Doa:
سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
“Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”
رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا
“Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”
PERKATAAN HARI INI
حَلَّ ( حَلَلَ) Halal, membenarkan, mengizinkan.
51 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
- Pengharaman mengundur-undur bulan haram (37)
- Anjuran untuk berjihad dan ancaman meninggalkannya serta mukjizat gua waktu hijrah (38-40)
Mukaddimah
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kita dapat terus membaca, memahami dan mengamalkan intisari daripada halaman 193.
Pada halaman lepas kita sudah belajar bahawa 12 bulan ialah sebagai tanda pengurusan masa yang tepat yang Allah bekalkan kepada orang yang beriman. Mereka yang sudah menang di Mekah setelah peristiwa Fathul Mekah tetap perlu juga membuat persediaan untuk mempertahankan diri.
Ayat [9:37]
إِنَّمَا ٱلنَّسِىٓءُ زِيَادَةٌ فِى ٱلْكُفْرِ يُضَلُّ بِهِ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ يُحِلُّونَهُۥ عَامًا وَيُحَرِّمُونَهُۥ عَامًا لِّيُوَاطِـُٔوا۟ عِدَّةَ مَا حَرَّمَ ٱللَّهُ فَيُحِلُّوا۟ مَا حَرَّمَ ٱللَّهُ زُيِّنَ لَهُمْ سُوٓءُ أَعْمَٰلِهِمْ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلْكَٰفِرِينَ
“Sesungguhnya perbuatan mengundurkan (kehormatan itu dari satu bulan ke satu bulan yang lain) adalah menambah kekufuran yang menjadikan orang-orang kafir itu tersesat kerananya. Mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain, supaya mereka dapat menyesuaikan bilangan (bulan-bulan yang empat) yang telah diharamkan Allah (berperang di dalamnya); dengan itu mereka menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah. Perbuatan buruk mereka itu dihias dan dijadikan indah (oleh Syaitan) untuk dipandang baik oleh mereka. Dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang kafir.”
Mesej Dan Tindakan
- Orang musyrik suka menukar-nukar bulan haram mengikut keselesaan mereka. Bulan-bulan haram ini adalah empat bulan (Zulkaidah, Zulhijjah, Muharram, Rejab) yang diharamkan berperang dan amalan ditingkatkan sejak sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW lagi. Orang kufur suka ubah bulan supaya mereka boleh pergi berperang. Mereka mempermain-mainkan peraturan Allah. Ini menambahkan kekufuran mereka.
- Ahli kitab dan rahib-rahib mereka menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal kerana kepentingan peribadi. Dihiasi apa yang mereka buat supaya dilihat sebagai amal soleh. Contoh: Nak memperjuangkan kaum mereka padahal mereka buat untuk kepentingan peribadi.
- Mesej besar kepada kita: Bila kita nak bercakap sesuatu kita kena berjaga-jaga adakah ianya dibenarkan oleh Allah atau kita sedang meniru bani Israel.
- Allah tidak memberi hidayah kepada orang yang kafir. Iaitu orang yang mendapat cahaya tetapi mereka tutup cahaya itu kerana cahaya itu akan membongkar kesilapan-kesilapan mereka seperti rasuah ataupun pecah amanah. Sebenarnya Allah boleh bagi lebih banyak lagi rezeki daripada apa yang mereka harapkan.
- Halal haram bukan soal yang boleh disebut senang-senang. Ia memerlukan ilmu. Jangan mudah-mudah mencampur adukkan dan memberi hukum untuk ditulis di Facebook dan dialog kita. Dengan belajar al-Quran, kita sepatutnya akan lebih berhati-hati dan hanya bercakap berdasarkan ilmu dan berpandukan sumber autoriti yang benar.
Ayat [9:38] Hubungan antarabangsa
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ ٱنفِرُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱثَّاقَلْتُمْ إِلَى ٱلْأَرْضِ أَرَضِيتُم بِٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا مِنَ ٱلْءَاخِرَةِ فَمَا مَتَٰعُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا فِى ٱلْءَاخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ
“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: "Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah", kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.”
Mesej Dan Tindakan
- Selepas Fathul Mekah, para sahabat mula merasa selesa. Selepas itu ada peperangan Hunain, Perang Tabuk dan bermulanya hubungan antarabangsa. Allah memberi mesej kepada orang beriman, termasuklah kita. Apa masalah mereka dan kenapa merasa berat bila diminta pergi berperang?
- Ini adalah permulaan seruan untuk berjuang fi sabilillah. Peperangan adalah untuk menawarkan Islam, bukan untuk membunuh. Allah bertanya, apakah mereka redha dengan kehidupan dunia sahaja dan sudah rasa selesa?
- Di mana umat Islam majoriti, manusia mudah rasa selesa. Sama juga bila bekerja. Mula-mula masuk kerja memang bersemangat. Bila sudah lama dan menjadi senior, mulalah datang kerja pun lambat. Bila sudah menang, kita biasanya akan masuk ke dalam zon selesa.
- Kita mesti ambil semangat perjuangan Nabi SAW yang pergi ke Tabuk pada usia 60-an sebagai panglima Perang. Nabi SAW tidak redha dengan kehidupan dunia sahaja. Nabi SAW berjuang dan menghasilkan orang-orang yang sanggup untuk berjuang. Mereka bukanlah golongan yang hanya bersenang-senang sahaja. Kehidupan di dunia ini hanyalah sedikit. Di akhirat lah yang lebih.
- Kita bila sudah pencen, anak sudah kahwin, rumah sudah habis bayar, kereta sudah habis bayar, maka kita rasa selesa. Nak 'relax-relax' sahaja, tidak lagi mahu berjuang untuk Allah. Perjuangan sebenarnya ialah mengangkat kalimah Allah. Jika di rumah atau di tempat kerja belum diangkat kalimah Allah, kita kena perjuangkan.
- Jadi apakah masalah kita tidak mahu berjuang? Berjuanglah dengan kaedah dan cara masing-masing, untuk diri sendiri dan juga untuk membantu orang lain.
- Ini adalah semangat yang diberi kepada para sahabat sehingga sahabat yang sudah kaya seperti Uthman b Affan sanggup menderma 1000 dinar (1 dinar bernilai lebih kurang RM1000. Bayangkan betapa besar jumlah 1000 dinar). Saidina Abu Bakar memberi semua hartanya fi sabilillah. Saidina Umar memberi setengah hartanya.
- Memang susah keadaan pada waktu itu. Musim panas ialah musim kurma masak. Kalau semua pergi perang, siapa nak memetik buah-buah kurma di kebun mereka? Namun itu tidak menyebabkan mereka tidak pergi berperang. Syukurlah kita sekarang dapat al-Quran dengan mudah, hasil dari perjuangan mereka dahulu.
- Rasa malas, rasa berat untuk berjuang itu tidak dibenarkan. Semua yang kita ada, kita kena tukar kepada matawang akhirat untuk menang.
Ayat [9:38] Hubungan antarabangsa
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ ٱنفِرُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱثَّاقَلْتُمْ إِلَى ٱلْأَرْضِ أَرَضِيتُم بِٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا مِنَ ٱلْءَاخِرَةِ فَمَا مَتَٰعُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا فِى ٱلْءَاخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ
“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: "Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah", kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.”
Mesej Dan Tindakan
- Allah mengingatkan kepada orang beriman 3 perkara jika mereka tidak mahu pergi berperang:
- Allah akan mengazab dengan azab yang sengsara - Allah tidak suka jika ada yang tidak mahu pergi berperang bila diperlukan, tidak mahu berjuang di rumah atau di tempat kerja. Jika kita tidak berbuat sesuatu untuk berjuang membawa kepada kebaikan dan meninggikan kalimah Allah, khuatir nanti keluarga kita atau tempat kerja akan bermasalah. Anak kita bermasalah, kerja bermasalah. Di akhirat akan jadi lebih teruk lagi.
- Allah akan menggantikan mereka dengan kaum yang lain - Allah boleh dan akan menggantikan dengan kaum lain seperti yang berlaku dahulu. Ini juga pernah berlaku kepada Bani Israel yang digantikan dengan umat Nabi SAW. Mereka dihina dan dilaknat oleh Allah SWT. Allah Maha Berkuasa dan boleh menukar bila-bila sahaja.
- Mereka tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepada Allah - Allah Maha Berkuasa dan tidak memerlukan sesiapa, serta tidak terkesan dengan sesiapa pun.
Ayat [9:40]
إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ ٱللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ثَانِىَ ٱثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِى ٱلْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَٰحِبِهِۦ لَا تَحْزَنْ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَنَا فَأَنزَلَ ٱللَّهُ سَكِينَتَهُۥ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُۥ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ٱلسُّفْلَىٰ وَكَلِمَةُ ٱللَّهِ هِىَ ٱلْعُلْيَا وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Mesej Dan Tindakan
- Apa saja yang Nabi Muhammad SAW buat, perjuangan al-Quran, itu adalah kebaikan/keseronokan bagi kita. Rasa bahagia itu tidak boleh kita rasa seorang sahaja. Kita mesti berkongsi rasa itu dan sebarkan. Sokong apa saja perkara kebaikan yang orang lain lakukan. Carilah apa sahaja kebaikan untuk dibuat.
- Gelaran istimewa untuk Saidina Abu Bakar di dalam al-Quran ialah ثَانِىَ ٱثْنَيْنِ . Dahulu, Allah telah menolong Nabi Muhammad SAW dan Saidina Abu Bakar di gua ketika mereka dihalau dari Mekah. Waktu itu Saidina Abu Bakar sedih, dan Nabi Muhammad SAW menenangkan beliau. Allah menurunkan sakinah, ketenangan dan didatangkan labah-labah sebagai tentera yang membantu.
- Allah menjadikan kalimah orang kafir kadang-kadang tinggi, kadang-kadang rendah/hina (كَلِمَةَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ٱلسُّفْلَىٰ – dalam bentuk kata kerja, menunjukkan ketidak stabilan). Manakalaهِىَ ٱلْعُلْيَا وَكَلِمَةُ ٱللَّهِ , iaitu ‘kalimah Allah yang sentiasa tinggi’ dalam bentuk kata nama (ismiah) yang menunjukkan amat stabil.
- Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana, yang mengaturkan COVID19 yang menyebabkan kita boleh bersama-sama tadabbur al-Quran halaman demi halaman. Subhanallah.
RESOLUSI MQT269
Ingat !!
- Uruskan masa dengan ketentuan Allah SWT, bukan ikut nafsu sendiri (37)
- Siap sedia untuk berjuang pada bila-bila masa (38)
- Rebut peluang agar diri menjadi penolong agama Allah SWT (40)
Lega kerana Allah ingatkan saya untuk terus berjuang menjadi penolong agama Allah walaupun pada usia pencen kerana kehidupan di dunia ini hanyalah sedikit manakala di akhirat adalah lebih lama.
Saya jelas untuk uruskan masa dengan ketentuan Allah SWT, bukan ikut nafsu sendiri. Saya jelas saya mesti siap sedia untuk berjuang pada bila-bila masa. Saya mesti rebut peluang agar diri menjadi penolong agama Allah SWT.
Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.
Ya Allah, bimbing kami untuk uruskan masa dengan ketentuan Mu, bukan ikut nafsu kami sendiri. Ya Allah, bantu kami untuk siap sedia berjuang pada bila-bila masa. Ya Allah, bantu kami untuk rebut peluang agar kami menjadi penolong agama Mu.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.