Doa:
سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
“Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”
رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا
“Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”
PERKATAAN HARI INI
طَفِئَ Menghapuskan
3 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
- Usaha memadamkan nur Allah SWT namun gagal dengan dikirimkan Rasul (32-33)
- Jalan hidup orang alim Yahudi dan pendeta Nasrani dalam berinteraksi dengan manusia (34-35)
- Jumlah bulan dalam hukum Allah SWT, memerangi orang musyrik secara total apabila diserang (36)
Mukaddimah
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kita dapat terus membaca, memahami dan mengamalkan intisari daripada halaman 192, surah al-Tawbah surah yang satu-satunya tidak ada basmalah waktu membacanya. Semoga nur hidayah daripada Allah SWT akan sentiasa bersemi di hati kita. Barakah daripada al-Quran akan memandu kita untuk mendapat kebaikan yang banyak. Kita boleh buat macam-macam dalam masa 24 jam bagi menyiapkan diri untuk bertemu 'malikiyaumiddin'.
Ayat [9:32]
يُرِيدُونَ أَن يُطْفِـُٔوا۟ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفْوَٰهِهِمْ وَيَأْبَى ٱللَّهُ إِلَّآ أَن يُتِمَّ نُورَهُۥ وَلَوْ كَرِهَ ٱلْكَٰفِرُونَ
“Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)”
Mesej Dan Tindakan
- Sekumpulan Yahudi dan Nasrani menjadikan orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan. Walaupun mereka berkata mereka tidak menyembah pendeta atau rahib tetapi apa sahaja yang rahib dan pendeta mereka kata dan suruh mereka buat.
- Sebenarnya pendeta dan rahib mereka mahu memadamkan cahaya Allah dengan mulut mereka. Mereka ada agenda di dalam hati mereka. Kalau mereka itu ikhlas, mereka akan kembali kepada Allah.
- Perkara begini berterusan sehingga ke hari ini. Akan ada sahaja dalam kalangan ahli kitab yang akan cuba memadamkan cahaya Allah. Ada beberapa pendapat tentang Nur Allah. Ada yang mengatakan Nur Allah adalah Nabi Muhammad SAW. Yang lain mengatakan Nur Allah ialah al-Quran. Ada di kalangan ahli kitab yang tidak puas hati. Mereka tidak mahu Nabi Muhammad SAW dan Allah SWT dikenali. Mereka tidak mahu Islam ada di dalam pendidikan, pelancongan, ekonomi, sosial. Kalau terang cahaya itu, akan habislah sistem yang mereka bawa.
- Allah tetap menolak pilihan-pilihan yang diberi oleh ahli kitab tersebut. Orang kafir ialah orang yang sudah dibekalkan cahaya tetapi mereka menolak. Musyrik pula telah diberi cahaya tetapi cuba meletakkan unsur-unsur syirik kepada Allah SWT.
- Dalam keadaan semasa, ada orang yang tidak puas hati dengan pendidikan Islam, azan dan pembinaan masjid. Mereka tidak puas hati kerana ini semua akan mengganggu kekufuran mereka. Lawan nur ialah zalim yang membawa kepada kekufuran. Mereka ada biji benih kekufuran yang mereka hendak tutup. Mereka tidak mahu terbongkar rahsia dan kelemahan mereka dengan adanya cahaya Islam.
- Semoga kita menjadi orang yang membantu untuk menyempurnakan Nur Allah dalam kehidupan.
Ayat [9:33]
هُوَ ٱلَّذِىٓ أَرْسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلْهُدَىٰ وَدِينِ ٱلْحَقِّ لِيُظْهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوْ كَرِهَ ٱلْمُشْرِكُونَ
“Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.”
Mesej Dan Tindakan
- Allah lah yang mengutus rasul dengan hidayah dan agama yang benar. Buanglah kekufuran dan buanglah kemusyrikan. Orang Islam juga ada yang mempunyai 'berhala-berhala' lain dalam hidup mereka seperti menganggap kubur itu penting (umpama memuja). Ada juga yang meletakkan pemimpin mereka sebagai tuhan.
- دِينِ ialah untuk semua agama. Sebenarnya semua agama selain dari Islam adalah satu sahaja tetapi berbagai versi mereka. Agama-agama lain ada yang mengatakan tuhan ada tiga, ada dua, seratus dan lain-lain. Semua itu adalah lambang kemusyrikan di dalam kehidupan manusia.
- Walaupun dibenci oleh orang musyrik, tetap juga Allah akan memenangkan sistem 'Deen al-Haq'. Contoh: Bila hendak buat masjid, orang Islam sudah pasti akan memberi derma, RM100, RM1000 atau 10 sen untuk membina masjid.
- Peringatan juga kepada kita supaya jangan syirik kepada Allah. Contoh: Orang Islam yang menjual arak, akan derma juga bila hendak bina masjid tetapi mereka tidak akan sokong apa-apa kempen anti-sumber haram kerana ia akan menjejaskan bisnes mereka. Ini adalah ciri musyrikun juga. Mereka tidak mahu cara Islam melangkau daripada cara kehidupan yang biasa dan cara mereka membuat keputusan. Semoga kita dapat jauhkan diri daripada kufur dan syirik kepada Allah SWT.
Ayat [9:34]
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِنَّ كَثِيرًا مِّنَ ٱلْأَحْبَارِ وَٱلرُّهْبَانِ لَيَأْكُلُونَ أَمْوَٰلَ ٱلنَّاسِ بِٱلْبَٰطِلِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلَّذِينَ يَكْنِزُونَ ٱلذَّهَبَ وَٱلْفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan ahli-ahli ugama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (ugama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
Mesej Dan Tindakan
- Kalau kita atau anak kita belajar agama, ini penting untuk diberi perhatian. Para ulama Yahudi (ٱلْأَحْبَارِ) ini memang pandai menulis bab agamanya. Rahib-rahib (ٱلرُّهْبَانِ) mereka kuat beragama. Hidup mereka amat berjaga-jaga. Cabarannya, bila mereka jadi ulama, ada pula orang datang minta ampun daripada mereka. Kita tidak mahu jadi begini. Kita memohon terus kepada Allah SWT bukan melalui ustaz-ustaz atau ulama. Kita tidak boleh jadikan budaya yang memohon melalui ulama dan ustaz sehingga berlaku syirik dalam agama.
- Ada juga dalam kalangan agamawan yang menjadikan agama sebagai industri untuk mengaut keuntungan. Contoh: Ada juga penganjur atau AJK Masjid yang tidak membenarkan penceramah bercerita tentang sesuatu yang dikira sensitif, walaupun ia adalah perkara yang benar dalam agama. Ingatkan kepada keluarga kita supaya tidak terima jemputan ceramah jika ada syarat begini kerana kebenaran mesti ditegakkan. Allah ingatkan agar jangan jadi orang agama yang merosakkan agama.
- Zaman sekarang, orang agama paling ramai pengikutnya. Kita kena berjaga-jaga. Kita hormat orang yang kuat beribadah atau kitalah orang yang ulama dan beribadah itu. Subjek di sekolah kena mengambil kira perkara ini. Psikologi orang yang belajar agama ini, mulanya memang komited. Kemudian, bila ada yang memberi ganjaran, rasuah, bab hukum itu boleh pula diubah. Integriti tentang amanah sangat perlu dibina terutama kepada tokoh-tokoh agama terutama dalam bab hukum agama.
- Rahib-rahib yang menghalang jalan agama adalah kerana tidak ikhlas kepada Allah. Mereka mencari ilmu untuk kepentingan diri. Orang kafir yang cuba memadam cahaya al-Quran sebenarnya mereka juga dapat cahaya tersebut. Sebenarnya rugi mereka menutup cahaya al-Quran yang memberi manfaat. Mereka takut cahaya yang terang daripada al-Quran akan menyebabkan terbongkar segala rahsia pada diri mereka. Mereka mengumpulkan harta bertompok-tompok dan tidak digunakan untuk fi sabilillah. Mereka tidak menunaikan zakat. Zaman sekarang, orang kumpul emas kerana ada syarikat yang menawarkan macam-macam. Tidak salah tetapi bayarlah zakat.
- Allah turunkan azab kerana mereka terlalu suka kepada 4 perkara:
- makan harta secara batil
- suka menghalang jalan Allah - kalau jalan ini di sedari oleh semua orang, nanti akan terbongkar kerosakan yang dibuat oleh mereka
- menyimpan harta emas dan perak
- tidak belanja untuk fi sabillilah.
- Bantu agama Allah, Allah bantu kita. Cahaya ugama Allah tetap akan menang, walaupun mereka tidak menyukainya. Harta boleh membuat kita menang atau tersungkur di hari akhirat.
Ayat [9:35]
يَوْمَ يُحْمَىٰ عَلَيْهَا فِى نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكْوَىٰ بِهَا جِبَاهُهُمْ وَجُنُوبُهُمْ وَظُهُورُهُمْ هَٰذَا مَا كَنَزْتُمْ لِأَنفُسِكُمْ فَذُوقُوا۟ مَا كُنتُمْ تَكْنِزُونَ
“(Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): "Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.”
Mesej Dan Tindakan
- Ini adalah satu amaran kepada rahib-rahib. Mesejnya juga untuk kita yang menyimpan harta dan tidak mahu berinfaq fi sabilillah. Ketika Perang Tabuk, ada yang tidak mahu berperang dan tidak mahu menggunakan harta mereka untuk fi sabilillah.
- Bayangkan rasa emas yang dididihkan dan diletak kepada dahi atau belakang kita. Tidak salah nak beli emas asalkan tetap berzakat dan membantu orang yang memerlukan.
- Budaya menyimpan ini bagus tetapi jika tidak berzakat, tidak infak fi sabilillah, kita kena berjaga-jaga. Ini salah satu daripada cara pengurusan harta yang salah. Kita kena banyakkan program yang memberi pencerahan tentang pengurusan harta kerana topik ini sangat penting untuk menjauhkan kita daripada azab Allah SWT.
Ayat [9:36]
إِنَّ عِدَّةَ ٱلشُّهُورِ عِندَ ٱللَّهِ ٱثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِى كِتَٰبِ ٱللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ مِنْهَآ أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلْقَيِّمُ فَلَا تَظْلِمُوا۟ فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ وَقَٰتِلُوا۟ ٱلْمُشْرِكِينَ كَآفَّةً كَمَا يُقَٰتِلُونَكُمْ كَآفَّةً وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلْمُتَّقِينَ
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.”
Mesej Dan Tindakan
- Dua belas bulan dalam setahun adalah ketentuan daripada Allah, sama ada tahun Hijrah atau Masihi. Ini adalah formula daripada Allah yang melambangkan agama yang lurus.
- Pada 4 bulan haram, umat Islam tidak boleh berperang. Orang Arab dulu suka menukar-nukar pengurusan kalender dan masa untuk kepentingan mereka. Pengurusan kalender yang betul akan memastikan kita membayar zakat pada masanya.
- Allah perintahkan supaya memerangi orang kafir yang tidak membayar jizyah dan memerangi Islam. Jangan sebab tukar kalender habis semangat perang, habis semangat korban dan zakat.
RESOLUSI MQT268
Ingat !!
- Sentiasa menyokong perjuangan meninggikan cahaya Allah SWT (32)
- Selalu amalkan sunnah Nabi dan ikut ajaran agama yang benar (33)
- Berhati-hati dengan tokoh agama dan sosial yang makan harta secara batil (34)
Lega kerana Allah beri bantuan menentang kekufuran dan dijauhkan azab sekiranya saya bayar zakat dan infak fi sabilillah.
Saya jelas untuk sentiasa menyokong perjuangan meninggikan cahaya Allah SWT. Saya jelas saya mesti selalu amalkan sunnah Nabi dan ikut ajaran agama yang benar. Saya jelas untuk berhati-hati dengan tokoh agama dan sosial yang makan harta secara batil.
Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.
Ya Allah, bantu kami untuk sentiasa menyokong perjuangan meninggikan cahaya Mu. Ya Allah, bimbing kami untuk selalu amalkan sunnah Nabi dan ikut ajaran agama yang benar. Ya Allah, jauhi kami daripada tokoh agama dan sosial yang makan harta secara batil.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.