Tuesday, July 4, 2023

Halaman 231 : Hud, 11:82-88


PERKATAAN HARI INI:   

سَفَلَ  = Rendah, hina. 

10 kali disebut di dalam al-Quran.

SINOPSIS   

  1. Sambungan kisah Nabi Lut A.S bersama kaumnya (11:82-83)
  2. Kisah Nabi Syuaib A.S (11:84-88)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran dalam surah Hud pada halaman 231.   Hari ini kita akan bincang tentang Nabi Lut AS dan Nabi Syuaib AS. Semoga kita mendapat hidayah daripada al-Quran.

Ayat 11: 82

فَلَمَّا جَآءَ أَمْرُنَا جَعَلْنَا عَـٰلِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهَا حِجَارَةًۭ مِّن سِجِّيلٍۢ مَّنضُودٍۢ ٨٢

“Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.”

Pengajaran

  1. Setelah Nabi Lut dan orang-orang beriman pergi, Allah SWT menurunkan azab kepada kaumnya yang menderhaka termasuk isterinya.
  2. Bumi diterbalikkan (عَٰلِيَهَا سَافِلَهَا) kerana kaum Nabi Lut AS fikir terbalik. Mereka tidak berfikir ikut fitrah. Allah SWT berikan perempuan, mereka hendakkan lelaki. Mereka dihujani bertubi-tubi dengan batu-batu daripada tanah yang dibakar.
  3. Kalau masalah sosial tidak dibenteras atau tidak ditegur, kita juga akan diterbalikkan. Institusi keluarga, negara akan rosak kerana ada orang-orang yang terbalik pemikiran mereka kerana tidak mengikut jalan yang lurus.

Ayat 11: 83

مُّسَوَّمَةً عِندَ رَبِّكَ ۖ وَمَا هِىَ مِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ بِبَعِيدٍۢ ٨٣

“Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka), dan Ia pula tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu.”

Pengajaran

  1. Batu-batu tersebut bertanda nama mereka seperti teknologi peluru berpandu sekarang. Azab mensasarkan kepada orang zalim dan dekat dengan mereka.
  2. Salah satu masalah sosial zaman sekarang adalah mereka yang menyokong LGBTQ. Inilah kezaliman yang berlaku.
  3. Azab kepada orang yang zalim tidak jauh. Janganlah kita menjadi orang yang zalim dan senyap tentang kerosakan yang berlaku. Orang yang buat baik mesti terus menyatakan kebenaran dan tidak sokong kepada kezaliman. 

Ayat 11: 84

۞ وَإِلَىٰ مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًۭا ۚ قَالَ يَـٰقَوْمِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُۥ ۖ وَلَا تَنقُصُوا۟ ٱلْمِكْيَالَ وَٱلْمِيزَانَ ۚ إِنِّىٓ أَرَىٰكُم بِخَيْرٍۢ وَإِنِّىٓ أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍۢ مُّحِيطٍۢ ٨٤

“Dan kepada penduduk "Madyan" Kami utuskan saudara mereka: Nabi Syuaib. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! (Sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan. Sesungguhnya aku melihat kamu berada dalam kemewahan; dan sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang meliputi (orang-orang yang bersalah).”

Pengajaran

  1. Nabi Syuaib AS diutus kepada kaum Madyan terletak di antara Arab Saudi dan Palestin. 
  2. Nabi Syuaib AS menyeru kaumnya supaya beribadah kepada Allah SWT. Tiada tuhan yang disembah selain Allah SWT. 
  3. إِلَٰهٍ  itu ialah Allah SWT yang Maha Berkuasa. Janganlah kita letak yang lain lebih tinggi daripada Allah yang Maha Pemberi Rezeki.
  4. Perjuangan utama Nabi Syuaib ialah ekonomi. Pada masa itu ramai orang, jadi ekonomi amat maju. Maka perjuangannya ialah kalau hendak jadi hamba Allah, mesti jujur dalam ekonomi. Tidak mengurangkan sukatan (ٱلْمِكْيَالَ) dan timbangan (ٱلْمِيزَانَ) dalam perniagaan.
  5. Nabi Syuaib AS hendakkan kebaikan untuk kaumnya dan baginda takut azab turun kepada mereka. Dalam perniagaan, mereka mengepung dan menipu dengan strategi pemasaran mereka. Allah SWT mengepung mereka sepertimana kebiasaan mereka mengepung (مُّحِيطٍ) orang di dalam perniagaan.

Ayat 11: 85

وَيَـٰقَوْمِ أَوْفُوا۟ ٱلْمِكْيَالَ وَٱلْمِيزَانَ بِٱلْقِسْطِ ۖ وَلَا تَبْخَسُوا۟ ٱلنَّاسَ أَشْيَآءَهُمْ وَلَا تَعْثَوْا۟ فِى ٱلْأَرْضِ مُفْسِدِينَ ٨٥

“Dan wahai kaumku! Sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil dan janganlah kamu kurangkan manusia akan benda-benda yang menjadi haknya, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi.”

Pengajaran

  1. Nabi Syuaib AS terus ingatkan kaumnya dengan penuh kasih sayang. Nabi Syuaib AS tetap bercakap lembut dengan kaumnya mengingatkan mereka supaya sempurnakan alat sukatan dan timbangan. 
  2. Janganlah kurangkan hak manusia. Contoh: Peraturan 'work from home' mesti dibincang jelas supaya terhindar daripada mendapat gaji tetapi tidak buat kerja ikut masa yang ditetapkan. 
  3. Bila menjual jangan buat tidak adil seperti kurangkan kualiti barangan atau manipulasi timbangan. Sebagai pembeli juga jangan minta lebih daripada apa yang dibayar.
  4. Perbuatan tidak adil akan mengundang bencana.
  5. Lazimilah istighfar atas dosa peribadi. Jauhilah dosa besar yang digelar مُفْسِدِينَ seperti dosa menipu dalam ekonomi (contoh: ambil gaji lebih, claim tipu), terlibat dengan riba atau scam. 

Ayat 11: 86

بَقِيَّتُ ٱللَّهِ خَيْرٌۭ لَّكُمْ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ۚ وَمَآ أَنَا۠ عَلَيْكُم بِحَفِيظٍۢ ٨٦

“Limpah kurnia Allah kepada kamu lebih baik bagi kamu (daripada yang kamu ambil secara haram itu), jika betul kamu orang-orang yang beriman. Dan aku bukanlah orang yang menjaga dan mengawas perbuatan kamu".”

Pengajaran

  1. Limpah kurnia daripada Allah SWT adalah lebih baik daripada yang diambil secara haram. Kalau kita dapat untung walaupun sedikit, itu lebih baik di sisi Allah SWT jika kita beriman.
  2. Hendaklah kita pastikan bahawa kita ini tidak melakukan kerosakan sehingga diazab oleh Allah SWT. 

Ayat 11: 87

قَالُوا۟ يَـٰشُعَيْبُ أَصَلَوٰتُكَ تَأْمُرُكَ أَن نَّتْرُكَ مَا يَعْبُدُ ءَابَآؤُنَآ أَوْ أَن نَّفْعَلَ فِىٓ أَمْوَٰلِنَا مَا نَشَـٰٓؤُا۟ ۖ إِنَّكَ لَأَنتَ ٱلْحَلِيمُ ٱلرَّشِيدُ ٨٧

Mereka berkata: "Wahai Syuaib! Adakah sembahyangmu (yang banyak itu) menyuruhmu perintahkan kami supaya meninggalkan apa yang disembah oleh datuk nenek kami, atau supaya kami lakukannya apa yang kami suka melakukannya dalam menguruskan harta kami? Sesungguhnya engkau (wahai Syuaib) adalah orang yang penyabar, lagi bijak berakal (maka bagaimana pula engkau menyuruh kami melakukan perkara yang bertentangan dengan kebiasaan kami)?"

Pengajaran

  1. Kaum Nabi Syuaib AS menyindir baginda seperti juga Nabi Muhammad SAW disindir oleh kaum musyrik Mekah.
  2. Mereka mempersoalkan arahan tentang solat Nabi Syuaib AS (أَصَلَوٰتُكَ) yang bertentangan dengan apa yang mereka biasa buat mengikut nenek moyang mereka dahulu. Ini adalah dialog sekularism iaitu pemisahan antara agama dan kehidupan. Contoh: "Engkau pergi la solat di masjid, tak payah kisah nak tegur rasuah".
  3. Mereka sindir Nabi Syuaib AS dengan mengatakan: "Sesungguhnya engkau (wahai Syuaib) adalah orang yang penyabar, lagi bijak berakal (maka bagaimana pula engkau menyuruh kami melakukan perkara yang bertentangan dengan kebiasaan kami)?"
  4. Perkataan itu amatlah menyedihkan baginda. Nabi Muhammad SAW juga disindir begitu. Inilah perjuangan para nabi dan perjuangan kita juga, agar kita mendapat Islam yang original. Kalau tidak, kerosakan akan menjadi semakin teruk.

Ayat 11: 88

قَالَ يَـٰقَوْمِ أَرَءَيْتُمْ إِن كُنتُ عَلَىٰ بَيِّنَةٍۢ مِّن رَّبِّى وَرَزَقَنِى مِنْهُ رِزْقًا حَسَنًۭا ۚ وَمَآ أُرِيدُ أَنْ أُخَالِفَكُمْ إِلَىٰ مَآ أَنْهَىٰكُمْ عَنْهُ ۚ إِنْ أُرِيدُ إِلَّا ٱلْإِصْلَـٰحَ مَا ٱسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِىٓ إِلَّا بِٱللَّهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ ٨٨

“Nabi Syuaib berkata: "Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu, jika aku berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku, dan Ia pula mengurniakan daku pangkat Nabi sebagai pemberian daripadaNya, (patutkah aku berdiam diri dari melarang kamu) sedang aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang aku melarang kamu daripada melakukannya? Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.”

Pengajaran

  1. Nabi Syuaib AS membalas sindiran mereka dengan baik. Baginda mahukan kaumnya diberi rezeki yang baik (رِزْقًا حَسَنًا). 
  2. Ada rezeki yang tidak baik. Contohnya hasil daripada arak, judi, rasuah, menipu dan sebagainya. Kaya tidak semestinya baik melainkan ia adalah hasil daripada rezeki yang baik (رِزْقًا حَسَنًا).
  3. Nabi Syuaib AS menyatakan baginda tidak mahu bertelingkah. Baginda hanya mahukan pembaikan (ٱلْإِصْلَٰحَ) untuk diri dan masyarakatnya. 
  4. Kerosakan daripada perbuatan menipu mengakibatkan dosa yang amat besar. Hendaklah kita menguruskan prosedur pembelian dan kewangan organisasi dengan jujur kerana itu melibatkan wang amanah daripada rakyat. 
  5. Nabi Syuaib AS merendah diri dengan menyatakan segala kejayaan dan potensi yang ada padanya adalah daripada Allah SWT. Kepada Allah SWT dia bertawakkal dan kepada Allah SWT tempatnya kembali. 
  6. Bagi orang-orang yang ingin berlaku jujur di tempat kerja atau dalam bisnes, sebenarnya kita mengikut Nabi Syuaib AS. 
  7. Kalau kita bertawakkal kepada Allah SWT dan hendak kembali kepada Allah, kita mungkin rasa perit, mungkin juga dihina. Namun, ingatlah bahawa kejayaan adalah milik dan ketentuan Allah SWT. Hendaklah kita teruskan usaha islah dan tawakkal kepadaNya.

RESOLUSI

Ingat!
  1. Selalu dekati Allah SWT dengan kebaikan, bukan kezaliman (11:83)
  2. Bina kehambaan pada Allah SWT, ia akan menjadikan makin jujur (11:84)
  3. Banyakkan amal soleh yang pahalanya kekal dan menguntungkan (11:86)
  4. Buat pembaikan semampu dan seluas mungkin (11:88)

Saya berasa lega kerana Allah SWT akan memberikan pahala yang kekal dan menguntungkan sekiranya saya banyakkan amal soleh.

Saya jelas untuk selalu dekati Allah SWT dengan kebaikan, bukan kezaliman. Saya jelas untuk bina kehambaan pada Allah SWT kerana ia akan menjadikan saya makin jujur. Saya jelas saya mesti banyakkan amal soleh yang pahalanya kekal dan menguntungkan. Saya juga jelas untuk buat pembaikan semampu dan seluas mungkin.

Ya Allah, pimpin kami untuk selalu dekati Mu dengan kebaikan, jauhi kami daripada berbuat kezaliman. Ya Allah, bimbing kami untuk menjadi hamba Mu yang jujur. Ya Allah, bantu kami untuk banyakkan amal soleh yang pahalanya kekal dan menguntungkan. Ya Allah, kurniakan kami kemampuan untuk membuat pembaikan dengan seluas-luasnya.

Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...