Doa:
سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
“Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”
رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا
“Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”
PERKATAAN HARI INI
رَضِيَ Reda, suka, senang dan tenteram.
73 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
- Manfaat beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat serta jihad fi sabilillah (21-22)
- Setia kepada bapa-bapa dan saudara-saudara yang kafir serta keutamaan iman dan jihad daripada 8 perkara (23-24)
- Kemenangan orang mukmin di pelbagai tempat (25-26)
Mukaddimah
Alhamdulillah, syukur dengan inayah daripada Allah SWT pada hari ini 17 Rejab kita dapat bersama berkumpul dengan al-Quran, melihat, membaca, memahami dan insya-Allah mengamalkan al-Quran. Semoga semuanya sentiasa semangat gembira ceria dipimpin dengan hidayah daripada al-Quran. Didiklah anak-anak kita dengan akhlak al-Quran yang sentiasa diperlukan dalam kehidupan ini. Kita doakan agar jiwa kita tidak dipenjarakan daripada segala azab dan hukuman yang tidak mampu kita tangani.
Harapnya Ramadhan ini kita hadir dengan semangat jitu. Badar berlaku pada bulan Ramadhan. Kita sepatutnya hadapi Ramadhan ini dengan penuh semangat memperbaiki diri, keluarga serta masyarakat.
Pada halaman lepas kita melihat orang musyrik yang memberi air kepada hujjaj, mereka ada kemewahan, pangkat, kuasa tetapi mereka menyalahgunakannya. Allah SWT memuji orang-orang yang beriman, berhijrah dan berjihad fi sabillillah dengan harta dan diri mereka. Ada darjat yang tinggi di sisi Allah SWT bagi mereka.
Ayat [9:21]
يُبَشِّرُهُمْ رَبُّهُم بِرَحْمَةٍ مِّنْهُ وَرِضْوَٰنٍ وَجَنَّٰتٍ لَّهُمْ فِيهَا نَعِيمٌ مُّقِيمٌ
“Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta Syurga; mereka beroleh di dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal.”
Mesej Dan Tindakan
- Ganjaran kepada orang yang beriman, berhijrah dan berjihad fi sabillillah dengan harta dan diri mereka. Mereka digembirakan Tuhan dengan:
- pemberian rahmat - kasih sayang/keampunan/bantuan daripada Allah SWT. Dapat rahmat dan nikmat yang berterusan adalah satu anugerah besar.
- keredaan Allah
- nikmat syurga yang kekal abadi
- Hijrah akan kuat dengan iman. Buat kerana Allah. Sanggup berubah dan sanggup berjuang. Contoh: Ibu-ibu yang berkhidmat di rumah untuk anak-anak dan suami juga adalah jihad fi sabilillah kerana ini adalah disiplin dalam hidup seharian. Anak kita ke sekolah selain dari belajar, mereka membina disiplin. Bangun awal subuh, pakai baju. Ilmu bukan datang dengan senang-senang sahaja. Ia memerlukan kesungguhan hatta yang belajar online.
- Segala disiplin yang kita bina pada setiap hari adalah fi sabilillah. Puncak disiplin ialah jihad di medan perang apabila diperlukan.
- Allah memberi semangat kepada Muhajirin Ansar dan kepada kita juga. Orang yang berhijrah, seperti yang berhijrah ke Madinah, mereka tidak pasti sama ada mereka akan diberi tinggal di situ atau tidak. Mereka merasa nikmat mereka di Mekah dahulu sudah habis. Seperti juga orang Bangladesh/Indonesia yang datang ke sini, sekarang mereka tidak dibenarkan ke masjid, contohnya kerana ada peraturan. Orang berhijrah ini kadang-kadang dipandang kecil dan dihina.
- Kita perlukan Allah redha kepada kita, dan kita redha kepadaNya. Itulah nikmat terbaik yang ingin kita kecapi nanti.
Ayat [9:22]
خَٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا إِنَّ ٱللَّهَ عِندَهُۥٓ أَجْرٌ عَظِيمٌ
“Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisiNya pahala yang besar.”
Mesej Dan Tindakan
- Kita kena buat perubahan di sana sini. Di dunia ini, kalau kita nak goyang kaki tak nak buat kerja lebih, ada kemungkinan tak dapat syurga yang kekal abadi.
- Tempat kekal yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada orang beriman yang berhijrah dan berjihad fi sabilillah ialah di syurga. Allah SWT akan menjadikan kita hebat dengan ganjaran pahala yang besar di dunia dan di akhirat
Ayat [9:23]
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوٓا۟ ءَابَآءَكُمْ وَإِخْوَٰنَكُمْ أَوْلِيَآءَ إِنِ ٱسْتَحَبُّوا۟ ٱلْكُفْرَ عَلَى ٱلْإِيمَٰنِ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan bapa-bapa kamu dan saudara-saudara kamu sebagai orang-orang yang didampingi jika mereka memilih kufur dengan meninggalkan iman; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka orang-orang yang didampingi, maka merekalah orang-orang yang zalim.”
Mesej Dan Tindakan
- Jangan ambil bapa, penjaga atau saudara sebagai auliya (pemimpin/pelindung). Ada riwayat tentang Hatib bin Abi Balta'ah yang sayang sangat kepada keluarganya di Mekah, sehingga membocorkan rahsia kepada orang Mekah bahawa tentera Islam akan masuk ke Mekah supaya mereka bersedia. Hatib bukan calang-calang orang. Beliau adalah ahli Badar dan baginda SAW memaafkan kesilapannya, tetapi disiplin ini diingatkan kepada kita. Ini kerana kepimpinan ataupun perlindungan yang sebenar-benarnya hanyalah daripada Allah, rasul dan orang beriman.
- Antara sayang sedarah dan sayang seiman, sayang seiman perlu lebih diutamakan. Ini kerana iman berkaitan dengan tuhan, sedangkan hubungan sedarah tidak semestinya menuju kepada keimanan. Keutamaan ini perlu jelas dalam kehidupan kita.
- Selepas 23 tahun lamanya baginda SAW berdakwah kepada orang Mekah/Madinah, sesiapa yang masih degil adalah orang yang zalim, menganiayai diri mereka sendiri serta tidak boleh diberi peluang lagi.
- Siapakah orang yang zalim? Mereka adalah orang yang mengutamakan kufur atas iman. Setelah didakwah pun, tetap memilih untuk kufur.
Ayat [9:24]
قُلْ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَٰنُكُمْ وَأَزْوَٰجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَٰلٌ ٱقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَٰرَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَٰكِنُ تَرْضَوْنَهَآ أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٍ فِى سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُوا۟ حَتَّىٰ يَأْتِىَ ٱللَّهُ بِأَمْرِهِۦ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلْفَٰسِقِينَ
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)”
Mesej Dan Tindakan
- Ada 8 perkara yang menghalang kita daripada mencintai Allah, Rasul dan berjihad fi sabilillah:
- Ibu ayah
- Anak-anak
- Adik-beradik
- Pasangan
- Kaum keluarga dan saudara mara
- Harta yang diusahakan (harta waris, hadiah, gaji dan sebagainya)
- Perniagaan yang kamu khuatir kerugiannya
- Tempat tinggal yang disukai sangat. Sampai dah cantik pun, masih ubahsuai sana sini.
- Ayat ini amat garang. Kadang-kadang lapan perkara tersebut boleh menyebabkan kita tidak mahu berjihad dan akhirnya kita melebihkan perkara-perkara tersebut lebih dari Allah dan Rasul.
- Jika kita tidak mahu menggunakan tenaga kita di jalan Allah dan menjadikan perkara di atas penghalang bagi kita untuk bersama Allah dan Rasul, itu adalah ciri orang yang fasik. Orang fasik ialah orang yang keluar dari ketaatan, derhaka dan berbuat maksiat.
- Kecintaan kepada Allah dan Rasul adalah perkara yang tidak nampak kerana berada di dalam hati. Walau bagaimanapun ia dapat dilihat dari sikap kita seharian. Jika bantuan, masa dan tenaga kita diperlukan untuk orang yang memerlukan bantuan dan menaikkan nama Allah, dan kita berikan, itu menunjukkan kita lebih cintakan Allah dan rasul lebih daripada lapan perkara di atas.
- Bagi orang yang degil dan derhaka, tunggulah pengadilan Allah.
- Bagi orang yang degil dan derhaka, tunggulah pengadilan Allah.6. Kita harapkan dengan meluangkan masa membaca al-Quran dan menyampaikan pesanan kebaikan, ia dikira sebagai jihad fi sabilillah.
Ayat [9:25]
لَقَدْ نَصَرَكُمُ ٱللَّهُ فِى مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنكُمْ شَيْـًٔا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ ٱلْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُم مُّدْبِرِينَ
“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.”
Mesej Dan Tindakan
- Kalau kita cinta kepada Allah, cinta kepada Rasul dan berjuang fi sabilillah dengan kapasiti masing-masing, Allah pasti akan memberi pertolongan. Tetapi ada cabaran iaitu berasa selesa selepas berjaya.
- Selepas Fathul Mekah, berlaku Perang Hunain. Bila sudah berjaya, tentera Islam merasa bangga/ merasa mereka sudah ramai dan mula ambil mudah.
- Ramai jangan buat kita rasa selesa. Tetap perlu berjaga-jaga. Kita mesti sentiasa ingat bahawa kejayaan itu adalah daripada Allah SWT semata-mata.
Ayat [9:26]
ثُمَّ أَنزَلَ ٱللَّهُ سَكِينَتَهُۥ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ وَعَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ وَأَنزَلَ جُنُودًا لَّمْ تَرَوْهَا وَعَذَّبَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَذَٰلِكَ جَزَآءُ ٱلْكَٰفِرِينَ
“Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran); dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir.”
Mesej Dan Tindakan
- Allah memberi bantuan, ketenangan kepada orang beriman. Allah menurunkan bala tentera yang tidak nampak dan menyeksa orang-orang kafir.
- Jika kita tidak mengambil perhatian kepada disiplin ini, kita boleh sahaja kalah seperti di Peperangan Uhud.
- Ramai jangan buat kita rasa selesa. Tetap perlu berjaga-jaga. Kita mesti sentiasa ingat bahawa kejayaan itu adalah daripada Allah SWT semata-mata.
RESOLUSI MQT266
Ingat !!
- Rebut peluang untuk mendapat rahmat, reda dan nikmat dengan iman, hijrah dan jihad (21)
- Utamakan iman berbanding hubungan kekeluargaan (23-24)
- Sentiasa yakin pertolongan akan tiba sebagaimana di dalam peperangan Hunain (25)
Lega kerana Allah akan beri rahmat, reda dan nikmat sekiranya saya beriman, berhijrah dan jihad fi sabilillah.
Saya jelas untuk rebut peluang untuk mendapat rahmat, reda dan nikmat dengan beriman, berhijrah dan jihad fi sabilillah. Saya jelas untuk utamakan iman berbanding hubungan kekeluargaan. Saya jelas saya mesti yakin pertolongan Allah akan tiba sekiranya saya mencintai Allah, Rasul dan berjihad fi sabilillah.
Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.
Ya Allah, jadikan kami orang-orang yang beriman, berhijrah dan jihad fi sabilillah agar kami mendapat rahmat, reda dan nikmat daripada Mu. Ya Allah, bimbing kami untuk menjadi orang yang berdisiplin, yang dapat memberi keutamaan kepada iman berbanding hubungan kekeluargaan. Ya Allah, terapkan dalam hati kami kecintaan kepadaMu, kepada Rasul dan kesanggupan untuk berjihad fi sabilillah. Tolonglah kami untuk tetapkan hati dalam agama Mu. Matikan kami dalam husnul khatimah.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.