PERKATAAN HARI INI:
عَرَا / عَرَوَ = Ditimpa, mengena.
3 kali disebut di dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Sambungan kisah Nabi Hud AS ( 11:54-60)
- Kisah Nabi Saleh AS (11:61-62)
Mukadimah
Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT pada hari ini kita dapat menyambung kisah Nabi Hud AS untuk kita sama-sama memahami, menguatkan keimanan kepada Allah SWT dan terus bersama al-Quran sepanjang hayat kita.
Ayat 11: 54
إِن نَّقُولُ إِلَّا ٱعْتَرَىٰكَ بَعْضُ ءَالِهَتِنَا بِسُوٓءٍۢ ۗ قَالَ إِنِّىٓ أُشْهِدُ ٱللَّهَ وَٱشْهَدُوٓا۟ أَنِّى بَرِىٓءٌۭ مِّمَّا تُشْرِكُونَ ٥٤
"Kami hanya boleh berkata bahawa setengah dari tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu)". Nabi Hud menjawab: "Sesungguhnya aku menyeru Allah menjadi saksi tentang kebenaranku, dan kamu juga saksikanlah bahawa aku bersih dari dosa perbuatan syirik kamu."
Pengajaran
- Kaum Aad berkata yang Nabi Hud AS itu tidak siuman (ٱعْتَرَ) kerana kononnya tuhan-tuhan mereka marah. Zaman sekarang perangai ini berterusan kerana ada yang percaya jika melarang orang menyembah kubur, akan mendapat sakit.
- Nabi Hud AS berkata bahawa baginda hanya menyembah Allah SWT dan berlepas diri daripada apa yang mereka syirikkan.
- Dengan keimanan kepada Allah SWT, kita amat jelas bahawa yang berkuasa hanyalah Allah SWT.
Ayat 11: 55
مِن دُونِهِۦ ۖ فَكِيدُونِى جَمِيعًۭا ثُمَّ لَا تُنظِرُونِ ٥٥
"Menyembah yang lain dari Allah. Maka rancangkanlah tipu helah kamu semua terhadapku, kemudian jalankan terus, janganlah kamu beri tempoh kepadaku mempertahankan diri.
Pengajaran
- Nabi Hud AS mencabar ( فَكِيدُونِى ) mereka untuk segera menjatuhkan baginda.
- Nabi Hud AS sangat berani kerana baginda tahu Allah SWT akan memberi syurga di atas kebenaran yang diperjuangkan.
- Dalam hidup kita ini hendaklah kita kuatkan keimanan dan perjuangkan kebenaran. Dengan keimanan, Allah SWT akan selamatkan kita.
Ayat 11: 56
إِنِّى تَوَكَّلْتُ عَلَى ٱللَّهِ رَبِّى وَرَبِّكُم ۚ مَّا مِن دَآبَّةٍ إِلَّا هُوَ ءَاخِذٌۢ بِنَاصِيَتِهَآ ۚ إِنَّ رَبِّى عَلَىٰ صِرَٰطٍۢ مُّسْتَقِيمٍۢ ٥٦
"Kerana sesungguhnya aku telah berserah diri kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu! Tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus."
Pengajaran
- Nabi Hud AS tetap menyampaikan mesej tauhid supaya kaumnya kembali kepada Allah SWT.
- Nabi Hud AS sampaikan kepada kaumnya, hanya Allah SWT yang menguasai segalanya. Semuanya berlaku dengan izin Allah SWT.
- Yang benar berada di jalan yang lurus adalah di jalan Allah SWT. Kita perlu berusaha untuk berada di jalan yang lurus dengan panduan wahyu. Tidak perlu mencari keris, kubur atau wali untuk kita puja. Semua itu bertentangan dengan amalan bahawa Allah yang Maha Berkuasa.
- Dalam surah al-Baqarah, Nabi Ibrahim mengatakan, "tenang kita ialah apabila kita bersama Allah, mengingati Allah, meminta kepada Allah bukan bergantung kepada manusia”.
- Pada zaman pendemik ini kita perlukan kekuatan ini agar ketika berhadapan dengan cabaran-cabaran yang ada, tidak tergoyah keimanan kita. Kekuatan ini yang perlu kita pegang sampai ke akhirat nanti.
Ayat 11: 57
فَإِن تَوَلَّوْا۟ فَقَدْ أَبْلَغْتُكُم مَّآ أُرْسِلْتُ بِهِۦٓ إِلَيْكُمْ ۚ وَيَسْتَخْلِفُ رَبِّى قَوْمًا غَيْرَكُمْ وَلَا تَضُرُّونَهُۥ شَيْـًٔا ۚ إِنَّ رَبِّى عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ حَفِيظٌۭ ٥٧
"Dalam pada itu, jika kamu membelakangkan juga seruanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku kerana aku telah sampaikan kepada kamu apa yang telah diutus oleh Allah untuk menyampaikannya, dan Tuhanku akan menggantikan kamu dengan suatu kaum yang lain (setelah kamu dibinasakan); dan kamu pula tidak akan dapat membahayakanNya sedikitpun. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengawal dan Pemulihara tiap-tiap sesuatu."
Pengajaran
- Nabi Hud AS memberitahu kaumnya yang dia telah sampaikan wahyu Allah SWT. Baginda tidak terkesan apa-apa.
- Setelah sesuatu kaum dibinasakan, Allah SWT akan menggantikan mereka dengan suatu kaum yang lain.
- Jika seseorang itu tidak beriman, Allah SWT tidak terkesan. Orang itulah yang terkesan. Kitalah yang memerlukan Allah SWT. Allah SWT tidak memerlukan apa-apa pun daripada kita.
Ayat 11: 58
وَلَمَّا جَآءَ أَمْرُنَا نَجَّيْنَا هُودًۭا وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ بِرَحْمَةٍۢ مِّنَّا وَنَجَّيْنَـٰهُم مِّنْ عَذَابٍ غَلِيظٍۢ ٥٨
"Dan apabila datang azab Kami, Kami selamatkan Nabi Hud beserta dengan umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami; dan Kami selamatkan mereka dari azab yang keras."
Pengajaran
- Allah SWT memberi peluang untuk semua orang bertaubat. Apabila sudah diberi peluang yang cukup, orang-orang beriman akan diberi balasan yang baik, manakala orang-orang yang tidak beriman akan diazab oleh Allah SWT.
- Allah SWT selamatkan Nabi Hud AS dan orang-orang beriman bersamanya dengan rahmat daripadaNya.
- Allah janjikan selamat di dunia dan selamat di akhirat kepada Nabi Hud AS dan orang beriman bersamanya. Kalau kita beriman kepada Nabi Hud, kepada Nabi Muhammad SAW Allah akan selamatkan kita.
- Amalan kita tidak cukup. Kita selamat di dunia, selamat di akhirat hanya dengan rahmat daripada Allah SWT.
- Azab Allah SWT amat berat. Kita dalam “ lockdown” sekarang pun sudah rasa berat, apatah lagi jika kena “lockdown” di dalam neraka Allah SWT. Allah SWT janjikan jika kita bina iman, Allah SWT akan berikan rahmatNya dan kita akan selamat daripada azab.
- Semoga Allah SWT selamatkan kita bersama Nabi Hud AS dan pengikutnya nanti.
Ayat 11: 59
وَتِلْكَ عَادٌۭ ۖ جَحَدُوا۟ بِـَٔايَـٰتِ رَبِّهِمْ وَعَصَوْا۟ رُسُلَهُۥ وَٱتَّبَعُوٓا۟ أَمْرَ كُلِّ جَبَّارٍ عَنِيدٍۢ ٥٩
"Dan itulah peristiwa kaum Aad mereka mengingkari ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, serta mereka menderhaka kepada Rasul-rasulnya; dan mereka menurut perintah tiap-tiap ketua yang bermaharajalela, lagi degil dalam keingkarannya."
Pengajaran
- Aad adalah nama salah seorang pemimpin pada zaman Nabi Hud AS. Dia amat hebat, sehingga kaumnya sangat kagum dan memanggil mereka sebagai pengikut Aad. Allah SWT laknat Aad kerana dia menjadi asas kepada kesyirikan.
- Kaum Aad mengingkari (جَحَدُوا۟) tanda-tanda kekuasaan Allah SWT. Mereka berhujah untuk melawan Allah SWT dan derhaka kepada Nabi Hud AS. Derhaka kepada seorang rasul bermakna derhaka dengan semua rasul kerana rasul-rasul membawa mesej tauhid yang sama.
- Itulah sebabnya kita perlu mengamalkan sunnah nabi dan memperjuangkan tauhid kerana ini adalah perjuangan rasul-rasul sebelum ini.
- Orang beriman tidak akan mengikut ketua yang kejam lagi derhaka.
Ayat 11: 60
وَأُتْبِعُوا۟ فِى هَـٰذِهِ ٱلدُّنْيَا لَعْنَةًۭ وَيَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۗ أَلَآ إِنَّ عَادًۭا كَفَرُوا۟ رَبَّهُمْ ۗ أَلَا بُعْدًۭا لِّعَادٍۢ قَوْمِ هُودٍۢ ٦٠
"Dan mereka ditimpa laknat (yang tidak putus-putus) dalam dunia ini dan pada hari kiamat. Ketahuilah Sesungguhnya kaum Aad itu telah kufur ingkar kepada Tuhan mereka ketahuilah! Sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya bagi Aad: kaum Nabi Hud."
Pengajaran
- Allah SWT memberikan kesimpulan tentang status kaum Aad. Mereka dilaknat oleh Allah SWT di dunia dan di akhirat kerana mereka kufur kepada Allah SWT.
- Allah SWT menemplak kepada Aad yang kejam, tidak berhati perut dan juga menemplak kepada pengikutnya kerana mereka mengikut pemimpin yang sesat lagi zalim.
- Janganlah kita ikut pemimpin yang membuat polisi yang menekan rakyat atau organisasi kerana pemimpin sebegitu dilaknat, malah pengikutnya juga akan dilaknat.
Ayat 11: 61
۞ وَإِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَـٰلِحًۭا ۚ قَالَ يَـٰقَوْمِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُۥ ۖ هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ ٱلْأَرْضِ وَٱسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا فَٱسْتَغْفِرُوهُ ثُمَّ تُوبُوٓا۟ إِلَيْهِ ۚ إِنَّ رَبِّى قَرِيبٌۭ مُّجِيبٌۭ ٦١
"Dan kepada kaum Thamud, kami utuskan saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadaNya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya".
Pengajaran
- Allah SWT khabarkan tentang kaum Thamud yang diutuskan kepada mereka Nabi Soleh AS.
- Nabi Soleh menyeru kaumnya untuk menyembah Allah SWT (ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ). Baginda mengingatkan mereka tiada Tuhan untuk mereka (مَا لَكُم) selain daripada Allah SWT. Tidak ada yang Maha Berkuasa, yang lebih sayang kecuali Allah SWT. Semua asmaul husna menjelaskan tentang Allah SWT (إِلَٰهٍ).
- Nabi Soleh AS mengingatkan mereka bahawa Allah SWT yang menjadikan mereka daripada bahan-bahan bumi, serta menghendaki mereka memakmurkannya.
- Nabi Soleh AS juga menyeru mereka supaya minta ampun dan bertaubat daripada perbuatan syirik. Baginda menegaskan bahawa rahmat Allah SWT sangat dekat dan memperkenankan doa hambaNya.
- Allah SWT sangat dekat ( قَرِيبٌ) dan Maha Memperkenankan doa (مُّجِيبٌ).
- Allah SWT jadikan kita daripada tiada kepada ada, Allah bagi kita panjang umur. Makin panjang umur, pasti banyak kesilapan kita, maka hendaklah kita banyak minta ampun dan banyak bertaubat kepada Allah SWT. Ini akan membuatkan kita makin hampir dengan Allah dan Allah akan mengkabulkan apa yang kita inginkan.
- Sebelum doa, banyakkan istighfar. Inilah formula doa diperkenankan Allah SWT. Allah SWT hendak berikan banyak rezeki kepada kita tetapi terhalang dengan dosa. Bila kita istighfar (daripada lisan, hati dan perbuatan), dosa makin kurang maka rezeki makin bertambah.
Ayat 11: 62
قَالُوا۟ يَـٰصَـٰلِحُ قَدْ كُنتَ فِينَا مَرْجُوًّۭا قَبْلَ هَـٰذَآ ۖ أَتَنْهَىٰنَآ أَن نَّعْبُدَ مَا يَعْبُدُ ءَابَآؤُنَا وَإِنَّنَا لَفِى شَكٍّۢ مِّمَّا تَدْعُونَآ إِلَيْهِ مُرِيبٍۢ ٦٢
"Mereka menjawab dengan berkata: "Wahai Soleh, sesungguhnya engkau sebelum ini adalah orang yang diharap dalam kalangan kami (untuk memimpin kami); patutkah engkau melarang kami daripada menyembah apa yang disembah oleh datuk nenek kami? Dan (ketahuilah) sesungguhnya kami berada dalam keadaan ragu-ragu yang merunsingkan tentang apa yang engkau serukan kami kepadanya"."
Pengajaran
- Nabi Soleh AS adalah seorang yang baik dan menjadi harapan kaumnya untuk memimpin mereka.
- Namun apabila Nabi Soleh AS melarang mereka menyembah apa yang disembah oleh nenek moyang mereka, mereka benar-benar dalam keraguan dan kegelisahan terhadap apa yang Nabi Soleh AS seru kepada mereka.
- Semoga kita menjadi pengikut orang-orang yang soleh, dijauhkan daripada kekeliruan dan kegelisahan.
RESOLUSI
Ingat!
- Jika dihina, kuatkan tawakal kepada Allah SWT (11:54)
- Mohon perlindungan hanya pada Allah SWT (11:57)
- Taati pemerintah yang taat pada Rasul (11:59)
Saya berasa lega bahawa Allah SWT akan kurniakan rezeki yang banyak sekiranya saya istighfar dan bertaubat.
Saya jelas untuk kuatkan tawakal kepada Allah SWT jika saya dihina. Saya jelas untuk mohon perlindungan hanya pada Allah SWT. Saya jelas untuk taati pemerintah yang taat pada Rasul.
Ya Allah, bimbing kami untuk tawakal kepada Mu. Jauhkan kami daripada dihina. Ya Allah, kurniakan kepada kami pemerintah yang taat kepada Mu dan taat kepada Rasul. Jauhkan kami daripada pemerintah yang zalim.
Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.