Sunday, July 2, 2023

Halaman 198 : At-Tawbah, 9:69-72

Doa:

سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

“Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”

رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا

“Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”

PERKATAAN HARI INI

مَتَعَ Menikmati.

70 kali disebut dalam al-Quran 


SINOPSIS   

  1. Sia-sia amalan orang munafik (69)
  2. Peringatan tentang kaum terdahulu yang diazab (70)
  3. Sifat orang mukmin dan balasan akhirat bagi mereka (71-72)


Mukaddimah

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT hari ini kita menyambut hari Israk Mikraj. Ayat surah al-Isra' yang dibacakan menceritakan kepada kita bahawa semangat Israk Mikraj ini ialah untuk kita menghargai kepada perjuangan Nabi Muhammad SAW. Ayat ini menceritakan tentang Nabi dijalankan daripada Masjidil Haram di Mekah hingga Masjidil Aqsa di Palestin dengan penuh keberkatan untuk Allah menampakkan ayat-ayat Nya. Inilah semangat yang ingin kita ambil. Ada hadiah daripada Allah bila Nabi naik ke Sidratul Muntaha, langit yang ketujuh yang akan kita bincang pada halaman 198 ini.   

Pada ayat 68 Allah menyatakan bahawa orang munafik dan orang kafir itu satu golongan. Walaupun didaftar sebagai Islam tetapi mereka sanggup untuk menghancurkan amanah yang ada. Mereka bersekongkol dengan orang-orang yang menyerang kepada Nabi SAW dan kebenaran. Allah kata mereka itu diberikan neraka jahanam dan mereka kekal di dalamnya dan dikutuk kerana mereka ini mengganggu ataupun menghalang daripada kebenaran itu muncul di tanah arab ataupun di dunia ini sendiri.  

Ini adalah satu cabaran apabila kita melihat pada Israk Mikraj. Peristiwa Israk Mikraj Nabi berlaku ketika Nabi dalam kesedihan selepas isteri baginda Saidatina Khadijah wafat diikuti oleh bapa saudara baginda Abu Talib. Nabi mengharapkan bapa saudaranya masuk Islam tetapi qadarallah beliau tidak mengakhirkan hidup dengan dua kalimah syahadah menyebabkan Nabi sedih. Itulah bapa saudaranya yang bukan Islam tetapi banyak membantu baginda dan memberi sokongan pada Nabi ketika berada di Mekah.  

Ulama menyebut perjalanan Israk Mikraj melibatkan roh dan jasad Nabi SAW. Boleh ke manusia berjalan laju? Sekarang dengan teknologi supersonic, boleh sahaja berlaku. Teknologi daripada Allah SWT menggunakan cahaya adalah lebih hebat. Jibril dan Buroq dicipta daripada cahaya. Perjalanan baginda SAW ke Masjidil Aqsa dan naik ke Sidratul Muntaha dalam masa satu malam adalah menggunakan teknologi cahaya yang amat laju. Subhanallazi, Maha Suci Allah yang membawa Nabi berjalan untuk mengubat kesedihan baginda. Kalau kita tengah stres, bawalah berjalan.  

Di dalam perjalanan, antaranya baginda SAW nampak orang yang mencakar muka sehingga nampak daging jatuh. Menurut Jibril, itu adalah kerana ketika hidup, ia suka mengumpat dan mencela. Harapnya sempena Israk Mikraj ini kita tidak menjadi orang yang suka mengumpat atau merendahkan orang lain. Inilah yang Allah nyatakan pada ayat 69.  

Israk Mikraj mengingatkan kita tentang solat. Solat itu tiang agama. Siapa yang mendirikannya, bermakna ia mendirikan agama. Siapa yang tidak mendirikannya, bermakna, ia meruntuhkan agama. Dengan kita melihat bait-bait ayat-ayat al-Quran dan taddabburnya, semoga kita dapat mendirikan solat. Nabi SAW asalnya diberi hadiah 50 waktu solat untuk dibawa turun ke dunia. Baginda bertemu Nabi Musa AS, yang menyuruh baginda SAW naik semula memohon dikurangkan ke 40 waktu, 35 waktu, sehinggalah menjadi 5 waktu sahaja. Nabi Musa AS memahami psikologi rakyat yang tidak mampu melakukan banyak rakaat. Mengingati Israk Mikraj sepatutnya kita tingkatkan kualiti solat dengan solat di awal waktu, perbaiki bacaan dan kefahaman bacaan solat kerana solat adalah hadiah yang amat berharga di sisi Allah SWT.  


Ayat [9:69]

كَٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ كَانُوٓا۟ أَشَدَّ مِنكُمْ قُوَّةً وَأَكْثَرَ أَمْوَٰلًا وَأَوْلَٰدًا فَٱسْتَمْتَعُوا۟ بِخَلَٰقِهِمْ فَٱسْتَمْتَعْتُم بِخَلَٰقِكُمْ كَمَا ٱسْتَمْتَعَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُم بِخَلَٰقِهِمْ وَخُضْتُمْ كَٱلَّذِى خَاضُوٓا۟ أُو۟لَٰٓئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَٰلُهُمْ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْءَاخِرَةِ وَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْخَٰسِرُونَ

“(Nasib kamu hai orang-orang munafik) adalah sama dengan nasib orang-orang sebelum kamu (yang telah dibinasakan), mereka lebih kuat serta lebih banyak harta benda dan anak pinak daripada kamu; seterusnya mereka telah bersenang-senang dengan bahagian mereka; maka kamu pula telah bersenang-senang dengan bahagian kamu sebagaimana orang-orang yang sebelum kamu itu bersenang-senang dengan bahagiannya; dan kamu pula telah memperkatakan (perkara yang salah dan dusta) sebagaimana mereka memperkatakannya. Mereka yang demikian, rosak binasalah amal-amalnya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan merekalah orang-orang yang rugi.”

Mesej Dan Tindakan

  1. Orang munafik ada harta dan anak-anak hanya untuk bersenang-senang. Sebenarnya Allah bagi anak dan harta sebagai pinjaman. Kita sepatutnya cepat-cepat tukarkan harta dan anak-anak kepada mata wang akhirat. Malikiyaumiddin, Allah Penguasa Hari Akhirat ajar, bila sampai akhirat, yang berharga adalah agama. Anak-anak yang diajarkan amal agama, itulah yang terbaik. Kalau harta, kita tukar jadi perkara fi sabilillah, maka itu akan jadi mata wang akhirat.
  2.  
  3. Orang munafik itu tenggelam dalam hidup mereka. Mereka tak kisah orang lain. Yang penting hanya diri sendiri dan keluarga semata-mata. Cabarannya ialah Allah kata, apa sahaja yang mereka rasa sebagai akmal di dunia Allah kata حَبِطَتْ iaitu sia-sia. Apa sahaja yang mereka rasa baik, ia hanyalah umpama kambing gemuk yang keracunan. Contoh: Mereka banyak derma tetapi untuk cari nama. Jika menderma bukan kerana Allah, di dunia rugi, di akhirat juga rugi.
  4.  
  5. Semasa Israk Mikraj Nabi diberi minuman antara susu dan arak, baginda SAW memilih susu. Ini adalah fitrah. Berbuat sesuatu kerana Allah itu adalah fitrah. Jangan buat amal kerana hendak menunjuk kepada manusia, riak, sum'ah, bangga diri. Kita kena jaga hati supaya buat betul-betul kerana Allah SWT agar tidak rosak amal-amal yang kita lakukan.
  6.  
  7. Hendaklah kita selalu bertanya diri kita, apa lagi yang kita boleh sumbang untuk agama. Bukan sekadar duduk bersenang-senang sahaja. Ibu ayah kena membimbing anak-anak untuk memastikan mereka menjadi anak yang menyumbang kepada agama.
  8.  

Ayat [9:70]

أَلَمْ يَأْتِهِمْ نَبَأُ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ قَوْمِ نُوحٍ وَعَادٍ وَثَمُودَ وَقَوْمِ إِبْرَٰهِيمَ وَأَصْحَٰبِ مَدْيَنَ وَٱلْمُؤْتَفِكَٰتِ أَتَتْهُمْ رُسُلُهُم بِٱلْبَيِّنَٰتِ فَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَٰكِن كَانُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

“Bukankah telah datang kepada mereka berita orang-orang yang terdahulu daripada mereka, iaitu kaum Nabi Nuh dan Aad dan Thamud dan kaum Nabi Ibrahim, dan penduduk negeri Madyan serta negeri-negeri yang telah dibinasakan? (Semuanya) telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan yang jelas nyata, (lalu mereka mendustakannya dan Tuhan pula membinasakan mereka); Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.”

Mesej Dan Tindakan

  1. Orang Mekah tahu kisah-kisah kaum Aad dan Thamud. Sejarah telah membuktikan tentang kaum Aad, Madyan dan lain-lain. Bukti sejarah itu datang daripada Tuhan yang satu.
  2.  
  3. Allah tidak pernah zalim kepada kaum-kaum terdahulu. Yang zalim ialah mereka sendiri yang bila dihantar rasul yang membawa risalah, hidayah dari Allah, mereka buang. Umpama kita buang surat penting yang posman hantar.
  4.  

Ayat [9:71]

وَٱلْمُؤْمِنُونَ وَٱلْمُؤْمِنَٰتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَآءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَيُطِيعُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓ أُو۟لَٰٓئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ ٱللَّهُ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Mesej Dan Tindakan

  1. Orang beriman tidak menzalimi diri sendiri. Mereka saling melindungi, saling menolong antara satu sama lain kerana yang penting ialah mengangkat kalimah Allah yang paling tinggi.
  2.  
  3. Ciri-ciri orang beriman:
    • Menyeru kepada kebaikan. Makruf dalam surah Madaniyah ini berkaitan dengan syariat. Lebih kepada manusia dan hubungan dengan Allah. Contohnya solat, berjihad di jalan Allah. Perkara mungkar dan sesat ditegur.
    • Mendirikan solat dengan penuh kekuatan dan kesedaran. Bukan seperti orang munafik yang solat secara malas-malas kerana di hati mereka ada penyakit.
    • Menunaikan zakat. Jaga-jaga dengan sifat nifak yang mungkin timbul.
    • Taat kepada Allah dan Rasul. Ambil akhlak Nabi SAW. Mereka ini akan mendapat rahmat Allah. Tanda mendapat rahmat Allah ialah mereka tidak mudah marah, tidak kasar.
    •  
  4. Allah amat Perkasa , Amat Bijaksana. Perlu kita faham 'Perkasa' kerana bila kita tengok Allah boleh sahaja menghancurkan terus kepada orang yang munafik ini tetapi Allah tetap beri peluang untuk mereka bertaubat.

Ayat [9:72]

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَٰتِ جَنَّٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَا وَمَسَٰكِنَ طَيِّبَةً فِى جَنَّٰتِ عَدْنٍ وَرِضْوَٰنٌ مِّنَ ٱللَّهِ أَكْبَرُ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam "Syurga Adn" serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar.”

Mesej Dan Tindakan

  1. Orang beriman dijanjikan syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya.
  2.  
  3. Toyyibah ialah sesuatu yang kita suka, bagus dan suci. Ada benda yang kita suka tetapi tidak bagus. Ada yang kita suka tetapi tidak suci. Di dalam syurga semuanya toyyibah.
  4.  
  5. Kejayaan yang paling besar dan paling mulia ialah mendapat keredaan daripada Allah SWT.
  6.  
  7. Semoga kita berjaya diberi kemuliaan, keredaan daripada Allah SWT dan rahmatNya untuk mendapat tempat di Syurga Adn.
  8.  


RESOLUSI MQT276 

Ingat !!

  1. Ambil pengajaran daripada umat terdahulu agar siksaan tidak berulang kembali kepada kita (69)
  2. Elakkan daripada menzalimi diri sendiri dengan ikut petunjuk rasul (70)
  3. Jadi mukmin yang saling menyokong dan melindungi antara satu sama lain (71)

Lega kerana Allah akan berikan ganjaran Syurga Adn sekiranya saya menjadi orang yang beriman.

Saya jelas untuk ambil pengajaran daripada umat terdahulu agar siksaan tidak berulang kembali. Saya jelas untuk elakkan daripada menzalimi diri sendiri dengan ikut petunjuk rasul. Saya jelas saya mesti jadi mukmin yang saling menyokong dan melindungi antara satu sama lain. 

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.

Ya Allah, bimbing kami untuk ambil pengajaran daripada umat terdahulu agar siksaan tidak berulang kembali. Ya Allah, jauhi kami daripada menzalimi diri sendiri, jadikan kami orang yang ikut petunjuk rasul. Ya Allah, pimpin kami untuk jadi mukmin yang saling menyokong dan melindungi antara satu sama lain.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: MyQuranTime

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...