Sunday, July 2, 2023

Halaman 191 : At-Tawbah, 9:27-31

Doa:

سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

“Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”

رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا

“Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”

PERKATAAN HARI INI

غَنِيَ Kaya, tidak memerlukan hal lain.

73 kali disebut dalam al-Quran 


SINOPSIS   

  1. Allah SWT menerima taubat (27)
  2. Pengharaman masuk Masjidil Haram bagi orang musyrik (28)
  3. Memerangi ahli kitab (29)
  4. Akidah ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) (30-31)


Mukaddimah

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kita dapat meneruskan pengajian di halaman 191. Kita terus belajar kerana inilah bekalan penting kita ke akhirat nanti.    


Ayat [9:27]

ثُمَّ يَتُوبُ ٱللَّهُ مِنۢ بَعْدِ ذَٰلِكَ عَلَىٰ مَن يَشَآءُ وَٱللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

“Kemudian Allah menerima taubat orang-orang yang dikehendaki (dengan memberi taufiq untuk memeluk Islam), sesudah (orang-orang kafir itu ditimpakan dengan azab); dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Mesej Dan Tindakan

  1. Taubat ini adalah tentang peristiwa Hunaian selepas Fathul Mekah. Ada dua kumpulan yang tidak berpuas hati dengan umat Islam yang menguasai Mekah pada waktu itu. Bila sudah menang, tentera Islam yang bersama Saidina Abu Bakar berasa selesa kerana mereka ramai. Allah kemudian menerima taubat para sahabat.
  2.  
  3. Hendaklah kita ingat bahawa banyak itu tidak menunjukkan apa-apa. Seperti umat Islam hari ini, ramai tetapi umpama buih di lautan sahaja. Terdapat penyakit 'wahan' iaitu cinta dunia dan benci mati.
  4.  
  5. Kita boleh tersilap. Taubat manusia ialah antara dua taubat Allah. Apa maksudnya? Allah terlebih dahulu datang kepada hambaNya. Allah memberi kesedaran, bergantung kepada kita yang memilih untuk menerima peringatan itu atau tidak. Jika kita memohon keampunan, Allah Maha Pengampun. Selepas kita diampunkan, Allah sayang sama seperti sebelum kita buat silap. Contoh: Baru-baru ini ada yang menyebut nak keluar Islam. Adakala, Allah menghantar orang memberi peringatan secara lembut. Adakalanya secara kasar jika secara lembut tidak berkesan. Umpama emak yang menasihatkan anak yang bermain di tepi longkang. Bila tidak juga mendengar nasihat, di rentap tangan anak itu untuk menyelamatkan.
  6.  
  7. Ayat ini memberi harapan bahawa Islam bukanlah agama yang kasar. Fokus kepada Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Jangan fokus kepada manusia.

Ayat [9:28]

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِنَّمَا ٱلْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا۟ ٱلْمَسْجِدَ ٱلْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَٰذَا وَإِنْ خِفْتُمْ عَيْلَةً فَسَوْفَ يُغْنِيكُمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦٓ إِن شَآءَ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid Al-Haraam sesudah tahun ini; dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Mesej Dan Tindakan

  1. Allah mengumumkan bahawa musyrik adalah najas. Najas ialah kotoran contohnya berhala-berhala di Kaabah dahulu. Najas paling besar ialah syirik kepada Allah. Jika takut downturn/bisnes tak jadi atau ekonomi merudum, tidak ada bisnes bila orang tidak datang, Allah menyatakan yang Dia pasti akan memberi rezeki yang lebih lagi. Contoh: Mekah seperti yang kita tengok sekarang, tetap ada pendapatan semasa COVID ini. Bila dibuka nanti lagilah banyak pendapatannya.
  2.  
  3. Jika ada orang yang ragu-ragu nak berhenti dari tempat kerja yang ada unsur-unsur haram, seperti arak, ingatlah bahawa Allah akan memberi rezeki yang lebih di tempat lain.
  4.  
  5. Allah tahu hakikat hati orang musyrik itu tidak layak di tempat yang suci. Orang yang hatinya tidak bersih, jika dibenarkan masuk ke Masjidil Haram, dikhuatiri akan dibawa masuk budaya-budaya yang tidak baik seperti Kaabah yang pernah dikelilingi tawaf oleh orang-orang yang tidak berpakaian.
  6.  
  7. Kebenaran yang sebenarnya ialah hak Allah ditauhidkan. Cara berfikirnya ialah mengutamakan Allah atas dasar kasih sayang. Inilah semangat daripada surah al-Tawbah. Kita diminta bertaubat kerana Allah sayang kita.

Ayat [9:29]

قَٰتِلُوا۟ ٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَلَا بِٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ وَلَا يُحَرِّمُونَ مَا حَرَّمَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَلَا يَدِينُونَ دِينَ ٱلْحَقِّ مِنَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَٰبَ حَتَّىٰ يُعْطُوا۟ ٱلْجِزْيَةَ عَن يَدٍ وَهُمْ صَٰغِرُونَ

“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak berugama dengan ugama yang benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar 'Jizyah' dengan keadaan taat dan merendah diri.”

Mesej Dan Tindakan

  1. Kesan orang yang tidak beriman kepada Allah dan Rasul, mereka menghalalkan yang haram, mengharamkan yang halal. Cara berfikir ini menjadi agenda di dalam agama ahli kitab. Contoh: Amalan rasuah, gaji dah dapat tetapi mahu lebih lagi.
  2.  
  3. Jika kita menggunakan tenaga kita untuk memerangi amalan yang rosak dalam agama, bermakna kita juga berjihad. Ahli kitab ada kitab tetapi tidak mahu ikut kitab. Orang Nasrani ada kitab tetapi mereka menukar-nukarnya. Kita mahu pastikan orang Islam tidak jadi begitu.
  4.  
  5. Beragama mestilah mengikut kebenaran. Mereka yang bukan Islam membayar jizyah dan menghargai peraturan. Orang Islam bayar zakat.
  6.  
  7. Dalam al-Quran ada nilai yang baik dan peraturan. Nilai yang baik adalah untuk kita menggalakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Peraturan itu kita kena kuatkuasakan. Kehidupan beragama ini kita boleh belajar daripada buku (book smart).
  8.  
  9. Azab/bencana adalah kaedah untuk mengembalikan kita kepada kebenaran yang sebenar-benarnya.

Ayat [9:30]

وَقَالَتِ ٱلْيَهُودُ عُزَيْرٌ ٱبْنُ ٱللَّهِ وَقَالَتِ ٱلنَّصَٰرَى ٱلْمَسِيحُ ٱبْنُ ٱللَّهِ ذَٰلِكَ قَوْلُهُم بِأَفْوَٰهِهِمْ يُضَٰهِـُٔونَ قَوْلَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِن قَبْلُ قَٰتَلَهُمُ ٱللَّهُ أَنَّىٰ يُؤْفَكُونَ

“Dan orang-orang Yahudi berkata: "Uzair ialah anak Allah" dan orang-orang Nasrani berkata: "Al-Masih ialah anak Allah". Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?”

Mesej Dan Tindakan

  1. Bukti syirik yang dilakukan oleh satu kumpulan daripada Yahudi ialah mereka percaya Uzair anak Allah. Orang Nasrani pula percaya konsep triniti iaitu Isa anak Allah. Kepercayaan ini ditiru daripada perkataan orang-orang kafir terdahulu di Mesir.
  2. Amalan ini menyebabkan mereka tidak dapat beragama mengikut kebenaran yang sebenar.

Ayat [9:31]

ٱتَّخَذُوٓا۟ أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَٰنَهُمْ أَرْبَابًا مِّن دُونِ ٱللَّهِ وَٱلْمَسِيحَ ٱبْنَ مَرْيَمَ وَمَآ أُمِرُوٓا۟ إِلَّا لِيَعْبُدُوٓا۟ إِلَٰهًا وَٰحِدًا لَّآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ سُبْحَٰنَهُۥ عَمَّا يُشْرِكُونَ

“Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli ugama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.”

Mesej Dan Tindakan

  1. Mereka mengikut ulama (pendita) ugama mereka seperti amalan tidak berkahwin. Mereka mengikut apa sahaja yang pendita mereka suruh. Rahib mereka sememangnya pengaruhnya besar. Seperti juga ulama-ulama/ustaz-ustaz kita, ramai followers. Kena berhati-hati dan kena selalu bertaubat, takut tersilap cakap/buat.
  2.  
  3. Kita diseru menyembah Allah yang satu, bukan 'menyembah' kepada manusia. Walaupun pendapat mereka menarik, tetapi rujuklah kepada al-Quran dan al-sunnah. Allah hendak beritahu yang kita kena bertaubat agar kita hanya menyembah Allah yang Maha Esa.
  4.  
  5. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan. Kita sebagai hamba bertasbih dan kita menyucikan Allah dari sebarang kekurangan. Itulah akidah kita.
  6.  
  7. Allah Maha Berkuasa. Allah boleh reset segala-galanya. Pandemik COVID19 ini memberi peluang untuk kita bertaubat. Jika selama ini kita ingat sumber ekonomi itu daripada arak, rasuah dan lain-lain yang tidak halal, inilah masanya untuk kita bertaubat dan bina kembali polisi berpandukan kepada halaman 191 ini.


RESOLUSI MQT267 

Ingat !!

  1. Segera bertaubat apabila berasa diri hebat (27)
  2. Yakin rezeki daripada Allah SWT, bukan daripada manusia (28)
  3. Jangan meniru sesuatu yang tiada asas ilmu dan kebenaran (29)

Lega kerana Allah beri keyakinan bahawa rezeki daripada-Nya, bukan daripada manusia.

Saya jelas untuk segera bertaubat apabila berasa diri hebat. Saya jelas bahawa rezeki daripada Allah SWT, bukan daripada manusia. Saya jelas untuk tidak meniru sesuatu yang tiada asas ilmu dan kebenaran. 

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.

Ya Allah, bimbing kami untuk bertaubat apabila berasa diri hebat. Ya Allah, kami yakin rezeki adalah daripada-Mu, bukan daripada manusia maka kurniakan kami rezeki yang halal dan baik. Ya Allah, jauhi kami daripada meniru sesuatu yang tiada asas ilmu dan kebenaran. Ya Allah lindungi kami daripada terlibat dengan amalan syirik.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: MyQuranTime

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...