagi kamu, sama ada kamu menyerunya atau mendiamkan diri.
Mesej dan Tindakan:
Allah menekankan tentang ketauhidan dan jangan syirik. لَا يَتَّبِعُوكُمْ. Berhala tidak boleh nak mengikut apa-apa yang kita cakapkan/suruh. Letak pencil dengan uri, walaupun dengan niat kerana Allah, pun tidak boleh.
Ayat [7:194]
إِنَّ ٱلَّذِينَ تَدْعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ عِبَادٌ أَمْثَالُكُمْ ۖ فَٱدْعُوهُمْ فَلْيَسْتَجِيبُوا۟ لَكُمْ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ
Sesungguhnya benda-benda yang kamu seru selain Allah adalah makhluk-makhluk seperti kamu. Oleh itu, (cubalah) menyerunya supaya benda-benda itu dapat memperkenankan permohonan kamu, kalau betul kamu orang-orang yang benar.
Mesej dan Tindakan:
Kita kena yakin yang amalan khurafat tidak perlu pun. Ada kaum yang masih meletakkan makanan dekat laut. Ini adalah cara berfikiran yang khurafat dan songsang dan merosakkan akidah.
Kehancuran Turki satu waktu dahulu ialah kerana amalan khurafat pemimpinnya.
Berhala dibuat oleh manusia, apa yang dia boleh buat? Tidak ada apa-apa. Nabi Ibrahim AS meletakkan kapak pada berhala besar dan menyuruh kaumnya bertanya apakah berhala besar itu yang menghancurkan berhala-berhala lain. Sudah pasti berhala itu tidak dapat menjawap.
Ayat [7:195]
أَلَهُمْ أَرْجُلٌۭ يَمْشُونَ بِهَآ ۖ أَمْ لَهُمْ أَيْدٍۢ يَبْطِشُونَ بِهَآ ۖ أَمْ لَهُمْ أَعْيُنٌۭ يُبْصِرُونَ بِهَآ ۖ أَمْ لَهُمْ ءَاذَانٌۭ يَسْمَعُونَ بِهَا ۗ قُلِ ٱدْعُوا۟ شُرَكَآءَكُمْ ثُمَّ كِيدُونِ فَلَا تُنظِرُونِ
Adakah benda-benda (yang kamu sembah) itu mempunyai kaki yang mereka dapat berjalan dengannya, atau adakah mereka mempunyai tangan yang mereka dapat memegang (menyeksa) dengannya, atau adakah mereka mempunyai mata yang mereka dapat melihat dengannya, atau adakah mereka mempunyai telinga yang mereka dapat mendengar dengannya? Katakanlah (wahai Muhammad): "Panggilah benda-benda yang kamu jadikan sekutu Allah, kemudian kamu semua jalankan tipu daya terhadapku, serta jangan pula kamu bertangguh lagi.
Mesej dan Tindakan:
Nabi SAW mula mencabar musyrik Mekah, mengikut cara Nabi Ibrahim AS dahulu, untuk memanggil berhala-berhala yang mereka sembah.
Jangan kita buat amalan-amalan khurafat yang akan merosakkan cara berfikir kita dan membawa kita membuat perkara-perkara yang tidak baik di pejabat juga. Contohnya, amalan rasuah.
Ayat [7:196]
إِنَّ وَلِـِّۧىَ ٱللَّهُ ٱلَّذِى نَزَّلَ ٱلْكِتَـٰبَ ۖ وَهُوَ يَتَوَلَّى ٱلصَّـٰلِحِينَ
"Sesungguhnya pelindungku ialah Allah yang telah menurunkan kitab (Al-Quran), dan Dia lah jua yang menolong dan memelihara orang-orang yang berbuat kebaikan"
Mesej dan Tindakan:
Hanya Allah yang mampu memberi pertolongan dan perlindungan.
Ayat [7:197]
وَٱلَّذِينَ تَدْعُونَ مِن دُونِهِۦ لَا يَسْتَطِيعُونَ نَصْرَكُمْ وَلَآ أَنفُسَهُمْ يَنصُرُونَ
Dan benda-benda yang kamu sembah selain Allah, tidak akan dapat menolong kamu, bahkan tidak dapat menolong dirinya sendiri.
Mesej dan Tindakan:
Benda-benda yang disembah selain Allah tidak mampu menolong diri mereka pun, apa lagi membantu orang lain.
Ayat [7:198]
وَإِن تَدْعُوهُمْ إِلَى ٱلْهُدَىٰ لَا يَسْمَعُوا۟ ۖ وَتَرَىٰهُمْ يَنظُرُونَ إِلَيْكَ وَهُمْ لَا يُبْصِرُونَ
Dan jika kamu menyeru benda-benda (yang kamu sembah) itu untuk mendapat petunjuk (daripadanya), mereka tidak dapat mendengarnya; dan engkau nampak benda-benda itu memandangmu padahal mereka tidak melihat.
Mesej dan Tindakan:
Berhala-berhala itu tidak dapat melihat atau mendengar.
RESOLUSI
Ingat !!
Selalu memohon kepada Allah SWT Yang Maha mengetahui dalam urusan harian kita (188)
Memohon agar dikurniakan anak soleh dan tidak menjadikannya sumber syirik (189)
Jangan memohon kepada hamba tetapi utamakan Allah SWT yang berkuasa (193-194)
Lega kerana Allah tidak akan hancurkan saya sekiranya saya elakkan dari mendustakan ayat-ayat Nya.
Saya jelas untuk gunakan pendengaran, penglihatan dan hati untuk mengenal ayat Allah SWT dan tidak lalai. Saya mesti doa dengan menghayati Asmaul Husna. Saya jelas untuk elakkan mendustakan atau menafikan ayat Allah SWT agar tidak semakin hancur dan rosak.
Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim, Ya Hakim, Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.
Ya Allah, bimbing kami untuk gunakan pendengaran, penglihatan dan hati agar kami mengenal ayat-Mu dan tidak lalai. Ya Allah, ajarkan kami untuk berdoa dengan menghayati Asmaul Husna. Ya Allah, jauhi kami dari mendustakan atau menafikan ayat-Mu agar tidak semakin hancur dan rosak.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.