PERKATAAN HARI INI
كفر menutup sesuatu, kufur
525 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
- Kufur dan apa itu kafir (ayat 6-7)
- Ciri Munafik (ayat 8-16)
Ayat 6-7 : Ciri-ciri Kafir
إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ سَوَآءٌ عَلَيْهِمْ ءَأَنذَرْتَهُمْ أَمْ لَمْ تُنذِرْهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ ٦
Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman.
خَتَمَ ٱللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَعَلَىٰ سَمْعِهِمْ ۖ وَعَلَىٰٓ أَبْصَـٰرِهِمْ غِشَـٰوَةٌۭ ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌۭ ٧
(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.
Pengajaran
إنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا diturunkan berkenaan dengan kaum Yahudi Madinah. Ayat ini menjelaskan bahawa mereka itu walaupun telah diperingatkan tetapi tidak akan beriman. Hati mereka mati (ingatkan atau tidak mereka tidak kisah).
Perkataan 'kafir' dalam ayat ini adalah perbuatan sengaja menutup kebenaran kerana kedegilan mereka. Walaupun mereka sudah tahu yang al-Quran itu benar, tetapi masih menolak kebenaran. Walaupun telah diutuskan seorang rasul untuk memberi peringatan namun mereka tetap dalam kekufuran.
Kafir yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang yang telah didakwah berkali-kali tetapi mereka masih lagi tidak terima. Sampai kepada peringkat mereka melawan kita kembali.
Janganlah degil kepada mesej Nabi. Kita mestilah sampaikan mesej Nabi kepada kawan-kawan kita yang belum Islam. Beri khabar gembira kepada mereka.
Kalau tak beriman juga, Allah akan kunci pancaindera - hati, pendengaran, pengelihatan. Apa kaitan dengan kita? Amat penting kita jaga pendengaran - jaga apa yang kita dengar kerana ia memberi kesan kepada penglihatan dan hati kita. Kalau dengar banyak al-Quran hati lebih terkesan.
Ayat 8-16 : Ciri-ciri Munafik
وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَبِٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَمَا هُم بِمُؤْمِنِينَ ٨
Dan di antara manusia ada yang berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat"; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.
يُخَـٰدِعُونَ ٱللَّهَ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَمَا يَخْدَعُونَ إِلَّآ أَنفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ ٩
Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.
فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌۭ فَزَادَهُمُ ٱللَّهُ مَرَضًۭا ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌۢ بِمَا كَانُوا۟ يَكْذِبُونَ ١٠
Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).
وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ قَالُوٓا۟ إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ ١١
Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan".
أَلَآ إِنَّهُمْ هُمُ ٱلْمُفْسِدُونَ وَلَـٰكِن لَّا يَشْعُرُونَ ١٢
Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.
وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ ءَامِنُوا۟ كَمَآ ءَامَنَ ٱلنَّاسُ قَالُوٓا۟ أَنُؤْمِنُ كَمَآ ءَامَنَ ٱلسُّفَهَآءُ ۗ أَلَآ إِنَّهُمْ هُمُ ٱلسُّفَهَآءُ وَلَـٰكِن لَّا يَعْلَمُونَ ١٣
Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman". Mereka menjawab: "Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?" Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
وَإِذَا لَقُوا۟ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قَالُوٓا۟ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوْا۟ إِلَىٰ شَيَـٰطِينِهِمْ قَالُوٓا۟ إِنَّا مَعَكُمْ إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِءُونَ ١٤
Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: " Kami telah beriman ", dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:" Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)".
ٱللَّهُ يَسْتَهْزِئُ بِهِمْ وَيَمُدُّهُمْ فِى طُغْيَـٰنِهِمْ يَعْمَهُونَ ١٥
Allah (membalas) memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu).
أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشْتَرَوُا۟ ٱلضَّلَـٰلَةَ بِٱلْهُدَىٰ فَمَا رَبِحَت تِّجَـٰرَتُهُمْ وَمَا كَانُوا۟ مُهْتَدِينَ ١٦
Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah.
Pengajaran
Munafik adalah orang yang menampakkan keimanan secara zahir namun dalam hatinya menyimpan kekufuran. Mereka itu lebih buruk dibandingkan orang kafir yang sudah tenggelam dalam kekufurannya.
Dalam maksud lain, tidak sama apa yang diucapkan dengan apa yang terdapat di dalam hati. Golongan ini sebenarnya lebih bahaya dan diibaratkan sebagai mulut manis, hati berkait.
Mereka mengakui keimanan dengan lisan-lisannya yang penuh dengan penipuan. Mereka berlagak seperti orang beriman dan pandai bermain lidah yang dihiasi dengan firman Tuhan dan sabda Rasul. Namun sebenarnya mereka menyembunyikan kekufuran di dalam hati.
Sebenarnya ketika mereka menipu Allah SWT dan kaum mukminin dengan kemunafikan, hakikatnya ketika itu mereka sedang menipu diri sendiri dan tidak pernah menyedarinya. Orang munafik ini tak menyedari bahawa mereka itu sebenarnya sedang berpura-pura.
Ringkasan ciri-ciri Munafik:
- Hati sakit (Cakap tak serupa bikin). Lihat dalam diri kita ciri-ciri hati yang sakit. Minta ampun kalau ada ciri-ciri ini.
- Menipu diri sendiri tapi tak sedar ada ciri ini.
- Hati yang sakit - ragu tentang Allah, tentang al-Quran, tak yakin bahawa buat perkara yang tak baik seperti tipu akan diazab yang pedih yang berterusan oleh Allah. Cuba tipu Allah.
- Menafikan kebenaran - mendustakan Quran, hati akan semakin sakit (2:11). Pastikan apa yang kita buat mesti berbalik kepada Quran.
- Gelar orang lain bodoh - persoalkan pengorbanan untuk islahkan diri, keluarga dan masyarakat.
- Suka gaduh.
- Tidak ada ilmu.
- Talam dua muka.
- Suka memperolokkan orang - pandang rendah pada orang lain
- Buta mata hati - terumbang ambing dalam kesesatan. Beli kesesatan dengan petunjuk. Kerana mereka mudah masuk Islam.
3 jenis hati
- Hati yang sejahtera (Qalbun Salim) (2:1-5)
- Hati yang mati (Qalbun Mayyit) (2:6-7)
- Hati yang sakit (2:8-16) (Qalbun Maridh - مرض)
RESOLUSI
Ingat!
- Hidupkan pancaindera untuk memerhati al-Quran dan kebesaran Allah (2:6)
- Elakkan menipu kerana ia mengeruhkan jiwa (2:10) khuatir Allah jadikan buta mata hati
- Semak usaha kita memperbaiki dunia ini dengan panduan Tuhan atau tidak (2:12). Urus diri, keluarga, organisasi, negara dengan ilmu al-Quran
Lega, Allah bongkarkan ciri Kafir dan Munafik supaya saya dapat jauhkan ciri-ciri ini. Sayangnya Allah kepada kita. Dia beritahu awal-awal dalam al-Quran.
Saya jelas untuk membuang sifat kafir dan munafik dari diri. Oleh itu saya mesti istiqamah baca-faham-amal al-Quran supaya Allah kurniakan keberkatan dalam hidup, nampak jalan yang lurus, elak jalan yang Allah Murka dan jalan sesat. Saya jelas untuk tidak tukar hidayah dengan perkara lain. Appreciate rosy lane. Jangan banyak complain tentang hidayah.
Ya Allah, jadikan pendengaran kami suka mendengar al-Quran, jadikan mata kami mata yang dapat melihat ayat-ayat-Mu di alam buana dan hati kami dapat memikirkan kebesaran dan kasih sayang-Mu kepada kami.
Ya Allah, bersihkan hati kami, cerahkan hati kami agar hati kami sentiasa terbuka untuk memahami dan mengamal al-Quran. Jauhkan kami dari sifat-sifat orang kafir dan munafik.
Ampun kami Ya Allah, atas segala kelalaian dan dosa-dosa yang kami lakukan secara sedar atau tidak sedar. Kurniakan taufik dan hidayah Mu kepada kami agar kami berjaya di dunia dan berjaya di akhirat, jauhkan kami dari azab neraka.
Rujukan: MyQuranTime