Sunday, July 2, 2023

Halaman 186 : Al-Anfal, 8:70-75

Doa:

سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

“Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”

رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا

“Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”

PERKATAAN HARI INI

أَسَرَ Menawan, menangkap.

49 kali disebut dalam al-Quran 


SINOPSIS   

  1. Tawanan perang jangan khianat (70-71)
  2. Golongan orang yang beriman di zaman Nabi Muhammad SAW sesuai dengan keimanan dan hijrah (72-75)


Mukaddimah

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT hari ini kita dapat meneruskan pengajian pada halaman terakhir surah al-Anfal. Surah al-Anfal memberikan disiplin kepada sahabat yang bertanya tentang anfal. Allah mendisiplinkan mereka dengan 40 ayat pertama dengan memberikan peringatan, peluang untuk mendengar tazkirah daripada Allah SWT.    

Analisis kemenangan Badar itu bermula daripada masa yang mereka gentar tetapi Allah berikan bantuan. Jadi jangan fokus sangat kepada anfal/ghanimah tetapi yang lebih penting adalah perjuangan bagi para sahabat, Muhajirin dan Ansar yang akan dibincangkan hari ini.  

Pada halaman lepas kita sudah berbincang teguran Allah kepada Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar RA yang memilih menukar dengan tawanan ini mengajar menulis membaca atau wang tebusan. Saidina Umar RA cadangkan supaya tawanan dipancung sahaja. Apa yang Nabi SAW buat juga adalah mengikut wahyu tetapi Allah mahukan lebih untuk baginda SAW, iaitu jangka panjang sampai ke akhirat, berbanding dengan kemenangan yang ingin dicapai oleh Nabi SAW di peringkat dunia.  

Ayat [8:70]

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ قُل لِّمَن فِىٓ أَيْدِيكُم مِّنَ ٱلْأَسْرَىٰٓ إِن يَعْلَمِ ٱللَّهُ فِى قُلُوبِكُمْ خَيْرًا يُؤْتِكُمْ خَيْرًا مِّمَّآ أُخِذَ مِنكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ وَٱللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

“Wahai Nabi, katakanlah kepada orang-orang tawanan yang ada dalam tangan kamu: "Jika Allah mengetahui ada kebaikan (iman) dalam hati kamu, nescaya Ia akan memberi kepada kamu (balasan) yang lebih baik daripada (harta benda penebus diri) yang telah diambil dari kamu, dan Ia akan mengampunkan dosa kamu; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”


Mesej Dan Tindakan

  1. Allah beritahu cara uruskan tawanan iaitu mereka perlu bayar tebusan. Secara puratanya, seorang tawanan kena bayar 40 'uqiyah' emas. Satu 'uqiyah' sama dengan 29 dinar, iaitu 123 gram bersamaan 29,000. Tawanan, seperti Abu Al-As kena membayar 40 'uqiyah' bersamaan 1.1 Juta. Pak cik Nabi, Abbas kena membayar lebih, iaitu 100 'uqiyah' bersamaan 2.9 Juta. Abbas berkata, hartanya sudah habis tetapi Nabi SAW berkata, ada lagi hartanya yang ditanam dalam tanah.
  2.  
  3. Sebenarnya selepas itu Abbas masuk Islam dan dia semakin kaya. Dia mendapat rezeki yang lebih baik dari Allah. Allah Maha Pengampun atas kesilapannya di masa lalu dan Allah Maha Penyayang. Benarlah janji Allah. Daripada Abbas lahirnya Kerajaan Abbasiyyah.

Ayat [8:71]


وَإِن يُرِيدُوا۟ خِيَانَتَكَ فَقَدْ خَانُوا۟ ٱللَّهَ مِن قَبْلُ فَأَمْكَنَ مِنْهُمْ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Dan jika mereka (orang-orang tawanan itu) bertujuan hendak melakukan khianat kepadamu, maka sesungguhnya mereka telahpun melakukan khianat kepada Allah (dengan kekufuran mereka) sebelum itu, lalu Allah menjadikan (engkau) mengalahkan dan menundukkan mereka; kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Mesej Dan Tindakan
  1. Ini adalah isu khianat. Orang kufur ini memang sudah terkenal khianat, contohnya masa Badar dan Uhud. Saidina Umar RA memandang dari sisi itu maka beliau mahu menebas sahaja mereka semua. Walaupun mereka khianat, mereka tetap memberi kuasa kepada Nabi SAW. Mereka rasa mereka boleh komplot tetapi Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana dan memberi kemenangan kepada orang beriman.
  2.  
  3. Sudut pandangan risiko yang diambil oleh Umar, ada kebenarannya. Namun, ingin menyantuni dan menyebar Islam juga disampaikan oleh para sahabat lain. Ia pandangan yang berbeza. Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.


Ayat [8:72]

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَهَاجَرُوا۟ وَجَٰهَدُوا۟ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلَّذِينَ ءَاوَوا۟ وَّنَصَرُوٓا۟ أُو۟لَٰٓئِكَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَآءُ بَعْضٍ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَلَمْ يُهَاجِرُوا۟ مَا لَكُم مِّن وَلَٰيَتِهِم مِّن شَىْءٍ حَتَّىٰ يُهَاجِرُوا۟ وَإِنِ ٱسْتَنصَرُوكُمْ فِى ٱلدِّينِ فَعَلَيْكُمُ ٱلنَّصْرُ إِلَّا عَلَىٰ قَوْمٍۭ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُم مِّيثَٰقٌ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan.”


Mesej Dan Tindakan

  1. Ini adalah pujian kepada seluruh umat Islam semasa perang Badar.
  2.  
  3. Terdapat tiga golongan umat Islam pada waktu itu:
    • Orang Muhajirin memang beriman, mereka berhijrah dan berjihad dengan harta dan diri mereka. Jihad cara Mekah tidak boleh berperang.
    • Orang Ansar membantu Nabi SAW di Madinah. Memberi perlindungan, memberi rumah. Menolong segala misi Nabi SAW. Muhajirin dan Ansar saling menjadi 'walak' atau auliya' (menjadi pelindung) antara satu sama lain.
    • Golongan ketiga pula ialah orang yang tidak berhijrah dari Mekah, seperti Abbas. Tidak ada perlindungan bagi mereka.
    •  
  4. Allah Maha Melihat sama ada mereka, pihak ketiga ini, boleh sahaja nak berhijrah ke Madinah atau mahu bersama musyrik di Mekah. Bila Allah melihat bermakna Allah akan menolong kepada orang-orang yang berhijrah
  5.  
  6. Zaman sekarang kalau kita tidak ada kuasa yang besar kita kena ambil peranan di Mekah daripada strategi dakwah. Kewajipan ibadat tetap perlu dilakukan seperti yang termaktub dalam al-Quran.
  7.  
  8. Bila Nabi SAW mendapat rantai dari Zainab untuk menebus suaminya yang ditawan, Nabi SAW tidak membuat keputusan sendiri malah bertanya para sahabat. Kroni tidak dibenarkan di zaman baginda SAW.
  9.  
  10. Orang Islam sentiasa diperhatikan oleh Allah. Ada disiplin-disiplin yang dilakukan oleh tentera Islam. Ia adalah perjuangan al-Haq untuk meninggikan kebenaran dan menghapuskan kebatilan. Bukan sengaja nak bunuh orang. Diplomasi lebih diutamakan kerana tiada paksaan untuk masuk Islam.

Ayat [8:74]


وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَهَاجَرُوا۟ وَجَٰهَدُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلَّذِينَ ءَاوَوا۟ وَّنَصَرُوٓا۟ أُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ حَقًّا لَّهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ

“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.”


Mesej Dan Tindakan
  1. Orang beriman yang betul-betul bukan sekadar baca al-Quran sahaja untuk menambah iman.
  2.  
  3. Kita kena beriman, berhijrah - maksudnya keluar daripada tempat yang tak baik kepada tempat yang baik atau tinggalkan amalan yang tak baik, berjihad fi sabilliah untuk mengangkat agama ini.
  4.  
  5. Orang beriman yang sebenarnya akan mendapat keampunan dan limpah kurnia dari Allah.


Ayat [8:75]

وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنۢ بَعْدُ وَهَاجَرُوا۟ وَجَٰهَدُوا۟ مَعَكُمْ فَأُو۟لَٰٓئِكَ مِنكُمْ وَأُو۟لُوا۟ ٱلْأَرْحَامِ بَعْضُهُمْ أَوْلَىٰ بِبَعْضٍ فِى كِتَٰبِ ٱللَّهِ إِنَّ ٱللَّهَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌۢ

“Dan orang-orang yang beriman sesudah itu, kemudian mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu, maka adalah mereka dari golongan kamu. Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang (lain) menurut (hukum) Kitab Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”


Mesej Dan Tindakan

  1. Kaum Ansar sebelumnya bergaduh dan berpecah, akhirnya bergabung. Atas dasar iman, mereka sanggup memberi apa sahaja kepada Muhajirin.
  2.  
  3. Allah ingatkan, memberi kepada kerabat juga adalah satu bentuk dakwah. Jangan baik sangat dengan orang luar sampai mengabaikan kerabat sendiri yang memerlukan. Hendaklah ikut hukum al-Quran dalam memberi bantuan. Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
  4.  
  5. Perjuangan kita hendaklah mengambil kira dalam keluarga dan luar keluarga. Jangan extreme.

RESOLUSI MQT260 

Ingat !!

  1. Uruskan tawanan dengan baik apabila mereka bersikap jujur (70)
  2. Bina iman, semangat hijrah dan jihad dengan baik (72)
  3. Kuatkan semangat dengan perbanyakkan zikir kepada Allah SWT (45)

Lega kerana Allah janjikan kekufuran dan kerosakan tidak tersebar sekiranya saya bersatu dalam jihad.

Saya jelas untuk uruskan tawanan dengan baik apabila mereka bersikap jujur. Saya mesti bina iman, semangat hijrah dan jihad dengan baik. Saya jelas untuk bersatu dalam jihad agar kekufuran dan kerosakan tidak tersebar.  

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.

Ya Allah, bimbing kami untuk uruskan tawanan dengan baik apabila mereka bersikap jujur. Ya Allah, bantu kami untuk bina iman, semangat hijrah dan jihad dengan baik. Ya Allah, bimbing kami untuk bersatu dalam jihad agar kekufuran dan kerosakan tidak tersebar.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: MyQuranTime

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...