Sunday, July 2, 2023

Halaman 199 : At-Tawbah, 9:73-79

Doa:

سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

“Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”

رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا

“Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”

PERKATAAN HARI INI

صَارَ ( صَيَرَ) Menjadi, kembali, berpindah, berpaling sampai ke destinasi.

29 kali disebut dalam al-Quran 


SINOPSIS   

  1. Jihad terhadap orang kafir dan orang munafik serta sebabnya (73-74)
  2. Pendustaan orang munafik, pelanggaran terhadap janji dan kesepakatan, serta kisah palsu Tsa'labah bin Hathib (75-78)
  3. Celaan orang munafik terhadap orang mukmin dan tidak ada keampunan bagi mereka (79)


Mukaddimah

Alhamdulillah, kita memuji kepada Allah SWT yang menurunkan kepada hambaNya Nabi Muhammad SAW al-Quran yang tidak ada kebengkokan di dalamnya. Semoga kita mendapat rahmatNya di hari Jumaat ini. Hari Jumaat ialah hari untuk kita reset bagi menyegarkan iman kita.    

Masa tidak menunggu kita. Wal-Asr, demi masa, kita perah usia kita di depan al-Quran, agar bila ditanya apa yang kita lakukan dengan kehidupan, kita boleh beritahu ada sedikit jus daripada perahan usia kita ini iaitu amal yang ikhlas yang ingin kita persembahkan di hadapan Allah SWT di akhirat nanti.  


Ayat [9:73]

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ جَٰهِدِ ٱلْكُفَّارَ وَٱلْمُنَٰفِقِينَ وَٱغْلُظْ عَلَيْهِمْ وَمَأْوَىٰهُمْ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ ٱلْمَصِيرُ

“Wahai Nabi, berjihadlah menentang orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.”

Mesej Dan Tindakan

  1. Ini adalah satu seruan Allah setelah Nabi SAW balik dari Perang Tabuk, perang yang mengumpulkan 30,000 orang Islam untuk melawan tentera Rom. Perang itu tidak jadi namun mereka balik dengan kemenangan. Perang bukanlah objektif Islam. Islam cuma berperang untuk mempertahankan agama. Islam adalah agama kesejahteraan.
  2.  
  3. Nabi disuruh untuk bersungguh-sungguh berjihad menentang orang-orang kafir dan munafik. Perjuangan jihad bukan sahaja di medan perang. Contohnya: Bersungguh-sungguh membaca al-Quran, bangun solat, cikgu mengajar anak bangsa, menderma, membantu orang. Apa sahaja yang boleh menaikkan nama Allah, menaikkan mesej al-Quran dan mesej Rasul adalah termasuk dalam jihad.
  4.  
  5. Kufar ialah orang yang setelah mendapat kebenaran tetap menentang. Orang yang belum kita dakwahkan dan mereka tidak tahu tentang Islam, mereka tidak boleh digelar kafir. Contoh: Kalau ada kawan kita Ah Chong tapi kita tak pernah cakap pasal Islam dan tauhid kepada dia, kita tak boleh gelar dia sebagai kafir kerana kita belum buat tanggungjawab menyampaikan risalah kebenaran kepada dia.
  6.  
  7. Makin kita dekat dengan al-Quran, semakin kita perlu kongsi mesej kebenaran kepada bukan Islam agar mereka sedar kebenaran yang ada.
  8.  
  9. Kufar yang menentang, kita kena berjihad. Kita kena bersungguh-sungguh untuk berinteraksi dengan mereka.
  10.  
  11. Kepada orang munafik, kita mesti bersikap tegas dan jangan terlampau sensitif pasal hati mereka. Contoh: Jangan segan baca Quran dalam ceramah umum yang mungkin ada orang munafik. Kita bertanggungjawab memperdengarkan ayat Quran kepada semua orang.
  12.  
  13. Allah beritahu bahawa tempat orang-orang kafir dan munafik ialah neraka jahanam.
  14.  
  15. Kufar melawan dari luar tetapi orang munafik menjadi duri dalam daging. Orang Islam yang malas solat, tak nak menderma untuk kebaikan juga termasuk dalam golongan munafik. Nabi diseru untuk berjihad menentang kedua-dua golongan ini. Munafik lebih mencabar sebab dia ada di sekeliling. Contoh: Cybertroopers yang suka buat kacau di media sosial termasuk dalam kategori munafik. Mereka suka buat orang lain bergaduh dan berpecah. Mereka ada keinginan sendiri.

Ayat [9:74]

يَحْلِفُونَ بِٱللَّهِ مَا قَالُوا۟ وَلَقَدْ قَالُوا۟ كَلِمَةَ ٱلْكُفْرِ وَكَفَرُوا۟ بَعْدَ إِسْلَٰمِهِمْ وَهَمُّوا۟ بِمَا لَمْ يَنَالُوا۟ وَمَا نَقَمُوٓا۟ إِلَّآ أَنْ أَغْنَىٰهُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ مِن فَضْلِهِۦ فَإِن يَتُوبُوا۟ يَكُ خَيْرًا لَّهُمْ وَإِن يَتَوَلَّوْا۟ يُعَذِّبْهُمُ ٱللَّهُ عَذَابًا أَلِيمًا فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْءَاخِرَةِ وَمَا لَهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ مِن وَلِىٍّ وَلَا نَصِيرٍ

“Mereka bersumpah dengan nama Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang buruk terhadapmu), padahal sesungguhnya mereka telah mengatakan perkataan kufur, dan mereka pula menjadi kafir sesudah melahirkan Islam, serta mereka berazam untuk melakukan apa yang mereka tidak akan dapat mencapainya (iaitu membunuhmu). Dan tidaklah mereka mencaci dan mencela (Islam) melainkan setelah Allah dan RasulNya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah kurniaNya. Oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan; dan jika mereka berpaling (ingkar), Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan mereka tidak akan mendapat sesiapa pun di bumi ini, yang akan menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong.”

Mesej Dan Tindakan

  1. Orang munafik berani bersumpah dengan nama Allah SWT ( يَحْلِفُونَ ) mereka mengatakan sesuatu yang menyakiti Nabi SAW. Mereka mengejek Nabi. Mereka mahu menghancurkan Nabi SAW. Ada yang cuba membunuh Nabi SAW selepas Perang Tabuk tetapi wahyu turun dan baginda SAW memberitahu Khuzaifah dan Ammar bin Yasir tentang mereka yang Allah sebut namanya. Mereka telah memukul munafik tersebut dari depan.
  2.  
  3. Saidina Abu Bakar RA dan sahabat bimbang jika memiliki ciri munafik dan bertanya kepada Khuzaifah siapa yang ada di dalam senarai. Namun Khuzaifah menyimpan rahsia dan hanya memberitahu Abu Bakar tidak ada di dalam senarai tersebut. Kita juga kena berhati-hati dan bimbang jika kita mempunyai ciri-ciri munafik.
  4.  
  5. Allah menyatakan mereka itu berdendam walaupun mereka telah diberi kurniaan yang banyak. Mereka diberi hidayah, mendapat rasul dan harta ghanimah tetapi mereka tidak puas hati. Ini adalah kerana iman mereka tidak betul-betul kepada Allah dan Rasul.
  6.  
  7. Namun Allah masih memberi mereka peluang untuk bertaubat. Kalau mereka berpaling mereka akan dapat azab di dunia dan di akhirat.
  8.  
  9. Kesan munafik ialah di bumi lagi tidak ada penolong. Mereka diazab di neraka jahanam. Itulah seburuk-buruk tempat kembali.
  10.  
  11. Janganlah kita jadi talam dua muka sehingga kita meremehkan agama kita untuk menjaga hati orang lain. Semoga kita terus buat kebaikan bersungguh-sungguh hingga bahagia di akhirat.

Ayat [9:75]

وَمِنْهُم مَّنْ عَٰهَدَ ٱللَّهَ لَئِنْ ءَاتَىٰنَا مِن فَضْلِهِۦ لَنَصَّدَّقَنَّ وَلَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلصَّٰلِحِينَ

“Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: "Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, tentulah kami akan bersedekah, dan tentulah kami akan menjadi dari orang-orang yang soleh"”

Mesej Dan Tindakan

  1. Di antara mereka ada yang berjanji akan bersedekah dan menjadi orang yang soleh jika mereka mendapat kurniaan dari Allah.

Ayat [9:76]

فَلَمَّآ ءَاتَىٰهُم مِّن فَضْلِهِۦ بَخِلُوا۟ بِهِۦ وَتَوَلَّوا۟ وَّهُم مُّعْرِضُونَ

“Kemudian setelah Allah memberi kepada mereka dari limpah kurniaNya, mereka bakhil dengan pemberian Allah itu, serta mereka membelakangkan janjinya; dan sememangnya mereka orang-orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan).”

Mesej Dan Tindakan

  1. Namun bila diberi limpah kurnia Allah:
    • mereka kedekut
    • mereka berpaling dari Allah - tidak mahu ikut arahan Allah atau seruan Nabi SAW
    • mereka acuh tak acuh dengan perintah Allah malah menentang Allah
    •  
  2. Mereka bakhil dengan masa yang ada, harta yang ada. Memberi hanya jika ada mendapat sesuatu keuntungan darinya.
  3.  
  4. Semoga Allah jauhkan kita daripada sifat bakhil.

Ayat [9:77]

فَأَعْقَبَهُمْ نِفَاقًا فِى قُلُوبِهِمْ إِلَىٰ يَوْمِ يَلْقَوْنَهُۥ بِمَآ أَخْلَفُوا۟ ٱللَّهَ مَا وَعَدُوهُ وَبِمَا كَانُوا۟ يَكْذِبُونَ

“Akibatnya Allah menimbulkan perasaan munafik dalam hati mereka (berkekalan) hingga ke masa mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri apa yang mereka janjikan kepada Allah dan juga kerana mereka sentiasa berdusta.”

Mesej Dan Tindakan

  1. Kesan daripada tiga perkara itu menyebabkan nifaq masuk ke dalam hati mereka. Sifat munafik akan ikut orang yang buat perkara-perkara itu. Mereka hanya penting diri sendiri.
  2.  
  3. Semoga Allah menjauhkan kita daripada sifat-sifat munafik. Contoh: Mungkir janji, merasa solat tidak penting, tidak mahu menderma, sudah penat berjuang.

Ayat [9:78]

أَلَمْ يَعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ يَعْلَمُ سِرَّهُمْ وَنَجْوَىٰهُمْ وَأَنَّ ٱللَّهَ عَلَّٰمُ ٱلْغُيُوبِ

“Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah sentiasa mengetahui apa yang mereka rahsiakan serta apa yang mereka bisikkan, dan bahawasanya Allah Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang ghaib?”

Mesej Dan Tindakan

  1. Allah tahu apa yang mereka rahsiakan dan apa mereka bisikan (نَجْوَىٰ). Allah juga mengetahui perkara-perkara ghaib.
  2.  
  3. Orang beriman akan takut jika Allah mengetahui perbicaraan dan rahsia-rahsia itu. Orang tidak beriman tidak kisah Allah bongkarkan sifat buruk mereka.

Ayat [9:79]

ٱلَّذِينَ يَلْمِزُونَ ٱلْمُطَّوِّعِينَ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ فِى ٱلصَّدَقَٰتِ وَٱلَّذِينَ لَا يَجِدُونَ إِلَّا جُهْدَهُمْ فَيَسْخَرُونَ مِنْهُمْ سَخِرَ ٱللَّهُ مِنْهُمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

“Orang-orang (munafik) yang mencela sebahagian dari orang-orang yang beriman mengenai sedekah-sedekah yang mereka berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya, - Allah akan membalas ejek-ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

Mesej Dan Tindakan

  1. Allah mengingatkan tentang sifat orang-orang munafik. Daripada ayat 77, mulanya mereka bakhil yang membawa kepada berpaling dan akhirnya sikap tidak kisah atau acuh tak acuh dengan apa yang disampaikan.
  2.  
  3. Mereka juga suka mengutuk orang yang ikhlas menderma (صَّدَقَٰتِ) dan juga mengutuk orang yang tidak punya apa-apa sangat kecuali tenaga mereka untuk berjihad (جُهْدَهُمْ). Contoh sekarang: Di masjid, ada orang boleh bagi banyak derma, ada orang tak mampu bagi derma dia boleh cuci tandas.
  4.  
  5. Semua orang penting. Jangan pandang enteng orang yang buat baik. Jangan rasa diri sendiri sahaja bagus. Contoh: Kena ajar dalam rumah. Abang angkat sebakul baju, adik cuma sehelai, jangan kutuk, ucap terima kasih. Perkara-perkara kecil begitu boleh membina rasa nifaq, rasa diri bagus yang akhirnya merosakkan sebuah keluarga.
  6.  
  7. Orang-orang yang suka mengejek orang lain akan menerima ejekan daripada Allah SWT dan disediakan untuk mereka azab yang pedih.


RESOLUSI MQT277 

Ingat !!

  1. Bertegas dengan orang yang kufur memusuhi Islam (73)
  2. Jangan menghina dan mencela agama Allah SWT dalam apa jua aspek kerana ia menghalang hidayah (74)
  3. Berinfak dan beramal dengan apa yang ada, jangan nanti lebih banyak baru beramal (75)

Lega kerana Allah ingatkan untuk berinfak dan beramal mengikut kemampuan.

Saya jelas untuk bertegas dengan orang yang kufur memusuhi Islam. Saya jelas untuk tidak menghina dan mencela agama Allah SWT dalam apa jua aspek kerana ia menghalang hidayah. Saya jelas saya mesti berinfak dan beramal dengan apa yang ada, tak perlu nanti lebih banyak baru beramal. 

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.

Ya Allah, bantu kami untuk bertegas dengan orang yang kufur memusuhi Islam. Ya Allah, jauhi kami daripada menghina dan mencela agama Mu dalam apa jua aspek. Ya Allah, kurniakan kami hidayah untuk berinfak dan beramal dengan apa yang ada. Ya Allah, jauhi kami daripada sifat-sifat munafik.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: MyQuranTime

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...