Sunday, July 2, 2023

Halaman 189 : At-Tawbah, 9:14-20

Doa:

سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

“Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”

رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا

“Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”

PERKATAAN HARI INI

خَزِيَ Dihina.

26 kali disebut dalam al-Quran 


SINOPSIS   

  1. Perangi musyrik sebagai azab daripada Allah SWT dan membersihkan hati mukmin (14-15)
  2. Ujian kaum muslim dan menjadikan teman kepercayaan (16)
  3. Memakmurkan masjid (17-18)
  4. Keutamaan beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat serta jihad fi sabilillah (19-20)


Mukaddimah


Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT hari ini kita dapat meneruskan pengajian pada surah al-Tawbah halaman 189. Mudah-mudahan kita nampak secara jelas panduan-panduan dari halaman ini.   


Ayat [9:14]

قَٰتِلُوهُمْ يُعَذِّبْهُمُ ٱللَّهُ بِأَيْدِيكُمْ وَيُخْزِهِمْ وَيَنصُرْكُمْ عَلَيْهِمْ وَيَشْفِ صُدُورَ قَوْمٍ مُّؤْمِنِينَ

“Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu, dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka, dan Ia akan memuaskan hati orang-orang yang beriman.”


Mesej Dan Tindakan

  1. Hanya Allah yang menjadi tujuan hidup dan patut ditakuti oleh orang-orang beriman.
  2.  
  3. Pada zaman Firaun, tentera Allah ialah laut yang menenggelamkannya. Kaum ‘Aad, Tsamud ada puting beliung, dan tanah yang diterbalikkan. Di zaman Nabi SAW, para sahabat dan Nabi SAW yang menjadi tentera-Nya yang meng'azab' orang yang tidak beriman. Kaum musyrik Mekah dahulunya telah menyeksa, memenjarakan, membunuh dan menghalau orang-orang beriman.
  4.  
  5. Motivasi untuk kita: Jika orang bukan Islam boleh duduk bersama orang Islam, kita tidak kacau mereka. Tidak sewenang-wenangnya kita boleh membunuh orang kafir. Jika mereka memusuhi, menghina dan menyerang Islam, baru kita boleh bertindak dengan berpandukan arahan rasmi daripada pemerintah.
  6.  
  7. Doakan agar kita tidak dihina. Jadilah tentera Allah. Orang Islam menjaga hak asasi semua orang. Orang Islam tidak menzalimi. Ini adalah semangat berjuang di dalam Islam yang perlu kita fahami agar mesej dari surah at-Tawbah tidak difahami secara salah.

Ayat [9:15]

وَيُذْهِبْ غَيْظَ قُلُوبِهِمْ وَيَتُوبُ ٱللَّهُ عَلَىٰ مَن يَشَآءُ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

“Dan Ia juga akan menghapuskan kemarahan hati orang-orang yang beriman itu, dan Allah akan menerima taubat orang-orang yang dikehendakiNya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”


Mesej Dan Tindakan

  1. Orang beriman, bila sudah menang, ada kuasa, mereka boleh berbuat apa sahaja. Allah mengubat hati orang beriman supaya mereka tidak menganiaya orang lain atau membalas dendam. Allah yang akan menghapuskan orang yang memungkiri janji.
  2.  
  3. Umat Islam bukan jenis memberontak atau membalas dendam setelah menguasai sesebuah kawasan
  4.  
  5. Allah boleh menerima taubat sesiapa sahaja yang bertaubat dan mereka bersolat dan menunaikan zakat.
  6.  
  7. Allah Maha Mengetahui. Allah tahu perancangan jahat orang musyrik dan apa yang dilalui oleh orang beriman. Allah yang Maha Bijaksana menyusun sehingga pembukaan Mekah berjaya tanpa pertumpahan darah. Peristiwa-peristiwa perang selepas itu juga penuh hikmah untuk memperjuangkan keadilan dan bukan untuk menguasai semata-mata.

Ayat [9:16]

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تُتْرَكُوا۟ وَلَمَّا يَعْلَمِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ جَٰهَدُوا۟ مِنكُمْ وَلَمْ يَتَّخِذُوا۟ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَلَا رَسُولِهِۦ وَلَا ٱلْمُؤْمِنِينَ وَلِيجَةً وَٱللَّهُ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ

“Adakah kamu menyangka, bahawa kamu akan dibiarkan (dalam keadaan kamu yang ada itu), padahal belum lagi terbukti kepada Allah (sebagaimana yang diketahuiNya) orang-orang yang berjihad di antara kamu dan yang tidak mengambil teman-teman rapat (untuk mencurahkan rahsia kepada mereka), selain daripada Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman? Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu kerjakan.”


Mesej Dan Tindakan

  1. وَلِيجَةًdi dalam ayat ini, bermakna orang yang amat dekat dengan kita, yang kita kongsi segala rahsia kita. Allah mengingatkan supaya jangan mengambil selain Allah dan Rasul sebagai teman rapat.
  2.  
  3. Ada riwayat tentang seorang sahabat, Hatib bin Abi Balta'ah yang telah menulis sepucuk surat membocorkan rahsia tentera Islam akan ke Mekah, kerana mahu menjaga kaum keluarganya yang ramai di sana. Nabi SAW memaafkan kesalahannya kerana Hatib ialah ahli Badar.
  4.  
  5. Allah menegur perkara ini agar jangan sampai sesiapa menjadi orang yang berpihak kepada golongan musuh.
  6.  
  7. Orang beriman mesti membuktikan keimanannya dengan jihad fi sabilillah. Orang yang kita mahu berkongsi rahsia mestilah niatnya kerana Allah. Jangan jadi pembocor rahsia untuk mendapat manfaat peribadi.

Ayat [9:17]

مَا كَانَ لِلْمُشْرِكِينَ أَن يَعْمُرُوا۟ مَسَٰجِدَ ٱللَّهِ شَٰهِدِينَ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِم بِٱلْكُفْرِ أُو۟لَٰٓئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَٰلُهُمْ وَفِى ٱلنَّارِ هُمْ خَٰلِدُونَ

“Tidaklah layak orang-orang kafir musyrik itu memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah, sedang mereka menjadi saksi (mengakui) akan kekufuran diri mereka sendiri. Mereka itu ialah orang-orang yang rosak binasa amal-amalnya dan mereka pula kekal di dalam neraka.”


Mesej Dan Tindakan

  1. Sebelum Fathul Mekah, orang musyrik membantu para hujjaj di Masjidil Haram pada musim haji dan memberi makan/minum. Allah tahu mereka hanya mahu sesuatu untuk diri mereka seperti projek perniagaan, bisnes berhala, pangkat dan kuasa. Masjidil Haram adalah tempat yang diangkat oleh Allah dan orang musyrik pun tidak mahu ketinggalan dan mahu mengambil kesempatan.
  2.  
  3. Amalan mereka yang banyak hanyalah seperti kambing gemuk keracunan (حَبِطَتْ). Tidak ada manfaat, sia-sia dan mereka kekal di dalam neraka.
  4.  
  5. Pada hari ini kita perlu bagi perhatian: Jika kita hari ini membantu orang, adakah kerana ingin membawa orang beriman kepada Allah atau mahu membawa orang 'beriman' kepada kita? Contoh: Sebelum pilihan raya, biasanya, ramai orang yang mahu berbuat kebaikan malah memberi macam-macam di masjid-masjid. Malah ada yang sampai nak berkhutbah. Mimbar masjid adalah salah satu tempat kuasa. Lepas pilihan raya, langsung mereka tidak muncul-muncul lagi. Hati-hati dengan orang sebegini.

Ayat [9:18] Sifat-sifat orang yang layak memakmurkan masjid

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَٰجِدَ ٱللَّهِ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا ٱللَّهَ فَعَسَىٰٓ أُو۟لَٰٓئِكَ أَن يَكُونُوا۟ مِنَ ٱلْمُهْتَدِينَ

“Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.”


Mesej Dan Tindakan

  1. Orang-orang yang layak memakmurkan masjid hanyalah orang-orang beriman yang mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan tidak takut kecuali kepada Allah SWT.
  2.  
  3. Fungsi masjid yang mesti dibuat oleh AJK masjid:
    • Membina keimanan kepada Allah. Program yang dibuat bukan kerana orang-orang tertentu.
    • Uruskan dana masjid dengan berhati-hati dan buat program-program untuk akhirat. Buat program-program kesedaran tentang penyelesaian hutang, muamalat, atau bahaya rasuah di masjid, dan tidak sekadar mengharapkan SPRM.
    • Untuk manusia mendirikan solat yang dibawa kepada Allah. Doa agar kita dapat semula memaknai fungsi masjid. 
    • Pergi bersolat bukan untuk menunjuk-nunjuk kerana nak dapat projek tetapi untuk menghasilkan orang yang suka berderma dan berzakat untuk membantu kariah/ masyarakat sekeliling. 
    • Fungsi masjid ialah untuk menimbulkan ketakutan hanya kepada Allah semata-mata (وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا ٱللَّهَ). Orang yang memakmurkan masjid mesti sanggup berjuang memerangi orang yang mengganggu negara.  
     
  4. Jika semua fungsi ini dihidupkan, pasti akan menjadi orang yang 'muhtadin', kariah yang dipandu oleh hidayah Allah.

Ayat [9:19]

أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ ٱلْحَآجِّ وَعِمَارَةَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ كَمَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ وَجَٰهَدَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ لَا يَسْتَوُۥنَ عِندَ ٱللَّهِ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّٰلِمِينَ

“Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.”


Mesej Dan Tindakan

  1. Ciri-ciri orang beriman yang memakmurkan masjid:
    • Bersungguh-sungguh pergi sembahyang. Kalau tidak dapat ke masjid, solat berjemaah di rumah.
    • Berusaha dalam hidup seharian sehingga dapat bayar zakat. Berjihad ekonomi.
    • Berjihad takut hanya pada Allah dan pergi berperang jika diperlukan.
    •  
  2. Orang beriman yang memakmurkan masjid tidak sama dengan mereka yang:
    • Membantu orang tetapi tidak membayar zakat dan yang tidak mencegah kemungkaran.
    • Menolong manusia hanya untuk kepentingan diri sendiri.
    • Tidak menegur perkara yang tidak adil dalam masyarakat
    •  
  3. Allah tidak akan memberi hidayah kepada orang yang zalim. Orang zalim ialah apabila dia buat kerja menolong manusia kerana nak dapat kuasa atau nak dapat projek.

Ayat [9:20]

ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَهَاجَرُوا۟ وَجَٰهَدُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِندَ ٱللَّهِ وَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَآئِزُونَ

“(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.”


Mesej Dan Tindakan

  1. Allah SWT menegaskan bahawa orang-orang beriman dari Madinah yang juga boleh menjadi muhajirin yang berhijrah ke Mekah untuk bersama Nabi SAW berjuang fi sabillillah. Darjat mereka tinggi di sisi Allah. Mereka akan masuk ke syurga.
  2.  
  3. Bagi kita sekarang, jika kita sanggup berhijrah keluar dari tempat kerja yang ada arak, contohnya adalah jihad juga. Allah akan menaikkan 'ranking'/darjat kita. Sedangkan mendapat darjah kebesaran Dato’ di dunia ini pun dah menggembirakan, inikan pula darjat di akhirat.


RESOLUSI MQT263 

Ingat !!

  1. Berjuanglah sebagai tentera Allah dengan mengajak ke arah kebaikan atau memerangi kebatilan (14)
  2. Buktikan keimanan dengan kesediaan untuk berjuang pada bila-bila masa (16)
  3. Imarahkan masjid dengan keimanan kepada Allah SWT & hari akhirat, serta mendirikan solat dan mengeluarkan zakat sebagai tanda keprihatinan sosial (18)

Lega kerana Allah akan menaikkan darjat saya sekiranya saya berhijrah ke jalan Allah.

Saya jelas untuk berjuang sebagai tentera Allah dengan mengajak ke arah kebaikan atau memerangi kebatilan. Saya jelas saya mesti sedia berjuang pada bila-bila masa untuk buktikan keimanan. Saya jelas untuk bantu imarahkan masjid dengan keimanan kepada Allah SWT dan hari akhirat, serta mendirikan solat dan mengeluarkan zakat sebagai tanda keprihatinan sosial. 

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.

Ya Allah, bimbing kami untuk berjuang sebagai tentera-Mu dengan mengajak ke arah kebaikan atau memerangi kebatilan. Ya Allah, tingkatkan keimanan kami agar kami sedia berjuang di jalan-Mu pada bila-bila. Ya Allah, bantu kami untuk imarahkan masjid dengan keimanan kepada-Mu dan hari akhirat, serta mendirikan solat dan mengeluarkan zakat sebagai tanda keprihatinan sosial.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: MyQuranTime

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...