Tuesday, May 2, 2023

Halaman 22 : Al-Baqarah, 2:142-145

PERKATAAN HARI INI


  ر أ ى   Lihat, tengok, memerhati
 328 kali disebut dalam al-Quran 


SINOPSIS   

  1. Pendahuluan Pengalihan Kiblat (2:142-143)
  2. Pengalihan Kiblat (2:144-145)


Mukadimah

Alhamdulillah, hari ini masuk Juzuk Kedua. Semoga Allah terus beri kekuatan rohani dan jasmani untuk tilawah al-Quran sehingga ke penghujung hayat. Dimulakan dengan bacaan Ummul Quran yang menjadi kekuatan bagi kehidupan kita. Alhamdulillah, banyak pelajaran yang telah kita dapati di dalam juzuk pertama yang menceritakan tentang hati; hati yang sakit dan hati yang keras.

Pengajian hari ini masih di dalam surah al-Baqarah, surah terpanjang yang juga dikenali sebagai Sanamul Quran. Ya Allah kurniakan kepada kami istiqamah untuk mendaki sampai ke puncak. Terdapat banyak mesej penting dalam Juzuk Kedua ini. 

Semoga ayat (2:143) akan lebih memberi inspirasi buat kita semua kerana kita sudah sampai di pertengahan jalan untuk mendaki puncak al-Quran. 


Ayat 142 - Permulaan Juzuk Kedua

۞ سَيَقُولُ ٱلسُّفَهَآءُ مِنَ ٱلنَّاسِ مَا وَلَّىٰهُمْ عَن قِبْلَتِهِمُ ٱلَّتِى كَانُوا۟ عَلَيْهَا ۚ قُل لِّلَّهِ ٱلْمَشْرِقُ وَٱلْمَغْرِبُ ۚ يَهْدِى مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٍۢ مُّسْتَقِيمٍۢ ١٤٢

Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: "Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Timur dan barat adalah kepunyaan Allah - (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah yang memberikan petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus".


Allah mulakan dengan istilah  ٱلسُّفَهَآءُ  yang merujuk kepada orang -orang yang mengata-ngata tentang pertukaran kiblat dari Masjidil Aqsa ke Masjidilharam. Orang-orang  ٱلسُّفَهَآءُ , ialah mereka yang berakal rendah, atau dalam kata lain bodoh, seperti kaum Yahudi yang suka mempersoalkan dan mempermain-mainkan Nabi s.a.w. 


Pengajaran

  1. Janganlah menjadi orang yang  suka mempersoal. Bertanya untuk belajar itu bagus tetapi jangan mempersoalkan untuk mempermain-mainkan.  
  2. Allah lah yang memberi petunjuk/hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki. 
  3. Jika Allah pimpin kita mengarah ke kiblat, ikuti sahaja, bukan mempersoalkan seperti mereka. Walau ke arah mana pun kiblat, Dia yang menentukan. Kepunyaan-Nya timur dan barat.
  4. Mengubah jalan kehidupan atas jalan hidayah itu bukan sesuatu yang mudah. Contohnya, biasanya kita buat sesuatu di luar pada pukul  , tiba-tiba kita berubah untuk tidak ke mana-mana tetapi duduk di rumah membaca Quran di program ini. Pasti ada kawan-kawan yang mempersoalkan perubahan itu. 
  5. Jangan takut kecaman orang kalau kita hendak ubah cara hidup atas jalan hidayah.


Ayat 143 - Pertengahan surah al-Baqarah ( 286 ayat). Dalam ayat ini ada perkataan " وَسَطًا - pertengahan"

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَـٰكُمْ أُمَّةًۭ وَسَطًۭا لِّتَكُونُوا۟ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًۭا ۗ وَمَا جَعَلْنَا ٱلْقِبْلَةَ ٱلَّتِى كُنتَ عَلَيْهَآ إِلَّا لِنَعْلَمَ مَن يَتَّبِعُ ٱلرَّسُولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ ۚ وَإِن كَانَتْ لَكَبِيرَةً إِلَّا عَلَى ٱلَّذِينَ هَدَى ٱللَّهُ ۗ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَـٰنَكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بِٱلنَّاسِ لَرَءُوفٌۭ رَّحِيمٌۭ ١٤٣

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).


Allah pimpin menuju ke kiblat, itu adalah hidayah. Bila Allah palingkan kiblat, ini menunjukkan rasul itu adalah rasul pilihan. Berubah itu bukan sekadar satu perubahan. Itu menunjukkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W membawa mesej yang benar. Maka orang Yahudi merasa tercabar (offended).  Ini juga petanda bahawa dengan perintah Allah menukar kiblat,  Kaabah itu akan dibersihkan dari berhala-berhala. Proses pembersihan ini berlaku daripada Madinah sehingga peristiwa Fathul Makkah. Itulah jalan hidayah yang sebenarnya.


أُمَّةً وَسَطًا - Umat pertengahan yang membawa beberapa makna:

  1. Umat yang adil - Tidak extrem dalam ilmu dan amal mereka. Orang Kristian beramal tanpa ilmu, contohnya tidak perlu kahwin. Yahudi pula tamak, mahukan segalanya. Mereka hendakkan dunia ini milik mereka. 
  2. Keseimbangan - Berpada-pada atau jangan melampau-lampau. Keseimbangan dunia akhirat penting. Bukan sekadar melihat fizikal. Tidak terlalu materialistik dan tidak terlalu keakhiratan


Ayat 144

قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِى ٱلسَّمَآءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةًۭ تَرْضَىٰهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا۟ وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُۥ ۗ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ ١٤٤

Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.


Semasa mula berhijrah ke Madinah, Nabi S.A.W dan sahabat-sahabat solat menghadap ke Baitul Maqdis selama 16 atau 17 bulan (Rujuk Tafsir al-Azhar). Sedangkan baginda amat rindu sekali agar kiblat itu menghadap ke Baitullah. Baginda S.A.W gelisah memandang ke langit tetapi Baginda S.A.W tidak meminta apa-apa. Allah SWT faham apa yang menyebabkan kegelisahan Nabi maka Allah beritahu akan memalingkan kiblat ke arah yang baginda suka. 

Suatu hari semasa solat Asar, Allah perintahkan Nabi S.A.W untuk menukar kiblat ke arah Kaabah. Masjid tempat berlakunya pertukaran kiblat itu kekal sebagai masjid sehingga sekarang iaitu Masjid Qiblatain (Masjid Dua Kiblat).

Orang Yahudi memang sudah tahu tentang pertukaran ini sebab sudah diberitahu dalam Taurat. Namun mereka sembunyikan cerita itu. Peristiwa pertukaran kiblat ini membuatkan orang Yahudi merasa tidak senang hati kerana dengan peralihan kiblat dari Baitul Maqdis itu kemegahan mereka akan runtuh. Sebab menurut mereka, sumber agama Yahudi itu adalah Baitul Maqdis dan dari situ juga timbul nabi dan rasul-rasul dari Bani Israel. 

Perubahan kiblat ke arah Kaabah bukanlah bermakna Allah bertempat di situ. Soal peralihan tempat bukanlah soal penempatan Allah di mana-mana tempat dan bukan kerana tempat itu yang kita sembah. Timur dan Barat, Utara dan Selatan dan penjuru manapun adalah kepunyaan Allah.


Ayat 145

وَلَئِنْ أَتَيْتَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ بِكُلِّ ءَايَةٍۢ مَّا تَبِعُوا۟ قِبْلَتَكَ ۚ وَمَآ أَنتَ بِتَابِعٍۢ قِبْلَتَهُمْ ۚ وَمَا بَعْضُهُم بِتَابِعٍۢ قِبْلَةَ بَعْضٍۢ ۚ وَلَئِنِ ٱتَّبَعْتَ أَهْوَآءَهُم مِّنۢ بَعْدِ مَا جَآءَكَ مِنَ ٱلْعِلْمِ ۙ إِنَّكَ إِذًۭا لَّمِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ١٤٥

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau bawakan kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, akan segala keterangan (yang menunjukkan kebenaran perintah berkiblat ke Kaabah itu), mereka tidak akan menurut kiblatmu, dan engkau pula tidak sekali-kali akan menurut kiblat mereka; dan sebahagian dari mereka juga tidak akan menurut kiblat sebahagian yang lain. Demi sesungguhnya! Kalau engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka setelah datang kepadamu pengetahuan (yang telah diwahyukan kepadamu), sesungguhnya engkau, jika demikian, adalah dari golongan orang-orang yang zalim.


Ideanya, bagi banyak mana pun Kaum Yahudi tetap berdegil. Mereka tidak akan mahu menukar kiblat. Jika selepas diberi ilmu tetapi masih tidak mengikuti, maka itu adalah zalim. Mereka sebenarnya menzalimi diri sendiri kerana mengikut hawa nafsu. Mereka mahu arah kiblat dikembalikan ke Baitul Maqdis. Allah menguatkan hati Nabi S.A.W dalam perjuangan melawan kaum Yahudi untuk tetap menurut perintah Allah sebagai tauladan kepada umat Islam.


Pengajaran Ayat 143-145

  1. Sebagai umat Islam kita mesti membawa keadilan.
  2. Bina kehidupan yang seimbang untuk membawa nikmat dunia sampai ke akhirat.
  3. Jadilah orang yang berilmu dan beramal. 
  4. Tilawah al-Quran akan memberi keseimbangan itu kerana al-Quran akan memunggah segala emosi yang kita ada.
  5. Amalan yang dibuat berasaskan ilmu al-Quran tidak akan sia-sia.
  6. Keseimbangan hidup akan didapati dengan berteraskan hidayah.
  7. Perintah perubahan kiblat adalah sebagai ujian Allah untuk melihat siapa yang taat mengikut perintah-Nya. 
  8. Allah tidak mensia-siakan amalan yang dibuat berasaskan iman. 
  9. Allah Maha Pengasih (رَءُوفٌ ) Maha Penyayang, tidak menyusahkan hambanya yang beriman.
  10. Hanya Allah yang Maha Memahami dengan sebenarnya hati seseorang. Berserahlah kepada-Nya.
  11. Allah akan beri kekuatan untuk melawan musuh Islam sekiranya kita tetap berpegang teguh kepada al-Quran.
  12. Orang yang mempunyai ilmu al-Quran tidak akan mudah terpengaruh dengan dakyah orang yang tidak beriman.
  13. Kalau sudah ada ilmu tetapi tidak beramal, itu bermakna kita menzalimi diri sendiri.
  14. Allah SWT murka dengan orang yang berilmu tetapi tidak beramal.


RESOLUSI 

Ingat !!

  1. Ikut cakap Allah, lebih penting dari ikut cakap manusia (2:143)
  2. Pastikan apa yang dilaksanakan adalah pertengahan, bukan extreme (2:143)
  3. Jaga identiti sebagai seorang Muslim dan jangan suka menyerupai orang yang tidak bertauhid (2:144)

Lega kerana Allah menjanjikan kebaikan dan ketenangan kepada orang yang hidup secara pertengahan berlandaskan wahyu.

Saya jelas untuk ikut perintah Allah, tidak extreme dan menjaga identiti sebagai muslim sejati.

Ya Allah, jadikan kami orang yang taat kepada perintah-Mu. Jauhi kami daripada menjadi orang yang extreme. Ya Allah, bantu kami untuk jaga identiti sebagai seorang Muslim. Jauhi kami daripada suka menyerupai orang yang tidak bertauhid.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...