Tuesday, July 4, 2023

Halaman 227 : Hud, 11:46-53

 

PERKATAAN HARI INI:  

 جَهِلَ  = Tidak bijak, ikut emosi.

 24 kali disebut di dalam al-Quran.


SINOPSIS   

  1. Peringatan untuk Nabi Nuh AS (11:46-47)
  2. Pelajaran daripada kisah Nabi Nuh AS (11:48-49)
  3. Kisah Nabi Hud AS (50-53)


Mukadimah

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT kita dapat menyambung surah Hud yang mempunyai banyak pelajaran untuk reset diri kita sebagai orang yang beriman. Surah ini mengajak kita untuk melihat kembali ke dalam diri. Kita akan melihat kepentingan ilmu.


Ayat 11: 46

قَالَ يَـٰنُوحُ إِنَّهُۥ لَيْسَ مِنْ أَهْلِكَ ۖ إِنَّهُۥ عَمَلٌ غَيْرُ صَـٰلِحٍۢ ۖ فَلَا تَسْـَٔلْنِ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌ ۖ إِنِّىٓ أَعِظُكَ أَن تَكُونَ مِنَ ٱلْجَـٰهِلِينَ ٤٦

“Allah berfirman: "Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil".”


Pengajaran

  1. Pada halaman lepas Nabi Nuh AS menyeru anaknya untuk naik ke bahtera bersamanya tetapi anaknya tidak mahu ikut.
  2. Allah SWT berkata kepada Nabi Nuh AS  bahawa anaknya itu bukanlah ahli keluarganya kerana akidah itu melangkau daripada darah keturunan. Akidah adalah hak Allah SWT. Anak itu bukan anak yang soleh (عَمَلٌ غَيْرُ صَٰلِحٍ) menyebabkan terputus hubungan kekeluargaan. 
  3. Ini adalah penegasan kepada ayah ibu dan kita sekarang ini juga, untuk mendidik anak-anak untuk menjadi anak-anak soleh kerana kalau tidak soleh ia boleh memutuskan hubungan kekeluargaan apabila sampai di akhirat. 
  4. Allah SWT melarang Nabi Nuh AS untuk doakan sesuatu yang baginda tidak tahu ilmu di sebaliknya. Imam As-Sa'adi menyatakan, yang tidak ada ilmu itu tentang akibat dan pengakhiran. Kalau kita tidak ada ilmu tentang sesuatu akibat dan pengakhirannya jangan minta.
  5. Nabi Nuh AS dinasihatkan supaya tidak memohon apa yang baginda tidak ada ilmu tentangnya seperti orang yang jahil. 
  6. Jahil maksudnya mengikut perasaan tanpa ilmu. Ilmu yang perlu ialah ketauhidan kepada Allah, tidak syirik Allah dan buat amal soleh, barulah digelar ahli keluarga yang layak diselamatkan di dunia sampai di akhirat.
  7. Jahil bukan kerana tidak ada sijil dan kelulusan. Jahil adalah mengutamakan perasaan melangkaui daripada ilmu untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ada ilmu tetapi jauh dari Allah SWT, itu juga digelar orang yang jahil.


Ayat 11: 47

قَالَ رَبِّ إِنِّىٓ أَعُوذُ بِكَ أَنْ أَسْـَٔلَكَ مَا لَيْسَ لِى بِهِۦ عِلْمٌۭ ۖ وَإِلَّا تَغْفِرْ لِى وَتَرْحَمْنِىٓ أَكُن مِّنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ ٤٧

“Nabi Nuh berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi".”

Pengajaran

  1. Nabi Nuh AS berdoa kepada Allah SWT memohon perlindungan daripada sesuatu yang dia tidak ada pengetahuan mengenainya. 
  2. Menurut Imam As-Sa'adi, bila kita berdoa dan Allah SWT tidak jawab, itu tandanya ada sesuatu yang tidak baik mungkin boleh berlaku apabila ia dijawab. 
  3. Jangan kecewa jika doa kita tidak dimakbulkan kerana kita tidak tahu akibatnya. Hanya Allah SWT mempunyai ilmu tentangnya. 
  4. Ilmu, keampunan dan rahmat Allah SWT adalah saling berkait. Makin seseorang dapat ilmu, dia bertaubat. Bila minta ampun dia akan dapat rahmat daripada Allah SWT. Orang yang tidak suka meminta ampun, bermakna dia tidak mahu mengundang rahmat Allah SWT. Orang begini ada masalah dengan ilmunya walaupun belajar tinggi.


Ayat 11: 48

قِيلَ يَـٰنُوحُ ٱهْبِطْ بِسَلَـٰمٍۢ مِّنَّا وَبَرَكَـٰتٍ عَلَيْكَ وَعَلَىٰٓ أُمَمٍۢ مِّمَّن مَّعَكَ ۚ وَأُمَمٌۭ سَنُمَتِّعُهُمْ ثُمَّ يَمَسُّهُم مِّنَّا عَذَابٌ أَلِيمٌۭ ٤٨

“Allah berfirman: Wahai Nuh! Turunlah (dari bahtera itu) dengan selamat dan berkat dari Kami kepadamu dan kepada umat-umat yang bersama-samamu. Dan (dalam pada itu) ada umat-umat dari keturunan mereka yang Kami akan beri kesenangan kepadanya (dalam kehidupan dunia), kemudian mereka akan dikenakan azab dari Kami yang tidak terperi sakitnya".”


Pengajaran

  1. Allah SWT memerintahkan Nabi Nuh AS turun (ٱهْبِطْ) daripada bahtera setelah air surut.
  2. Allah SWT memberi barakah kepada Nabi Nuh AS dan kepada umat-umat yang bersama baginda. 
  3. Inilah asal usul kita. Semua umat hancur kecuali yang selamat di atas bahtera Nabi Nuh AS. Mereka yang selamat itulah yang berkembang biak menjadi semua keturunan di muka bumi ini. 
  4. Ada orang yang bila diberi ujian, dia akan sedar dan ingat Allah SWT. Bila diberi kesenangan, ramai orang yang keliru dengan kesenangan itu menjadikan mereka lebih jauh daripada Allah SWT yang menjemput azab Allah SWT.
  5. Hendaklah kita gunakan kesenangan yang diberikan oleh Allah SWT untuk membantu dan menyenangkan orang lain. Jika tidak, khuatir nanti kita rasa kita ini makin senang hingga lupakan orang lain. Itulah yang berlaku kepada kaum Nabi Nuh AS dan Firaun. Mereka ini bila sudah rasa senang mereka lupa diri.


Ayat 11: 49

تِلْكَ مِنْ أَنۢبَآءِ ٱلْغَيْبِ نُوحِيهَآ إِلَيْكَ ۖ مَا كُنتَ تَعْلَمُهَآ أَنتَ وَلَا قَوْمُكَ مِن قَبْلِ هَـٰذَا ۖ فَٱصْبِرْ ۖ إِنَّ ٱلْعَـٰقِبَةَ لِلْمُتَّقِينَ ٤٩

“(Kisah Nabi Nuh) itu adalah dari perkara-perkara yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), yang engkau dan kaum engkau tidak mengetahuinya sebelum ini. Oleh itu, bersabarlah. Sesungguhnya kesudahan yang baik (yang membawa kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat) adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.”


Pengajaran

  1. Ini adalah penutup kepada kisah Nabi Nuh AS. Allah SWT menggunakan perkataan أَنۢبَآءِ menunjukkan ini adalah berita-berita besar yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW untuk kita dapat peringatan. Ia adalah banyak cerita pada satu tema tentang Nabi Nuh AS.
  2. Beri perhatian kepada berita besar yang Allah sedang sampaikan. Salah satunya ialah doa jangan ikut emosi, jangan ikut ilmu kita tetapi kena bergantung kepada ilmu Allah SWT.
  3. Di hujungnya Allah SWT menyuruh Nabi Nuh AS supaya bersabar. Allah beritahu bahawa orang-orang yang bertakwa akan dapat kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat. 
  4. Allah SWT menyeru Nabi Muhammad SAW supaya bersabar kerana sabar adalah rahsia Nabi Nuh AS diberikan salaam ( kesejahteraan) dan barakah. Sabar itu diberi bukan hanya kepada Nabi Nuh AS, malah diberikan juga kepada Nabi Muhammad SAW dan umat baginda sampai kepada kita sekarang. Hasil kesabaran Nabi Muhammad SAW, kita dapat menikmati al-Quran pada hari ini.
  5. Hendaklah kita bersabar, minta kepada Alah SWT jangan kita mempertikaikan atau mengenepikan usaha untuk mengajak ahli keluarga dan masyarakat kepada iman. Insya-Allah, kalau kita bersabar Allah SWT akan memberi kesejahteraan dan barakah kepada keluarga dan negara kita. 
  6. Kesudahan yang terbaik pastinya di akhirat biarpun kita mungkin tidak dapat nampak di dunia ini.


Ayat 11: 50

وَإِلَىٰ عَادٍ أَخَاهُمْ هُودًۭا ۚ قَالَ يَـٰقَوْمِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُۥٓ ۖ إِنْ أَنتُمْ إِلَّا مُفْتَرُونَ ٥٠

“Dan kepada kaum Aad, Kami utuskan saudara mereka: Nabi hud ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. kamu hanyalah orang-orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta (terhadap Allah).”


Pengajaran

  1. Allah SWT membawa kisah kaum Aad pula. Nabi Nuh AS dan Nabi Hud AS membawa peringatan tauhid iaitu untuk menyembah hanya kepada Allah SWT. Peranan mereka adalah untuk memberi peringatan atau amaran berbanding berita gembira di hujung-hujung dakwah nabi-nabi tersebut kerana kaum mereka terus berdegil. 
  2. Sebagai orang beriman, kita kena sebarkan kebenaran. Walaupun ada yang cuba menyerang atau memusnahkan kebaikan maka pada waktu itu Allah SWT akan memberi bantuan kepada orang yang beriman. 
  3. Allah SWT mengutuskan Nabi Hud AS kepada kaum Aad untuk menyampaikan mesej  "tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya" (مَا لَكُم مِّنْ إِلَٰهٍ غَيْرُهُ ۥٓ). Sesungguhnya tidak ada Tuhan kecuali Allah SWT.
  4. Mesej ini pendek, tetapi ia jelas. Contoh: Allah SWT Maha Kaya dan tidak ada yang lebih kaya daripada Allah SWT. Allah SWT boleh sahaja memberi lebih daripada apa yang orang hendak rasuahkan untuk mendapat sesuatu. 
  5. Seruan Nabi Hud AS ini adalah untuk mereka mengenal Allah yang sebenarnya. Kaum Aad hanya mengada-adakan perkara-perkara yang dusta terhadap Allah SWT. 
  6. Janganlah kita gadaikan Tuhan yang Maha Berkuasa, Maha Kaya, Maha Penyayang dengan tuhan-tuhan lain. 
  7. Seruan Nabi Nuh dan Nabi Hud ini adalah untuk kita mendapat ketenangan dengan mengenal Allah yang sebenarnya.


Ayat 11: 51

يَـٰقَوْمِ لَآ أَسْـَٔلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا ۖ إِنْ أَجْرِىَ إِلَّا عَلَى ٱلَّذِى فَطَرَنِىٓ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ ٥١

“Wahai kaumku! Tiadalah aku meminta sebarang upah daripada kamu tentang (ajaran yang aku sampaikan) itu. Upahku hanyalah dari Allah yang menciptakan daku; maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal (untuk mengetahui kebenaran)?”


Pengajaran

  1. Nabi Hud AS memberitahu kaumnya yang baginda tidak meminta upah atas ajaran yang baginda sampaikan.
  2. Dalam penyampaian dakwahnya, Nabi Hud AS amat yakin dia tidak bergantung kepada orang lain.  Allah SWT lah yang menyusun rezekinya. Tidak pernah pula dalam sejarah para nabi meninggal kerana tidak makan. 


Ayat 11: 52

وَيَـٰقَوْمِ ٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوٓا۟ إِلَيْهِ يُرْسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًۭا وَيَزِدْكُمْ قُوَّةً إِلَىٰ قُوَّتِكُمْ وَلَا تَتَوَلَّوْا۟ مُجْرِمِينَ ٥٢

“Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!”


Pengajaran

  1. Nabi Hud AS menyeru kaumnya minta ampun kepada Allah SWT supaya Allah menghantarkan kepada mereka hujan terbaik (مِّدْرَارًا) serta menambahkan kekuatan mereka.
  2. Dengan istighafar dan bertaubat, Allah SWT boleh menggandakan kekuatan ekonomi, sosial dan politik.
  3. Janganlah kita jadi pendosa kerana pendosa tidak mahu istighfar, tidak mahu bertaubat kembali kepada Allah SWT. Kesan sebagai pendosa, kekuatan akan dicabut dan tidak diberikan bantuan daripada langit yang terbaik untuk kita.
  4. Peringatan kepada kita yang sedang menghadapi pandemik ini untuk banyakkan istighfar dan bertaubat supaya Allah SWT hantar bantuan supaya dapat keluar dari pandemik ini dan menambahkan kekuatan kita dalam semua aspek.


Ayat 11: 53

قَالُوا۟ يَـٰهُودُ مَا جِئْتَنَا بِبَيِّنَةٍۢ وَمَا نَحْنُ بِتَارِكِىٓ ءَالِهَتِنَا عَن قَوْلِكَ وَمَا نَحْنُ لَكَ بِمُؤْمِنِينَ ٥٣

“Mereka berkata: "Wahai Hud! Engkau tidak membawa kepada kami sebarang keterangan yang membuktikan kebenaranmu, dan kami tidak akan meninggalkan penyembahan tuhan-tuhan kami dengan sebab kata-katamu itu! Dan kami tidak sekali-kali percaya kepadamu!”


Pengajaran

  1. Kaum Aad mengatakan Nabi Hud AS tidak ada bukti yang nyata. Mereka berdegil dan tidak mahu meninggalkan ajaran nenek moyang mereka.
  2. Mereka tidak mahu percaya kepada Nabi Hud AS dan menuduh baginda ada agenda tersendiri.


RESOLUSI

Ingat!

  1. Utamakan pendidikan akidah untuk keluarga agar selamat dunia akhirat (11:46)
  2. Selalu mohon ilmu daripada Allah untuk memohon sesuatu (11:47)
  3. Ambil contoh kesabaran Nabi Nuh mengajak ke arah kebaikan (11:49)


Saya berasa lega Allah akan berikan kesejahteraan dan barakah sekiranya saya bersabar.

Saya jelas saya mesti utamakan pendidikan akidah untuk keluarga agar selamat dunia akhirat. Saya jelas untuk selalu mohon ilmu daripada Allah untuk memohon sesuatu. Saya jelas untuk ambil contoh kesabaran Nabi Nuh mengajak ke arah kebaikan.

Ya Allah, bimbing kami untuk utamakan pendidikan akidah agar keluarga kami selamat dunia akhirat. Ya Allah, kurniakan kami ilmu untuk memohon sesuatu. Ya Allah, jadikan kami orang-orang yang sabar seperti Nabi Nuh mengajak ke arah kebaikan.

Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...