PERKATAAN HARI INI:
بَرَكَ = Diberkati.
32 kali disebut di dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Keajaiban isteri Nabi Ibrahim A.S boleh mengandung dan berita azab (11:72-76)
- Kisah Nabi Luth bersama kaumnya (11:77-81)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran dalam surah Hud pada halaman 230. Pada hari Jumaat yang penuh barakah ini kita doakan agar Allah SWT memberikan anugerah demi anugerah kepada kita dalam serba kesulitan yang berlaku sekarang. Kita tahu bahawa Allahlah tempat kita bergantung, tempat kita memuji pada setiap masa.
Ayat 11: 72
قَالَتْ يَـٰوَيْلَتَىٰٓ ءَأَلِدُ وَأَنَا۠ عَجُوزٌۭ وَهَـٰذَا بَعْلِى شَيْخًا ۖ إِنَّ هَـٰذَا لَشَىْءٌ عَجِيبٌۭ ٧٢
Isterinya berkata: "Sungguh ajaib keadaanku! Adakah aku akan melahirkan anak padahal aku sudah tua dan suamiku ini juga sudah tua? Sesungguhnya kejadian ini suatu perkara yang menghairankan".
Pengajaran
- Nabi Ibrahim AS dan isterinya Sarah diberitakan akan mendapat anak lelaki dan cucu lelaki. Sarah mempersoalkan bagaimana mungkin dia akan melahirkan anak sedangkan dia sudah tua (عَجُوزٌ) dan suaminya juga sudah sangat tua (شَيْخًا).
- Sarah adalah wanita yang amat expresif. Dia berani bercakap di hadapan tetamu. Ini menunjukkan kepada kita bahawa wanita juga boleh bercakap di hadapan orang bagi menyampaikan mesej yang ada di dalam hatinya.
Ayat 11: 73
قَالُوٓا۟ أَتَعْجَبِينَ مِنْ أَمْرِ ٱللَّهِ ۖ رَحْمَتُ ٱللَّهِ وَبَرَكَـٰتُهُۥ عَلَيْكُمْ أَهْلَ ٱلْبَيْتِ ۚ إِنَّهُۥ حَمِيدٌۭ مَّجِيدٌۭ ٧٣
Malaikat-malaikat itu berkata: "Patutkah engkau merasa hairan tentang perkara yang telah ditetapkan oleh Allah? Memanglah rahmat Allah dan berkatNya melimpah-limpah kepada kamu, wahai ahli rumah ini. Sesungguhnya Allah Maha terpuji, lagi Maha Melimpah kebaikan dan kemurahanNya".
Pengajaran
- Perkataan أَمْرِ ٱللَّهِ (ketetapan Allah) banyak kali berulang di dalam Surah Hud. Semakin beriman, kita mesti tahu bahawa ketentuan Allah SWT melangkau daripada apa yang kita rancang, apa yang kita harapkan di dalam hidup. Allah SWT yang berkuasa, kita tidak berkuasa. Allah SWT sedang menyusun sesuatu untuk kita dengan ujian yang kita lalui.
- Allah SWT memberikan keberkatan kepada ahli keluarga Nabi Ibrahim AS.
- مَّجِيدٌ Allah SWT yang berkuasa, Dia yang Maha Hebat. Allah SWT boleh memberikan anak kepada wanita yang menopos dengan suami yang sangat tua.
- Kalau kita dapat Quran مَّجِيدٌ, kita akan dapat sesuatu yang melangkau daripada apa yang kita boleh bayangkan. Hati kita akan terasa sesuatu apabila mendengar al-Quran.
- Orang yang berbuat baik akan diberikan barakah dan didoakan oleh malaikat. Semoga kita juga terus banyakkan kebaikan daripada rumah kita agar malaikat mendoakan rahmat dan barakah kepada rumah kita.
Ayat 11: 74
فَلَمَّا ذَهَبَ عَنْ إِبْرَٰهِيمَ ٱلرَّوْعُ وَجَآءَتْهُ ٱلْبُشْرَىٰ يُجَـٰدِلُنَا فِى قَوْمِ لُوطٍ ٧٤
Maka apabila hilang perasaan takut dari hati Nabi Ibrahim, dan sampai kepadanya berita yang mengembirakan itu, (mulailah) ia membantah (utusan-utusan) kami tentang (azab yang akan menimpa) kaum Nabi Lut.
Pengajaran
- Ada 3 perkataan yang melambangkan rasa takut Nabi Ibrahim AS:
- أَوْجَسَ (Ayat 70) Nabi Ibrahim rasa takut apabila tetamu tidak makan
- خِيفَةً
- ٱلرَّوْعُ adalah rasa amat takut seperti unta betina yang didatangi pemangsa seperti harimau atau singa.
- Nabi Ibrahim AS berdebat dengan para malaikat tentang kaum Nabi Lut AS.
Ayat 11: 75
إِنَّ إِبْرَٰهِيمَ لَحَلِيمٌ أَوَّٰهٌۭ مُّنِيبٌۭ ٧٥
Sesungguhnya Nabi Ibrahim, penyabar, lembut hati (bertimbang rasa) lagi suka kembali kepada Allah dengan mengerjakan amal bakti.
Pengajaran
- Nabi Ibrahim AS ada 3 sifat sehingga sanggup berdebat (يُجَٰدِلُنَا) dengan malaikat:
- 'حَلِيمٌ sabar tahap tinggi. Nabi Ibrahim AS amat sayang kepada kaum Lut, takut jika ada lagi kaum Lut yang perlu diselamatkan.
- أَوَّٰهٌ suka merintih di hadapan Allah SWT. Takut ada tanggungjawab tidak dilaksanakan. Takut ada kaum Lut yang tidak diselamatkan. Merintih macam-macam kerana kurang amalan kepada Allah SWT.
- مُّنِيبٌ orang yang ingin kembali kepada Allah SWT.
- Gabungan tiga sifat ini membuatkan Nabi Ibrahim AS tidak duduk diam tetapi sampai sanggup persoalkan atas dasar kasih sayang.
Ayat 11: 76
يَـٰٓإِبْرَٰهِيمُ أَعْرِضْ عَنْ هَـٰذَآ ۖ إِنَّهُۥ قَدْ جَآءَ أَمْرُ رَبِّكَ ۖ وَإِنَّهُمْ ءَاتِيهِمْ عَذَابٌ غَيْرُ مَرْدُودٍۢ ٧٦
(Malaikat-malaikat itu berkata): "Wahai Ibrahim! Janganlah dihiraukan hal ini. Sesungguhnya telah datang perintah Tuhanmu (menghukum mereka), dan sesungguhnya mereka akan didatangi azab yang tidak akan dapat ditolak (oleh bantahan atau doa permohonan)".
Pengajaran
- Malaikat menasihatkan Nabi Ibrahim AS supaya tinggalkan perdebatan itu.
- Ketentuan Allah SWT sudah tetap akan berlaku.
- Dalam hidup kita ini, bila kita ada keperihatinan, hendaklah kita kemukakan soalan yang perlu diuruskan dengan cara terbaik seperti yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS.
Ayat 11: 77
وَلَمَّا جَآءَتْ رُسُلُنَا لُوطًۭا سِىٓءَ بِهِمْ وَضَاقَ بِهِمْ ذَرْعًۭا وَقَالَ هَـٰذَا يَوْمٌ عَصِيبٌۭ ٧٧
Dan apabila datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut ia merasa dukacita dengan kedatangan mereka, dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya), sambil berkata: "Ini adalah hari yang amat mencemaskan".
Pengajaran
- Nabi Lut AS dukacita dan cemas dengan kedatangan utusan Allah itu kerana baginda bimbang akan diganggu oleh kaumnya.
Ayat 11: 78
وَجَآءَهُۥ قَوْمُهُۥ يُهْرَعُونَ إِلَيْهِ وَمِن قَبْلُ كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ ٱلسَّيِّـَٔاتِ ۚ قَالَ يَـٰقَوْمِ هَـٰٓؤُلَآءِ بَنَاتِى هُنَّ أَطْهَرُ لَكُمْ ۖ فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَلَا تُخْزُونِ فِى ضَيْفِىٓ ۖ أَلَيْسَ مِنكُمْ رَجُلٌۭ رَّشِيدٌۭ ٧٨
Dan kaumnya pun datang meluru kepadanya (dengan tujuan hendak mengganggu tetamunya), sedang mereka sebelum itu sudah biasa melakukan kejahatan. Nabi Lut berkata: "Wahai kaumku! Di sini ada anak-anak perempuanku mereka lebih suci bagi kamu (maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu takutlah kamu kepada Allah, dan janganlah kamu memberi malu kepadaku mengenai tetamu-tetamuku. Tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi nasihat)?"
Pengajaran
- Kaum Nabi Lut yang jahat itu meluru datang ke rumah Nabi Lut untuk mengganggu tetamu-tetamunya. Mereka cepat datang kerana isterinya tidak sokong kepada perjuangan Nabi Lut. Dia telah membocorkan rahsia tentang kedatangan tetamu-tetamu itu.
- Ini menunjukkan, sangatlah penting untuk kita ajak pasangan bersama-sama berjuang kepada kebaikan.
- Nabi Lut menawarkan kepada mereka untuk berkahwin dengan wanita-wanita kerana itu lebih suci untuk mereka daripada mereka membuat hubungan sesama lelaki.
- Inilah jenayah besar yang bermula pada zaman Nabi Lut AS iaitu homosex. Perbuatan mereka itu memalukan Nabi Lut.
- Nabi Lut menggunakan pendekatan dalam bentuk agama dan juga pendekatan sosial ketika berdakwah.
Ayat 11: 79
قَالُوا۟ لَقَدْ عَلِمْتَ مَا لَنَا فِى بَنَاتِكَ مِنْ حَقٍّۢ وَإِنَّكَ لَتَعْلَمُ مَا نُرِيدُ ٧٩
Mereka menjawab: "Sesungguhnya engkau telahpun mengetahui bahawa kami tidak ada sebarang hajat kepada anak-anak perempuanmu, dan sebenarnya engkau sedia mengetahui akan apa yang kami kehendaki."
Pengajaran
- Kaum Nabi Lut AS membuat maksiat homosex secara terbuka. Mereka tidak malu menyatakannya kepada Nabi Lut.
- Jenayah homosex ini ada sehingga ke hari ini dan tidak boleh diterima.
- Semoga zuriat keturunan kita terhindar daripada jenayah homosex.
Ayat 11: 80
قَالَ لَوْ أَنَّ لِى بِكُمْ قُوَّةً أَوْ ءَاوِىٓ إِلَىٰ رُكْنٍۢ شَدِيدٍۢ ٨٠
Nabi Lut berkata: "Kalaulah aku ada kekuatan untuk menentang kamu, atau aku dapat bertumpu ke sesuatu tempat bertahan yang kuat (dari penyokong-penyokong, tentulah aku akan membinasakan kamu)".
Pengajaran
- Nabi Lut AS hilang punca. Seperti kita juga di dalam kehidupan ini, ada masa hilang punca dalam menghadapi masalah. Kata Nabi Lut AS, jika ada kekuatan, mahu sahaja baginda melawan mereka itu. Nabi Lut merintih kepada Allah SWT.
- Dalam Surah Al Kahfi, kita membaca tentang pemuda-pemuda yang berlindung di dalam gua. Nabi Lut AS juga merasa seperti mahu berlindung daripada kaumnya yang ingkar itu. Keluarganya ada yang tidak kuat dan tidak menyokong perjuangannya.
- Dalam hidup kita ini, keluarga adalah institusi yang penting untuk menyokong perjuangan kita. Kalau keluarga kita saling menyokong, kita akan kuat.
Ayat 11: 81
قَالُوا۟ يَـٰلُوطُ إِنَّا رُسُلُ رَبِّكَ لَن يَصِلُوٓا۟ إِلَيْكَ ۖ فَأَسْرِ بِأَهْلِكَ بِقِطْعٍۢ مِّنَ ٱلَّيْلِ وَلَا يَلْتَفِتْ مِنكُمْ أَحَدٌ إِلَّا ٱمْرَأَتَكَ ۖ إِنَّهُۥ مُصِيبُهَا مَآ أَصَابَهُمْ ۚ إِنَّ مَوْعِدَهُمُ ٱلصُّبْحُ ۚ أَلَيْسَ ٱلصُّبْحُ بِقَرِيبٍۢ ٨١
(Mendengarkan yang demikian tetamunya berkata: "Wahai Lut! Sesungguhnya kami (adalah malaikat) utusan Tuhanmu. Kaum engkau yang jahat itu tidak sekali-kali akan dapat melakukan kepadamu (sebarang bencana). Oleh itu, pergilah berundur dari sini bersama-sama dengan keluargamu pada tengah malam, dan janganlah seorangpun di antara kamu menoleh ke belakang. Kecuali isterimu, sesungguhnya ia akan ditimpa azab yang akan menimpa mereka (kerana ia memihak kepada mereka). Sesungguhnya masa yang dijanjikan untuk menimpakan azab kepada mereka ialah waktu subuh; bukankah waktu subuh itu sudah dekat?"
Pengajaran
- Nabi Lut AS disuruh berjalan keluar dengan keluarganya pada waktu malam, kecuali isterinya yang membocor rahsia.
- Isteri dan kaum Nabi Lut yang engkar ditimpa azab pada waktu subuh.
RESOLUSI
Ingat!
- Yakin kekuasaan Allah SWT mampu melakukan apa yang dirasakan mustahil (11:72)
- Usahakan diri menjadi sabar tahap "Halim" (11:75)
- Bimbang pasangan agar tidak tertinggal dalam perjuangan iman (11:81)
Saya berasa lega Allah SWT mampu melakukan apa yang rasa mustahil sekiranya saya yakin akan kekuasaanNya.
Saya jelas untuk yakin kekuasaan Allah SWT mampu melakukan apa yang dirasakan mustahil. Saya jelas untuk usahakan diri menjadi sabar tahap "Halim". Saya jelas saya mesti bimbang pasangan agar tidak tertinggal dalam perjuangan iman.
Ya Allah, bimbing kami untuk yakin kekuasaan Mu mampu melakukan apa yang dirasakan mustahil. Ya Allah, pimpin kami untuk usahakan diri menjadi sabar tahap "Halim". Ya Allah, bantu kami untuk bimbing pasangan agar tidak tertinggal dalam perjuangan iman.
Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib