Sunday, July 2, 2023

Halaman 200 : At-Tawbah, 9:80-86

Doa:

سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

“Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”

رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا

“Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”

PERKATAAN HARI INI

فَرِحَ Gembira, suka cita.

22 kali disebut dalam al-Quran 


SINOPSIS   

  1. Tidak berkesan keampunan bagi orang munafik (80)
  2. Kegembiraan orang munafik tidak ikut berjihad di Perang Tabuk (81-82)
  3. Larangan bagi orang munafik untuk berjihad, larangan disolatkan jenazah mereka dan peringatan agar tidak tertipu oleh harta dan anak-anak mereka (83-85)
  4. Permintaan izin para tokoh munafik untuk tidak ikut berjihad (86)


Mukaddimah

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT kita dapat meneruskan pengajian surah al-Tawbah pada halaman 200. Ini halaman kedua akhir sebelum habis juz 10. Sampainya kita di sini adalah satu anugerah daripada Allah SWT.   

Pada halaman ini, Allah SWT terus membongkar sifat-sifat orang munafik dan bagaimana reaksi Nabi SAW menghadapi mereka. Semoga kita dapat menjauhi sikap munafik dan dapat mensikapi dengan betul apabila bertemu dengan orang-orang yang mempunyai sifat ini di dalam kehidupan kita.  

Pada halaman lepas kita telah lihat sifat orang munafik suka menghina, mencemuh dan mengejek usaha orang lain yang membantu fi sabilillah. Allah membongkar sifat orang munafik pada zaman Rasulullah SAW tetapi ia adalah peringatan untuk kita agar dijauhkan sifat ini daripada kita. Janganlah kita pandang hina orang lain yang buat kebaikan walaupun kecil.  


Ayat [9:80]

ٱسْتَغْفِرْ لَهُمْ أَوْ لَا تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ إِن تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ سَبْعِينَ مَرَّةً فَلَن يَغْفِرَ ٱللَّهُ لَهُمْ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَفَرُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلْفَٰسِقِينَ

“(Orang-orang munafik itu) sama sahaja engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun bagi mereka. Jika engkau (wahai Muhammad) meminta ampun bagi mereka tujuh puluh kali (sekalipun) maka Allah tidak sekali-kali mengampunkan mereka; yang demikian itu, kerana mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya; dan Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.”

Mesej Dan Tindakan

  1. Allah marah sangat kepada orang munafik sehingga Allah menyebut jika Nabi SAW memohon keampunan 70 kali untuk mereka pun, Allah tidak akan mengampunkan.
  2.  
  3. Sebagai manusia, kita tidak boleh menghukum orang lain. Jangan jadi Allah! Hanya Allah tahu segala penipuan ataupun helah yang dibuat oleh orang munafik tersebut.
  4.  
  5. Nabi SAW tetap memohon keampunan kerana mereka daftar sebagai orang Islam. Contohnya Nabi solat jenazah Abdullah bin Ubai bin Salul sehingga Allah SWT menegur baginda.
  6.  
  7. Dalam masyarakat sekarang, kita tidak tahu siapa orang munafik. Kita belajar bukan untuk menghukum. Cerita ini adalah pada konteks zaman Nabi SAW. Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui siapa orang munafik.
  8.  
  9. Allah murka sangat pada orang munafik kerana mereka engkar dengan Allah dan RasulNya. Ada kebenaran tetapi mereka tutup kerana tidak suka dikacau apa yang telah biasa mereka lakukan. Contoh: mereka tidak suka infak apabila hendak berperang.
  10.  
  11. Allah tidak akan memberi hidayah kepada kaum yang fasik iaitu mereka yang derhaka kepada Allah. Sudah dapat hidayah, sudah diberi peluang untuk mendengar kebenaran tetapi melawan Allah SWT.
  12.  

Ayat [9:81]

فَرِحَ ٱلْمُخَلَّفُونَ بِمَقْعَدِهِمْ خِلَٰفَ رَسُولِ ٱللَّهِ وَكَرِهُوٓا۟ أَن يُجَٰهِدُوا۟ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَقَالُوا۟ لَا تَنفِرُوا۟ فِى ٱلْحَرِّ قُلْ نَارُ جَهَنَّمَ أَشَدُّ حَرًّا لَّوْ كَانُوا۟ يَفْقَهُونَ

“Orang-orang (munafik) yang ditinggalkan (tidak turut berperang) itu, bersukacita disebabkan mereka tinggal di belakang Rasulullah (di Madinah); dan mereka (sememangnya) tidak suka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah (dengan sebab kufurnya), dan mereka pula (menghasut dengan) berkata: "Janganlah kamu keluar beramai-ramai (untuk berperang) pada musim panas ini". Katakanlah (wahai Muhammad): "Api neraka Jahannam lebih panas membakar", kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami.”

Mesej Dan Tindakan

  1. ٱلْمُخَلَّفُونَ adalah orang yang memang Allah sudah susun bagi mereka untuk tidak pergi ke Perang Tabuk. Mereka memang suka bila tidak payah pergi ke Tabuk kerana jauh dan cuaca sangat panas. Mereka yang tidak pergi itu merasa gembira (فَرِحَ). Contoh sekarang: orang susah kerja, kita relax sahaja menunggu komisen. Ini adalah sifat orang yang ada masalah hati yang kita perlu elakkan.
  2.  
  3. Allah mulakan dengan harta (بِأَمْوَٰلِ) kerana memang tidak mudah untuk memberi harta kepada orang lain. Jika kita ini jenis yang mudah untuk menderma, itu tandanya kita ini jauh dari sifat munafik. Orang munafik tidak suka menyusahkan diri untuk menolong orang.
  4.  
  5. Jika mereka merasa tidak selesa dengan panas, Allah beritahu bahawa neraka jahanam itu lebih panas daripada cuaca panas semasa perang Tabuk. Berat macam mana pun, kita kena berjuang. Nabi SAW memilih untuk bersusah dan berpanas di dunia.
  6.  
  7. Semoga dengan memahami surah at-Tawbah ini kita bersungguh-sungguh berjuang fi sabilillah. Biar berpanas dan berat di dunia tetapi jangan sampai kena panas dan hukuman berat di akhirat.
  8.  
  9. Jadilah orang yang gembira, suka senyum tetapi jangan pula kita rasa gembira bila tidak berjuang, goyang kaki di rumah sahaja. Contoh: Perjuangan frontliners dizaman covid ini adalah perjuangan yang amat penting.
  10.  

Ayat [9:82]

فَلْيَضْحَكُوا۟ قَلِيلًا وَلْيَبْكُوا۟ كَثِيرًا جَزَآءًۢ بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ

“Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan.”

Mesej Dan Tindakan

  1. Nabi SAW berjuang, membawa al-Quran untuk manfaat kita sekarang, jadi kita janganlah berasa gembira dan senang untuk duduk-duduk sahaja. Hendaklah kita manfaatkan segala potensi yang Allah SWT berikan kepada kita. Tanya diri kita, apakah lagi yang kita boleh buat untuk meninggikan agama Allah. Semoga kita sama-sama dapat memberi semangat agar perjuangan ini kita pegang bersama.
  2.  
  3. Semoga Allah terus menanamkan rasa cinta kita kepada al-Quran. Bila bersama al-Quran, kita sedar bahawa Allah selalu menegur kita. Bila ada orang menegur kita, kita bersyukur dan terimalah kerana bukan semua orang hendak tegur kita. Allah yang menghantar orang itu. Jangan kita menjadi orang yang cepat sentap kerana itu petanda ada masalah hati.
  4.  

Ayat [9:83]

فَإِن رَّجَعَكَ ٱللَّهُ إِلَىٰ طَآئِفَةٍ مِّنْهُمْ فَٱسْتَـْٔذَنُوكَ لِلْخُرُوجِ فَقُل لَّن تَخْرُجُوا۟ مَعِىَ أَبَدًا وَلَن تُقَٰتِلُوا۟ مَعِىَ عَدُوًّا إِنَّكُمْ رَضِيتُم بِٱلْقُعُودِ أَوَّلَ مَرَّةٍ فَٱقْعُدُوا۟ مَعَ ٱلْخَٰلِفِينَ

“Maka jika Allah mengembalikan engkau kepada segolongan dari mereka (orang-orang yang munafik itu di Madinah), kemudian mereka meminta izin kepadamu untuk keluar (turut berperang), maka katakanlah: "Kamu tidak sekali-kali akan keluar bersama-samaku selama-lamanya, dan kamu tidak sekali-kali akan memerangi musuh bersama-samaku; sesungguhnya kamu telah bersetuju tinggal pada kali yang pertama, oleh itu duduklah kamu bersama-sama orang-orang yang tinggal".”

Mesej Dan Tindakan

  1. Ada yang meminta izin kepada Nabi SAW untuk mengikut baginda SAW ke peperangan berikut, selepas Tabuk. Allah SWT suruh Nabi SAW beritahu mereka bahawa Allah tidak membenarkan kerana mereka tidak mahu membantu ketika di Tabuk. Nabi SAW memberitahu mereka secara lembut, yang maknanya, bahawa mereka memang tidak boleh diharap. Jadi, lebih eloklah mereka duduk sahaja. Jika bos atau ayah suruh kita duduk-duduk sahaja, setelah kita tidak buat apa yang disuruh pada awalnya, itu adalah penghinaan.
  2.  
  3. Pengajaran: Bila seseorang berada dalam projek yang kritikal, yang perlukan kerjasama tetapi dia duduk goyang kaki dan rasa gembira, lepas tu buat-buat sedih dan minta maaf. Kemudian hendak sertai projek seterusnya apabila sudah nampak kemenangan. Itulah semangat orang-orang munafik yang hanya bersemangat bila dapat bahagian dia, tapi bila kalah mereka mengejek. Inilah perkara yang kita kena jaga. Pastikan jangan sampai terlepas daripada projek-projek kebaikan yang hendak dibuat dalam sesuatu organisasi.
  4.  
  5. Alasan-alasan yang diberi untuk tidak turut berjuang adalah satu fitnah tersendiri. Kalau kita suka duduk relax sahaja, Allah akan berikan penghinaan, Allah akan biarkan kita dengan kemalasan kita untuk tidak turut berjuang seterusnya.
  6.  
  7. Namun jangan pula kita pandai-pandai hendak senaraikan nama orang yang kita rasakan munafik. Jikapun kita rasa dia ada ciri-ciri itu, kita tetap tidak boleh menghukum. Di zaman Nabi SAW ada wahyu yang memberitahu baginda SAW siapa mereka itu. Kalau sifat-sifat itu muncul dalam kita cepat-cepatlah kita minta ampun dan baiki. Kalau ada dalam organisasi, kita ajak dia untuk berbincang.
  8.  

Ayat [9:84]

وَلَا تُصَلِّ عَلَىٰٓ أَحَدٍ مِّنْهُم مَّاتَ أَبَدًا وَلَا تَقُمْ عَلَىٰ قَبْرِهِۦٓ إِنَّهُمْ كَفَرُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَمَاتُوا۟ وَهُمْ فَٰسِقُونَ

“Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari orang-orang munafik itu selama-lamanya, dan janganlah engkau berada di (tepi) kuburnya, kerana sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya, dan mereka mati sedang mereka dalam keadaan fasik (derhaka).”

Mesej Dan Tindakan

  1. Pada ayat 80 Allah memberitahu Dia tidak memberi hidayah kepada orang yang fasik. Sekali lagi pada ayat ini Allah kata yang mereka itu kufur kepada Allah dan RasulNya. Jenazah mereka tidak layak untuk disolatkan ataupun kubur mereka dimuliakan kerana fasik/derhakanya mereka kepada Allah SWT.
  2.  
  3. Allah amat marah kepada orang munafik pada zaman Rasulullah SAW. Ada pendapat mengatakan ayat ini khas untuk zaman Rasul. Hanya Allah yang tahu siapa orang munafik. Mereka tidak layak dimuliakan kerana mereka derhaka kepada Allah. Mereka tidak solat. Kalau solat pun hanya untuk menampak-nampakkan.
  4.  
  5. Semua ini pelajaran untuk kita. Golongan munafik sentiasa wujud sehingga zaman sekarang, namun kita tidak tahu sebenarnya, jadi janganlah kita pandai-pandai senaraikan nama sesiapa dalam golongan munafik. Orang yang faham hidayah daripada al-Quran tidak akan mudah label orang kerana Nabi SAW juga tidak berbuat begitu. Nabi pun tidak suka orang mengumpat kerana bila mengumpat, kita akan label orang.
  6.  

Ayat [9:85]

وَلَا تُعْجِبْكَ أَمْوَٰلُهُمْ وَأَوْلَٰدُهُمْ إِنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُعَذِّبَهُم بِهَا فِى ٱلدُّنْيَا وَتَزْهَقَ أَنفُسُهُمْ وَهُمْ كَٰفِرُونَ

“Dan janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengannya di dunia, dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka dalam keadaan kafir (untuk mendapat azab akhirat pula).”

Mesej Dan Tindakan

  1. Ada dua cabaran dalam perjuangan: a) harta, b) ahli keluarga. Orang munafik tidak mahu pergi berjuang kerana terlalu selesa dengan harta dan keluarga. Semasa perang Tabuk, ada sahabat yang tidak sempat mengambil buah-buah kurma yang sedang masak di ladang mereka. Mereka rela meninggalkan harta. Ada yang tidak pergi kerana lebih mementing harta.
  2.  
  3. Allah larang kita daripada kagum kepada orang yang hanya pentingkan harta dan keluarga sehingga abaikan perjuangan.
  4.  
  5. Jika kita ada anak, ada harta; bila tidak pergi berjuang tolong orang di luar rumah itu tandanya Allah sedang azab orang itu di dunia. Tetapi kalau kita kaya, ada anak tetapi gunakannya untuk kebaikan, hidupkan al-Quran, itu Allah suka. Janganlah anak dan harta kita jadi penghalang untuk berjuang.
  6.  
  7. Orang munafik apabila meninggal, mereka tidak akan dimuliakan. Inilah azab untuk mereka di dunia. Mereka jadi begitu kerana kufur kepada Allah SWT.
  8.  

Ayat [9:86]

وَإِذَآ أُنزِلَتْ سُورَةٌ أَنْ ءَامِنُوا۟ بِٱللَّهِ وَجَٰهِدُوا۟ مَعَ رَسُولِهِ ٱسْتَـْٔذَنَكَ أُو۟لُوا۟ ٱلطَّوْلِ مِنْهُمْ وَقَالُوا۟ ذَرْنَا نَكُن مَّعَ ٱلْقَٰعِدِينَ

“Dan apabila diturunkan satu surah Al-Quran (yang menyuruh mereka): "Berimanlah kamu kepada Allah, dan berjihadlah bersama-sama dengan RasulNya", nescaya orang-orang yang kaya di antara mereka meminta izin kepadamu dengan berkata: "Biarkanlah kami tinggal bersama-sama orang-orang yang tinggal (tidak turut berperang)".”

Mesej Dan Tindakan

  1. Orang-orang munafik ini apabila diminta untuk berjihad bersama Rasul, mereka minta izin untuk tidak pergi.
  2.  
  3. Tanda seseorang itu bertaubat ialah dia tidak suka duduk relax tetapi dia cuba untuk berjuang walaupun ada banyak kesilapan tetapi Allah suruh pergi buat kerja. Bila buat kerja tolong orang, itu tandanya taubat kita ini diterima oleh Allah SWT.
  4.  


RESOLUSI MQT280 

Ingat !!

  1. Elakkan menjadi orang fasik yang ingkar kepada perintah Allah SWT dan Rasul (80)
  2. Selalu sedar azab lebih pedih di akhirat jika mahu bersenang sahaja di dunia (81)
  3. Berjaga-jaga dengan kekayaan dan keluarga yang menjauhkan diri daripada perjuangan (85)

Lega kerana Allah ingatkan supaya berjaga-jaga dengan kekayaan dan keluarga agar saya tidak lalai daripada perjuangan.

Saya jelas untuk Saya jelas untuk elakkan menjadi orang fasik yang ingkar kepada perintah Allah SWT dan Rasul. Saya jelas azab lebih pedih di akhirat jika mahu bersenang sahaja di dunia. Saya jelas saya mesti berjaga-jaga dengan kekayaan dan keluarga yang menjauhkan diri daripada perjuangan. 

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.

Ya Allah, jauhi kami daripada menjadi orang fasik yang ingkar kepada perintah Allah SWT dan Rasul. Ya Allah, bimbing kami untuk sedar bahawa azab lebih pedih di akhirat jika mahu bersenang sahaja di dunia. Ya Allah, pandu kami untuk manfaatkan kekayaan dan keluarga untuk perjuangan fi sabilillah.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: MyQuranTime

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...