Saturday, July 1, 2023

Halaman 177: Al-Anfal, 8:1-8

Mula surah al-Anfal

Perkataan hari ini:


  سَأَلَ  Bertanya, menyoal, meminta


129 kali disebut dalam al-Quran


SINOPSIS   


  1. Pertanyaan tentang hukum pembahagian harta rampasan perang dan penjelasan sifat orang beriman (1-4)

  2. Keengganan sebahagian orang beriman untuk memerangi kaum Quraisy dalam Perang Badar (5-8)



Mukaddimah


Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kita dapat teruskan pembelajaran untuk melihat surah baru, surah kelapan, Surah al-Anfal, surah Madaniyyah. Ini adalah surah yang istimewa. Ia adalah susur galur Surah al-Baqarah yang mula bercakap tentang Badar. Surah ali-Imran ialah selepas Badar.  Surah al-Anfal ini tentang kemenangan pada Badar dan kemenangan umat Islam pada fathul Mekah.


Perang berlaku kerana tiga sebab: a) Membalas dendam, b) Mempertahankan diri, c) Menyerang orang yang menyerang. Umat Islam dari awal dulu lagi tidak dibenarkan memulakan perang. Kaedah dalam Islam ialah, bila diserang baru boleh perang untuk mempertahankan diri.


Dua penyakit yang disebut dalam surah al-A'raf ialah lalai dan sombong. Orang yang tidak sujud atau lambat sujud adalah orang yang sombong. Iblis akan cuba untuk memperkotak-katikkan manusia. Kadang-kadang kita rasa orang tu baik. Tapi sebenarnya dalam diri ada sombong. Sebab itu tak sujud. Kalau sujud kerana tak tahu, itu adalah lalai. Lalai boleh diubati dengan ingat kepada Allah SWT dan baca Quran. 


Semakin membaca Quran, kita akan semakin berjaga-jaga. Orang yang bersama al-Quran walaupun dia berharta atau berkuasa, dia tetap tidak sombong. Kalau tersombong dia cepat-cepat istighfar kepada Allah SWT kerana dalam al-Quran ini penuh dengan ubat untuk lalai dan juga sombong.




Ayat [8:1]


يَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْأَنفَالِ ۖ قُلِ ٱلْأَنفَالُ لِلَّهِ وَٱلرَّسُولِ ۖ فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَأَصْلِحُوا۟ ذَاتَ بَيْنِكُمْ ۖ وَأَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ


Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang harta rampasan perang. Katakanlah: "Harta rampasan perang itu (terserah) bagi Allah dan bagi RasulNya (untuk menentukan pembahagiannya). Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan RasulNya, jika betul kamu orang-orang yang beriman".


Mesej dan Tindakan:


  1. Al-Anfal maksudnya harta rampasan perang. Ada beberapa istilah berkaitan perang: a) Ghanimah - harta rampasan yang belum di bahagi-bahagi, b) Anfal - bermakna dikumpulkan harta-harta tersebut dan dibahagikan kepada 5 bahagian. Satu untuk ketua, 4/5 dibahagi-bahagikan kepada tentera-tentera.

  2. Ada sahabat yang bertanya apa yang mereka dapat daripada harta rampasan. Nabi SAW diajarkan untuk memberitahu mereka  bahawa  harta rampasan adalah milik Allah dan Rasul. Allah mulakan surah ini dengan memberi peringatan dahulu sebelum memberitahu cara pembahagian harta rampasan perang.  Orang yang beriman ada disiplin dalam urusan pembahagian harta rampasan.

  3. Pelajaran: Allah ingatkan kita supaya bertakwa kepada Allah dan perbaiki perhubungan jika betul kita orang beriman.  Kita diajar bahawa dalam kehidupan ini hendaklah utamakan Allah dan rasul.



Ayat [8:2]


إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتُهُۥ زَادَتْهُمْ إِيمَـٰنًۭا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ


Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.


Mesej dan Tindakan:


  1. Allah menceritakan tanda-tanda orang yang beriman ( ٱلْمُؤْمِنُونَ ) iaitu:

    1. Bila disebut ( ذُكِرَ ) nama Allah, gementar hatinya. Dia akan terkesan. Contoh: Utamakan solat walaupun telefon bergetar. Kalau utamakan telefon bermakna ada masalah dengan iman.

    2. Bila dibacakan ( تُلِيَتْ ) ayat Allah, bertambah imannya. 

    3. Mereka bertawakkal kepada Allah. 

  2. Mukminun ialah orang yang sentiasa ada karakter di atas. Bukan sekali-sekala sahaja. Orang yang baru hendak beriman disebut 'yukminun' (proses untuk menjadi orang beriman).

  3. Allah menggunakan perkataan pasif/majhul ( ذُكِرَ  dan  تُلِيَتْ ) menunjukkan tidak kisah siapa yang baca. Orang-orang yang beriman mempunyai kemahiran merasa gementar hatinya tidak kira siapapun yang memberi peringatan. Dia tidak memilih-milih ustaz/penceramah tertentu untuk mendapat mesej daripada Allah SWT.

  4. Allah mengajar supaya tetapkan keutamaan bahawa iman mesti dibina terlebih dahulu berbanding harta rampasan. Iman adalah khazanah yang lebih bermakna daripada harta rampasan perang.

  5. Orang beriman yang bertawakkal kepada Allah dengan asmaulhusnaNya akan membina peribadi yang cemerlang. Contoh: Bertawakkal dengan nama Allah al-Aziz, Yang Maha Perkasa, kita akan menjadi besemangat. Tawakkal kepada al-Rahim, Yang Maha Penyayang kita akan jadi lebih penyayang. Kalau bertawakkal kepada as-Salam, Yang Maha Sejahtera kita akan rasa lebih untuk tidak kacau orang lain.

  6. Bila al-Quran dan sunah didaulatkan ketika itu jiwa dikorbankan, harta kemewahan dilaburkan demi untuk agama kebenaran.

  7. Semoga kita termasuk dalam kalangan orang-orang yang beriman ( ٱلْمُؤْمِنُونَ ).



Ayat [8:3]


ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقْنَـٰهُمْ يُنفِقُونَ


Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka.


Mesej dan Tindakan:


  1. Allah memberitahu bahawa tanda orang-orang yang beriman ialah mendirikan solat dan memberi apa yang mereka ada.

  2. Pastikan iman dibina betul-betul kerana itu lebih berharga daripada harta rampasan perang. 

  3. Kejayaan umat Islam pada Badar adalah kerana disiplin iman. Bukan kerana disiplin untuk dapat harta rampasan perang.



Ayat [8:4]


أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ حَقًّۭا ۚ لَّهُمْ دَرَجَـٰتٌ عِندَ رَبِّهِمْ وَمَغْفِرَةٌۭ وَرِزْقٌۭ كَرِيمٌۭ


Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di Syurga).


Mesej dan Tindakan:


  1. Allah mengiktiraf orang-orang yang beriman yang sebenar-benarnya dengan memberikan:

    1. berbagai-berbagai-bagai darjat di sisiNya di dalam syurga. 

    2. keampunan

    3. rezeki yang mulia (lebih mulia daripada harta rampasan perang)



Ayat [8:5]


كَمَآ أَخْرَجَكَ رَبُّكَ مِنۢ بَيْتِكَ بِٱلْحَقِّ وَإِنَّ فَرِيقًۭا مِّنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ لَكَـٰرِهُونَ


Sebagaimana (harta rampasan perang ditentukan pembahagiannya dengan kebenaran, maka) Tuhanmu (wahai Muhammad) mengeluarkanmu dari rumahmu (untuk pergi berperang) dengan kebenaran juga, sedang sebahagian dari orang-orang yang beriman itu (sebenarnya) tidak suka (turut berjuang).


Mesej dan Tindakan:


  1. Di Mekah orang Islam membuat silent protes. Mereka tidak dibenarkan berperang selama 13 tahun. Di Madinah baru dibenarkan perang untuk mempertahankan diri. 

  2. Semasa di Madinah, orang-orang yang beriman masih ada perasaan tidak suka perang. Allah menceritakan realiti (bukan utopia) perasaan dan psikologi sahabat-sahabat. 



Ayat [8:6]


يُجَـٰدِلُونَكَ فِى ٱلْحَقِّ بَعْدَ مَا تَبَيَّنَ كَأَنَّمَا يُسَاقُونَ إِلَى ٱلْمَوْتِ وَهُمْ يَنظُرُونَ


Mereka membantahmu tentang kebenaran (berjihad) setelah nyata (kepada mereka kemenangan yang engkau janjikan), seolah-olah mereka dihalau kepada kematian, sedang mereka melihat (sebab-sebabnya).


Mesej dan Tindakan:


  1. Di dalam Islam, mempertahankan harta dan nyawa adalah satu perjuangan iaitu salah satu objektif syariah kita.  

  2. Mereka masih berbalah dengan baginda SAW tentang pergi berperang. Mereka rasa jika pergi berperang itu seolah pergi kepada kematian. Sedangkan mereka pun tahu kematian boleh berlaku di mana-mana sahaja, hatta di atas katil sekalipun. 

  3. Perkara ini pernah berlaku kepada Bani Israel di zaman Nabi Musa. Diajak masuk ke Palestin, mereka tidak mahu dan menyuruh Nabi Musa dan tuhannya sahaja yang masuk. Mereka mahu duduk di situ sahaja. Mereka pengecut sebenarnya. Orang Mekah sudah biasa dengan masalah. Orang Madinah tidak biasa dengan masalah. 

  4. Pengajaran: Ketua kena faham, ada di antara anak buah yang lemah semangat, ada yang kuat semangat. Yang kuat semangat kerana mereka telah dibina disiplin dengan baik. Yang lemah semangat atau ada yang negatif kenalah cepat-cepat dicantas perasaan negatif tersebut. Kalau tidak, ia akan mempengaruhi orang lain dan menjadi semakin lemah. 



Ayat [8:7]


وَإِذْ يَعِدُكُمُ ٱللَّهُ إِحْدَى ٱلطَّآئِفَتَيْنِ أَنَّهَا لَكُمْ وَتَوَدُّونَ أَنَّ غَيْرَ ذَاتِ ٱلشَّوْكَةِ تَكُونُ لَكُمْ وَيُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُحِقَّ ٱلْحَقَّ بِكَلِمَـٰتِهِۦ وَيَقْطَعَ دَابِرَ ٱلْكَـٰفِرِينَ


Dan (ingatlah) ketika Allah menjanjikan kepada kamu salah satu dari dua angkatan, menjadi untuk kamu (menghadapinya), sedang kamu suka kiranya (angkatan perniagaan) bukan angkatan (perang) yang mempunyai kekuatan itu yang dijadikan untuk kamu (menghadapinya). Padahal Allah menghendaki untuk menetapkan yang benar (ugama Islam) dengan Kalimah-kalimahNya, dan untuk membinasakan kaum yang kafir seluruhnya;


Mesej dan Tindakan:


  1. Semasa menghadapi peperangan Badar, ada dua golongan sahabat. Golongan yang lemah mengharapkan untuk berdepan dengan angkatan musuh yang membawa barang dagangan dan golongan yang bersemangat berharap untuk berdepan dengan musuh yang membawa senjata dan angkatan perang ( ٱلشَّوْكَةِ ).

  2. Allah menetapkan mereka bertemu dengan angkatan perang yang akhirnya berlaku perang Badar. Ini adalah kerana Allah hendak membenarkan ayat-ayatNya dan memusnahkan orang kafir sampai ke akar umbinya. 

  3. Pelajaran untuk kita: Kadang-kadang kita merancang A untuk jalan mudah, Allah bagi B. Contoh: 2021 kita ingat kita boleh sampai ke London, New York tetapi Allah mahu kita di sini lagi, PKP lagi. Allah mahu kita dekat dengan al-Quran. Allahlah sebaik-baik perancang.



Ayat [8:8]


لِيُحِقَّ ٱلْحَقَّ وَيُبْطِلَ ٱلْبَـٰطِلَ وَلَوْ كَرِهَ ٱلْمُجْرِمُونَ


Supaya Allah menegakkan yang benar itu dan menghapuskan yang salah (kufur dan syirik), sekalipun golongan (kafir musyrik) yang berdosa itu tidak menyukainya.


Mesej dan Tindakan:


  1. Allah tetap akan menghancurkan kebatilan walaupun orang yang derhaka benci kepada perkara tersebut.



RESOLUSI


Ingat !!


  1. Utamakan Allah SWT dan Rasul berbanding harta dalam berjuang (1)

  2. Ingat Allah SWT, baca al-Quran dan bertawakal untuk menjadi orang beriman (2)

  3. Semangat juang perlu dibina dalam pasukan agar agama Islam dapat ditinggikan (6)


Lega kerana kalau saya ingat Allah SWT, baca al-Quran dan bertawakkal saya akan menjadi orang yang beriman yang Allah janjikan keampunan, rezeki yang mulia dan darjat-darjat yang tinggi disyurga. 


Saya jelas untuk utamakan Allah SWT dan Rasul berbanding harta dalam berjuang. Saya mesti ingat Allah SWT, baca al-Quran dan bertawakal untuk menjadi orang beriman. Saya jelas untuk bina semangat juang dalam pasukan agar agama Islam dapat ditinggikan.


Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.  


Ya Allah, bimbing kami untuk utamakan kepada Mu dan Rasul berbanding harta dalam berjuang. Ya Allah, ingatkan kami apabila kami lupa mengingati Mu, ingatkan kami apabila kami lupa membaca al-Quran. Ya Allah, jadikan kami orang yang bertawakal kepada Mu agar sempurna iman kami. Ya Allah, bantu kami untuk bina semangat juang dalam diri, keluarga dan organisasi kami agar kami dapat berjuang untuk meninggikan agama Islam.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...