Sunday, July 2, 2023

Halaman 185 : Al-Anfal, 8:62-69

PERKATAAN HARI INI

خَدَعَ Menipu.

5 kali disebut dalam al-Quran 


SINOPSIS   

  1. Menyatukan umat dan memotivasikan mereka untuk berperang (62-66)
  2. Syarat mengambil para tawanan, menerima tebusan daripada mereka dan boleh memanfaatkan mereka (67-69)


Mukaddimah


Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT pada hari ini kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 185. Surah al-Anfal ini penuh dengan analisis daripada Allah SWT. Empat puluh ayat terawal surah al-Anfal adalah seperti khutbah daripada Allah SWT kepada orang-orang beriman agar jangan sekali-kali mengutamakan anfal.   

Mereka terus didisiplinkan agar ingat bahawa kemenangan Badar itu adalah kemenangan yang datang daripada pertolongan Allah SWT. Selepas Allah bercerita tentang 1/5 dari anfal itu adalah untuk Allah dan Rasul, kemudian barulah dibahagi-bahagikan kepada yang lain. Allah juga menerangkan tentang formula kejayaan yang mesti kita ambil pelajaran bersama.  

Di hujung halaman lepas Allah menegaskan yang Allah Maha Mendengar dan Mengetahui perancangan orang musyrik Mekah. Tawakal kepada Allah adalah selepas kita sanggup untuk tidak bermusuh dan tidak tertekan dengan sesetengah para sahabat kerana Islam adalah agama perdamaian. Islam tidak menggalakkan peperangan sekiranya orang kafir tidak menentang, malah Islam memberikan perlindungan melalui perjanjian sosial iaitu Piagam Madinah.  

    Ayat [8:62]

    وَإِن يُرِيدُوٓا۟ أَن يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ ٱللَّهُ هُوَ ٱلَّذِىٓ أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِۦ وَبِٱلْمُؤْمِنِينَ

    “Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dia lah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.”


    Mesej Dan Tindakan

    1. Ada kemungkinan orang kafir mahu menipu ( يَخْدَعُوكَ ) tetapi Allah ingatkan, cukuplah Allah bagi mereka. Janganlah kita terpengaruh sangat dengan teori konspirasi. Jangan takut tak bertempat.
    2. Jika perlu berperang, kita berperang dengan penuh disiplin. Jika perlu gencatan senjata, kita tak nak berperang, mestilah ikuti perjanjian perdamaian.
    3. Allah mengingatkan yang Allah memberikan pertolongan seperti di Perang Badar, dengan memberi mereka rasa mengantuk, menurunkan hujan yang membersihkan dan diturunkan 1000 malaikat membantu.
    4. بِٱلْمُؤْمِنِينَ adalah pujian daripada Allah kepada para sahabat di atas sokongan mereka kepada Nabi SAW. Orang beriman layak mendapat status yang amat tinggi bersama bantuan Allah SWT. Semoga kita menjadi orang yang menolong Nabi SAW menyebarkan risalah tauhid.


    Ayat [8:63]

    وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ لَوْ أَنفَقْتَ مَا فِى ٱلْأَرْضِ جَمِيعًا مَّآ أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

    “Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”


    Mesej Dan Tindakan

    1. Allah menekankan bahawa Allah lah yang menyatukan (أَلَّفَ) hati-hati orang beriman.
    2. Ada 13 kali perkataan عَزِيزٌ حَكِيمٌ tanpa alif lam dalam al-Quran. Empat kali dalam surah al-Anfal. Satunya dalam ayat ini. Ini menunjukkan Allah Maha Perkasa Maha Bijaksana tak bertepian. Walaupun perangai orang Arab yang amat degil, Allah berkuasa menyatukan kaum Aus dan Khazraj serta kaum Muhajirin.
    3. Orang yang suka bergaduh ini jugalah yang sebenarnya berperanan menaikkan Islam. Mereka bergaduh tetapi akhirnya mereka bersatu untuk bawa agama dan bawa al-Quran, akhirnya sampai kepada kita. Allah Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana.
    4. Pentingnya beriman dan mempunyai sifat perkasa dan bijaksana dalam memimpin. Ada orang yang berkuasa dan bijaksana. Ada juga orang berkuasa tetapi tidak bijaksana.


    Ayat [8:64]

    يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ حَسْبُكَ ٱللَّهُ وَمَنِ ٱتَّبَعَكَ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ

    “Wahai Nabi, cukuplah Allah menjadi Penolongmu, dan juga pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman.”


    Mesej Dan Tindakan

    1. Allah menegaskan lagi, cukup lah Allah dan orang beriman yang menjadi penolong. Allah lah yang membolak balikkan hati mereka sehingga akhirnya mereka beriman.
    2. Bagi seorang ketua, yang penting ialah Allah dan orang yang beriman. Penting menjaga al-Quran di dalam organisasi kerana bila dipandu dengan Al-Quran, mudah bagi semua. Orang yang amanah senang belajar dan mudah ikut arahan.


    Ayat [8:65] Formula Peperangan Bila Kuat

    يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ حَرِّضِ ٱلْمُؤْمِنِينَ عَلَى ٱلْقِتَالِ إِن يَكُن مِّنكُمْ عِشْرُونَ صَٰبِرُونَ يَغْلِبُوا۟ مِا۟ئَتَيْنِ وَإِن يَكُن مِّنكُم مِّا۟ئَةٌ يَغْلِبُوٓا۟ أَلْفًا مِّنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَّا يَفْقَهُونَ

    “Wahai Nabi, perangsangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti.”


    Mesej Dan Tindakan

    1. Allah menyuruh Nabi SAW memberi semangat kepada orang beriman. Dua puluh boleh mengalahkan dua ratus, syaratnya sabar. Seratus boleh mengalahkan seribu. Orang sabar memahami misi perjuangan. Orang kafir tidak jelas hala tuju dan strategi mereka. Sabar bukan sekadar berkata 'sabar je lah'. Sabar ialah betul-betul membuat persediaan yang rapi sebelum berperang.
    2. يَفْقَهُونَ ialah orang yang faham misi perjuangan kerana iman. Orang beriman sentiasa kena bersedia. Perjuangan perlukan Allah dan sokongan orang-orang beriman yang lain.
    3. Mesej penting untuk pemimpin:
      • Cukuplah Allah dan orang-orang yang beriman sebagai penolong.
      • Ketua mesti kobarkan semangat untuk berjuang dengan misi yang jelas supaya pengikut tidak kendur semangat.
      • Visi untuk berjuang mesti jelas pada setiap masa. 
      • Ketua mesti sampaikan arahan dengan jelas supaya semua pengikut mempunyai cara berfikir yang sama. 


    Ayat [8:66]

    ٱلْـَٰٔنَ خَفَّفَ ٱللَّهُ عَنكُمْ وَعَلِمَ أَنَّ فِيكُمْ ضَعْفًا فَإِن يَكُن مِّنكُم مِّا۟ئَةٌ صَابِرَةٌ يَغْلِبُوا۟ مِا۟ئَتَيْنِ وَإِن يَكُن مِّنكُمْ أَلْفٌ يَغْلِبُوٓا۟ أَلْفَيْنِ بِإِذْنِ ٱللَّهِ وَٱللَّهُ مَعَ ٱلصَّٰبِرِينَ

    “Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Ia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah. Dan (ingatlah) Allah beserta orang-orang yang sabar.”


    Mesej Dan Tindakan

    1. Allah meringankan strategi berperang kerana Allah tahu umat Islam ada kelemahan. Seratus boleh mengalahkan dua ratus. Seribu boleh mengalahkan dua ribu, dengan izin daripada Allah SWT tetapi masih lagi perlu sabar. Sabar maksudnya betul-betul membuat persediaan dan betul-betul membina keimanan.
    2. Kalau iman lemah, paling kurang ialah satu lawan dua. Contoh: Seorang staf boleh buat kerja untuk dua orang. Yang lebih hebat menggunakan formula pada ayat 65, seorang staf boleh buat kerja 10 orang. Ini perlu dibina oleh ketua yang terus memberi semangat dan melakukan latihan kepada staf supaya staf meningkat semangat kemahiran mereka ( يَفْقَهُونَ ).


    Ayat [8:67] Cara Mengurus Tawanan

    مَا كَانَ لِنَبِىٍّ أَن يَكُونَ لَهُۥٓ أَسْرَىٰ حَتَّىٰ يُثْخِنَ فِى ٱلْأَرْضِ تُرِيدُونَ عَرَضَ ٱلدُّنْيَا وَٱللَّهُ يُرِيدُ ٱلْءَاخِرَةَ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

    “Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum ia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”


    Mesej Dan Tindakan

    1. Konsep perang ialah mesti lawan bersungguh-sungguh. Pancung dan hancurkan. Bila dua-dua pihak telah setuju untuk berperang, bermakna mereka memang benar-benar bermusuh. Pada perang Badar, pasukan musyrikin Mekah ada bapa saudara Nabi SAW iaitu Abbas dan juga suami Zainab iaitu Abu Al-Asr.
    2. Bila Abu Al-Asr ditawan, Zainab menebusnya dengan rantai emas yang dihadiahkan oleh ibunya Khadijah. Nabi SAW terharu namun tetap serahkan rantai itu kepada Baitulmal sehingga sahabat-sahabat serahkan kembali rantai itu kepada Zainab.
    3. Abbas, pak cik Nabi SAW juga ditawan. Malam itu ia mengerang sakit kerana tali pengikatnya kuat sangat. Nabi mengarahkan sahabat supaya melonggarkan tali-tali pengikat semua tawanan, bukan hanya tali yang mengikat Abbas. Bermakna sama semua, tak ada pilih-pilih kroni.
    4. Ayat ini turun ketika Nabi tanya sahabat-sahabat apa yang perlu dibuat dengan tawanan perang. Saidina Abu Bakar cadangkan supaya tawanan ajarkan baca tulis kepada orang Islam. Saidina Omar cadangkan supaya semuanya dipancung. Nabi pilih cadangan Abu Bakar maka turunlah ayat ini. Saidina Abu Bakar menangis mendengar ayat ini kerana ia ayat teguran. Nabi SAW pun kena tegur oleh Allah SWT seolah-olah baginda SAW mementingkan dunia. Yang betul adalah pendapat Saidina Umar.
    5. Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Allah tahu apa yang akan berlaku kepada orang mukmin kalau berbaik-baik sangat dengan orang bukan Islam yang bermusuh dan ingin bunuh orang Islam. Contoh: Sangat merbahaya berbaik dengan orang yang memusuhi Islam seperti yang kita lihat di Uighur, umat Islam disiksa. Jika mereka tidak memusuhi Islam kita tak boleh memusuhi mereka. Boleh sahaja mereka mengamalkan agama masing-masing kerana tiada paksaan memasuki agama Islam.
    6. Ayat ini menunjukkan Nabi SAW juga ditegur oleh Allah SWT. Nabi bukan tuhan dan al-Quran bukan ditulis oleh Nabi. Allah mempunyai hubungan dengan Nabi untuk terus memberikan panduan.
    7. Allah hendak mengajar kita bahawa Nabi SAW tetap juga sebagai seorang hamba. Nabi bermesyuarat, Nabi merancang untuk kemenangan di dunia supaya orang bukan Islam tertarik dan Islam akan menang tetapi Allah mahukan pahala akhirat untuk Nabi dan sahabat-sahabat.


    Ayat [8:68]

    وْلَا كِتَٰبٌ مِّنَ ٱللَّهِ سَبَقَ لَمَسَّكُمْ فِيمَآ أَخَذْتُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

    “Kalaulah tidak (kerana) adanya ketetapan dari Allah yang telah terdahulu, tentulah kamu ditimpa azab seksa yang besar disebabkan (penebus diri) yang kamu ambil (dari orang-orang tawanan) itu.”


    Mesej Dan Tindakan

    1. Nabi SAW dan sahabat-sahabat yang berjuang habis-habisan kerana ugama juga diperingatkan tentang ketetapan Allah.
    2. Peringatan untuk kita: Hendaklah kita rujuk kepada al-Quran sebelum buat apa-apa keputusan, bimbang Allah akan beri azab kalau buat keputusan tanpa merujuk al-Quran.


    Ayat [8:69]

    فَكُلُوا۟ مِمَّا غَنِمْتُمْ حَلَٰلًا طَيِّبًا وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

    “Maka makanlah dari apa yang kamu telah dapat (dalam peperangan) itu, sebagai benda yang halal lagi baik, serta bertaqwalah kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”


    Mesej Dan Tindakan

    1. Allah mengampunkan Nabi SAW dan para sahabat yang membuat pernilaian yang kurang tepat. Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
    2. Dalam peristiwa ini kita belajar akidah bahawa Nabi SAW sentiasa berkomunikasi dengan Allah SWT dan Nabi selalu mengikut kepada wahyu. Pada masa sama, Allah ada modul-modul khas untuk mendidik orang-orang beriman.


    RESOLUSI MQT259 

    Ingat !!

    1. Jika ada penipuan, mohon pertolongan daripada Allah SWT dan orang beriman (62)
    2. Bina kesabaran dalam diri untuk meningkatkan kualiti dalam perjuangan (65)
    3. Utamakan akhirat berbanding dunia dalam berjuang ( 67)

    Lega kerana Allah ingatkan saya supaya utamakan akhirat berbanding dunia dalam berjuang.

    Saya jelas untuk mohon pertolongan daripada Allah SWT dan orang beriman jika ada penipuan. Saya jelas saya mesti bina kesabaran dalam diri untuk meningkatkan kualiti dalam perjuangan. Saya mesti utamakan akhirat berbanding dunia dalam berjuang. 

    Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.

    Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.

    Ya Allah, jauhi kami daripada menjadi mangsa penipuan. Ya Allah, hadirkan dalam hidup kami kawan-kawan dalam kalangan orang beriman yang dapat membantu dalam perjuangan. Ya Allah bimbing kami untuk bina kesabaran dalam diri untuk meningkatkan kualiti dalam perjuangan. Ya Allah, jadikan kami orang yang utamakan akhirat berbanding dunia dalam berjuang.

    Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


    Rujukan: MyQuranTime

    Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

      Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...