Halaman terakhir surah al-A'raf
Perkataan hari ini:
فقه Memahami
20 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
Tauhid kepada Allah SWT (196-198)
Dasar-dasar akhlak sosial dan perlawanan menentang syaitan (199-202)
Nabi mengikuti wahyu Ilahi dan karakteristik al-Quran (203)
Mendengarkan al-Quran dan cara berzikir (204-206) - ubat lalai dan sombong
Mukaddimah
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kita diberi peluang berada pada halaman terakhir Surah al-A'raf surah yang ketujuh yang membongkar apakah rahsia kita, sejarah Nabi Adam bersama iblis yang telah disampaikan di dalam Surah al-Baqarah dan berulang di dalam Surah al-A'raf ini. Allah bongkarkan siapa kita yang sebenarnya supaya kita berada di jalan yang lurus iaitu jalan nabi-nabi, siddiqin, syuhadak dan solihin agar kita tahu siapa diri kita yang sebenarnya agar kita mengambil pendirian yang jelas bukannya di atas pagar (asahabul a'raf). Semoga kita diizinkan oleh Allah terus ke syurga al-Firdaus al-a'la bersama dengan nabi-nabi, dengan orang-orang soleh pada suatu hari nanti, in shaa Allah
Pada halaman lepas Allah menyelar orang yang menyembah berhala. Berhala bukan sekadar batu yang disembah tetapi termasuklah apa-apa sahaja makhluk seperti percaya kepada jin, percaya kepada hantu yang boleh memberi mudarat, atau percaya kepada manusia boleh memberi mudarat. Sebenarnya itu adalah lambang kepada syirik kepada Allah SWT. Cara berfikir begitu akan merosakkan pemikiran seseorang atau sesebuah tamadun yang menyebabkan akan rosaklah kepada sesuatu negara itu kerana di dalam dirinya itu percaya kepada perkara yang tidak sepatutnya di percayai.
Ayat [7:196]
إِنَّ وَلِـِّۧىَ ٱللَّهُ ٱلَّذِى نَزَّلَ ٱلْكِتَـٰبَ ۖ وَهُوَ يَتَوَلَّى ٱلصَّـٰلِحِينَ
"Sesungguhnya pelindungku ialah Allah yang telah menurunkan kitab (Al-Quran), dan Dia lah jua yang menolong dan memelihara orang-orang yang berbuat kebaikan.
Mesej dan Tindakan:
Yang betul-betul boleh melindungi kita adalah Allah SWT.
Bila seseorang takut, ia perlu dialurkan kepada tempat yang betul. Bila kita takut kepada Allah, kita tidak akan mudah takut kepada makhluk dan tidak akan percaya selain Allah boleh membantu.
Kalau kita takut sesama makhluk, sebenarnya kita rasa Allah tak cukup kuat. Ini perlu kepada keimanan yang disampaikan dalam surah ini.
Ayat [7:197]
وَٱلَّذِينَ تَدْعُونَ مِن دُونِهِۦ لَا يَسْتَطِيعُونَ نَصْرَكُمْ وَلَآ أَنفُسَهُمْ يَنصُرُونَ
Dan benda-benda yang kamu sembah selain Allah, tidak akan dapat menolong kamu, bahkan tidak dapat menolong dirinya sendiri
Mesej dan Tindakan:
Berhala itu tidak boleh menolong dirinya sendiri, apa lagi nak menolong orang lain.
Manusia perlukan bantuan daripada Allah untuk hidup.
Ayat [7:198]
وَإِن تَدْعُوهُمْ إِلَى ٱلْهُدَىٰ لَا يَسْمَعُوا۟ ۖ وَتَرَىٰهُمْ يَنظُرُونَ إِلَيْكَ وَهُمْ لَا يُبْصِرُونَ
Dan jika kamu menyeru benda-benda (yang kamu sembah) itu untuk mendapat petunjuk (daripadanya), mereka tidak dapat mendengarnya; dan engkau nampak benda-benda itu memandangmu padahal mereka tidak melihat.
Mesej dan Tindakan:
Berhala tidak dapat mendengar apa yang manusia minta.
Berhala juga tidak dapat melihat. Manusia sahaja yang dapat melihat berhala itu. Contoh: Bibit-bibit syirik ialah seperti meletak gambar bos yang kononnya untuk memerhati pekerja.
Ayat [7:199]
خُذِ ٱلْعَفْوَ وَأْمُرْ بِٱلْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ ٱلْجَـٰهِلِينَ
Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).
Mesej dan Tindakan:
Apabila melihat orang melakukan syirik, janganlah kita gunakan perkataan yang Allah guna untuk menemplak orang kafir. Kita cuma boleh mengingatkan sahaja orang yang buat silap tetapi kita tidak boleh memaksa. Itu bukan cara yang diajar oleh agama kerana hanya Allah yang berkuasa.
Allah ajar supaya kita jadi pemaaf dan serulah kepada yang makruf.
Nabi buat perjanjian di Madinah walaupun kepada orang bukan Islam. Kerjasama penting untuk memastikan tauhid dapat dilaksanakan dengan lebih luas lagi.
Berpalinglah daripada orang yang jahil yang menyebabkan kita marah. Jahil jangan balas dengan jahil. Maafkan. Jangan mudah jadi jahilin iaitu jahil yang mengikut emosi. Jangan layan page cybertrooper.
Ayat [7:200]
وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ ٱلشَّيْطَـٰنِ نَزْغٌۭ فَٱسْتَعِذْ بِٱللَّهِ ۚ إِنَّهُۥ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Mesej dan Tindakan:
Bila kita marah, godaan kuat itu adalah daripada syaitan. Bacalah أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui tetapi tidak bertepian kemampuanNya.
Ayat [7:201]
إِنَّ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوْا۟ إِذَا مَسَّهُمْ طَـٰٓئِفٌۭ مِّنَ ٱلشَّيْطَـٰنِ تَذَكَّرُوا۟ فَإِذَا هُم مُّبْصِرُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).
Mesej dan Tindakan:
Orang yang bertakwa apabila dibayangi fikiran jahat disebabkan syaitan, mereka segera ingat kepada Allah.
Bila kita marah, pandangan kita sudah tidak betul. Ini kerja syaitan. Contoh: bila anak tersilap membaca Quran berkali-kali, jangan marah supaya anak tidak serik belajar.
Selain marah, segala emosi negatif seperti rasa tak bersemangat, putus asa, rasa tidak berharga sebenarnya adalah daripada syaitan. Hendaklah kita ingat kepada Allah dengan membaca Quran.
Membaca Quran adalah zikir yang paling tinggi. Ia akan menyebabkan hati kita tengok secara luaran sahaja perasaan-perasaan negatif itu yang akhirnya akan dibuka basirah oleh Allah SWT.
Ayat [7:202]
وَإِخْوَٰنُهُمْ يَمُدُّونَهُمْ فِى ٱلْغَىِّ ثُمَّ لَا يُقْصِرُونَ
Sedang saudara (pengikut) Syaitan-syaitan, dibantu oleh Syaitan-syaitan itu dalam melakukan kesesatan, kemudian mereka tidak berhenti-henti (melakukan perbuatan yang sesat lagi menyesatkan itu).
Mesej dan Tindakan:
Syaitan menyerang secara bergerombolan kepada orang yang bertakwa terutama orang yang berdakwah. Mereka tidak putus asa menyesatkan manusia.
Hendaklah kita yakin Allah yang Maha Kuat akan membantu kita melawan syaitan. Kita mesti lebih bersungguh-sungguh melawan kuncu-kuncu syaitan. Contoh: Bila tengok TV 90 minit, kita rasa sekejap sahaja tapi kalau solat sunat dua rakaat rasa macam panjang sangat.
Ayat [7:203]
وَإِذَا لَمْ تَأْتِهِم بِـَٔايَةٍۢ قَالُوا۟ لَوْلَا ٱجْتَبَيْتَهَا ۚ قُلْ إِنَّمَآ أَتَّبِعُ مَا يُوحَىٰٓ إِلَىَّ مِن رَّبِّى ۚ هَـٰذَا بَصَآئِرُ مِن رَّبِّكُمْ وَهُدًۭى وَرَحْمَةٌۭ لِّقَوْمٍۢ يُؤْمِنُونَ
Dan apabila engkau (wahai Muhammad) tidak membawa kepada mereka sesuatu ayat Al-Quran (sebagaimana yang mereka kehendaki), berkatalah mereka (secara mengejek): "Mengapa engkau tidak bersusah payah membuat sendiri akan ayat itu?" Katakanlah: "Sesungguhnya aku hanya menurut apa yang diwahyukan kepadaku dari Tuhanku. Al-Quran ini ialah panduan-panduan - yang membuka hati - dari Tuhan kamu, dan petunjuk serta menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman".
Mesej dan Tindakan:
Orang musyrik mencabar Nabi SAW. Nabi SAW menjawab, baginda hanya mengikut wahyu.
Mukjizat yang paling besar ialah al-Quran. Dengarkan al-Quran dan bawakan isinya kepada orang yang hendak berhujah. Ia akan mencengkam psikologi jiwa manusia. Ia menjadi petunjuk bagi orang yang nak beriman ( يُؤْمِنُونَ ). Itu akan membuka basirah (mata hatinya).
Ayat [7:204]
وَإِذَا قُرِئَ ٱلْقُرْءَانُ فَٱسْتَمِعُوا۟ لَهُۥ وَأَنصِتُوا۟ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.
Mesej dan Tindakan:
Adab bila Quran dibacakan, hendaklah kita dengar betul-betul dan senyap.
Quran ialah sumber hidayah, bukan sumber hiburan. Jangan bercakap-cakap sambil dengar Quran.
Ayat [7:205]
وَٱذْكُر رَّبَّكَ فِى نَفْسِكَ تَضَرُّعًۭا وَخِيفَةًۭ وَدُونَ ٱلْجَهْرِ مِنَ ٱلْقَوْلِ بِٱلْغُدُوِّ وَٱلْـَٔاصَالِ وَلَا تَكُن مِّنَ ٱلْغَـٰفِلِينَ
Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.
Mesej dan Tindakan:
Hendaklah kita sentiasa ingat kepada Allah pagi dan petang dengan perasaan takut melanggar perintahNya.
Janganlah kita jadi orang yang lalai daripada mengingati Allah SWT. Tanda orang yang tidak lalai ialah kita jaga waktu solat.
Ayat [7:206]
إِنَّ ٱلَّذِينَ عِندَ رَبِّكَ لَا يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِهِۦ وَيُسَبِّحُونَهُۥ وَلَهُۥ يَسْجُدُونَ
Sesungguhnya mereka (malaikat) yang ada di sisi Tuhanmu tidak bersikap angkuh (ingkar) daripada beribadat kepadaNya, dan mereka pula bertasbih bagiNya, dan kepadaNyalah jua mereka sujud.
Mesej dan Tindakan:
Dua penyakit manusia ialah lalai dan sombong. Nabi Adam lalai tetapi minta ampun dan bertaubat kepada Allah. Iblis sombong tidak mengaku kesilapannya.
Siapa tak solat di awal waktu adalah orang yang sombong.
Siapa yang tak baca Quran adalah orang yang lalai.
Ubat bagi lalai dan sombong ialah Quran yang dibaca dalam solat.
Ini adalah ayat sejadah yang pertama. Bila berjumpa ayat sejadah, jika ada wuduk, sujud dengan menghadap kiblat. Kalau tak sujud, baca tasbih dan tunduk sebagai tanda kita tidak sombong.
RESOLUSI
Ingat !!
Sentiasa memaafkan kesalahan orang lain ketika berdakwah (199)
Minta perlindungan kepada Allah SWT daripada syaitan ketika tidak stabil emosi dan pemikiran (200)
Cepat-cepat ingat Allah SWT ketika datang bisikan jahat (201)
Lega kerana Allah ajarkan supaya supaya minta pertolongan kepadaNya daripada syaitan ketika emosi dan fikiran tidak stabil.
Saya jelas untuk sentiasa memaafkan kesalahan orang lain ketika berdakwah. Saya jelas saya mesti minta perlindungan kepada Allah SWT daripada syaitan ketika tidak stabil emosi dan pemikiran. Saya mesti cepat-cepat ingat Allah SWT ketika datang bisikan jahat.
Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.
Ya Allah, jadikan kami orang yang memaafkan kesalahan orang lain ketika berdakwah. Ya Allah, lindungi kami daripada syaitan ketika emosi dan pemikiran kami tidak stabil. Ya Allah, ingatkan kami apabila kami lalai daripada mengingati Mu. Ya Allah, jauhi kami daripada bisikan syaitan.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.