PERKATAAN HARI INI:
زَادَ / زَوَدَ = Bersedia, menyediakan bekal.
2 kali disebut di dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Sambungan kisah Nabi Saleh (11:63-68)
- Kisah Nabi Ibrahim dan khabar gembira dengan lahirnya Nabi Ishak dan Nabi Ya'kub (11:69-71)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran dalam surah Hud pada halaman 229.
Ayat 11: 63
قَالَ يَـٰقَوْمِ أَرَءَيْتُمْ إِن كُنتُ عَلَىٰ بَيِّنَةٍۢ مِّن رَّبِّى وَءَاتَىٰنِى مِنْهُ رَحْمَةًۭ فَمَن يَنصُرُنِى مِنَ ٱللَّهِ إِنْ عَصَيْتُهُۥ ۖ فَمَا تَزِيدُونَنِى غَيْرَ تَخْسِيرٍۢ ٦٣
Nabi Soleh berkata: "Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu, jika aku berada dalam kebenaran yang berdasarkan bukti yang nyata (mukjzat) dari Tuhanku, dan Ia pula mengurniakan rahmat (pangkat Nabi) kepadaku sebagai pemberian daripadaNya, maka siapakah yang akan menolongku dari azab Allah kalau aku menderhaka kepadaNya? Oleh itu, kamu tidak menambah sesuatu kebaikan pun bagiku selain daripada perkara yang merugikan.
Pengajaran
- Ini adalah dialog di antara Nabi Soleh AS dengan kaumnya. Nabi Soleh AS memang orang yang baik dan menjadi harapan kepada kaumnya.
- Baginda membawa kebenaran berdasarkan mukjizat daripada Allah SWT dan baginda dikurniakan rahmat pangkat kenabian.
- Makin kita bersama al-Quran, orang menaruh harapan kepada kita kerana akhlak kita yang baik. Dengan akhlak yang baik ini, kita tetap kena tegur jika nampak ada yang tidak betul berlaku di dalam masyarakat. Inilah akhlak yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW dan Nabi Soleh AS.
- Jika kita tahu ada kesalahan tetapi berdiam untuk menjaga hati orang, ini bermakna kita derhaka kepada Allah SWT.
Ayat 11: 64
وَيَـٰقَوْمِ هَـٰذِهِۦ نَاقَةُ ٱللَّهِ لَكُمْ ءَايَةًۭ فَذَرُوهَا تَأْكُلْ فِىٓ أَرْضِ ٱللَّهِ وَلَا تَمَسُّوهَا بِسُوٓءٍۢ فَيَأْخُذَكُمْ عَذَابٌۭ قَرِيبٌۭ ٦٤
Dan wahai kaumku! Ini adalah unta betina dari Allah untuk kamu sebagai tanda (mukjizat) yang membuktikan kebenaranku. Oleh itu, biarkanlah dia mencari makan di bumi Allah dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya, (kalau kamu menyakitinya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang dekat masa datangnya.
Pengajaran
- Nabi Soleh AS menunjukkan mukjizat daripada Allah SWT iaitu unta betina besar (نَاقَةُ ٱللَّهِ) yang keluar daripada batu.
- Nabi Soleh AS melarang mereka dari mengganggunya serta memberitahu mereka untuk membiarkan sahaja ia makan di bumi Allah.
Ayat 11: 65
فَعَقَرُوهَا فَقَالَ تَمَتَّعُوا۟ فِى دَارِكُمْ ثَلَـٰثَةَ أَيَّامٍۢ ۖ ذَٰلِكَ وَعْدٌ غَيْرُ مَكْذُوبٍۢ ٦٥
Mereka kemudiannya menyembelih unta itu, lalu berkatalah Nabi Soleh kepada mereka: “Bersenang-senanglah kamu di tempat masing-masing selama tiga hari; tempoh yang demikian itu, ialah suatu janji yang tidak dapat didustakan".
Pengajaran
- Mereka berkomplot kemudian menyembelih (فَعَقَرُوهَا) unta tersebut.
- Nabi Soleh AS memberi tempoh untuk mereka bergembira selama 3 hari.
- Janganlah kita berdiam diri jika tahu ada yang tidak kena di dalam masyarakat.
Ayat 11: 66
فَلَمَّا جَآءَ أَمْرُنَا نَجَّيْنَا صَـٰلِحًۭا وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ بِرَحْمَةٍۢ مِّنَّا وَمِنْ خِزْىِ يَوْمِئِذٍ ۗ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ ٱلْقَوِىُّ ٱلْعَزِيزُ ٦٦
Maka ketika datang azab kami, kami selamatkan Soleh beserta umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami, dan Kami selamatkan mereka dari azab serta kehinaan hari itu. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.
Pengajaran
- Selepas tiga hari Allah SWT turunkan azabNya. Allah SWT selamatkan Nabi Soleh AS dan umatnya yang beriman.
- Sesungguhnya Allah SWT, Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.
Ayat 11: 67
وَأَخَذَ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ ٱلصَّيْحَةُ فَأَصْبَحُوا۟ فِى دِيَـٰرِهِمْ جَـٰثِمِينَ ٦٧
Dan orang-orang yang zalim itu, dibinasakan oleh satu letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.
Pengajaran
- Orang-orang yang zalim dibinasakan dengan suara yang menggempakan bumi.
- Mereka mati bergelimpangan di tempat tinggal masing-masing.
Ayat 11: 68
كَأَن لَّمْ يَغْنَوْا۟ فِيهَآ ۗ أَلَآ إِنَّ ثَمُودَا۟ كَفَرُوا۟ رَبَّهُمْ ۗ أَلَا بُعْدًۭا لِّثَمُودَ ٦٨
(Mereka punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di situ. Ketahuilah! Sesungguhnya kaum Thamud itu kufurkan Tuhan mereka. Ketahuilah! Sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya bagi kaum Thamud.
Pengajaran
- Semuanya musnah seperti mereka tidak pernah tinggal di situ.
- Hendaklah kita ingat, orang yang kufur kepada Allah SWT akan binasa seperti kaum Thamud.
Ayat 11: 69
وَلَقَدْ جَآءَتْ رُسُلُنَآ إِبْرَٰهِيمَ بِٱلْبُشْرَىٰ قَالُوا۟ سَلَـٰمًۭا ۖ قَالَ سَلَـٰمٌۭ ۖ فَمَا لَبِثَ أَن جَآءَ بِعِجْلٍ حَنِيذٍۢ ٦٩
Dan sesungguhnya telah datang malaikat utusan-utusan kami kepada Nabi Ibrahim, dengan membawa berita yang mengembirakan. Lalu mereka memberi salam dengan berkata: "Salam sejahtera kepadamu (wahai Ibrahim)". Nabi Ibrahim menjawab: "Salam sejahtera kepada kamu". Maka tidak berapa lama selepas itu, ia membawa jamuan untuk mereka: seekor anak lembu yang dipanggang.
Pengajaran
- Nabi Ibrahim AS menjadi pertemuan antara 3 agama Samawi. Penganut Islam, Yahudi dan Nasrani mengaku baginda adalah Nabi mereka. Keyakinan kita mestilah berpaksikan al-Quran.
- Malaikat mendatangi rumah Nabi Ibrahim AS membawa khabar gembira. Malaikat mengucapkan salam sejahtera. Nabi Ibrahim menjawab lebih panjang "Salam sejahtera kepada kamu".
- Nabi Ibrahim AS menghidangkan kepada mereka itu daging anak lembu panggang. Begitu baik sekali adab Nabi Ibrahim AS. Baginda menghidangkan yang terbaik untuk tetamu.
Ayat 11: 70
فَلَمَّا رَءَآ أَيْدِيَهُمْ لَا تَصِلُ إِلَيْهِ نَكِرَهُمْ وَأَوْجَسَ مِنْهُمْ خِيفَةًۭ ۚ قَالُوا۟ لَا تَخَفْ إِنَّآ أُرْسِلْنَآ إِلَىٰ قَوْمِ لُوطٍۢ ٧٠
Maka apabila ia melihat tangan mereka tidak menyentuh hidangan itu, ia merasa pelik akan hal mereka serta merasa takut dari keadaan mereka. (Melihat kecemasannya) mereka berkata: "Janganlah engkau takut wahai Ibrahim, sebenarnya kami ini diutus kepada kaum Lut (untuk membinasakan mereka)".
Pengajaran
- Mereka tidak menjamah makanan, maka Nabi Ibrahim AS berasa curiga.
- Bila melihat Nabi Ibrahim cemas, malaikat berkata: "Janganlah engkau takut wahai Ibrahim, sebenarnya kami ini diutus kepada kaum Lut (untuk membinasakan mereka)".
Ayat 11: 71
وَٱمْرَأَتُهُۥ قَآئِمَةٌۭ فَضَحِكَتْ فَبَشَّرْنَـٰهَا بِإِسْحَـٰقَ وَمِن وَرَآءِ إِسْحَـٰقَ يَعْقُوبَ ٧١
Dan isterinya pada ketika itu berdiri (mendengar), lalu ia ketawa (kerana hilang perasaan takutnya). Maka Kami pun memberikan berita yang mengembirakan kepadanya (melalui malaikat itu), bahawa ia akan mendapat seorang anak: Ishak, dan sesudah Ishak, (ia pula akan mendapat seorang cucu): Yaakub.
Pengajaran
- Sarah, isteri Nabi Ibrahim AS ketawa mendengar malaikat bukan datang untuk mengazab mereka tetapi untuk memusnahkan kaum Nabi Lut AS kerana kerosakkan yang mereka lakukan. Sarah ketawa sebagai tanda menyokong perjuangan suaminya.
- Malaikat memberitakan yang Nabi Ibrahim AS akan dianugerahkan anak bernama Ishak cucu Nabi Yaakub.
- Kita perlu kuatkan perjuangan kita seperti Nabi Ibrahim AS dan isteri baginda yang menyokong baginda, untuk menjemput rahmat Allah SWT.
RESOLUSI
Ingat!
- Jangan kacau mukjizat, nescaya ia akan menjemput azab (11:64)
- Selalu mencari rahmat Allah SWT dengan patuh arahannya (11:66)
- Yakin dengan kuasa Allah SWT untuk mengekalkan bukti atau menghapuskannya (11:67-68)
Saya berasa lega Allah SWT akan beri khabar gembira sekiranya saya sokong perjuangan orang-orang yang membuat kebaikan.
Saya jelas untuk tidak kacau mukjizat. Saya jelas saya mesti selalu mencari rahmat Allah SWT dengan patuh arahannya. Saya jelas saya mesti yakin dengan kuasa Allah SWT.
Ya Allah, jadikan kami orang yang menjaga mukjizat. Jauhkan kami daripada azab. Ya Allah, kurniakan kami rahmat dan kasih sayang Mu. Jadikan kami orang yang sentiasa patuh arahan Mu. Ya Allah, jadikan kami orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa.
Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.