Saturday, July 1, 2023

Halaman 178 Al-Anfal, 8:9-16

 Perkataan hari ini:

  غَاثَ (غَوَثَ)  Menolong, membantu

9 kali disebut dalam al-Quran

SINOPSIS   


  1. Bantuan malaikat dalam Perang Badar, diberikan rasa mengantuk dan turunnya hujan (9-14)

  2. Lari dari medan perang, dan kemenangan datang daripada Allah SWT (15-16)


Mukaddimah


Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kita dapat meneruskan pembelajaran baca, faham, amal al-Quran pada halaman 178 halaman kedua Surah al-Anfal. Surah ini memberi semangat kepada kita untuk terus berjuang dalam kehidupan kita dengan disiplin dan peraturan untuk kita ingat mengingati antara satu sama lain. Ia adalah kesinambungan perjuangan yang bermula dari al-Baqarah, ali-Imran dan seterusnya. 


Bila sudah menang perang Badar, Allah memberikan 40 ayat untuk kita lihat sebelum harta rampasan perang diberikan. Pada halaman lepas kita sudah bincang tentang tujuan perang  bukan sekadar suka-suka nak bunuh atau nak kawal sesuatu tempat tetapi adalah untuk mempertahankan diri.



Ayat [8:9]


إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَٱسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّى مُمِدُّكُم بِأَلْفٍۢ مِّنَ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ مُرْدِفِينَ


(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu, lalu Ia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut.


Mesej dan Tindakan:


  1. Allah SWT ingatkan yang Dia telah perkenankan doa Nabi dan sahabat-sahabat semasa perang Badar. Nabi SAW berdoa dengan mengangkat tinggi tangannya sehingga rida baginda SAW jatuh dan diangkat oleh Saidina Abu Bakar. Para sahabat juga merintih. 

  2. Allah mengabulkan mengikut keperluan peritnya pada waktu itu (فَٱسْتَجَابَ). Allah menjawab betul-betul apa yang dirintihkan oleh Nabi SAW. 300 orang tentera Islam berbanding 1000 orang. Tentera berkuda Islam hanya seorang sahaja berbanding musuh. Allah turunkan 1000 malaikat berturut-turut untuk membantu tentera Islam.



Ayat [8:10]


وَمَا جَعَلَهُ ٱللَّهُ إِلَّا بُشْرَىٰ وَلِتَطْمَئِنَّ بِهِۦ قُلُوبُكُمْ ۚ وَمَا ٱلنَّصْرُ إِلَّا مِنْ عِندِ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ


Dan Allah tidak menjadikan (bantuan malaikat) itu melainkan sebagai berita gembira dan supaya hati kamu tenang tenteram dengannya. Dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.


Mesej dan Tindakan:


  1. Allah turunkan malaikat sebagai berita gembira dan untuk menenangkan hati mereka. 

  2. Kemenangan hanyalah dari sisi Allah SWT. 

  3. عَزِيزٌ حَكِيمٌ tanpa alif lam disebut empat kali dalam surah ini. Allah hendak menceritakan sebenarnya Allah amat berkuasa dan Allah Bijaksana. Tidak bertepian. Allah boleh menyusunkan apa sahaja. Allah menyusun malaikat untuk membantu mereka.

  4. Ada orang bijak tetapi tidak kuat dan ada juga orang yang orang berkuasa dan suka mengugut untuk kepentingan diri. 



Ayat [8:11]


إِذْ يُغَشِّيكُمُ ٱلنُّعَاسَ أَمَنَةًۭ مِّنْهُ وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُم مِّنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءًۭ لِّيُطَهِّرَكُم بِهِۦ وَيُذْهِبَ عَنكُمْ رِجْزَ ٱلشَّيْطَـٰنِ وَلِيَرْبِطَ عَلَىٰ قُلُوبِكُمْ وَيُثَبِّتَ بِهِ ٱلْأَقْدَامَ


(Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu). Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan Syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan).


Mesej dan Tindakan:


  1. Perkataan إِذْ ini adalah peringatan. Allah berikan mengantuk ( ٱلنُّعَاسَ ) yang aman menyebabkan mereka boleh tidur. Bayangkan nak berperang esoknya, boleh tidur. Ini adalah anugerah daripada Alah SWT. 

  2. Allah menurunkan hujan waktu itu untuk 4 fungsi:

    1. Untuk mensucikan agar mereka dapat beribadah. 

    2. Supaya bila sudah bersih, gangguan syaitan juga tidak menyerang. Ini adalah satu peringatan untuk kita supaya menjaga kebersihan di rumah, dalam organisasi dll supaya dijauhi gangguan syaitan.

    3. Allah juga mengikat hati mereka. Bersiap siaga untuk berperang.  

    4. Allah menetapkan kaki mereka untuk berjuang (bila hujan, pasir basah dan tidak menggelongsor)

  3. Ini adalah nikmat-nikmat besar yang Allah beri sebelum mereka diberi harta ghanimah.



Ayat [8:12]


إِذْ يُوحِى رَبُّكَ إِلَى ٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ أَنِّى مَعَكُمْ فَثَبِّتُوا۟ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ۚ سَأُلْقِى فِى قُلُوبِ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ٱلرُّعْبَ فَٱضْرِبُوا۟ فَوْقَ ٱلْأَعْنَاقِ وَٱضْرِبُوا۟ مِنْهُمْ كُلَّ بَنَانٍۢ


(Ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang yang kafir dengan perasaan gerun; oleh itu, pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka"


Mesej dan Tindakan:


  1. Allah ingatkan bahawa Dia bersama dengan para malaikat. Kehadiran malaikat adalah dengan kuasa Allah SWT. 

  2. Allah dan malaikat meneguhkan orang-orang yang beriman. Ini adalah formula di Badar dan juga formula dalam kehidupan kita seharian. Terutama bila kita 'istigathah', iaitu bila kita betul-betul berdoa kepada Allah SWT. Kalau kita dapat berdoa begitu dengan penuh khusyuk, Allah akan jawab doa kita ( فَٱسْتَجَابَ لَكُمْ ). Ini adalah kaedah berdoa yang akan menjemput para malaikat meneguhkan hati orang-orang beriman dan mencampakkan rasa takut dalam hati orang kafir. Kesannya tentera Islam menjadi berani untuk memenggal leher dan ruas-ruas badan tentera kafir.



Ayat [8:13]


ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ شَآقُّوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ ۚ وَمَن يُشَاقِقِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَإِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ


(Perintah) yang demikian ialah kerana sesungguhnya mereka menentang Allah dan RasulNya; dan sesiapa yang menentang Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya.


Mesej dan Tindakan:


  1. Allah menghantar malaikat untuk menentang tentera kafir kerana mereka menentang dan mengganggu hak-hak Allah dan Rasul. 

  2. Azab Allah amat keras kepada mereka yang melawan Allah dan Rasul. 

  3. Jihad 'qital' hanyalah kepada orang yang menyerang kita.



Ayat [8:14]


ذَٰلِكُمْ فَذُوقُوهُ وَأَنَّ لِلْكَـٰفِرِينَ عَذَابَ ٱلنَّارِ


Itulah (azab dunia) maka rasalah dia (hai orang-orang kafir). Sesungguhnya orang-orang yang kafir disediakan baginya azab neraka (di akhirat).


Mesej dan Tindakan:


  1. Kaum terhahulu seperti Firaun, 'Aad dan Thamud, mereka diberi azab kecil seperti taufan, katak, belalang dan pandemik ta'un. COVID19 ini juga azab kecil dan jangan sampai Allah beri azab besar. 

  2. Zaman umat Nabi Muhammad SAW ini kita tidak ada lagi azab seperti katak dan sebagainya. Allah bagi yang kecil-kecil sahaja. Yang besar ialah pada zaman Mekah, Madinah itu mereka berperang dan puncaknya ialah pada surah al-taubah iaitu ketika ditakluk. 

  3. Mesejnya ialah, kekalahan orang kafir kerana mereka melawan Allah. Maka Allah berikan azab kehancuran dalam perang.



Ayat [8:15]


يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا لَقِيتُمُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ زَحْفًۭا فَلَا تُوَلُّوهُمُ ٱلْأَدْبَارَ


Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang mara menyerang, maka janganlah kamu berpaling undur dari menentang mereka.


Mesej dan Tindakan:


  1. Allah beritahu orang-orang beriman, bila sudah bertemu musuh jangan mundur. 

  2. Satu kisah dalam perang Badar: Al Aswad b Abdul Asad dari kaum musyrik bersumpah untuk pergi menganggu air di kawasan orang Islam. Sama ada dia dapat rasa atau dia meninggal. Kepalanya dipancung oleh Hamzah b Abdul Mutalib. Ini adalah round one perang. Selepas itu baru bertempur dan akhirnya orang Islam menang. Ada juga sahabat yang terbunuh. Seorang ibu sedih anaknya terbunuh dan baginda SAW memberitahunya anaknya berada di syurga yang paling tinggi. 

  3. Sanggup memperjuangkan kebenaran ialah tanda kita buat betul-betul untuk memberi manfaat kepada semua orang termasuk yang bukan Islam. 

  4. Bila orang Islam memimpin dengan cara al-Quran, semua orang akan aman dan makmur.



Ayat [8:16]


وَمَن يُوَلِّهِمْ يَوْمَئِذٍۢ دُبُرَهُۥٓ إِلَّا مُتَحَرِّفًۭا لِّقِتَالٍ أَوْ مُتَحَيِّزًا إِلَىٰ فِئَةٍۢ فَقَدْ بَآءَ بِغَضَبٍۢ مِّنَ ٱللَّهِ وَمَأْوَىٰهُ جَهَنَّمُ ۖ وَبِئْسَ ٱلْمَصِيرُ


Dan sesiapa berpaling undur dari menentang mereka pada ketika itu - kecuali ia bergerak ke arah lain (untuk menjalankan tipu muslihat) peperangan, atau hendak menyatukan diri dengan pasukan yang lain - maka sesungguhnya ia tetaplah mendapat kemurkaan dari Allah, dan tempatnya ialah neraka jahanam; sedang neraka jahanam ialah seburuk-buruk tempat kembali.


Mesej dan Tindakan:


  1. Sahabat sangat berdisiplin dan sensitif mengikut arahan Allah SWT.

  2. Orang yang tidak mengikut arahan Allah akan mendapat kemurkaan Allah dan tempatnya ialah neraka jahanam.

  3. Semoga kita juga menjadi orang yang sensitif mengikut arahan daripada al-Quran.



RESOLUSI


Ingat !!


  1. Sering berdoa memohon bantuan daripada Allah SWT (8:9)

  2. Banyakkan berzikir dan berdoa untuk elak gangguan syaitan yang akan melemahkan semangat juang kita (11)

  3. Jangan berpatah kecuali ia sebagai strategi (16)


Lega kerana Allah akan jaga saya daripada gangguan syaitan sekiranya saya banyak berzikir dan berdoa.


Saya jelas untuk sering berdoa memohon bantuan daripada Allah SWT. Saya mesti banyakkan berzikir dan berdoa untuk elak gangguan syaitan yang akan melemahkan semangat juang saya. Saya jelas untuk tidak berpatah balik dalam perjuangan membawa kebenaran kecuali ia sebagai strategi. 


Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.  


Ya Allah, jauhi kami daripada gangguan syaitan. Ya Allah, kuatkan semangat juang kami dalam membawa risalah al-Quran. Ya Allah, jauhi kami daripada sifat pengecut, lemah dan malas dalam usaha untuk islah diri, keluarga dan masyarakat. Ya Allah bantu kami untuk berdakwah kepada kawan-kawan kami yang belum Islam. Bantu kami merancang strategi yang berkesan dalam islah dan dakwah kami. 


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...