Sunday, July 2, 2023

Halaman 187 : At-Tawbah, 9:1-6

Doa:

سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

“Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”

رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا

“Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”

PERKATAAN HARI INI

بَرِئَ Terputus, berpisah.

31 kali disebut dalam al-Quran 


SINOPSIS   

  1. Kaum musyrik melanggar perjanjian dan pengumuman perang ke atas mereka serta berlepas tangan (Bara'ah) (1-4)
  2. Kewajipan memerangi orang-orang musyikin tidak kira di mana pun mereka berada dengan syarat yang jelas (5)
  3. Hukum tentang keamanan (6)


Mukaddimah


Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT hari ini kita dapat meneruskan pengajian pada surah kesembilan surah at-Tawbah halaman 187. Surah ini melambangkan betapa seriusnya mesej hidayah daripada Allah SWT untuk membawa keamanan dan kesejahteraan.   

Surah at-Tawbah adalah satu-satunya surah yang tidak bermula dengan basmallah. Surah at-Tawbah ini turun khusus tentang peperangan atau waktu peperangan. Ada juga yang berpendapat yang ia adalah sambungan surah al-Anfal jadi tidak perlu dibaca basmallah. Sheikh al-Ramli menyebut bahawa makruh membaca basmallah di awal surah ini. Sheikh Ibnu Hajar menyatakan haram membaca di awal dan makruh membacanya di pertengahan.  

Menurut Imam al-Qurtubi, sebab basmallah tidak dibaca ialah kerana bila nak memutuskan perjanjian, tidak dibaca basmallah. Nabi SAW pernah menghantar Saidina Ali untuk mengumumkan kepada sahabat-sahabat apabila enam ayat pertama ini turun, dan beliau tidak membaca basmallah. Mulakan dengan membaca taawuz.    

Surah al-Tawbah ialah tentang peristiwa pembukaan Mekah. Umat Islam kena buat persediaan sebaik mungkin dengan panduan daripada Allah SWT. Allah tidak suruh berperang sewenang-wenangnya. Realitinya semasa pembukaan Mekah pada tahun 8 Hijrah itu, tidak ada langsung berlaku pertumpahan darah.  

Umumnya, peperangan ada tiga konsep:  

  1. Melindungi diri - kalau orang serang baru serang balik.
  2. Membalas balik - Hanya boleh dibuat bila ketua negara mengumumkan perang. Tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya. Contoh: Sahabat berbincang bersama Nabi SAW sebagai ketua negara terlebih dahulu sebelum bertindak. Ini pun hanya boleh bertindak apabila diserang.
  3. Pre-emptive - menyerang dahulu sebelum orang menyerang, tidak ada di dalam Islam. Ini adalah tindakan orang-orang yang tidak beriman.

Ayat [9:1]


بَرَآءَةٌ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦٓ إِلَى ٱلَّذِينَ عَٰهَدتُّم مِّنَ ٱلْمُشْرِكِينَ

“(Ini adalah) pemutusan tanggungjawab (pembatalan perjanjian) dari Allah dan RasulNya terhadap kaum kafir musyrik yang kamu mengikat perjanjian setia (dengan mereka).”


Mesej Dan Tindakan
  1. Nama lain surah ini ialah Bara'ah. Maksudnya pemutusan, bahawa Allah tidak akan melindungi lagi orang-orang yang tidak beriman.
  2.  
  3. Nabi SAW rindu mahu balik ke Mekah. Sampai di Hudaibiyah, baginda SAW dan para sahabat ditahan dan mereka terpaksa berpatah balik ke Madinah kerana telah membuat perjanjian Hudaibiyah dengan musyrik Mekah.
  4.  
  5. Perjanjian itu kemudiannya terbatal akibat komplot dari pihak musuh. Apabila Nabi SAW berjaya masuk ke Mekah untuk buat haji, baginda mengambil kesempatan untuk berdakwah kepada orang musyrik Mekah. Enam ayat pertama ini adalah pengumuman rasmi daripada orang-orang Islam kepada orang-orang musyrik yang masih lagi berada di Mekah.
  6.  
  7. Ayat ini adalah deklasi bahawa semua perjanjian dengan orang musyrik adalah terbatal. Ini adalah tamparan kepada musyrik Mekah. Umat Islam sudah menang waktu ini. Orang kafir tidak boleh lagi membuat perjanjian dengan orang Islam.


Ayat [9:2]

      فَسِيحُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّكُمْ غَيْرُ مُعْجِزِى ٱللَّهِ وَأَنَّ ٱللَّهَ مُخْزِى ٱلْكَٰفِرِينَ

“Oleh itu hendaklah kamu (hai kaum musyrik) bergerak di muka bumi (dengan bebasnya) selama empat bulan, dan ketahuilah bahawa kamu tidak terlepas dari (azab seksa) Allah. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah akan menghina orang-orang yang kafir (dengan bala bencana di dunia dan azab seksa di akhirat)”


Mesej Dan Tindakan
  1. Dengan pengisytiharan itu, orang kafir Mekah diberi tempoh empat bulan untuk keluar bertebaran ( فَسِيحُوا۟) daripada Mekah. Ini melambangkan Islam amat bermurah hati. Semasa zaman kaum terdahulu, Firaun, 'Aad dan Thamud, mereka diberi azab-azab kecil sebelum dihancurkan. Umat Nabi Muhammad SAW diberi peperangan sebagai azab kecil. Azab besarnya pula ialah peristiwa Fathul Mekah.
  2.  
  3. Selama ini orang kafir menindas orang Islam. Sekarang Allah menghina mereka pula. Rumah Abu Lahab sekarang ini jadi tandas awam, begitu hina sekali.
  4.  

Ayat [9:3]

وَأَذَٰنٌ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦٓ إِلَى ٱلنَّاسِ يَوْمَ ٱلْحَجِّ ٱلْأَكْبَرِ أَنَّ ٱللَّهَ بَرِىٓءٌ مِّنَ ٱلْمُشْرِكِينَ وَرَسُولُهُۥ فَإِن تُبْتُمْ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَإِن تَوَلَّيْتُمْ فَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّكُمْ غَيْرُ مُعْجِزِى ٱللَّهِ وَبَشِّرِ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ

“Dan inilah perisytiharan dari Allah dan RasulNya kepada umat manusia, (diisytiharkan) pada Hari Raya Haji yang terbesar, bahawa sesungguhnya Allah dan RasulNya memutuskan tanggungjawab terhadap orang-orang musyrik; oleh itu jika kamu (wahai kaum musyrik) bertaubat (dari kufur) maka yang demikian adalah baik bagi kamu; dan jika kamu berpaling (ingkar), maka ketahuilah sesungguhnya kamu tidak akan dapat melepaskan diri dari (azab seksa) Allah. Dan khabarkanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir (bahawa mereka akan ditimpakan) dengan azab yang tidak terperi sakitnya.”


Mesej Dan Tindakan

  1. Pada Haji Akbar tersebut, Nabi SAW membuat pengisytiharan untuk memutuskan tanggungjawab terhadap orang musyrik.
  2.  
  3. Allah memberi peluang kepada musyrik Mekah untuk bertaubat. Sekiranya tidak bertaubat mereka akan ditimpa azab daripada Allah SWT. Sesiapa pun tidak dapat mengalahkan Allah SWT.

Ayat [9:4]

إِلَّا ٱلَّذِينَ عَٰهَدتُّم مِّنَ ٱلْمُشْرِكِينَ ثُمَّ لَمْ يَنقُصُوكُمْ شَيْـًٔا وَلَمْ يُظَٰهِرُوا۟ عَلَيْكُمْ أَحَدًا فَأَتِمُّوٓا۟ إِلَيْهِمْ عَهْدَهُمْ إِلَىٰ مُدَّتِهِمْ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُتَّقِينَ

“Kecuali mereka yang kamu mengikat perjanjian setia (dengannya) dari orang-orang musyrik, kemudian mereka tidak mencabuli perjanjian kamu itu sedikitpun, dan mereka tidak menolong seorangpun yang memusuhi kamu, maka sempurnakanlah kepada mereka perjanjian mereka sehingga (habis) tempohnya. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.”


Mesej Dan Tindakan

  1. Allah suka kepada orang-orang yang bertakwa. Apabila umat Islam sudah berkuasa, maka Allah mengingatkan mereka untuk bertakwa dan berlaku adil. Jangan melakukan kezaliman walaupun sudah berada di atas.
  2.  
  3. Asas wala’ ialah beriman kepada Allah dan Rasul. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Rasul kita perlu bagi wala’. Kalau tak beriman, kita kena bara' dalam bab akidah tetapi masih perlu jaga hubungan sesama manusia. Nabi SAW menjaga hubungan dengan orang bukan Islam selagi tidak memusuhi Islam.

Ayat [9:5]

فَإِذَا ٱنسَلَخَ ٱلْأَشْهُرُ ٱلْحُرُمُ فَٱقْتُلُوا۟ ٱلْمُشْرِكِينَ حَيْثُ وَجَدتُّمُوهُمْ وَخُذُوهُمْ وَٱحْصُرُوهُمْ وَٱقْعُدُوا۟ لَهُمْ كُلَّ مَرْصَدٍ فَإِن تَابُوا۟ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ فَخَلُّوا۟ سَبِيلَهُمْ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

“Kemudian apabila habislah (masa) bulan-bulan yang dihormati itu maka bunuhlah orang-orang musyrik itu di mana sahaja kamu menemuinya, dan tawanlah mereka, dan juga keponglah mereka, serta tunggulah mereka di tiap-tiap tempat mengintipnya. Kemudian jika mereka bertaubat (dari kekufurannya) dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka biarkanlah mereka (jangan diganggu). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”


Mesej Dan Tindakan

  1. Bila habis empat bulan haram, Allah perintahkan supaya memerangi orang musyrik Mekah. Nabi SAW mengumumkan pada 9 Zulhijjah hari Haji Akbar agar mereka yang memusuhi agama Allah sama ada masuk Islam atau keluar dari Mekah. Mereka diberi peluang 4 bulan dalam keamanan, sepatutnya boleh fikir untuk dapat kebenaran. Tapi kalau jika mereka masih degil, Allah perintah supaya tawan mereka, halau mereka dan pastikan mereka tidak muncul lagi.
  2.  
  3. Adakah kita perlu amalkan perintah ini sekarang? Kita perlu faham, ini adalah surah yang turun ketika peristiwa Fathul Mekah. Perintah ini hanya untuk mereka yang memusuhi umat Islam. Kalau mereka ikut perjanjian law the land seperti orang Kristian di Andalusia mereka tidak dimusuhi. Tak mahu masuk Islam tak apa tapi jangan memusuhi, jangan kacau, jangan rancang komplot-komplot seterusnya, jangan membuat kerosakan-kerosakan di muka bumi ini.
  4.  
  5. Kumpulan orang bisnes di sana tidak suka Islam kerana akan terjejas bisnes berhala dan arak mereka. Jika mereka solat dan memberi zakat, jangan kacau. Jika mereka mematuhi syarat biarkan, jangan diganggu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Jika mereka menerima Islam, Allah akan bagi lebih lagi.

Ayat [9:6]

وَإِنْ أَحَدٌ مِّنَ ٱلْمُشْرِكِينَ ٱسْتَجَارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّىٰ يَسْمَعَ كَلَٰمَ ٱللَّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُۥ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَّا يَعْلَمُونَ

“Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam), maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang ia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam).”


Mesej Dan Tindakan

  1. Jika ada orang musyrik minta perlindungan, maka berilah perlindungan.
  2.  
  3. Tujuan memberi perlindungan ialah supaya mereka berpeluang mendengar kalam Allah SWT. Peluang untuk orang Islam berdakwah.
  4.  
  5. Jika mereka masih tidak mahu beriman, tetap berikan perlindungan. Orang musyrik dikeluarkan daripada Mekah kerana itu adalah tanah haram. Tempatkan mereka di tempat yang aman.
  6.  
  7. Sejarah membuktikan Islam tidak memusuhi orang yang bukan Islam sekiranya mereka tidak bermusuh seperti di Madinah, Andalusia, Cordoba dan sebagainya.


RESOLUSI MQT261 

Ingat !!

  1. Apabila kaum musyrik bermusuh dan menyerang, tiada lagi ikatan kedamaian (1)
  2. Tunaikan janji melindungi bukan Islam asalkan mereka tidak mungkir janji dalam sesebuah negara Islam (4)
  3. Lindungi orang musyrik yang minta perlindungan agar boleh mendengar pelajaran daripada Allah SWT (6)

Lega kerana Allah janjikan keamanan dengan orang bukan Islam sekiranya mereka tidak bermusuh.

Saya jelas apabila kaum musyrik bermusuh dan menyerang, tiada lagi ikatan kedamaian. Saya jelas untuk tunaikan janji melindungi bukan Islam asalkan mereka tidak mungkir janji dalam sesebuah negara Islam. Saya jelas untuk lindungi orang musyrik yang minta perlindungan agar boleh mendengar pelajaran daripada Allah SWT. 

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.

Ya Allah, bimbing kami untuk berhadapan dengan orang bukan Islam agar kami dapat berdakwah kepada mereka. Ya Allah, jauhi kami daripada mengkhianati orang bukan Islam yang tidak memusuhi kami. Ya Allah, berikan taufik dan hidayah kepada kawan-kawan kami yang belum Islam agar mereka faham tentang Islam dan kembali menjadi Islam.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: MyQuranTime

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...