Doa:
سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
“Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”
رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا
“Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”
PERKATAAN HARI INI
: شَرِكَ Mensyirikkan, menyekutukan.
168 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
- Sebab pemutusan perjanjian dengan orang musyrik dan memerangi mereka (7-10)
- Nasib akhir bagi orang musyrik sama ada boleh bertaubat atau boleh diperangi (11-12)
- Anjuran untuk memerangi orang musyrik yang merosakkan sumpah dan perjanjian mereka (13)
Mukaddimah
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT hari ini kita dapat meneruskan pengajian pada surah al-Tawbah halaman 188. Kita teruskan perjuangan kita untuk mendalami intipati al-Quran. Kepada adik-adik yang berjuang untuk SPM, mudah-mudahan Allah mengurniakan kejayaan. Ibu ayah juga teruskan berdoa semoga ada barakahnya. SPM kali ini istimewa kerana ia adalah satu ujian dalam ujian, peperiksaan di musim COVID19.
Ayat 1-6 bercerita tentang kemenangan selepas pembukaan kota Mekah pada tahun 8 Hijrah. Ayat 1-6 dibawa oleh Saidina Ali RA kepada Abu Bakar RA ketika haji tahun 9 Hijrah yang baginda SAW tidak ikut serta. Tahun seterusnya baru Nabi SAW menunaikan haji.
Ayat [9:7]
كَيْفَ يَكُونُ لِلْمُشْرِكِينَ عَهْدٌ عِندَ ٱللَّهِ وَعِندَ رَسُولِهِۦٓ إِلَّا ٱلَّذِينَ عَٰهَدتُّمْ عِندَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ فَمَا ٱسْتَقَٰمُوا۟ لَكُمْ فَٱسْتَقِيمُوا۟ لَهُمْ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُتَّقِينَ
“Bagaimanakah dapat diakui adanya perjanjian (keamanan) di sisi Allah dan RasulNya bagi orang-orang musyrik (sedang mereka mencabulinya)? Kecuali orang-orang (musyrik) yang kamu telah mengikat perjanjian setia dengan mereka dekat Masjid Al-Haraam. Maka selagi mereka berlaku lurus terhadap kamu, hendaklah kamu berlaku lurus pula terhadap mereka; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.”
Mesej Dan Tindakan
- Allah membawakan cerita sebelum menang iaitu apa yang berlaku di Hudaibiyah dekat Masjidil Haram. Hudaibiyah ialah tempat di mana baginda SAW tertahan waktu mahu balik ke Mekah kerana rindu, tetapi terpaksa berpatah balik ke Madinah. Peristiwa ini berlaku pada tahun 6 hijrah.
- Allah SWT mengiktiraf Perjanjian Hudaibiyah. Allah SWT mengingatkan supaya orang bertakwa sentiasa menjaga perjanjian. Orang yang bertakwa ialah orang yang berjaga-jaga dan sentiasa menjaga perjanjian.
- Dalam hidup kita perjanjian sangat penting. Banyak perjanjian berlaku dalam kehidupan Nabi SAW. Kita mungkin berbeza pendapat, berbeza agama, berbeza organisasi tetapi salah satu perkara untuk menuju kejayaan adalah dengan perjanjian. Syaratnya kita kena jaga istiqamah dengan perjanjian tersebut. Kalau pihak lain pecah kontrak, maka terputuslah perjanjian itu.
- Apabila pihak musyrik memecahkan perjanjian, Nabi SAW dan sahabat pun menyerang Mekah tetapi tidak ada pertumpahan darah.
- Allah suka kepada orang-orang bertakwa yang berhati-hati dengan orang yang berjanji tetapi tak tepati. Kita sebagai orang yang bertakwa pegang sampai ke hujung perjanjian yang ada. Jangan kita mudah-mudah pecah kontrak kerana itu bukan ciri orang yang bertakwa.
- Kita juga perlu ambil semangat Hudaibiyah itu kerana di sebalik Hudaibiyah ada airmata yang tumpah. Nabi SAW dan para sahabat terpaksa berpatah balik ke Madinah waktu itu. Jaraknya dalam 400km. Berkat daripada ini, berlakunya Fathul Mekah pada tahun 8 Hijrah.
- Hudaibiyah ialah salah satu daripada point penting kemenangan. Ada konflik juga di kalangan para sahabat sampai Allah SWT turunkan surah al-Fath.
- Hudaibiyah mengajar kita tentang ketaatan kepada ketua dan ketua juga menyantuni orang bawah.
Ayat [9:8]
كَيْفَ وَإِن يَظْهَرُوا۟ عَلَيْكُمْ لَا يَرْقُبُوا۟ فِيكُمْ إِلًّا وَلَا ذِمَّةً يُرْضُونَكُم بِأَفْوَٰهِهِمْ وَتَأْبَىٰ قُلُوبُهُمْ وَأَكْثَرُهُمْ فَٰسِقُونَ
“Bagaimana (boleh dikekalkan perjanjian kaum kafir musyrik itu) padahal kalau mereka dapat mengalahkan kamu, mereka tidak akan menghormati perhubungan kerabat terhadap kamu, dan tidak akan menghormati perjanjian setianya. Mereka menjadikan kamu bersenang hati hanya dengan mulut mereka, sedang hati mereka menolaknya; dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”
Mesej Dan Tindakan
- Ini adalah tentang ciri-ciri orang fasik. Kalau mereka menang mereka tidak akan menjaga kaum kerabat mereka dan perjanjian ( ذِمَّةً ). Perkataan mereka manis, umpama menanam tebu di bibir tetapi di belakang, mereka tidak mengikut apa yang mereka kata.
- Allah SWT bongkarkan tentang sifat-sifat orang yang bersama Nabi SAW. Orang bertakwa janganlah mungkiri janji. Blacklist orang yang memungkiri janji, itulah pengajaran dari ayat ini. Itulah yang Nabi SAW buat di Hudaibiyah. Kita boleh buat sendiri tetapi jika bekerjasama lebih baik. Tetapi jika mereka tidak mahu bersama, kita jalan sahajalah sendiri.
Ayat [9:9]
ٱشْتَرَوْا۟ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِ ثَمَنًا قَلِيلًا فَصَدُّوا۟ عَن سَبِيلِهِۦٓ إِنَّهُمْ سَآءَ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ
“Mereka menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit (dari faedah-faedah dunia), lalu mereka menghalangi (dirinya dan orang-orang lain) dari ugama Allah; sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah kerjakan.”
Mesej Dan Tindakan
- Allah SWT menjelaskan lagi sifat orang fasik, iaitu orang yang suka melanggar perjanjian. Hendaklah kita elakkan sifat ini. Bila kita berjanji berbuat sesuatu projek tetapi tidak menunaikan janji, kita pun jadi sama seperti orang yang fasik.
- Abu Suffian dan sekutu-sekutunya mahu menjual ayat-ayat Allah SWT dengan harga yang murah. Segala peraturan yang ada itu mereka tak mahu ikut. Mereka hendak gantikan dengan pangkat, kuasa dan projek di Masjidil Haram. Mereka mahu untung kecil ini. Bagi orang-orang musyrik Mekah, mereka mahu kuasa, bekalkan air zam-zam, kurma kepada jemaah. Mereka tidak meletakkan ayat-ayat Allah paling tinggi kerana mereka ada self interest dan orang begini menghalang orang lain ke jalan Allah SWT. Jika arak dan berhala tidak ada, habislah bisnes mereka. Orang biasa tidak bermusuh sangat dengan Nabi SAW. Orang yang ada kepentingan itu yang melawan Nabi SAW. Buruk sangat apa yang mereka amalkan.
- Mereka ini beramal, memberi makan, minum kepada hujjaj di Mekah. Ada orang yang menderma banyak tetapi mereka tidak mahu menyokong Islam. Nampak amalan itu seperti bagus tetapi hakikatnya tidak ada nilai di sisi Allah SWT.
- Kita kena berhati-hati dengan orang begini. Kita kena ambil tindakan supaya tidak disepak terajang oleh mereka.
Ayat [9:10]
لَا يَرْقُبُونَ فِى مُؤْمِنٍ إِلًّا وَلَا ذِمَّةً وَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُعْتَدُونَ
“Mereka tidak menghormati pertalian kerabat dan perjanjian terhadap orang-orang yang beriman, dan merekalah orang-orang yang menceroboh.”
Mesej Dan Tindakan
- Ini peristiwa sebelum Fathul Mekah. Orang musyrik Mekah tidak jaga perjanjian. Mereka sanggup membunuh kerabat dan pembantu mereka hanya kerana mereka masuk Islam. Mereka tidak memerhatikan secara saksama. Mereka itu melampau batas.
- Di Hudaibiyah, mereka menyerang orang Islam terlebih dahulu, sedangkan sudah ada perjanjian 10 tahun tidak akan menyerang.
- Nabi SAW mengenepikan orang yang berbuat masalah. Islam ingin membuang kanser-kanser dalam masyarakat.
Ayat [9:11]
فَإِن تَابُوا۟ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ فَإِخْوَٰنُكُمْ فِى ٱلدِّينِ وَنُفَصِّلُ ٱلْءَايَٰتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
“Oleh itu, jika mereka bertaubat (dari kekufuran), dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seugama; dan Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui.”
Mesej Dan Tindakan
- Jika mereka bertaubat, mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat maka mereka adalah saudara seagama. Hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia dijaga. Mereka sentiasa memberi manfaat kepada orang di sekeliling.
- Orang beriman yang berilmu, tidak akan mengikut emosi. Abu Suffian yang melawan Nabi SAW akhirnya masuk Islam setelah diberi 4 bulan di Mekah. Orang berilmu akan faham bahawa Islam bukanlah agama yang memaksa orang masuk Islam dan bukan agama yang menyerang tetapi Islam adalah agama yang beri peluang. Kalau diserang baru ambil tindakan.
- Islam menyelar orang yang mungkir janji. Halaman ini banyak menceritakan tentang mungkir janji kerana sifat itu boleh menyebabkan negara tergadai.
Ayat [9:12]
وَإِن نَّكَثُوٓا۟ أَيْمَٰنَهُم مِّنۢ بَعْدِ عَهْدِهِمْ وَطَعَنُوا۟ فِى دِينِكُمْ فَقَٰتِلُوٓا۟ أَئِمَّةَ ٱلْكُفْرِ إِنَّهُمْ لَآ أَيْمَٰنَ لَهُمْ لَعَلَّهُمْ يَنتَهُونَ
“Dan jika mereka mencabuli sumpahnya sesudah mengikat perjanjian setia, dan mereka pula mencela ugama kamu, maka perangilah ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin kaum yang kafir itu, kerana sesungguhnya mereka tidak menghormati sumpah janjinya, supaya mereka berhenti (dari kekufuran dan bertaubat).”
Mesej Dan Tindakan
- Allah SWT perintahkan supaya memerangi ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin kaum kafir yang memungkiri janji ( نَّكَثُوٓا۟ ) dan mencela ( طَعَنُوا۟ ) agama Islam.
- Apabila diberi peluang baik-baik mereka ambil enteng. Mereka tidak boleh bincang-bincang atas kertas sahaja. Mereka perlu diambil tindakan tegas. Bukan kerana orang Islam mahu membunuh tetapi ketua mereka telah membunuh ramai sangat orang Islam. Maka untuk menyekat kanser-kanser dalam masyarakat ini, kena hapuskan kumpulan ini supaya mereka tidak terus membunuh.
- Kenapa memerangi mereka? Mereka ini memang tidak boleh berjanji. Ini Allah buat kerana mereka tidak boleh main-main dengan orang Islam. Mesti serius dengan mereka yang suka memungkiri janji. Islam bukan membawa sesuatu yang bahaya atau porak peranda tetapi membawa keamanan.
Ayat [9:13]
أَلَا تُقَٰتِلُونَ قَوْمًا نَّكَثُوٓا۟ أَيْمَٰنَهُمْ وَهَمُّوا۟ بِإِخْرَاجِ ٱلرَّسُولِ وَهُم بَدَءُوكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ أَتَخْشَوْنَهُمْ فَٱللَّهُ أَحَقُّ أَن تَخْشَوْهُ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
“Mengapa kamu tidak memerangi suatu kaum yang telah mencabuli sumpah janjinya, dan mereka pula telah berazam hendak mengusir Rasulullah, dan merekalah juga yang mula-mula memerangi kamu? Tidak patut kamu takut kepada mereka (sehingga kamu tidak mahu memeranginya) kerana Allah jualah yang berhak kamu takuti (melanggar perintahNya), jika betul kamu orang-orang yang beriman? ”
Mesej Dan Tindakan
- Allah memberi motivasi supaya memerangi kaum yang mencabuli perjanjian, yang berazam mengusir Rasulullah SAW dan memulakan peperangan.
- Allah SWT ingatkan supaya jangan takut kepada mereka kerana orang-orang beriman hanya berhak takut kepada-Nya.
RESOLUSI MQT262
Ingat !!
- Jaga janji sebaik mungkin sebagai tanda takwa (7)
- Berjaga-jaga dengan orang mulut manis tetapi tidak mengotakan janji (8)
- Dirikan solat dan tunaikan zakat sebagai tanda taubat bersungguh-sungguh (11)
Lega kerana Allah memberi motivasi untuk menjaga janji sebagai tanda takwa.
Saya jelas untuk jaga janji sebaik mungkin sebagai tanda takwa. Saya jelas saya mesti berjaga-jaga dengan orang mulut manis tetapi tidak mengotakan janji. Saya mesti dirikan solat dan tunaikan zakat sebagai tanda taubat bersungguh-sungguh.
Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.
Ya Allah, bimbing kami untuk jaga janji sebaik mungkin agar kami menjadi orang yang bertakwa. Ya Allah, jauhi kami daripada orang-orang yang mulut manis tetapi tidak mengotakan janji. Ya Allah, terima taubat kami, jadikan kami orang yang dirikan solat dan tunaikan zakat.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.